Monday, February 29, 2016

Maha Pengampun Allah SWT

Isnin, 20 Jamadilawal 1436H : Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bercerita:

"Pada suatu ketika ada seekor anjing mengelilingi sebuah sumur. Anjing itu hampir mati kehausan. Tiba-tiba dia terlihat oleh seorang wanita pelacur bangsa Yahudi. Maka dibukanya sepatu botnya, kemudian diceduknya air dengan sepatunya, lalu diberinya minum anjing yang hampir mati itu. Maka Allah swt. mengampuni dosa-dosa wanita itu."

Hadis Sahih Muslim

Friday, February 26, 2016

Memilih Isteri

Jumaat, 17 Jamadilawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw. bersabda: 

"Wanita dikahwini kerana empat hal: kerana harta-bendanya, kerana status sosialnya, kerana keindahan wajahnya, dan kerana ketaatannya kepada agama.

Pilihlah wanita yang taat kepada agama, maka kamu akan berbahagia."

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, February 25, 2016

Apabila Selesai Solat

Khamis, 16 Jamadilawal 1437H: Diceritakan oleh Ummu Salamah katanya: 

"Bahawasanya wanita-wanita di masa Nabi, setelah mereka selesai solat, mereka segera pulang. Sedangkan Rasulullah masih tinggal bersama kaum laki-laki. Setelah Nabi berdiri, barulah mereka berdiri pula."

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, February 24, 2016

Apabila Melihat Wanita

Rabu, 15 Jamadilawal 1436H: Dari Jabir r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah terlihat kepada seorang wanita, lalu beliau segera mendatangi isteri beliau Zainab yang sedang menyamak kulit, guna melepaskan rasa rindunya.

Sesudah itu beliau pergi menemui para sahabatnya, lalu beliau bersabda, "Sesungguhnya wanita itu datang dan pergi bagaikan syaitan. Maka bila kamu terlihat kepada wanita, datangilah isteri mu, kerana yang demikian itu dapat menenteramkan gejolak hatimu."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, February 23, 2016

Kematian Anak

Selasa, 14 Jamadilawal 1437H: Dari Abu Sa'id al Khudri r.a., katanya. "Beberapa orang wanita memajukan permohonan kepada Nabi: 

"Kami tidak memperoleh waktu untuk belajar dari Anda kerana semua waktu telah diisi oleh lelaki. Oleh kerana itu sediakanlah barang sehari untuk kami agar kami dapat pula belajar." 

Maka Nabi menjanjikan kepada mereka suatu hari khusus untuk pengajian wanita, di mana Nabi mengajar dan menyampaikan perintah-perintah Allah. 

Antara lain beliau bersabda, "Barangsiapa di antara kamu kematian tiga orang anak, menjadi dinding baginya dari api neraka." 

Bertanya seorang wanita, "Kalau dua orang?" 

Jawab beliau, "Ya, dua orang juga!”

Hadis Sahih Bukhari

Monday, February 22, 2016

Jangan....

Isnin, 13 Jamadialawak 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda:

"Jangan meminang wanita yang sedang dipinang orang lain, jangan menawar barang yang sedang ditawar orang,

Jangan menikahi seorang wanita sekaligus dengan bibinya (saudara ibu atau saudara bapaknya),

Dan janganlah seorang wanita menuntut suaminya supaya menceraikan madunya agar segala keperluannya terpenuhi; tetapi biarkanlah sang suami menikah (sesuai dengan kemampuannya),

Kerana sesungguhnya bahagian seorang isteri adalah apa yang telah ditentukan Allah jua."

Hadis Sahih Muslim

Friday, February 19, 2016

Dua Macam Penduduk Neraka

Jumaat, 10 Jamaldilawal 1437 : Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Ada dua macam penduduk neraka yang keduanya belum kelihatan olehku. 

(1) Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi. yang dipergunakannya untuk memukul orang. 

(2) Wanita-Wanita berpakaian, tetapi sama juga dengan bertelanjang (kerana pakaiannya terlalu mini, terlalu nipis atau tembus pandang, terlalu ketat atau pakaian yang merangsang pria kerana sebahagian auratnya terbuka), dan wanita-wanita yang mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka (disasak) bagaikan punuk unta. 

Wanita-wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga. Padahal bau syurga dapat tercium dari jarak yang sangat jauh."

Hadis Sahih Muslim .

Thursday, February 18, 2016

Wahai Kaum Wanita!

Khamis, 9 Jamadilawal 1437H: Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., dari Rasulullah saw., sabdanya: 

"Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan banyak-banyaklah istighfar (mohon ampun). Kerana aku melihat kebanyakan isi neraka ialah kaum wanita." 

Seorang wanita yang cerdas lantas bertanya: "Apa kesalahan kami, ya Rasulullah, makanya kami kebanyakan penghuni neraka?" 

Jawab Rasulullah saw., "Kaum wanita suka memaki dan memungkiri jasa suami. Aku tidak melihat orang yang kurang akal dan kurang agamanya, yang melebihi daripada kamu sekalian (kaum wanita)." 

Wanita tadi bertanya pula, "Kurang bagaimanakah akal dan agama kami, ya Rasulullah?" 

Jawab Rasulullah saw., "Adapun kurang akal, kerana kesaksian dua orang wanita sama dengan kesaksian seorang pria. Nah, ini bukti kurang akal. Tidak dapat solat beberapa malam dan tidak puasa (beberapa hari) bulan Ramadhan, bukti kurang agama."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, February 17, 2016

Apabila Masuk Islam

Rabu, 8 Jamadilawal 1437H: Dari Abu Malik Al Asyjai, dari bapanya r.a. katanya:

"Apabila seorang lelaki masuk Islam, Nabi saw. mengajarinya solat, kemudian beliau menyuruhnya mendoa dengan kalimat ini:

Allahummaghfir li warham ni, wahdini wa 'aafini, warzuqni." (Ya Allah, ampunilah aku, kasihanilah aku, pimpinlah aku, 'afiatkanlah aku dan berilah aku rezeki)

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, February 16, 2016

Kesabaran Allah Ta'ala

Selasa, 7 Jamadilawal 1437H: Dari 'Abdullah bin Qais r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda :

"Tidak ada yang lebih sabar mendengar ejekan, selain Allah Ta'ala. Orang-orang kafir mengatakanNya berbilang (banyak atau bersekutu), atau mereka mengangkat anak bagiNya. Namun begitu Allah Ta'ala tetap memberi mereka rezeki, memaafkan mereka, dan memberikan apa yang mereka minta."

Hadis Sahih Muslim

Monday, February 15, 2016

Dituliskan Dalam Rahim Ibu

Isnin, 6 Jamadilawal 1437H: Diceritakan oleh Anas bin Malik, bahawa Rasulullah saw. bersabda: Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla telah menugaskan pada rahim wanita, seorang malaikat. 

Dia berkata, "Ya, Tuhan. Ini nuthfah (air mani). 
Ya, Tuhan. Ini 'alaqah (segumpal darah). 
Ya, Tuhan, Ini mudhgah (segumpal daging)." 

Apabila Allah ingin hendak menyempurnakan kejadian itu sempurnalah dia. Malaikat itu bertanya kepada Tuhan',
Laki-laki atau perempuan? 
Malang atau bahagia? '
Apakah rezekinya dan berapa umurnya?" 

Lalu semuanya itu dituliskan dalam rahim ibunya.

Hadis Sahih Bukhari

Friday, February 12, 2016

Amal Kebajikan Mukmin Dan Kafir

Jumaat, 3 Jamadilawal 1437H: Dari Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia, dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. 

Adapun orang-orang mukmin, maka pahala kebajikannya disimpan Allah Ta'ala untuknya di akhirat serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, February 11, 2016

Makanan Dan Rezeki Yang Baik

Khamis, 2 Jamadilawal 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya "Rasulullah saw. bersabda : 

"Hai, manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik pula. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul.

Firman-Nya: "Wahai, para Rasul! Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al Mukminun : 51)

"Wahai, orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu.. " (Al Baqarah : 172)

Kemudian Nabi saw. menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya. Sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu.

Orang itu menadahkan tangannya ke langit seraya mendoa: "Wahai, Tuhan ku! Wahai, Tuhanku!"

Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram, dan dia diasuh dengan makanan yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?"

Hadis Sahih Muslim