Wednesday, May 30, 2012

Salam

Rabu, 8 Rejab 1433H: Dari Jabir r.a.. katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. mengutus ku untuk suatu keperluan, lalu saya pergi. Setelah selesai melaksanakan tugas itu, maka aku datang kembali kepada beliau. Lantas aku mengucapkan salam, tetapi beliau tidak menjawab. Oleh kerana itu timbul dugaan di hatiku, Allah sajalah Yang Maha Tahu. Aku berkata kepada diri ku, "Barangkali Rasulullah saw. marah kepada ku kerana aku datang terlambat. Kemudian aku memberi salam kembali, namun beliau tidak menjawab juga. Prasangka di hatiku bertambah dari semula. Kemudian aku memberi salam lagi, lalu beliau menjawab salamku itu.
 
Sabda beliau, "Aku terhalang menjawab salammu, kerana aku sedang solat." Waktu itu beliau solat di atas kenderaan, tidak menghadap kiblat."


Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0639.

Friday, May 25, 2012

Berlindung Dengan Allah Dari Seksa Kubur

 
Jumaat, 4 Rejab 1433H: Diceritakan dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw., bahawa seorang perempuan Yahudi datang kepadanya menanyakan sesuatu; Kemudian perempuan Yahudi itu berkata kepadanya, "Semoga Allah melindungi mu dari seksa kubur." kerana itu 'Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah saw., "Apakah manusia akan diseksa dalam kubur mereka?"
 
Jawab Rasulullah saw., "Berlindunglah dengan Allah dari seksa kubur itu!"
 
Pada suatu pagi Rasulullah pergi berkenderaan. Tiba-tiba terjadi gerhana matahari. kerana itu, waktu dhuha (sebelum tengah hari) beliau telah kembali. Beliau berjalan melalui kamar-kamar (isteri beliau). Kemudian beliau berdiri hendak solat dan berdiri pulalah orang di belakang beliau. Rasulullah saw. berdiri lama, kemudian beliau rukuk lama, kemudian beliau bangkit lalu berdiri lama, tetapi tidak selama berdiri yang mula-mula, kemudian rukuk lama, tetapi tidak selama ruku yang pertama, kemudian beliau bangkit lalu sujud, kemudian beliau berdiri lama tetapi tidak selama yang mula-mula, kemudian beliau rukuk lama tetapi tidak selama rukuk yang mula-mula, kemudian berdiri lama tetapi tidak selama berdiri yang mula-mula, kemudian rukuk lama tetapi tidak selama rukuk yang mula-mula, kemudian beliau bangkit lalu sujud dan menyudahi solat beliau. Sesudah itu beliau bersabdakan apa yang diperintahkan Allah; dan memerintahkan orang banyak supaya berlindung dari seksa kubur."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0551.

Thursday, May 24, 2012

Sabar Dalam Berdoa

Khamis,3 Rejab 1433H: Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi saw. bersabda: "Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba, selama doa itu tidak mengandung dosa, atau memutus silaturrahim dan selama tidak minta cepat-cepat diperkenankan."
 
Lalu beliau ditanya orang, "Apa maksudnya minta cepat-cepat?"
 
Jawab beliau, "Umpamanya seorang berkata dalam doanya, Aku telah mendoa, Aku telah mendoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu dia putus asa dan berhenti mendoa
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2355.

Wednesday, May 23, 2012

Suami Isteri Saling Tuduh Menuduh

Rabu, 2 Rejab 1433H: Dari Sahal bin Sa'ad As Sa'idi r.a., katanya, 'Uwaimir Al 'Ajlani datang kepada 'Ashim bin 'Adi Al Anshari, lalu dia bertanya: "Bagaimana pendapat anda hai 'Ashim, seandainya seorang lelaki mendapati isterinya berbuat serong dengan lelaki lain, bolehkah dia membunuh lelaki itu?
 
Kalau si suami itu membunuh, mungkin pula dia akan terbunuh; apa yang barus dilakukan si suami itu? Tolonglah tanyakan masalah itu kepada Rasulullah saw., hai 'Ashim!"
 
Lalu 'Ashim menanyakannya kepada Rasulullah saw. Tetapi beliau benci mendengar pertanyaan seperti itu, bahkan beliau mencelanya, sehingga 'Ashim merasa kurang senang terhadap celaan beliau itu, Ketika 'Ashim pulang kembali, 'Uwaimir tiba pula di rumah 'Ashim, lalu dia bertanya, "Hai, 'Asrum! Bagaimana sabda Rasulullah saw. kepadamu?"
 
Jawab 'Ashim kepada 'Uwaimir, "Hal itu tidak mendatangkan kebaikan bagi ku. Rasulullah saw. benci mendengar pertanyaanku."
 
Kata 'Uwaimir, "Demi Allah! Aku tidak akan berhenti sebelum masalah itu ku tanyakan langsung kepada Rasulullah saw." Lalu 'Uwaimir pergi menemui Rasulullah saw. Didapatinya beliau sedang (mengadakan dakwah) di tengah-tengah orang ramai. Kata 'Uwaimir, "Ya, Rasulullah! Bagaimana pendapat Anda jika seorang suami mendapati isterinya berbuat serong dengan lelaki lain; bolehkah dia membunuh lelaki itu, sedangkan dia mungkin pula terbunuh. Apa yang harus diperbuatnya?"
 
Jawab Rasulullah saw., "Memang, telah turun ayat mengenai kes isteri mu itu. Jemputlah dia dan bawa ke sini." Di tengah-tengah orang banyak, di hadapan Rasulullah saw., kedua-duanya saling menuduh dan mengutuk. Setelah keduanya selesai saling tuduh dan mengutuk, maka berkata 'Uwaimir, "Jika aku masih tetap bersama dia, bererti aku memfitnahnya." Kerana itu 'Uwaimir menceraikan isterinya tiga kali (talak tiga), sebelum disuruh Rasulullah saw."
 
Kata Ibnu Syihab, "Begitulah caranya menyelesaikan kes suami isteri yang saling tuduh."


Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1437.

Monday, May 21, 2012

Kisah Dua Mu'adz

Isnin, 29 Jamadilakhir 1433H: Dari 'Abdurrahman Ibnu 'Auf r.a., katanya: "Ketika aku berada dalam barisan perang Badar, aku menengok ke kanan dan ke kiriku, kiranya aku berdiri di antara dua pemuda Ansar yang kedua-duanya masih berusia muda. Rasa hatiku, inginlah aku supaya tetap berada di antara keduanya. Seorang di antaranya mengedipkan mata kepada ku seraya bertanya, "Pakcik! Kenalkah Pakcik dengan Abu Jahil?"

Jawab ku, "Kenal, apa keperluan mu kepadanya kemenakan?"

Jawab anak muda, " Aku mendengar khabar, dia tukang maki Rasulullah saw. Seandainya aku melihatnya, maka aku tak akan berpisah dengannya sebelum salah satu di antara kami mati lebih dahulu."

Kata Ibnu 'Auf, "Aku takjub mendengar ucapan pemuda itu. Lalu mengedip pula yang seorang lagi kepada ku, seraya berkata seperti ucapan temannya. Tidak lama antaranya, aku melihat Abu Jahil bergerak dengan tangkasnya di tengah-tengah orang banyak. Aku berkata kepada kedua pemuda itu, "Tidakkah kalian lihat dia? Teman kalian yang kalian tanyakan itu?"

Keduanya segera mengejar Abu Jahil, lalu mereka penggal dengan pedang mereka sehingga Abu Jahil tewas oleh keduanya. Kemudian mereka kembali kepada Rasulullah saw., lalu mereka ceritakan kepada beliau bahawa mereka berdua telah menewaskan Abu Jahil.

Beliau bertanya, "Siapa di antara kalian berdua yang membunuhnya?"

Masing-maSing menjawab, "Aku membunuhnya."

Tanya beliau, "Apakah pedang kalian sudah dibersihkan?"

Jawab mereka, "Belum!" Rasulullah melihat pedang keduanya, lalu beliau bersabda, "Ya, benar! Kalian berdua telah menewaskannya. Beliau memutuskan, supaya perlengkapan Abu Jahil diberikan kepada mereka berdua sebagai rampasan perang bagi mereka, kerana menewaskan pemiliknya." (Kedua pemuda itu ialah: Mu'adz bin' Amr bin Jamuh, dan Mu'adz bin Afra').

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1733.

Friday, May 18, 2012

Bencana Fitnah

Jumaat, 26 Jamadilakhir 1433H : Dari Hudzaifah r.a., katanya: "Pada suatu hari kami berada bersama-sama 'Umar bin Khaththab, lalu dia bertanya:
"Siapakah di antara Anda semua yang pernah mendengar Rasulullah saw. membicarakan perihal fitnah (bencana"?")
Jawab hadirin, "Kami pernah mendengar."
Kata 'Umar, "Barangkali yang Anda maksudkan, bencana yang terjadi dalam keluarga atau tetangga seseorang." Jawab mereka,
"Ya, benar!"
Kata 'Umar, "Bencana yang demikian dapat dihapus dengan solat, puasa dan sedekah. Tetapi siapa di antara Anda sekalian yang pernah mendengar Nabi saw. berbicara mengenai bencana besar yang terjadi seperti gelombang laut?"
Kata Hudzaifah, "Orang banyak diam saja. Kerana itu aku berkata: "Aku pernah dengar!"
Kata 'Umar, "Bagus, silakan bicara!"
Kata Hudzaifah, "Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Fitnah membentang dalam lubuk hati manusia sedikit demi sedikit bagaikan tenunan sehelai tikar. Hati yang menerimanya akan mendapat berbintik hitam, sedangkan hati yang menolak fitnah itu akan tetap putih cemerlang selama langit dan bumi masih ada. Hati yang telah kena bercak hitam, lama-lama akan menjadi sangat hitam bagaikan belanga tertelungkup. Dia tidak lagi mengenal baik dan buruk, tetapi hanya mengikuti kehendak hawa nafsunya semata-mata."
Kata Hudzaifah melanjutkan, "Antara Anda dengan berkecamuknya bencana besar itu terdapat sebuah pintu yang terkunci rapat, namun dikhuatirkan pintu itu akan dipecahkan orang."
Tanya Umar, "Akan dipecahkan orang? Bagaimanakah kiranya kalau pintu itu dibuka saja, barangkali dapat ditutup kembali dengan baik."
Kata Hudzaifah, "Pintu itu ialah seorang pemimpin utama yang kemudian tewas dibunuh orang. Dan hadis ini bukanlah sekadar cerita dongeng belaka. "

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0117.


Thursday, May 17, 2012

Penduduk Syurga Yang Terakhir

Khamis, 25 Jamadilakhir 1433H: Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Aku tahu penduduk neraka yang terakhir keluar dari neraka, dan penduduk syurga yang terakhir masuk syurga. Yaitu orang yang keluar dari neraka sambil merangkak.
 
Allah Ta'ala berfirman kepadanya, "Pergilah dan masuklah ke syurga!" Lalu dia pergi ke syurga. Tetapi terbayang kepadanya syurga telah penuh. Kerana itu dia kembali kepada Tuhan dan berkata, "Ya, Tuhan ku! Ku dapati syurga telah penuh."
 
Firman Allah swt., "Pergilah dan masuklah ke syurga!" Dia pun pergi ke syurga. Sementara itu terbayang pula kepadanya syurga telah penuh. Kerana itu dia kembali pula kepada Tuhannya seraya berkata, "Ya, Tuhan ku. Ku dapati syurga telah penuh."
 
Allah berfirman pula kepadanya, "Pergilah, dan masuklah ke syurga!" Kemudian dia pergi. Tetapi tetap terbayang olehnya syurga telah penuh. Maka dia kembali lagi seraya berkata, "Ya, Tuhan ku! Ku dapati syurga telah penuh."
 
Allah berfirman kembali, "Pergilah, dan masuklah ke syurga. Untukmu tersedia tempat sepuluh kali luas dunia." Kata orang itu, "Apakah Engkau tidak mengolok-olokku? Engkau adalah Maha Raja." Kata Abdullah menambahkan, "Aku melihat Rasulullah saw. tertawa, sehingga kelihatan gigi beliau." Beliau bersabda, "Dikatakan kepada ku, itulah tempat penduduk syurga yang paling rendah,"


Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0151.

Wednesday, May 16, 2012

Amalan yang disukai Allah

Rabu, 24 Jamadilakhir 1433: Dari Abu Hurairah ra. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang menolong menghilangkan kesusahan orang mukmin, Allah Taala menghilangkan pula kesusahannya di hari kiamat kelak.
 
Siapa yang membantu memudahkan orang yang dalam kesulitan, Allah memudahkannya pula di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hambanya selama hamba itu mahu menolong saudaranya.
 
Siapa berusaha mencari ilmu, Allah memudahkan baginya jalan ke syurga. Bila suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah (masjid) lalu mereka membaca Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, diturunkan kepada mereka ketenangan dan diselubungi mereka dengan rahmat. Mereka dikerumuni oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut dengan bangga kepada orang-orang yang di dekat-Nya.
 
Sedangkan orang yang lalai beramal, ia tidak akan dapat mengejar ketinggalannya dengan gelar kebangsawanan nya."


Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2322.

Tuesday, May 15, 2012

Buatlah Sesuatu Kerana Allah

Selasa, 23 Jamadilakhir 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Pada hari kiamat kelak Allah Azza wa Jalla berfirman: Hai anak Adam! Aku sakit, mengapa tidak engkau kunjungi Aku?"
 
Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan ku. Bagaimana mungkin aku mengunjungi Engkau padahal Engkau Tuhan semesta alam?"
 
Firman Allah Ta'ala, "Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba Ku si Fulan sakit, mengapa kamu tidak mengunjunginya? Apakah kamu tidak tahu seandainya kamu kunjungi dia, kamu akan mendapati Ku di sisinya?"
 
"Hai, anak Adam! Aku minta makan kepada mu, mengapa kamu tidak memberi Ku makan?"
 
Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan. Bagaimana mungkin aku memberi Engkau makan, padahal Engkau Tuhan semesta alam?"
 
Firman Allah Ta'ala, "Apakah kamu tidak tahu, bahawa hamba Ku si Fulan minta makan kepada mu tetapi kamu tidak memberinya makan. Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu memberinya makan nescaya engkau mendapatkannya di sisi Ku?"
 
"Hai, anak Adam! Aku minta minum kepada mu, mengapa kamu tidak memberi Ku minum?"
 
Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan, bagaimana mungkin aku memberi Engkau minum, padahal Engkau Tuhan semesta alam?" Firman Allah Ta'ala, "Hamba Ku si Fulan minta minum kepada mu, tetapi kamu tidak memberinya minum. Ketahuilah, seandainya kamu memberinya minum, nescaya kamu mendapatkannya di sisi Ku."


Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2201.

Friday, May 11, 2012

Jumaat Hari Berkumpul Umat Muhammad SAW

Jumaat,19 Jamadilakhir 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Kita (umat Muhammad), adalah yang terakhir (datang ke dunia), tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu dari kita, sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu, yang Allah telah tunjukkan kepada kita, iaitu hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Esok (Sabtu) untuk kaum Yahudi, dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0807

Dari Hudzaifah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Allah swt. menyesatkan orang-orang yang sebelum kita tentang hari berkumpul (Jumaat, atau hari besar). Bagi orang Yahudi jatuhnya pada hari Sabtu, dan bagi orang Nasrani jatuhnya pada hari Ahad. Lalu Allah tunjuki kita, iaitu pada hari Jumaat. Kerana itu terjadilah beturut-turut tiga hari berkumpul (hari besar), iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Hari kiamat kelak, mereka pun mengikuti kita juga. Kita yang terakhir ke dunia, tetapi kita yang lebih dahulu diadili sebelum umat-umat yang lain-lain."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0808

Thursday, May 10, 2012

Nafsu Yang Tidak Pernah Cukup

Khamis, 18 Jamadilakhir 1433H: Dari Anas r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Andai kata manusia itu telah mempunyai harta benda sebanyak dua lembah, mereka masih ingin untuk mendapatkan satu lembah lagi. Tidak ada yang dapat mengisi perutnya sampai penuh melainkan hanya tanah (maut). Dan Allah menerima taubat orang yang taubat kepada-Nya." ( Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1009.)

Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: Saya dengar Rasulullah saw. bersabda: "Seandainya seorang anak Adam (manusia) mempunyai harta sepenuh dua lembah, tentulah ia meminta agar diberi harta selembah lagi. Rongga batang tubuh anak Adam itu hanya dapat dipenuhi (dipuaskan) dengan tanah. Setelah itu Tuhan memberi taubat kepada siapa yang taubat." (Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1739.)

Wednesday, May 9, 2012

Menyembunyi Keterangan AlQuran

Rabu, 17 Jamadilakhir 1433H: Diceritakan oleh Abu Hurairah, "Orang mengatakan, Abu Hurairah paling banyak meriwayatkan hadis.""Kalau tidaklah kerana dua ayat dalam Quran, nescaya saya tidak akan meriwayatkan hadis."
 
Kemudian dia membaca ayat: "Sesungguhnya mereka yang menyembunyikan keterangan dan pimpinan yang Kami turunkan sesudah kami jelaskan kepada manusia dalam Kitab, mereka itu dikutuk oleh Allah dan oleh orang-orang yang turut mengutuk. Kecuali mereka yang taubat, mengadakan perbaikan, dan menjelaskan kembali keterangan-keterangan Allah; maka taubat mereka itu akan Ku terima; Aku Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (S. Al Baqarah 2: 159 - 160).
 
Lalu Abu Hurairah meneruskan, "Saudara-saudara kita Para Muhajirin sibuk dengan perniagaan mereka di pasar-pasar, dan saudara-saudara kita kaum Ansar sibuk dengan urusan harta kekayaan mereka masing-masing. Tetapi saya selalu mengikuti Rasulullah ke mana-mana; di samping saya dapat memenuhi keperluan perut saya, saya pun dapat menghadiri ceramah-ceramah (pengajian-pengajian) Nabi yang mereka tidak dapat hadir, serta menghafal apa yang mereka tidak dapat hafal."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0084

Friday, May 4, 2012

Cerita Aisyah Semasa Rasulullah SAW Sakit.

Jumaat, 12 Jamadilakhir 1433H: Dari 'Ubaidillah bin Abdullah r.a., katanya dia datang ke rumah Aisyah hendak bertanya. "Dapatkah ibu menceritakan kepada ku tentang sakit Rasulullah saw"?" katanya.
Jawab 'Aisyah, "Baiklah! Ketika sakit Rasulullah saw. bertambah berat, beliau bertanya, "Sudah solatkah orang ramai?" Jawab kami, "Belum!" Mereka menunggu Anda, ya Rasulullah."
Sabda beliau, "Tolong sediakan air untukku di ember!" Setelah kami sediakan, maka beliau pun mandi. Kemudian beliau berusaha sedapat-dapatnya hendak pergi solat (berjemaah), tetapi tiba-tiba beliau jatuh pengsan. Setelah siuman beliau bertanya, "Sudah solatlah orang ramai?"
Jawab kami, "Belum! Mereka menunggu Anda, ya Rasulullah."
Lalu beliau bersabda, "Tolong sediakan untukku air di ember" Setelah kami sediakan, beliau pun mandi, dan sesudah itu beliau berusaha sedapat-dapatnya hendak pergi solat, tetapi tiba-tiba beliau pengsan lagi. Setelah siuman dia bertanya pula, "Sudah solatkah orang ramai?"
Jawab kami, "Belum! Mereka menunggu Anda, ya Rasulullah."
Sabda beliau, "Tolong sediakan untukku air di ember!" Setelah kami sediakan, maka beliau pun mandi, kemudian beliau berusaha sedapat-dapatnya hendak pergi solat, tetapi beliau pengsan lagi. Setelah siuman beliau bertanya pula, "Sudah solatkah orang ramai?"
Jawab kami, "Belum! Mereka menunggu Anda, ya Rasulullah'"
Kata 'Aisyah, "Ketika itu jemaah tetap diam di masjid menunggu Rasulullah saw. hendak solat 'Isya. Kemudian Rasulullah menyuruh seseorang kepada Abu Bakar, supaya menyuruhnya mengimami solat orang ramai.
Jawab Abu Bakar, dia seorang yang lemah lembut. "Hai, 'Umar! Andalah yang lebih patut menjadi imam!" Kata 'Aisyah, "Akhirnya Abu Bakarlah yang mengimami mereka solat, sehingga beberapa hari lamanya. Kemudian, setelah sakit Rasulullah saw. beransur ringan, beliau pergi solat Zohor di papah oleh dua orang lelaki, salah seorang di antaranya ialah 'Abbas, Ketika beliau tiba, ternyata Abu Bakar telah mulai solat mengimami orang ramai. Tatkala Abu Bakar menyadari bahawa Rasulullah datang, dia berusaha hendak mundur dan memberi kesempatan kepada Nabi menjadi imam. Tetapi Nabi saw. memberi isyarat kepadanya agar tetap berada di tempat dan jangan mundur.
Sementara itu Nabi berkata kepada kedua orang yang memapah beliau, "Dudukkan aku di samping Abu Bakar!" Lalu keduanya mendudukkan beliau disamping Abu Bakar. Abu Bakar solat sambil berdiri mengikuti solat Rasulullah saw., sedangkan orang ramai solat mengikuti Abu Bakar, padahal Nabi sendiri solat sambil duduk.
Kata 'Ubaidillah, "Kemudian aku datang ke rumah 'Abdullah bin 'Abbas lalu kataku kepadanya, "Apakah anda belum tahu hadis yang diriwayatkan 'Aisyah tentang sakit Rasulullah saw"?"
Jawab 'Abdullah, "Ceritakanlah!" Lalu kuceritakan hadis itu kepadanya, tetapi dia tidak membantah apa-apa selain katanya, "Apakah 'Aisyah tidak menyebutkan kepada mu orang yang satu lagi?" Jawab ku, "Tidak'" Kata 'Abdullah bin 'Abbas, "Orang itu ialah 'Ali!"
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0370.

Thursday, May 3, 2012

Pengajaran Dari Allah & Rasul

Khamis, 11 Jamadilakhir 1433H:Dari 'Iyadh bin Himar Al Mujasyi'iy r.a. katanya: "Pada suatu hari Rasulullah saw. bersabda dalam khutbah sebagai berikut:

"Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhan ku memerintahkan kepada ku supaya mengajarkan kepada kamu sekalian apa-apa yang belum kamu ketahui. Iaitu pengajaran yang diajarkan Allah kepada ku hari ini.

Firman Allah: Setiap harta yang Aku (Allah) berikan kepada seseorang hamba adalah halal. Dan sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hamba-Ku semuanya berada dalam agama yang lurus. Tetapi mereka kemudian didatangi oleh syaitan-syaitan lalu syaitan membelokkan mereka dari agama mereka dan mengharamkan apa-apa yang telah Ku halalkan bagi mereka, dan menyuruh mereka supaya mempersekutukan-Ku dengan sesuatu yang tidak diberi kekuasaan apa-apa. Sesungguhnya Allah mengawasi penduduk bumi dengan kemarahan, baik bangsa Arab maupun bangsa Ajam, kecuali sisa-sisa Ahli Kitab.

Firman Allah Ta'ala, "Sesungguhnya Aku mengutus engkau untuk mengujimu dan menguji orang lain dengan engkau. Aku turunkan kepada mu Kitab yang tidak hilang kena air, yang dapat engkau baca di waktu tidur dan bangun. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada ku supaya membangkitkan kemarahan orang-orang Quraisy." Jawab ku, "Ya, Tuhan ku! Nanti mereka pecah kepala ku dan mereka tinggalkan seperti (pecahan) roti."

Firman Allah, "Usir mereka seperti mereka mengusirmu. Perangi mereka, nanti Kami bantu kamu memerangi mereka. Keluarkan segala dana, nanti Kami beri dana engkau. Kirim pasukan tentera, nanti Kami kirim pula tentera membantumu lima kali lipat. Perangilah olehmu bersama-sama orang yang taat kepada mu, mereka yang durhaka kepada mu.

Firman Allah Ta'ala, "Penduduk syurga ada tiga macam:
(1) Penguasa yang adil, pemurah, dan bertindak sesuai dengan hukum.
(2) Orang yang berhati pengasih dan berhati lembut terhadap karib kerabat dan kaum muslimin.
(3) Orang daif yang tidak terkendalikan otaknya, mereka di samping kamu hanyalah ikut-ikutan, mereka tidak mahu berkeluarga dan tidak menghendaki kekayaan.

Penduduk neraka ada lima macam:
(1) Orang daif yang tidak mempergunakan otaknya, mereka hanya menjadi pengikut, tidak berusaha mencari nafkah untuk diri dan keluarganya.
(2) Pengkhianat yang tidak tahu malu, sampai hal-hal kecil dikhianatinya juga.
(3) Orang yang pagi petang berusaha hendak menipumu, tentang keluargamu, dan harta mu, (4) Orang bakhil atau pendusta.
(5) Orang yang bermulut kotor (orang yang berperangai buruk dan suka menggunjing).

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2442