Thursday, July 24, 2014

Malam 27 Ramadhan

Khamis, 26 Ramadhan 1435H: Ibnu Abi Umar ceritakan kepada kami, Sufyan menceritakan kepada kami dari Allah bin Abi Lubabah dan Ashim yang mendengar Zirr bin Hubaisy berkata: 

"Barang siapa melakukan ibadah sesaat setiap malam selama satu tahun, tentu dia memperoleh Lailatul-Qadar, Ubai berkata: "Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa Abu Abdur Rahman sesungguhnya dia telah mengetahui bahawa Lailatul-Qadar adalah pada sepuluh akhir dari bulan Ramadhan dan sesungguhnya Lailatul-Qadar adalah malam dua puluh tujuh bulan Ramadhan tetapi dia menghendaki agar manusia tidak berpegang kepada perkiraan itu kemudian Ubai bersumpah yang pasti bahawa Lailatul-Qadar adalah. malam dua puluh tujuh bulan Ramadhan".

Ziir berkata kepada Ubai: "Dengan dasar apa kamu berkata demikian hai Abal-Mundair?"

Dia berkata: "Dengan dasar tanda yang diberitahukan Rasulullah SAW kepada kita iaitu bahawa matahari pada waktu itu terbit tanpa ada cahaya". Hadis ini adalah hadis Hasan Sahih.

Hadis Sunan At-Termizi.

Wednesday, July 23, 2014

Bilakah Lailatul Qadar ?

Rabu, 25 Ramadhan 1435H: Harun bin Ishaq Al-Hamdani menceritakan kepada kami, 'Abdah bin Sulaiman memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Hisyam bin 'Urwah dari ayahnya dari 'Aisyah di mana ia berkata: "Rasulullah s.a.w. biasa beri'tikaf pada sepuluh terakhir dalam bulan Ramadan, dan bersabda: 

"Bersungguh-sungguhlah kamu (untuk mendapatkan) Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadan."

Masalah yang sama diriwayatkan pula dari 'Umar, Ubayy bin Ka'b, Jabir bin Samurah, Jabir bin 'Abdullah, Ibnu 'Umar, Al-Falatan bin 'Ashim, Anas, Abu Sa'id, 'Abdullah bin Unais, Abu Bakrah, Ibnu 'Abbas, Bilal dan 'Ubadah dan Ash-Shamit. Abu 'Isa berkata: "Hadis 'Aisyah itu adalah hadis hasan sahih; sedangkan kata yujaawiru ertinya adalah beri'tikaf. Banyak riwayat dari Nabi s.a.w. bahawasanya baginda bersabda: 

"Carilah Lalatul Qadar itu pada sepuluh terakhir pada setiap yang ganjil." Diriwayatkan dari Nabi s.a.w. tentang Lailatul Qadar iaitu bahawasanya Lailatul Qadar itu adalah pada malam 21, 24, 25, 27, 29 dan malam terakhir dari bulan Ramadan." 

Asy-Syafi'i berkata: "Itu hanyalah pendapat saya. Dan Allah Maha Mengetahui; di mana Nabi s.a.w. menjawab suatu pertanyaan sewaktu ditanya tentang Lailatul Qadar. Dikatakan kepada baginda bahawa kami mencarinya pada malam ini, kemudian baginda bersabda:

"Carilah Laiatul Qadar itu pada malam ini." Asy-Syafi'i berkata: "Riwayat yang paling kuat menurut pendapat saya ialah bahawa Lailatul Qadar itu jatuh pada malam tanggal 21." 

Abu 'Isa berkata: "Diriwayatkan dari Ubbay bin Ka'b bahawasanya ia bersumpah bahawa Lailatul Qadar itu berada pada malam 27 di man ia berkata: "Rasulullah s.a.w. memberitahukan kepada kami dengan tanda-tanda malam itu kemudian kami menyebut-nyebut dan menghafalnya." 

Diriwayatkan dari Abu Qilabah bahawasanya ia berkata: "Lailatul Qadar itu berkisar pada sepuluh terakhir." 'Abd bin Humaid memberitahukan yang demikian kepada kami, 'Abdur Razzaq memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ma'mar dari Ayyub dari ABu Qilabah dengan maksud seperti itu."

Hadis Sunan At-Termizi

Tuesday, July 22, 2014

Iktikaf Duapuluh Hari Di Bulan Ramadhan

Selasa, 24 Ramadhan 1435H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: 

"Biasanya Nabi saw. iktikaf pada tiap-tiap bulan Ramadhan sepuluh hari. Tetapi pada tahun di mana beliau wafat, beliau iktikaf dua puluh hari."

Hadis Sahih Bukhari.

Monday, July 21, 2014

Iktikaf Sepuluh Terakhir Ramadhan

Isnin, 23 Ramadhan 1435H: Diceritakan oleh Abu Salamah r.a., katanya: "Aku datang bertanya kepada Abu Sa'id Al Khudri, tanyaku: "Tidakkah lebih baik kita pergi ke Nakhl supaya kita dapat bercakap-cakap di sana?" 

Lalu kami pergi ke sana. Aku berkata kepadanya, "Ceritakanlah kepada ku, apa yang telah tuan dengar dari Nabi saw. tentang Malam Qadar" 

Katanya, "Rasulullah sedang iktikaf sepuluh hari pertama bulan Ramadhan. Kami pun iktikaf pula bersama-sama dengan beliau. Maka datanglah malaikat Jibril mengatakan, "Yang tuan inginkan itu (malam qadar) belum datang." 

 Nabi saw. meneruskan lagi iktikaf beliau pada sepuluh hari pertengahan bulan. Kami pun iktikaf pula bersama-sama dengan beliau. Lalu datang pula malaikat Jibril mengatakan: "Yang tuan inginkan belum datang. 

"Keesokan pagi dari malam kedua puluh bulan Ramadhan, Nabi saw. berpidato. Sabda beliau: "Barangsiapa iktikaf bersama-sama dengan ku, hendaklah diteruskannya, kerana kepada ku telah diperlihatkan Malam Qadar itu, tetapi aku lupa tanggalnya. Malam qadar itu ialah dalam sepuluh yang akhir (Ramadhan) di bilangan ganjil. Saya bermimpi seolah-olah saya sujud di tanah basah." Atap masjid terbuat dari pelepah kurma. Di langit, kami tidak melihat awan sedikit pun. 

Tetapi tidak lama kemudian, datanglah awan gelap dan hujan pun turun dengan lebatnya. Kami solat bersama-sama dengan Nabi saw. dan kami melihat tanah dan air melekat di kening dan di puncak hidung Nabi, sesuai benar dengan mimpi beliau. "

Hadis Sahih Bukhari.

Friday, July 18, 2014

Malam Lailatul Qadar

Jumaat, 20 Ramadhan 1435H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya
"Rasulullah saw. i'tikaf pada sepuluh awal bulan Ramadhan, kemudian dilanjutkannya pada sepuluh pertengahan, dalam sebuah kubah kecil yang pintunya ditutup dengan tikar. Lalu beliau ambil tikar itu dan diletakkannya di sudut gobah. Kemudian diulurkannya kepalanya seraya berujar memanggil orang banyak. 

Maka mendekatlah mereka kepada beliau, lalu beliau bersabda: "Aku telah i'tikaf sejak sepuluh awal bulan untuk mendapatkan Malam qadar, kemudian sepuluh yang pertengahan. Kemudian dikatakan kepada ku bahawa malam qadar itu terdapat pada sepuluh yang akhir. 

Maka siapa yang suka i'tikaf, silakan!"

Lalu orang banyak i'tikaf bersama-sama dengan beliau. Sabda beliau pula, "Aku bermimpi melihat malam qadar di malam yang ganjil, di mana pagi-pagi aku sujud di tanah basah. Memang, pagi-pagi malam kedua puluh satu beliau solat Subuh sedangkan hari hujan sehingga masjid tergenang air. Aku melihat tanah dan air. 

Setelah selesai solat Subuh, Nabi saw. keluar sedangkan di kening dan di hidungnya ada tanah basah. Malam itu ialah malam kedua puluh satu dari sepuluh yang akhir bulan Ramadhan." 

(Hadis Sahih Muslim )

Thursday, July 17, 2014

Perumpamaan Membaca Al Quran

Khamis, 19 Ramadhan 1435H: Dari Abu Musa Al Asy'ari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Perumpamaan orang mukmin yang membaca Quran ialah seperti jeruk manis. Baunya harum dan rasanya manis. 

Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Quran, ialah seperti kurma, tidak berbau tetapi rasanya manis. 

Dan perumpamaan orang munafik yang membaca Quran, ialah seperti kemangi, baunya harum tetapi rasanya pahit. 

Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Quran, ialah seperti peria, tidak berbau dan rasanya pahit."

Hadis Sahih Muslim

Monday, July 14, 2014

Pahala Memberi Buka Orang Yang Berpuasa

Isnin, 16 Ramadhan 1435H: Hannad menceritakan kepada kami, 'Abdur Rahim bin Sulaiman memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari 'Abdul Malik bin Abu Sulaiman dari 'Atha' dari Zaid bin Khalid Al-Jahanni di mana ia berkata: 

"Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang memberi buka orang yang berpuasa maka ia mendapatkan pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tanpa kurang sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu." Abu 'Isa berkata: "

Hadis ini adalah hadis hasan sahih."

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 2. Hadis Nombor 0804.

Friday, July 11, 2014

Puasa Ketika Bermusafir

Jumaat, 13 Ramadhan 1435H: Dari Hisyam bin 'Urwah dari ayahnya dari Aisyah: Sesungguhnya Hamzah pernah berkata pada Rasulullah saw: 

"Wahai Rasulullah, aku dapat meneruskan puasaku dalam perjalananku", dia adalah seorang yang suka berpuasa. 

Maka sabda Nabi: "Jika kamu ingin meneruskan puasamu, maka teruskanlah, tetapi jika kamu ingin membatalkan puasamu, maka batalkanlah".

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2267.

Thursday, July 10, 2014

Memasukkan Air Ke Dalam Hidung

Khamis, 12 Ramadhan 1435H: 'Abdul Wahhab Al-Warraq dan Abu 'Ammar menceritakan kepada kami di mana keduanya berkata: "Yahya bin Sulaim memberitahukan kepada kami di mana ia berkata: "Isma'l bin Katsir menceritakan kepada saya di mana ia berkata: 

"Saya mendengar 'Ashim bin Laqith bin Shabirah (yang berasal) dari ayahnya di mana ayahnya berkata: "Saya bertanya: "Wahai Rasulullah, beritahukan kepada saya tentang wuduk." 

Baginda bersabda: "Sempurnakanlah wuduk itu, sela-selalah di antara jari-jari, bersungguh-sungguhlah memasukkan air ke dalam hidung kecuali jika kamu berpuasa." 

Abu 'Isa berkata: "Hadis ini adalah hadis hasan sahih. Para ulama' melarang memasukkan air ke dalam hidung bagi orang yang sedang berpuasa, dan mereka berpendapat hal itu membatalkan puasa; dan di dalam hadis mengandungi pengertian yang menguatkan pendapat mereka itu.

Hadis Sunan At-Termizi.

Wednesday, July 9, 2014

Teruskan Berpuasa

Rabu, 11 Ramadhan 1435H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: 

"Apabila seseorang lupa, lalu ia makan dan minum, maka hendaklah ia meneruskan puasanya. Sesungguhnya Allah yang telah memberinya makan dan minum."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0958.

Tuesday, July 8, 2014

Kelebihan Berpuasa

Selasa, 10 Ramadhan 1435H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : 
"Allah 'Azza wa Jalla berfirman: "Setiap amal anak Adam teruntuk baginya kecuali puasa; puasa itu adalah untukku dan aku akan memberinya pahala. 

Puasa itu ialah perisai. Apabila kamu puasa janganlah kamu rosak puasamu itu dengan sanggama, dan jangan menghina orang. Apabila kamu yang dihina atau dipukul orang, maka katakanlah: "Aku puasa." 

Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang puasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada bau kasturi. 

Dan bagi orang puasa ada dua kegembiraan. Apabila dia berbuka dia gembira dengan bukaannya dan apabila dia menemui Tuhannya (meninggal) dia gembira dengan puasanya.

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1117.

Monday, July 7, 2014

Penaklukan Kota Mekah Di Bulan Ramadhan

Isnin, 9 Ramadhan 1435H: Dari Thawus dari Ibnu Abbas katanya: "Disuatu bulan Ramadhan, Rasulullah saw pernah keluar untuk menaklukkan kota Mekah. Ketika rombongan tiba di 'Usfan di siang hari, maka beliau minta diambilkan minuman. Kemudian beliau segera meminumnya secara terang-terangan agar diketahui oleh sahabat-sahabatnya. 

Beliau menaklukkan kota Mekah tepat di bulan Ramadhan. Pada mulanya Rasulullah saw tetap berpuasa, kemudian beliau membatalkan puasanya. 

Karena itu beliau tidak melarang seorang yang membatalkan puasanya dan tidak pula melarang seorang yang meneruskan puasanya."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2275.

Friday, July 4, 2014

Sunnah Segera Berbuka Dan Mengakhirkan Sahur

Jumaat, 6 Ramadhan 1435H: Dari Abi Athiyah katanya; "Aku pernah berkata kepada Aisyah: "Kami mempunyai dua teman dari sahabat Rasulullah saw. Yang satu, suka menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan sahur. Sedang yang lain suka mengakhirkan berbuka puasa dan menyegerakan sahur, bagaimanakah pendapatmu?"

Tanya Aisyah: "Siapa diantara keduanya yang suka menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan sahur?"

Jawabku: "Dia adalah Abdullah bin Mas'ud".

Kata Aisyah: "Yang dikerjakan Abdullah bin Mas'ud itulah yang sesuai dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw."


Hadis Sunan An-Nasai

Thursday, July 3, 2014

Sahur Dan Solat Subuh

Khamis, 5 Ramadhan 1435H: Berita dari Anas bin Malik mengatakan bahawa Nabi saw. dan Zaid bin Tsabit keduanya makan sahur bersama-sama. Tatkala keduanya telah selesai sahur, Nabi saw. berdiri hendak pergi solat, maka solatlah beliau. 

"Aku bertanya kepada Anas," kata Tsabit, "Berapa lamanya antara keduanya selesai makan sahur dan mulai solat?" 

Jawab Anas, "Kira-kira selama orang membaca lima puluh ayat."

Hadis Sahih Bukhari .

Wednesday, July 2, 2014

Puasa Kerana Iman & Ikhlas

Rabu, 4 Ramadhan 1435H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Siapa yang puasa di bulan Ramadhan kerana iman dan ikhlas diampuni Allah dosanya yang telah lalu"

Hadis Sahih Bukhari.