Friday, April 28, 2017

Kerana Sepotong Emas

Jumaat, 1 Syaaban 1438H: Dari 'Uqbah bin Harits r.a., katanya: "Saya solat Asar beserta Nabi saw. Sesudah memberi salam, beliau segera berdiri dan terus masuk ke rumah isteri beliau.

Tidak lama kemudian beliau keluar kembali dan dilihatnya muka orang banyak seperti kehairan kerana beliau cepat sekali pergi dan kembali.

Beliau bersabda: "Aku teringat sesudah solat tadi akan sepotong emas yang ada pada kami. Aku tidak ingin emas itu akan berada pada kami sampai petang atau malam nanti. Oleh kerana itu aku perintahkan supaya membahagi-bahagikannya;"

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, April 27, 2017

Tidak Menyulitkan Umat

Khamis, 30 Rejab 1438H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. berada di Madinah, beliau pernah menjamak solat Zohor dengan Asar, dan solat Maghrib dengan Isyak, tidak pada saat perang dan tidak pula ketika hujan. 

Wakil bertanya kepada Ibnu 'Abbas, "Apa sebabnya Nabi saw. berbuat demikian?" 

Jawab Ibnu 'Abbas, "Supaya tidak menyulitkan umatnya."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, April 25, 2017

Hilang Keluarga & Hartabenda

Selasa, 28 Rejab 1438H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Orang yang ketinggalan solat Asar, sama halnya dengan kehilangan keluarga dan harta bendanya."

Hadis Sahih Muslim

Friday, April 21, 2017

Menyaringkan Bacaan Ketika Solat

Jumaat, 24 Rejab 1438H: Dari 'Imran bin Hushain r.a., katanya: "Pada suatu kali Rasulullah saw. mengimami kami solat Zohor atau 'Asar. 

Setelah selesai solat beliau bersabda; "Siapa tadi di belakangku yang menyaringkan bacaan 'Sabbihisma rabbikal a'la?" 

Jawab seorang sahahat, "Aku. Maksudku hanya semata-mata untuk kebaikan." 

Sabda Rasulullah saw., "Aku tahu maksudmu baik. Tetapi kamu mengganggu orang lain:'

Hadis Sahih Muslim

Thursday, April 20, 2017

Apabila Terlupa Rakaat Solat

Khamis, 23 Rejab 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. mengimami kami solat pada salah satu dua solat petang, mungkin solat Zohor atau solat Asar.

Setelah dua rakaat beliau memberi salam, kemudian beliau pergi ke sebatang pohon kurma di arah kiblat masjid, lalu beliau bersandar ke pohon itu, kelihatan seperti orang marah.

Di antara jemaah terdapat Abu Bakar dan 'Umar, namun keduanya takut berbicara. Orang-orang yang suka cepat-cepat telah keluar sambil berujar, "Solat dipendekkan."

Tiba-tiba Dzulyadain berdiri seraya berkata, "Ya, Rasulullah! Apakah solat dipendekkan ataukah anda lupa?"

Nabi saw. menengok ke kanan dan ke kiri, lalu bersabda: "Betulkah apa yang dikatakan Dzulyadain itu?"

Jawab mereka, "Betul, ya Rasulullah! Anda solat hanya dua rakaat."

Kerana itu Nabi saw. solat dua rakaat lagi, lalu memberi salam.

Sesudah itu beliau takbir, lalu sujud. Kemudian takbir, lalu bangkit.

Kemudian takbir, lalu sujud lagi. Sesudah itu takbir, lalu bangkit. "

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, April 19, 2017

Solat Subuh & Asar

Rabu, 22 Rejab 1438H: Dari Abu Bakar bin 'Umarah bin Ruaibah, dari bapanya, katanya: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda:

"Tidak akan masuk neraka orang yang sentiasa solat sebelum matahari terbit dan sebelum terbenam, yakni solat Subuh dan solat Asar."

Seorang penduduk Bashrah bertanya, "Apakah Anda mendengar sendiri hadis itu diucapkan oleh Rasulullah?"

Jawab, "Ya, ku dengar sendiri."

Kata lelaki itu, "Aku mengaku bahawa aku mendengarnya (pula) dari Rasulullah saw. dengan kedua telinga ku dan ku simpan dalam hatiku. "

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, April 18, 2017

Tiga Golongan Mendapat Seksa Pedih

Selasa, 21 Rejab 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Ada tiga golongan, di mana Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menengok kepada mereka dan tidak membersihkan mereka daripada dosa, bahkan mereka mendapat seksa yang pedih:

(1) Orang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, tetapi dia tidak mahu memberi orang yang kehausan dalam perjalanan;

(2) Orang yang menawarkan barang dagangannya dengan sumpah palsu sesudah 'Asar, dengan mengatakan modalnya sebegini atau sebegitu. Pembelinya percaya saja, padahal yang sebenarnya tidak begitu.

(3) Orang yang bersumpah setia kepada pemimpin untuk mengharapkan keuntungan dunia. Apabila dia beroleh keuntungan dipenuhinya janjinya, tetapi apabila tidak, tidak dipenuhinya.

Hadis Sahih Muslim

Monday, April 17, 2017

Larangan Nabi SAW

Isnin, 20 Rejab 1438H: Dari Abu Sa'id r.a., katanya: 

Nabi saw. melarang puasa pada hari raya berbuka dan hari raya korban; 

dan beliau juga melarang orang berselimut sempit, 

duduk cangkung dengan memakai satu helai kain saja, 

dan beliau melarang orang pula solat sesudah solat Subuh dan Asar."

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, April 12, 2017

Tanda & Batas Solat

Rabu, 15 Rejab 1438H: Dari Abu Juhaifah r.a. katanya: "Rasulullah saw. datang kepada kami pada suatu ketika di tengah hari.

Maka dibawa orang air kepada beliau untuk berwuduk. Nabi berwuduk dengan air itu. (Setelah beliau selesai berwuduk) banyak orang mengambil sisa air wuduk Nabi itu, dan mereka menyapukannya (ke badan mereka)

Lalu Nabi saw. solat Zohor dua rakaat, dan Asar dua rakaat pula.

Sementara di hadapan Nabi terpancang sebuah tongkat (sebagai tanda atau batas tempat beliau solat)."

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, April 11, 2017

Larang Solat

Selasa, 14 Rejab 1438H: Dari Ibnu Abbas, katanya: "Beberapa orang yang ku sukai menyaksikan di sampingku, dan yang paling ku sukai ialah Umar (bin Khaththab), bahawa Nabi saw. melarang melakukan solat sesudah solat Subuh hingga matahari terbit, dan sesudah solat Asar hingga matahari terbenam. "

Hadis Sahih Bukhari

Monday, April 10, 2017

Kehilangan Keluarga & Harta

Isnin, 13 Rejab 1438H: Berita dari Ibnu Umar r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. pernah bersabda:

"Orang yang luput solat Asarnya, samalah ertinya dia telah kehilangan keluarga dan harta kekayaannya."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, April 7, 2017

Melihat Tuhan Mu

Jumaat, 10 Rejab 1438H: Dari Jarir r.a., katanya: "Kami bersama-sama dengan Nabi saw. dan beliau menengok ke bulan - yakni bulan empat belas - Maka beliau bersabda,

"Sesungguhnya kamu semua akan melihat Tuhan mu, sebagaimana kamu melihat bulan ini. Kamu tidak akan berdesak-desak melihat-Nya, jika kamu sanggup tidak pernah kalah mengerjakan solat Subuh sebelum matahari terbit, dan solat Asar sebelum matahari terbenam. Maka hendaklah kamu laksanakan."

Kemudian beliau membaca ayat: "Dan tasbihlah kamu memuji Tuhan mu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenam." (Qaaf, 50 : 39).

Hadis Sahih Bikhari

Thursday, April 6, 2017

Diampuni Dosa Kerana Wuduk

Khamis, 9 Rejab 1438H: Dari 'Usman bin 'Affan r.a., ketika itu dia sedang berada di halaman masjid, maka terdengar azan 'Asar, lalu dia berwuduk. Sesudah wuduk dia berkata:

"Demi Allah Akan ku sampaikan kepada anda sebuah hadis; yang kalau bukanlah kerana suatu ayat dalam Al Quran yang memerintahkan supaya menyampaikannya, tidak akan ku sampaikan kepada anda." 

Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda,

"Tidak ada seorang pun lelaki muslim yang berwuduk, lalu dibagus-baguskannya wuduknya itu, sesudah itu dia solat, nescaya di ampuni Allah dosa-dosanya yang terjadi antara solatnya itu dengan solat berikutnya."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, April 5, 2017

Sempurnakan Wuduk

Rabu, 8 Rejab 1438H: Dari 'Abdullah bin 'Amar r.a., katanya: "Kami kembali dari Mekah ke Madinah bersama-sama dengan Rasulullah saw.

Ketika kami sampai di suatu tempat yang berair, rombongan yang dahulu dari kami segera mengambil wuduk untuk 'Asar. Dan mereka berwuduk dengan tergesa-gesa.

Tatkala kami dapat menyusul dan sampai ke dekat mereka, ternyata tumit-tumit mereka tidak basah kena air.

Kerana itu Rasulullah saw. bersabda, "Celakalah tumit-tumit (yang tidak basah) itu dimakan api neraka. Sempurnakan wuduk mu sebagus-bagusnya."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, April 4, 2017

Kejadian Bumi

Selasa, 7 Rejab 1438H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. memegang tangannya, lalu beliau bersabda:

"Allah Azza wa Jalla menjadikan tanah pada hari Sabtu,

memasakkan gunung pada hari Ahad,

menumbuhkan pohon-pohon pada hari Isnin,

menjadikan bahan-bahan mineral pada hari Selasa,

menjadikan cahaya pada hari Rabu,

menebarkan binatang pada hari Khamis,

dan menjadikan Adam Alaihissalam sesudah Asar pada hari Jumaat setelah selesai tercipta seluruh makhluk

dan pada saat terakhir di hari Jumaat antara 'Asar dan malam."

Hadis Sahih Muslim

Monday, April 3, 2017

Malaikat Malam Dan Siang

Isnin, 6 Rejab 1438H: Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: 

"Para malaikat bergiliran datang kepada mu malam dan siang. 

Dan semuanya bertemu ketika solat Subuh dan solat Asar. 

Kemudian malaikat yang jaga malam naik ke langit. Maka bertanyalah Tuhan kepada mereka (padahal Allah swt. sesungguhnya lebih tahu), "Bagaimanakah halnya hambaKu yang kamu tinggalkan?" 

Jawab mereka, "Kami tinggalkan mereka sedang solat Subuh, dan kami dapati mereka sedang solat Asar."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0316.