Friday, January 30, 2015

Melayani Tertamu

Jumaat, 9 Rabiulakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. lalu dia berkata, "Aku dalam kesulitan susah hidup dan lapar."

Maka beliau bawa pulang itu ke rumah isteri beliau satu persatu menanyakan kalau-kalau mereka ada sedia makanan.

Para isteri beliau menjawab. "Demi Allah yang mengutus Anda dengan yang hak, aku tidak sedia apa-apa selain air." Begitulah jawapan mereka masing-masing.

Lalu bersabda beliau kepada para sahabat. "Siapa bersedia menerima tetamu malam ini nescaya di beri rahmat oleh Allah Ta'ala."

Maka berdirilah seorang lelaki Ansar seraya berkata, "Aku, ya Rasulullah!"

Maka dibawanya lah orang itu ke rumahnya. Dia bertanya kepada isterinya, "Adakah engkau sedia makanan?"

Jawab isterinya, "Tidak ada, kecuali makanan anak-anak."

Katanya, "Pujuklah anak kita dengan apa saja. Bila tetamu kita dah masuk tunjukkan kepadanya bahawa kita makan bersamanya. Bila dia telah mulai makan, berdirilah ke dekat lampu lalu padamkan”.

Maka duduklah mereka dan sang tetamu pun makanlah.

Setelah Subuh, sahabat tersebut bertemu dengan Nabi saw. lalu kata beliau, "Allah kagum dengan cara kamu berdua melayani tetamu kalian malam tadi."

Hadis Sahih Muslim 

Wednesday, January 28, 2015

Orang Yang Beriman...

Rabu, 7 Rabiulakhir 1436H: Dari Abu Musa r.a., Nabi bersabda:

"Orang yang beriman dengan orang beriman yang lain adalah seperti rumah; bahagian yang satu menggunakan bahagian yang lain." 

Dan sebagai perumpamaan beliau mempersilangkan anak-anak jari beliau.

Hadis Sahih Bukhari .

Monday, January 26, 2015

Segerakanlah menguburkan jenazah!

Isnin, 5 Rabiulakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: 

"Segerakanlah menguburkan jenazah! Jika dia orang baik, bererti kamu segera mengantarkannya kepada kebaikan. Jika dia orang jahat, bererti kamu segera menghindarkan bencana terhadap diri mu."

Hadis Sahih Muslim .

Friday, January 23, 2015

Diseksa Dalam Kubur

Jumaat, 2 Rabiulakhir 1436H: Ibnu Abbas r.a. menceritakan: "Nabi saw. berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran oleh beliau suara dua orang sedang diseksa dalam kuburnya. 

Maka berkata Nabi saw., "Keduanya diseksa bukanlah kerana dosa besar." 

Kemudian Nabi melanjutkan perkataannya, "Yang seorang diseksa kerana kencing di tempat terbuka, dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan." 

Sesudah itu Nabi menyuruh ambil sebuah pelepah tamar, lalu dipatah dua oleh beliau, dan diletakkannya di atas kedua kuburan itu masing-masing sepotong. Seseorang bertanya, "Ya, Rasulullah! Mengapa Anda lakukan itu?" 

Jawab Nabi, "Mudah-mudahan keduanya mendapat keringanan, selama pelepah tamar itu tidak kering."

Hadis Sahih Bukhari .

Thursday, January 22, 2015

Agama Islam Itu Mudah

Khamis, 1 Rabiulakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: 

"Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. 

Oleh kerana itu kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam."

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, January 21, 2015

Solatlah Dengan Sempurna

Rabu, 30 Rabiulawal 1436H: Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi saw. masuk ke dalam masjid, kemudian masuk pula seorang laki-laki lalu dia solat. Selesai solat, orang itu datang dan memberi salam kepada Nabi saw. Nabi menolak orang itu dan bersabda, 

"Ulangilah solat anda kembali kerana anda belum solat!" 

Maka diulanginya solatnya kembali, kemudian dia datang dan memberi salam kepada Nabi. Sabda Nabi, "Ulangilah solat anda kembali, kerana anda belum solat!" Sampai tiga kali Nabi saw. menyuruh orang itu demikian. 

Jawab orang itu, "Demi Allah, yang telah mengutus anda dengan yang hak. Aku belum tahu cara solat yang lebih baik dari itu. kerana itu ajarkanlah kepada ku." 

Jawab Nabi saw., "Apabila engkau berdiri hendak solat, ucapkanlah Takbir. Kemudian baca ayat-ayat Quran yang mudah bagi mu. Kemudian rukuk sehingga engkau tenang dalam rukuk itu, kemudian bangkit, berdiri lurus kembali. Sesudah itu sujud, sehingga engkau tenang dalam sujudmu itu. Sesudah itu bangkit, duduk, sehingga engkau tenang tenteram dalam dudukmu itu. Kemudian sujud, sehingga engkau tenang dalam sujudmu itu. Lakukanlah seperti itu setiap kamu solat."

Hadis Sahih Bukhari 

Tuesday, January 20, 2015

Solat Sunat Istikharah

Selasa, 29 Rabiulawal 1436H: Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: "Rasulullah saw. mengajarkan kepada kami solat istikharah untuk segala urusan, seperti dia mengajarkan kepada kami surat Al Quran; Sabda beliau: 

"Apabila seseorang kamu hendak melakukan sesuatu pekerjaan, lebih dahulu hendaklah ia solat dua rakaat yang bukan fardu, kemudian membaca doa: "Allahumma inni astakhairuka bi'ilmika waastaqdirukabi qudratika waas-aluka min fadhlikal 'azhim; Fainnaka taqdiru wa laa aqdiru wata'lamu wa laa a'lamu wa anta 'allamul ghuyuub. Allaahumma inkunta ta'lamu anna haadzal amra khairun lii fii diinii wa ma'aasyi wa 'aaqibatu amri ('ajili amri wa aajilihi faqdurhu lii wa yassirhu lii tsumma baarik lii fiihi. Wa inkunta ta'lamu anna haadzal amra syarrun lii fii diini wa ma'aasyi wa 'aaqibatu amrii ('ajili amri wa aajilihi) fashrifhu 'annii washrifnii 'anhu waqdur liyal khaira haitsu kaana tsummaardhini." 

(Wahai Allah! Sesungguhnya aku mohon pilihan kepada Engkau dengan ilmu Engkau, dan mohon kuasa kepada Engkau dengan kekuasaan Engkau, dan aku meminta kepada Engkau kurniaMu yang Maha Agung. Sesungguhnya Engkau Maha kuasa, sedangkan aku tidak kuasa. Dan Engkau Maha Tahu, sedangkan aku tidak tahu. Dan Engkau Maha Tahu segala yang ghaib. 

Wahai, Allah! Jika menurut pengetahuanMu pekerjaan ini baik bagi agamaku, bagi kehidupanku, dan akibat kesudahannya, maka berilah aku kesanggupan untuk melaksanakannya serta mudahkanlah dia bagi ku, kemudian berikan berkat bagi ku padanya. 

Dan jika menurut pengetahuanMu pekerjaan ini tidak baik bagi agama, kehidupan serta akhir kesudahannya, maka singkirkanlah dia dari ku, dan jauhkanlah aku daripadanya, serta tukarlah bagi ku dengan yang lebih baik daripadanya, kemudian redhailah dia bagiku."
Hadis Sahih Bukhari

Monday, January 19, 2015

Amal Bahagia Atau Amal Celaka?

Dari' Ali r.a., katanya: "Kami menghadiri pemakaman Baqi' Gharqad. Ketika Nabi saw. tiba, beliau terus duduk dan kami pun duduk pula di keliling beliau. Di tangannya ada sebuah tongkat. Beliau merunduk dan menggaris-garis tanah dengan tongkat itu. 

Kemudian beliau bersabda, "Tiap-tiap orang hidup dituliskan Allah tempatnya di syurga atau di neraka. Dituliskan juga apakah dia celaka atau bahagia." Bertanya seseorang, "Ya, Rasulullah! Tidak bolehkah kami menyerah saja kepada kitab kami, sehingga kami tidak perlu beramal? Siapa di antara kami termasuk orang bahagia, sendirinya ia akan mengamalkan amal bahagia, dan orang yang ditulis celaka akan beramal celaka." 

Nabi saw. menjawab, "Adapun orang yang bahagia, ialah mereka yang dimudahkan Allah melakukan amal bahagia, "dan orang yang celaka ialah orang yang mudah melakukan amal celaka." 

Kemudian Nabi saw. membaca firman Allah swt., "Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertaqwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami akan mudahkan baginya jalan yang mudah (perbuatan baik). Adapun orang-orang yang kikir dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka Kami akan mudahkan baginya jalan yang sukar (kejahatan)." (At Lail, 92: 5 - 10).

Hadis Sahih Bukhari.

Friday, January 16, 2015

Mendoakan Kebaikan

Jumaar, 25 Rabiulawal 1436H: Dari Abu Darda' r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Tidak seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan. melainkan malaikat mendoakannya pula: "Mudah-mudahan engkau beroleh kebaikan pula."

Hadis Sahih Muslim.

Thursday, January 15, 2015

Sabar Diperlukan Ketika Permulaan Musibah

Khamis, 24 Rabiulawal 1436H: Dari Anas r.a., katanya: "Nabi saw. bertemu dengan seorang wanita sedang menangis di samping kuburan. Nabi saw. bersabda kepadanya, 

"Takutlah kepada Allah dan sabarlah!" 

Jawab wanita itu, "Pergilah kamu! Sebab kamu tidak merasakan penderitaan yang saya derita ini." Sesungguhnya wanita itu tidak kenal dengan Nabi saw. Maka diberitahukan orang kepadanya bahawa itulah Nabi saw. 

Kerana itu dia pergi menemui Nabi saw. dan dia tidak melihat seorang penjaga pun. (Lalu ia terus menemui Nabi saw.) 

 Katanya kepada Nabi, "(Maaf Tuan), Saya tidak mengenal Tuan." 

Sabda Nabi saw., "Sesungguhnya sabar itu (diperlukan) ketika permulaan kena musibah."

Hadis Sahih Bukhari.

Wednesday, January 14, 2015

Sabar Dari Meminta-Minta

Rabu, 23 Rabiulawal 1436H: Dari Abu Said r.a., katanya: "Beberapa orang kaum Ansar meminta (sesuatu) kepada Rasulullah saw., lalu diberi oleh beliau. Kemudian mereka minta lagi, terus diberi oleh beliau, diminta lagi, diberi lagi sehingga habislah apa yang ada pada Rasulullah. 

Sabda beliau, "Tidak ada lagi pada ku dan tidak ada pula yang ku simpan. (Ingatlah!) siapa yang ingin terpelihara dari minta-minta, Allah akan memeliharanya, siapa yang merasa cukup, Allah akan mencukupkannya, dan siapa yang berhati sabar, Allah akan memberinya kesabaran; tiada satu juga pemberian Allah yang diberikanNya kepada seseorang, yang lebih baik dan lebih lapang daripada sabar."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, January 9, 2015

Istimewa Untuk Hamba Yang Saleh

Jumaat,  18 Rabiulawal 1436H: Dan Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: 

"Allah berfirman: "Aku telah menyediakan untuk hambaKu yang saleh, apa yang belum pernah mata melihat, belum pernah telinga mendengar dan belum pernah teringat dalam hati manusia."

Hadis Sahih Bukhari.

Thursday, January 8, 2015

Bukan Kemiskinan Yang DiTakuti Tapi...

Khamis, 17 Rabiulawal 1436H:  Dari Amr bin 'Auf orang Ansar r.a., sekutu Bani Amir bin Luai dan ia pernah turut menghadiri peperangan Badr, Rasulullah s.a.w. mengutus Abu Ubaidah bin Jarrah ke Bahrain untuk memungut pajak. Rasulullah s.a.w. sendiri yang mengadakan perdamaian dengan penduduk Bahrain, dan beliau angkat 'Ala bin Hadrami menjadi Amir (pembesar) mereka. Maka datanglah Abu Ubaidah membawa harta dari Bahrain. Orang Ansar mendengar kedatangan Abu Ubaidah, kebetulan waktu solat subuh bersama-sama dengan Nabi s.a.w. Setelah beliau selesai solat subuh bersama-sama, lalu mereka datang menghadap beliau. Rasulullah s.a.w. tersenyum ketika melihat mereka. 

Beliau bersabda: "Saya kira kamu telah mendengar bahawa Abu Ubaidah datang membawa sesuatu". 

Mereka berkata: "Sebenarnya, ya Rasulullah!" 

Beliau bersabda: "Bergembiralah dan harapkanlah apa yang menyenangkan kamu! Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang lebih saya takutkan terhadap kamu, melainkan yang lebih saya takuti terhadap kamu ialah jika kamu diberi sebanyak-banyaknya harta dunia sebagaimana yang telah diberikan kepada orang yang ada sebelum kamu, lalu kamu merebutkannya sebagaimana mereka merebutkan, dan kamu dibinasakannya sebagaimana mereka telah dibinasakannya".

Hadis Sahih Bukhari.

Wednesday, January 7, 2015

Adab Melawat Persakit

Rabu, 16 Rabiulawal 1436H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., Rasulullah saw. masuk ke tempat seseorang melihatnya sakit. Beliau setiap kali pergi melihat orang sakit selalu berkata: "Tidak apa-apa. Baik saja, insya Allah!" 

Lalu saya berkata: "Baik? Tidak mungkin. Penyakitnya adalah demam panas yang keras diderita oleh orang tua yang akan menyebabkannya meninggal" 

Nabi menjawab: "Kalau begitu, memang benar."

Hadis Sahih Bukhari .

Tuesday, January 6, 2015

Orang Islam Yang Paling Baik

Selasa, 15 Rabiulawal 1436H: Dari 'Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a., katanya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw., "Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik?

Jawab Rasulullah saw., "Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya".

Hadis Sahih Muslim 

Monday, January 5, 2015

Tiga Doa Rasulullah SAW Untuk Ummatnya

Isnin, 14 Rabiulawal 1436H: Dari 'Amir bin Sa'ad, dari bapanya r.a. katanya, "Pada suatu hari Rasulullah saw. datang dari daerah perbukitan. Ketika beliau sampai di Masjid Bani Mu'awiyah beliau masuk ke masjid lalu solat dua rakaat. Kami pun solat pula bersama-sama dengan beliau. Beliau mendoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah mendoa beliau berpaling kepada kami lalu bersabda, 

"Aku memohon kepada Tuhan ku tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan ku supaya jangan membinasakan ummat ku dengan musim susah yang panjang, maka diperkenankan. 

Aku memohon supaya ummat ku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda ummat Nabi Nuh, atau seperti tentera dan Raja Fir'aun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. 

Aku memohon supaya ummat ku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan."

Hadis Sahih Muslim.