Friday, July 29, 2011

Perbezaan Puasa Umat Islam Dengan Ahli Kitab (Yahudi & Nasrani)

Jumaat, 27 Syaaban 1432H:Daripada Amru bin al-Aas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Perbezaan diantara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadis.

1. Manusia sejak dari zaman dahulu kala lagi telah mengenali amalan puasa. Mereka berpuasa bukan sahaja didorong oleh agama tetapi juga kerana beberapa tujuan tertentu.

2. Ibadat puasa yang telah diwajibkan ke atas umat Islam juga telah dilakukan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani, cuma terdapat beberapa perbezaan :

i. Orang-orang Islam menyegerakan berbuka puasa sedangkan orang Yahudi dan Nasrani melambat-lambatkannya. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Agama akan sentiasa tampak syi'arnya dengan nyata selama orang Islam berbuka puasa dengan segera (tepat pada waktunya), sebab orang-orang Yahudi dan Nasrani melambatkannya.
ii. Disunatkan bagi orang Islam yang berpuasa makan sahur sebelum masuknya waktu subuh kerana dengan makan sahur boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailulah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum Zohor) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail.

3. Umat Islam hendaklah berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan tidak mengerjakannya kerana menganggap bahawa ia adalah suatu tradisi (ikut-ikutan). Bahkan apa sahaja ibadat yang dilakukan perlu dilakukan dengan ketaatan dan kesedaran tentang kewajipan untuk mengerjakannya.

Thursday, July 28, 2011

Puasa Orang Yang Musafir

Khamis, 26 Syaaban 1432H : Dari Hamzah bin Umar al-Islami, r.a. bahawa ia pernah bertanya Rasulullah, katanya: “Ya Rasulullah, rasanya saya tahan berpuasa dalam masa musafir, oleh itu adakah saya bersalah (kalau saya berpuasa)?”. Rasulullah SAW menjawab: “Itu adalah satu rukhsah kemudahan) dari Allah Ta’ala, sesiapa yang menggunakan kemudahan itu (ia tidak berpuasa dalam masa musafir), maka itu adalah baik, dan sesiapa yang memilih untuk berpuasa maka orang itu tidak dikira bersalah.” (HR Muslim)

Penerangan Hadis:

1. Orang yang sedang musafir dalam bulan Ramadhan, dibenarkan meneruskan puasa dan yang tidak tahan berpuasa mereka diharuskan berbuka tetapi diwajibkan mengqadha’nya pada masa yang lain.

2. Islam adalah agama yang mementingkan kebajikan penganutnya. Ia memberi kemudahan (rukhsah) kepada sesiapa yang sedang sakit atau di dalam perjalanan (musafir), tidak berkemampuan dan sebagainya. Sama sekali tidak terdapat paksaan hingga mendatangkan kemudaratan. Malahan ia menjadi wajib berbuka sekiranya mendatangkan mudarat. Kalau ia berpuasa juga "sah" tapi berdosa.

3. Islam mengajar umatnya agar mengerjakan suruhan Allah dengan penuh keikhlasan, keyakinan dan ketaatan bahawa setiap segala perintah Allah itu mengandungi kebaikan dan hikmah yang tersendiri sama ada yang diketahui atau tidak oleh manusia.

4. Bermusafir itu mestilah untuk tujuan yang baik dan bukan tujuan maksiat. Jauhnya bermusafir itu yang membolehkan kita mengerjakan solat jamak.

Wednesday, July 27, 2011

Fadhilat Berpuasa Ramadhan

Rabu, 25 Syaaban 1432H ;Rasulullah s.a.w. bersabda: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla Berfirman: “Melainkan puasa, kerana ianya untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu”. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Misk. (minyak wangi kasturi). (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Antara keistimewaan puasa ramadhan ialah Allah akan menggandakan pahala bagi orang-orang yang berpuasa melebihi dari amalan-amalan lain sehingga Allah sendiri yang akan menentukan kadar pahala itu di akhirat.

2. Puasa adalah merupakan ibadat yang paling hampir dengan Allah iaitu bagi mereka yang mengikhlaskan diri kepada Allah. Ini kerana puasa merupakan rahsia antara hamba dan Tuhannya.

3. Dua kegembiraan yang dikurniakan oleh Allah kepada hambanya yang berpuasa;

i) Gembira ketika berbuka puasa dengan hidangan yang lazat apatah lagi semasa perut sedang lapar dan dahaga.

ii) Gembira kerana akan dapat menemui dan melihat Allah di dalam syurga kelak. Dan inilah nikmat yang agung yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang beriman.

Tuesday, July 26, 2011

Fadhilat Memberi Makan Kepada Orang Yang Berpuasa

Selasa, 24 Syaaban 1432H ;Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun”. (HR At-Tirmidzi)

Pengajaran Hadis:

1. Umat Islam yang berpuasa Ramadhan digalakkan melakukan amal soleh sebanyak mungkin seperti bersedekah, menolong orang yang susah, memberi atau menjamu makanan bagi orang yang berpuasa dan sebagainya kerana sedekah yang paling afdhal ialah bersedekah di bulan yang mulia iaitu di bulan Ramadhan.

2. Islam merupakan agama yang sangat menitikberatkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. Oleh itu segala perkara yang dapat melahirkan persefahaman, kasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain amat dituntut oleh Islam.

Monday, July 25, 2011

Fadhilat Menyegerakan Berbuka Puasa

Isnin, 23 Syaaban 1432H : Daripada Sahal bin Said r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya akan mendapat kebaikan yang berterusan”.(HR al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Orang yang berpuasa disunatkan segera berbuka setelah diyakini masuknya waktu Margrib, sebaliknya makruh hukumnya jika sengaja dilewat-lewatkan tanpa sebarang sebab yang munasabah.

2. Antara hikmah disunatkan agar segera berbuka puasa ialah supaya kita tidak tergesa-gesa dalam mengejar waktu solat di mana ia memberi kesempatan untuk kita rehat seketika sebelum mengerjakan solat Maghrib dan sebelum bergegas menunaikan solat Isyak dan Tarawikh pula selepasnya.

3. Agama Islam ialah agama yang mudah dan ia tidak membebankan umatnya dalam beribadat.Segera berbuka diberikan ganjaran pahala oleh Allah dan bukan sebaliknya.

Friday, July 22, 2011

Puasa Penyelamat Dari Api Neraka

Jumaat,20 Syaaban 1432H: Daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sahari dengan niat kerana Allah, melainkan akan Allah jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.” (HR al-Bukhari dan muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Setiap orang yang berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan-amalan yang ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan.

2. Amalan puasa yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh meskipun sedikit tetap ada ganjarannya dan dinilai oleh Allah SWT. Ia menjadi saham yang boleh membantu manusia tersebut di akhirat kelak.

3. Amalan yang banyak tetapi dengan niat bukan kerana Allah maka tiada nilainya disisi Allah di dunia mahupun diakhirat. Diakhirat Allah tidak memberinya sebarang balasan sebaliknya disuruh minta kepada siapa diniatkannya.

Thursday, July 21, 2011

Ar-Rayyan Pintu Syurga Orang Yang Berpuasa

Khamis, 19 Syaaban 1432H: Daripada Sahl bin Sa’ad berkata: Bersabda Nabi s.a.w. “Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang-orang yang berpuasa di hari qiamat. Tidak dapat masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya:”Dimanakah orang – orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa sahaja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa sahaja.” (HR Bukhari & Muslim)

Keterangan Hadis;

1. Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar. Oleh itu kedudukannya di sisi Allah S.W.T sangat mulia di mana Allah menyediakan pintu khas ke syurga kepada hambanya yang berpuasa yang dinamakan ar-Rayyan.

2. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang-orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke syurga melalui pintu ar-Rayyan yang dijaganya dan tidak ada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.

3. Kita hendaklah menjaga ibadat puasa semata-mata kerana Allah dan mematuhi segala adab-adab ketika berpuasa kerana Allah akan memberikan ganjaran pahala yang besar.

Wednesday, July 20, 2011

Mempercepatkan Berbuka Puasa

Rabu,18 Syaaban 1432H :Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Manusia tidak henti-hentinya mendapat kebaikan selama mereka mempercepatkan berbuka puasa.”(HR Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadis:

i) Menyegerakan berbuka adalah antara perkara yang disunatkan di dalam Islam kerana ia membezakan antara cara puasa oarang-orang Yahudi dan Nasrani yang sengaja melambat-lambatkan waktu berbuka.

ii) Agama Islam adalah agama fitrah sesuai dengan manusia dimana kita diperintahkan melambatkan bersahur dan bersegera berbuka bila sampai waktunya. Itulah cantiknya agama Islam yang tidak membebankan umatnya.

iii) Sunat berbuka puasa dengan tamar (kurma) sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Ini adalah kerana tamar mengandungi karbohidrat yang tinggi di samping mengandungi asid amino. Di antaranya ialah triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan.

vi) Antara hikmah disunatkan berbuka dengan buah tamar juga adalah kerana kandungan gula di dalam kurma adalah lebih mudah diserap oleh badan berbanding dengan makanan manis yang lain di mana badan akan segera kembali segar setelah seharian berpuasa. Sebaliknya jika seseorang itu berbuka puasa dengan memulakan pengambilan makanan yang berat tanpa memulakan makanan yang manis, maka gula yang diambil kemudiannya memerlukan waktu yang lebih lama iaitu antara 3-4 jam sebelum dapat diserap oleh usus.

v) Dari sudut perubatan puasa itu sendiri sebenarnya merupakan satu kaedah perubatan yang dapat mengubati gangguan usus selain boleh mengawal berat badan dan mengubati penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

vii) Setiap Muslim hendaklah memastikan bahawa makanan yang dimakan sewaktu berbuka adalah yang halal dan bersih bukan makanan yang haram atau syubhat selain berwaspada dengan kuantiti makanan yang diambil itu sendiri iaitu janganlah terlalu banyak sehingga menyebabkan badan terasa berat untuk mengerjakan ibadat seperti solat terawih dan sebagainya.

Tuesday, July 19, 2011

Puasa - Berbuka Yang Diharuskan

Selasa, 17 Syaaban 1432H: Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sesiapa yang berbuka puasa Ramadhan bukan kerana rukhsah (kelonggaran) yang dirukhsahkan oleh Allah, tidak dapat diqadha’kan dengan puasa setahun walaupun ia betul-betul (melakukan) puasa setahun itu.”(HR Abu Daud, Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

Pengajaran Hadis:

i) Ketentuan sakit untuk tidak berpuasa adalah sakit yang menyebabkan penderitaan atau menjadi semakin parah jika terus berpuasa, atau akan semakin lambat sembuhnya sesuatu penyakit. Di sisi syarak peranan ahli perubatan (doktor) adalah sangat penting dan diperlukan untuk menentukan apakah seseorang pesakit itu boleh berpuasa ataupun tidak.

ii) Kelonggaran yang biasa diharuskan untuk berbuka puasa itu ialah seperti kepada orang yang terlalu tua atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh, orang yang sedang bermusafir, wanita yang mengandung dan menyusukan anak yang ditakuti akan mendatangkan mudharat kepada diri atau pun anaknya dan beberapa jenis keadaan sakit yang lain. Manakala sakit yang ringan seperti sakit kepala dan sebagainya tidak diharuskan meninggalkan puasa. Walhal meninggalkan puasa walaupun sehari, dengan sengaja tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak merupakan satu dosa besar sebagaimana yang pernah tersebut di dalam hadis.

iii) Wanita yang haid dan wanita yang keluar darah nifas adalah golongan yang wajib berbuka puasa tetapi diwajibkan mengqada’kan semula puasanya di bulan yang lain.

iv) Orang yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan kerana terlupa, maka tidak wajib qadha dan tidak wajib kifarat kerana terdapat sebuah hadis rasulullah s.a.w menyebutkan yang maksudnya:” Apabila ia (orang yang berpuasa) lupa, kemudian ia makan dan minum, maka hendaklah ia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah-lah yang telah memberi makan dan minum kepadanya" ( Bukhari dan Muslim). "

v) Puasa tidak wajib hukumnya ke atas kanak-kanak yang belum baligh tetapi hendaklah dididik dan dibiasakan semenjak kecil untuk berpuasa.

Monday, July 18, 2011

Kewajiban Berpuasa Dibulan Ramadhan

Isnin,16 Syaaban 1432H:Daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; “Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan (hilal) dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bulan tersebut (tiga puluh hari)”.

Pengajaran Hadis.

1. Hadis diatas merupakan dalil kewajiban berpuasa dalam bulan Ramadhan. Puasa ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai daripada terbit fajar hingga tenggelam matahari.

2. Umat Islam adalah diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan apabila sahaja ternampaknya hilal iaitu anak bulan, dan disertai pula pengisytiharan bermulanya puasa oleh pihak yang berkuasa.

3. Asas penentuan bulan Ramadhan dan Syawal adalah berpandukan kepada anak bulan (hilal) yang disandarkan kepada dalil al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

4. Islam juga telah memberi garis panduan kepada umatnya untuk menentukan tarikh puasa dan juga hari raya dengan mengikut rukyah atau pun hisab.

5. Apabila kelihatan anak bulan Ramadhan maka diwajibkan berpuasa kepada umat Islam dan sekira tidak kelihatan anak bulan maka puasa diwajibkan mengikut rukyah atau hisab.

Friday, July 15, 2011

Banyak Cara Untuk Bersedekah

Jumaat, 15 Syaaban 1432H : Dari Abu Dzar r.a katanya:”Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau,:”Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka.” Jawab Rasulullah SAW:”Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah.” Mereka bertanya:”Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?” Jawab Rasulullah SAW “ Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala.” (HR al-Bukhari)

Pengajaran Hadis:

1. Sedekah adalah sesuatu yang dapat menambahkan pahala seseorang selain daripada amal ibadat atau kebajikan yang diwajibkan untuk dilakukan.

2. Sedekah yang paling mudah adalah dengan menggunakan anggota badan seperti senyum yang tidak memerlukan sebarang tenaga mahupun wang ringgit. Begitu juga dengan berzikir kepada Allah yang hanya perlu diucapkan dengan lidah atau hati. Malah setiap sesuatu yang dilakukan dengan niat kerana Allah adalah dianggap sebagai sedekah.

3. Orang yang memiliki banyak kelebihan sama ada berupa harta benda, kekayaan, ilmu dan sebagainya selayaknya menginfakkan nikmat Allah tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan. Dengan itu hubungan antara anggota masyarakat menjadi lebih kukuh tanpa timbul perasaan dengki dan iri hati antara satu sama lain.

4. Bersedekah adalah tanda bahawa seseorang itu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah. Sebaliknya orang yang bersifat kedekut adalah orang yang tamak. Sedangkan Allah SWT sahaja yang memiliki segala sesuatu dan Dia berhak merampas kembali nikmat tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu Islam mengatakan bahawa keberkatan rezeki itu adalah bergantung kepada cara bagaimana seseorang menyalurkan rezeki yang diperolehinya sama ada kepada kebaikan atau keburukan.

Thursday, July 14, 2011

Galakan Berpuasa Sunat

Khamis, 12 Syaaban 1432H : Dari Aisyah r.a :” Bersabda Rasulullah s.a.w kepadaku pada suatu hari:”Wahai Aisyah! Adakah di sisi kamu sesuatu pun (untuk dimakan )?” Aisyah berkata:” Wahai Rasulullah! Tidak ada sesuatu pun (untuk dimakan)” Baginda bersabda “(Jika begitu) maka aku berpuasa”(HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Latihan jiwa hasil daripada puasa akan menyebabkan manusia hampir kepada Allah dan lantaran ia dekat kepada Allah doanya mudah diperkenankan. Sebab itulah orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak berdoa.

2. Ibadat puasa bukan sahaja menggandakan pahala untuk orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spiritual melalui sifat ikhlas.

3. Amalan puasa adalah antara manusia dengan Allah SWT. Dengan ini puasa menanam sifat jujur dan ikhlas dalam diri sendiri dan kepada Allah.

4. Di samping puasa wajib kita juga dianjurkan berjinak-jinak dengan puasa sunat lebih-lebih lagi puasa di bulan Rejab dan Syaaban yang banyak sekali kelebihannya di samping dapat membantu meningkatkan kekuatan dan persediaan dalaman sebelum tibanya puasa wajib di bulan Ramadhan.

Wednesday, July 13, 2011

Puasa Yang Berkat

Rabu, 11 Syaaban 1432H:Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”(HR Ibnu Majah)

Pengajaran Hadis:

i) Setiap muslim harus memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah puasanya itu tidak menjadi suatu perbuatan yang sia-sia iaitu tiada nilai disisi Allah.

ii) Berpuasa mengikut perspektif Islam ialah menahan diri dari makan dan minum serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

iii) Selain itu puasa juga bermakna menahan diri daripada perkara-perkara berikut iaitu:

a) Menundukkan pandangan mata serta mengatasinya daripada tertuju kepada segala yang tercela.

b) Menjaga lidah daripada berkata-kata perkara yang sia-sia, dusta, fitnah, cacai maki dan menyinggung perasaan orang lain.

c) Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang ditegah agama di mana perkara yang haram diucap adalah juga haram didengar seperti mengumpat dan sebagainya.

d) Mencegah tangan, kaki dan perut serta semua anggota badan daripada melakukan atau mengambil perkara yang haram.

iv) Seorang muslim hanya akan terbentuk melalui ibadah puasa yang ditunaikan dengan penuh penghayatan di mana bagi mereka yang berpuasa sekadar untuk menunaikan kewajipan tanpa memahami apa sebenarnya yang dituntut oleh agama maka mereka tidak akan dapat merasai kemanisan nikmat puasa tersebut malah puasa itu dirasakan sebagai satu bebanan yang terpaksa ditanggung.

v) Oleh itu setiap daripada kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengingati-Nya dengan melakukan amalan-amalan baik di samping menjauhi segala sifat-sifat yang keji dan mungkar.

Tuesday, July 12, 2011

Berpuasa Kerana Allah

Selasa, 10 Syaaban 1432H: Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan kepada Allah, maka sesungguhnya telah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”(HR Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadis:

i) Puasa mencakupi pembatasan seluruh anggota tubuh bahkan hati dan pikiran daripada melakukan segala macam dosa. Imam Al Ghazali berkata, "Betapa banyak orang berpuasa yang sebenarnya berbuka, dan yang berbuka padahal berpuasa.” Yang berbuka tetapi sebenarnya berpuasa adalah yang makan dan minum, tetapi menjaga seluruh anggota tubuhnya dari perbuatan dosa. Dan yang berpuasa tetapi sebenarnya berbuka adalah yang lapar dan haus, tetapi tercemar anggota tubuhnya dengan perbuatan dosa.

ii) Sesungguhnya iman dan nafsu yang jahat tidak mungkin boleh bersama kerana mustahil orang yang kuat imannya disertai oleh nafsu yang liar. Begitu juga tidak akan berlaku orang yang bernafsu liar mendakwa imannya kuat. Maka bulan Ramadhan merupakan peluang bagi umat Islam menundukkan nafsunya kerana peningkatan iman tidak akan berlaku sekiranya nafsu gagal dijinakkan. Sedangkan seseorang itu hanya akan mencapai tahap jihad yang paling tinggi apabila terlebih dahulu berjaya mengekang dan menjinakkan nafsu dalam dirinya.

iii) ‘Dengan penuh keimanan’ sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis di atas bermaksud yakin dengan janji-janji Allah S.W.T dan melaksanakan perintah-perintah Allah dengan penuh keikhlasan iaitu mencari keredhaan daripada Allah semata-mata, bukan berpuasa sekadar ikut-ikutan dengan tujuan untuk berbangga-bangga (riya’), mendapatkan pujian atau habuan dunia.

Monday, July 11, 2011

Dilarang Berpuasa Pada Hari Syak (Diragukan)

Isnin, 9 Syaaban 1432H: Daripada Abu al-Yakzan iaitu Amar bin Yasir r.a. katanya: Sesiapa yang berpuasa pada hari yang diragukan apakah bulan syaaban sudah habis atau sudah bermulanya bulan ramadhan, sesungguhnya ia telah melanggar perintah Nabi s.a.w.” (HR Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Keterangan Hadis:

1.. Salah satu bentuk persiapan dalam menghadapi Ramadhan yang seharusnya dilakukan oleh kaum muslimin adalah menghitung bulan Syaaban, kerana satu bulan dalam hitungan Islam adalah 29 hari atau 30 hari sebagaimana yang dijelaskan Rasulullah SAW: "Satu bulan itu 29 malam. Maka jangan berpuasa sampai kalian melihatnya (anak bulan). Jika kalian terhalang (dari melihatnya), maka genapkanlah 30 hari." (al-Bukhari).

2. Puasa Ramadhan adalah puasa yang diwajibkan oleh Allah ke atas orang-orang mukmin dan ia merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang Lima.

3. Sesungguhnya setiap ibadat yang diwajibkan ke atas umat Islam mempunyai rukun dan syaratnya yang tertentu dengan tujuan melatih kita menjadi umat yang bersistem dan berperaturan, sesuai dengan matlamat Islam untuk menjamin kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat.

Friday, July 8, 2011

Dilarang Puasa Sunat Apabila Tinggal Separuh Bulan Syaaban

Jumaat,6 Syaaban 1432H : Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila tinggal separuh bulan Syaaban janganlah kamu semua berpuasa sunat.” (HR at-Tirmidzi)


Keterangan Hadis:

1. Islam adalah agama yang mudah dan tidak membebankan umatnya. Oleh itu ia tidak menggalakkan umatnya melakukan sesuatu yang mendatangkan mudarat pada diri atau menimbulkan rasa berat atau malas untuk menjalankan kewajipan yang diperintah.

2.Tidak digalakkan untuk berpuasa sunat, sama ada sunat hari Isnin atau Khamis dan lainnya selepas 15 Syaaban, kecuali puasa qadha’ dan orang yang sentiasa melakukan amalan puasa sunat yang bertepatan dengan hari berkenaan.

3. Hikmah larangan tersebut adalah untuk mengelak orang-orang yang tidak biasa melakukan puasa sunat daripada merasa terlalu letih apabila mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan yang muncul selepas bulan Syaaban itu.

Thursday, July 7, 2011

Amalan Sunat Bulan Syaban

Khamis,5 Syaaban 1432H; Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa baginda akan berpuasa seterusnya. Dan baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.”(HR al-Bukhari)

Pengajaran Hadis:

1. Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut akan berhijrah ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya. Pendapat lain pula mengatakan, sebab diertikan demikian adalah sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan.

2. Dari berbagai keterangan ini, yang dapat disimpulkan bagi pengertian bulan Syaaban itu ialah bulan Syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan.

3. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam celaan dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

4. Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :

i. Memperbanyakkan puasa sunat. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

ii. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW : "Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

iii. Bertaubat.

iv. Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.

Friday, July 1, 2011

Ganjaran Istimewa Dari Amal Kebaikan

Jumaat, 29 Rejab 1432H: Nabi s.a.w bersabda: "Tidak ada satu hari yang terbit mataharinya melainkan ada di kiri kanan matahari itu: dua Malaikat yang menyerukan seruan yang didengari oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: "Wahai sekalian manusia! Marilah kamu semua berusaha mengerjakan amal bakti kepada Tuhan kamu, kerana sesungguhnya pendapatan-pendapatan yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia adalah lebih baik daripada pendapatan-pendapatan yang banyak serta melalaikan bekalan akhirat; dan tidak masuk matahari melainkan ada di kiri kanannya dua Malaikat yang menyerukannya seruan yang didengarinya oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: "Ya Tuhan kami! Berikanlah ganti yang berganda-ganda kepada orang yang mencurahkan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepadanya pada jalan yang diredhai Allah, dan timpakanlah kerugian yang besar ke atas orang yang menahan nikmat-nikmat Allah itu daripada mengeluarkannya pada jalan yang dituntut oleh Allah." (HR Abu ad-Dardaa' r.a)

Pengajaran Hadis:

i) Dalam menghadapi kehidupan dunia manusia mestilah berwaspada, jangan mudah terpedaya dengan perkara yang melalaikan diri daripada berusaha mengerjakan amal kebaikan lebih-lebih lagi perkara yang berhubung dengan harta benda dan cara membelanjakannya

ii) Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari terdapat dua malaikat yang menyeru manusia supaya:

a) Mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang untuk mencapai keredhaan Allah.
b) Mengambil ingatan bahawa pendapatan seharian yang diperoleh meskipun sedikit tapi mencukupi keperluan hidup di dunia yang meliputi harta benda dan nikmat-nikmat yang lain sebenarnya adalah lebih baik daripada pendapatan yang banyak tetapi melalaikan manusia itu daripada mengerjakan amal ibadat dan kebajikan sebagai bekal untuk mencapai kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.

iii) Sesungguhnya manusia yang membelanjakan harta benda, ilmu pengetahuan dan tenaganya di jalan Allah akan sentiasa didoakan oleh malaikat semoga Allah memberikan balasan yang berganda-ganda untuk dirinya, sebaliknya bagi yang bakhil, didoakan agar ditimpa kerugian yang besar.