Wednesday, August 30, 2017

Wukuf Di Arafah

Rabu, 8 Zulhijjah 1438H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Orang-orang Quraisy dan orang-orang yang seagama dengan mereka, dahulu mereka wukuf di Muzdalifah dan mereka dinamakan "Al Hums" (pemberani).

Tetapi orang-orang Arab lainnya wukuf di Arafah. Ketika Islam datang Allah 'Azza wa Jalla memerintahkan kepada Nabi-Nya supaya datang ke Arafah dan wukuf di sana. Setelah itu berangkat dari sana bersama-sama. 

Itulah yang dimaksud dengan firman Allah swt.: "Kemudian berangkatlah kamu semua dari tempat berangkatnya orang ramai."(Al Baqarah : 199)

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, August 29, 2017

Tiada Solat Sunat

Selasa, 7 Zulhijjah 1438H: Usamah bin Zaid r.a. menceritakan, "Pada suatu ketika Rasulullah saw. Berangkat dari Arafah untuk melakukan suatu perjalanan. 

Ketika beliau sampai di sebuah jalan pada suatu bukit, beliau turun dan buang air kecil di situ. Kemudian beliau berwuduk dengan sederhana saja. 

Saya bertanya kepada beliau, "Apakah kita akan solat, ya, Rasulullah ?" 

Jawab Nabi, "Nanti, di tempat perhentian di muka." 

Rasulullah menaiki kenderaannya kembali. Setelah sampai di Muzdalifah, beliau turun pula, dan berwuduk dengan sempurna. Kemudian orang qamat untuk solat Maghrib. 

Tiap-tiap orang menyuruh untanya berlutut (berehat) di perhentian itu. (Tidak lama sesudah itu) orang qamat pula untuk solat Isyak dan langsung melakukan solat.

Antara keduanya (Maghrib dan Isyak) Nabi tidak solat (sunat)."

Hadis Sahih Bukhari & Muslim

Monday, August 28, 2017

Talbiyah & Takbir

Isnin, 6 Zulhijjah 1438H: Dari Muhammad bin Abu Bakar Ats Tsaqari r.a., bahawasanya dia bertanya kepada Anas bin Malik ketika pada suatu pagi keduanya berangkat dari Mina ke Arafah,

"Apakah yang engkau kerjakan hari ini beserta Rasulullah saw"?"

Kata Anas, "Di antara kami ada yang membaca Talbiyah, beliau tidak melarangnya, dan ada pula yang mengucapkan takbir, pun beliau tidak melarangnya."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, August 25, 2017

Dilarang Ambil Upah Dari Haiwan Korban

Jumaat, 3 Zulhijjah 1438H: Dari 'Ali r.a., katanya: "Aku disuruh Rasulullah saw. mengurus penyembelihan haiwan kurban, menyedekahkan daging dan kulitnya, dan mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. 
 
Tetapi dilarang beliau mengambilkan upah untuk tukang potong dari haiwan korban itu. Kata 'Ali, untuk upahnya kamu ambilkan dari wang kami sendiri."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, August 24, 2017

Daging Korban

Khamis, 2 Zulhijjah 1438H: Dari Ali r.a., katanya: "Sesungguhnya Nabi saw. memerintahkan kepadanya supaya berdiri ketika menyembelih unta korbannya, lalu keseluruhan korban itu supaya dibahagi-bahagikan dagingnya, kulitnya dan pelananya dan tidak sepotong jua pun yang diberikan kepada tukang potong."

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, August 23, 2017

Jangan Cukur Rambut & Potong Kuku

Rabu, 1 Zulhijjah 1438H: Dari Ummu Salamah r.a. katanya Nabi saw. bersabda:

"Apabila kamu melihat bulan Zulhijjah telah terbit, dan kamu bermaksud menyembelih korban, maka janganlah kamu mencukur rambut dan jangan memotong kuku (hingga selesai menyembelih)."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, August 22, 2017

Tujuh Bahagian Kurban

Selasa, 29 Zulkaedah 1438H: Dari Abu Zubair dari Jabir bin 'Abdullah r.a., katanya:

"Kami pernah menyembelih korban bersama-sama Rasulullah saw. di tahun perjanjian Hudaibiyah, untuk korban seekor unta atau korban seekor sapi, kami bersekutu tujuh orang."

Hadis Sahih Muslim

Monday, August 21, 2017

Tidak Sah Korbannya

Isnin, 28 Zulkaedah 1438H: Dari Al Barra' bin 'Azib r.a.: "Rasulullah saw. berkhutbah kepada kami di hari raya korban (idul adha) sesudah solat hari raya." 
Sabda beliau: "Siapa yang solat seperti solat kita ini, dan berkorban seperti kita berkorban, nescaya betullah korbannya itu. Dan siapa yang menyembelih korban sebelum solat, maka tidak sah korbannya itu."
Abu Burdah bin Niaz, pakcik Al Barra' berkata: "Ya, Rasulullah! Ku sembelih kambing ku sebelum solat, dan aku tahu hari ini adalah hari raya makan minum. Dan aku lebih suka kambing ku menjadi haiwan sembelihan pertama di rumah ku. Sebab itu ku sembelih kambing ku, dan aku makan terlebih dahulu sebelum pergi solat." 
Jawab Nabi, "Kambingmu itu kambing daging (untuk dimakan)." 
Kata Abu Burdah, "Ya, Rasulullah! Kami masih mempunyai kambing-kambing kecil, dan ada seekor kambing muda yang lebih berharga bagi ku daripada dua ekor kambing besar. Cukupkah itu untuk korban ku?" 
Jawab Nabi, "Ya, cukup! Tetapi tidak cukup lagi bagi orang lain sesudahmu." 
Hadis Sahih Bukhari

Friday, August 18, 2017

Menyembelih Korban

Jumaat, 25 Zulkaedah 1438H: Dari Jundab r.a. bahawa dia menyaksikan Nabi saw. di hari raya Haji, beliau solat dan sesudah itu berkhutbah, mengucapkan:

"Siapa yang telah menyembelih korban sebelum solat Hari Raya, hendaklah disembelihnya seekor lagi sebagai gantinya.

Dan siapa yang belum menyembelih korban, hendaklah disembelihnya dengan nama Allah."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, August 11, 2017

Mencukur Rambut

Jumaat; 18 Zulkaedah 1438H: Dari Yahya bin Bushain r.a., dari neneknya, bahawasanya dia mendengar Nabi saw. ketika haji wada', mendoakan orang-orang yang mencukur rambut tiga kali, sedangkan orang yang menggunting rambut satu kali."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, August 10, 2017

Haji & Umrah

Khamis, 17 Zulkaedah 1438H: Dari Ya'la bin Umayyah, dari bapanya r.a., katanya: "Seorang lelaki mendatangi Rasulullah saw. di Ja'ranah, ketika beliau sedang umrah. Janggut dan rambut lelaki itu dicatnya kuning (pakai pacar) dan dia memakai jubah. 

Lalu dia bertanya kepada Rasulullah saw., "Bolehkah aku umrah dalam keadaan dan pakaianku seperti sekarang?" 

Jawab Rasulullah saw., "Tanggalkan jubahmu, cuci cat janggut dan rambutmu. Lalu apa yang diperbuat dalam haji lakukan pula dalam umrah."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, August 9, 2017

Saai Antara Safa & Marwa

Rabu, 16 Zulkaedah 1438H: Dari 'Urwah bin Zubair r.a., katanya dia berujar kepada 'Aisyah r.a., isteri Rasulullah saw.,

"Aku berpendapat, tidaklah membatalkan jika seseorang tidak saai antara Safa dan Marwa. Dan aku sendiri tidak peduli untuk tidak saai antara keduanya."

Jawab 'Aisyah r.a., "Pendirianmu itu salah, hai anak saudara perempuanku! Rasulullah saw. dan kaum muslimin semuanya saai antara Shafa dan Marwa. Dan yang demikian itu adalah sunnah."

Dahulu, para penyembah berhala Manat yang berada di Mutsailal, mereka memang tidak saai antara Safa dan Marwa. Maka ketika Islam datang, hal itu kami tanyakan pada Nabi saw. Lalu Allah 'Azza wa Jalla menurunkan ayat :

"Sesungguhnya Safa dan Marwah termasuk lambang-lambang kebesaran agama Allah. Maka siapa yang haji ke Bait, atau umrah tidaklah berdosa mereka saai antara keduanya. (Al Baqarah : 158)

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, August 8, 2017

Tinggalkan Ahli Warismu Dalam Keadaan Kaya

Selasa, 15 Zulkaedah 1438H; Dari 'Amir bin Sa'ad r.a., dari bapanya, katanya: "Rasulullah saw. mengunjungi ku ketika Haji Wada', kerana aku sakit keras hampir meninggal.

Lalu aku berkata kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Sebagaimana Anda lihat sendiri, kini aku sedang terbaring sakit keras. Sedangkan aku mempunyai harta, tetapi tidak ada yang akan mewarisinya selain hanya seorang anak perempuan ku. Bolehkah ku sedekahkan dua pertiga dari harta ku itu?"

Jawab Rasulullah saw., "Jangan!"

Tanya ku, "Bagaimana kalau ku sedekahkan seperduanya, bolehkah itu?"

Jawab beliau, "Tidak!"

"Sepertiga?" 
 
"Sepertiga pun terlalu banyak. Sesungguhnya, adalah lebih baik engkau tinggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya, daripada mereka engkau tinggalkan dalam keadaan miskin, menadahkan tangan mereka meminta-minta kepada orang banyak. Dan apa yang engkau nafkahkan kerana Allah, maka engkau diberi pahala kerananya, hingga sesuap nasi sekalipun yang engkau berikan untuk makan isteri mu."

Tanya ku, "Aku masih tertinggal di Mekah setelah kawan-kawan ku kembali ke Madinah, bagaimana itu?"

Jawab beliau, "Sesungguhnya engkau tidak tertinggal. Setiap amal yang engkau lakukan kerana Allah, selalu mengangkat darjatmu ke tingkat yang lebih mulia. Mudah-mudahan engkau panjang umur, sehingga bermanfaat bagi kaum muslimin, dan mencelakakan bagi kaum kafir."

Wahai Allah! Lanjutkanlah hijrah sahabat-sahabat ku, dan janganlah engkau biarkan mereka mundur kembali."
 
 Tetapi sayang bagi Sa'ad bin Khaulah, dia wafat di Mekah, dan Rasulullah saw. menangisinya."

Hadis Sahih Muslim

Monday, August 7, 2017

Tempat Memulai Ihram

Isnin, 14 Zulkaedah 1438H: Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Nabi saw. telah menentukan batas, tempat orang memulai ihram. Untuk orang yang datang dari Madinah, ialah Dzul Hulaifah. 

Untuk orang yang datang dari Syam, ialah Juhfah, 

Untuk orang yang datang dari Nejd, Qarn Manazil 

Dan untuk orang yang datang dari Yaman, ialah Yalamlam. 

Semua tempat-tempat itu ialah tempat Ihram untuk orang-orang negeri tersebut dan orang-orang lain yang bermaksud (mengerjakan) haji melalui negeri-negeri itu. 

Selain dari orang-orang yang telah disebutkan itu, maka mulai ihramnya ialah dari mana ia muncul, seperti orang Mekah ialah dari Mekah."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, August 4, 2017

Antara Isi Khutbah Haji Wada

Jumaat, 11 Zulkaedah 1438H: Dari Yahya bin Hushain r.a., katanya: "Aku mendengar nenekku mengkhabarkan bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda dalam khutbah beliau ketika Haji Wada',

"Sekali pun pegawai yang diangkat dalam pemerintahanmu seorang hamba sahaya tetapi dia memerintah (memimpin) dengan Kitabullah, hendaklah kamu patuh dan setia kepadanya."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, August 3, 2017

Amal Yang Paling Utama

Khamis, 10 Zulkaedah 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya seseorang bertanya kepada Rasulullah saw.: "Amal yang bagaimanakah yang paling utama?"

Jawab Nabi saw., "Iman dengan Allah."

Tanyanya pula, "Kemudian apa?"

Jawab Rasulullah saw., "Jihad fi-Sabilillah."

Tanyanya pula, "Kemudian apa lagi?"

Jawab Rasulullah saw., "Haji yang mabrur."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, August 2, 2017

Solat Qasar Ketika Haji & Umrah

Rabu, 9 Zulkaedah 1438H: Dari Anas r.a., katanya : Nabi saw. pernah solat Zohor di Madinah empat rakaat dan solat Asar di Dzulhulaifah dua rakaat (qasar). Dan aku mendengar mereka (mengucapkan talbiyah) dengan suara keras, pada haji dan umrah."

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, August 1, 2017

Balasan Haji Yang Mabrur

Selasa, 8 Zulkaedah 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: 
 
"(Pahala) satu kali Umrah sampai Umrah (berikutnya, dapat) menghapus dosa yang terjadi antara keduanya. Dan Haji yang mabrur (diterima Allah) tiada balasannya melainkan syurga." 
 
Hadis Sahih Bukhari