Thursday, June 30, 2022

Larangan Memotong Kuku dan Rambut Peserta Korban

 Khamis, 30 Zulkaedah 1443H: Larangan Memotong Kuku dan Rambut Peserta Korban

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya (sehingga selesai korban)." 

 (Sahih Muslim No: 3655) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dilarang (makruh) menggunting rambut, mencukur, mencabut sebarang bulu di badan dan memotong kukunya bermula dari tarikh 1hb Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

2.Menurut Imam al-Nawawi larangan di dalam hadis ini bermaksud makruh memotongnya. Larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau bulu-bulu lain di bahagian anggota badan yang lain." (Syarah Muslim Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139)

3.Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Ibn Qudamah r.h berkata: "Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada Allah. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." (Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96)

4.Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian mazhab Hanbali menyatakan makruh hukumnya memotong kuku atau rambut yang ada pada badan bermula 1hb Zulhijjah hingga ibadah korban dilaksanakan.

Tuesday, June 28, 2022

Mukmin Yang Utama dan Bijak

 Selasa, 28 Zulkaedah 1443H: Mukmin Yang Utama dan Bijak

عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا قَالَ فَأَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الْأَكْيَاسُ

Dari Ibnu Umar RA bahawa dia berkata; Saya bersama dengan Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang laki-laki Ansar kepada baginda, lalu dia mengucapkan salam kepada Nabi SAW dan bertanya; "Ya Rasulullah, bagaimanakah orang mukmin yang utama?" 

Baginda menjawab: "Orang yang paling baik akhlaknya.

Dia bertanya lagi; "Orang mukmin yang bagaimanakah yang paling bijak?" 

Baginda menjawab: "Orang yang paling banyak mengingat kematian, dan yang paling baik persiapannya setelah kematian, merekalah orang-orang yang bijak." 

(HR Ibnu Majah No: 4249) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Akhlak menjadi ukuran kemuliaan seseorang Mukmin. Mukmin yang paling utama adalah mereka yang paling baik akhlaknya

2.Kecerdikan Mukmin bukan hanya diukur keupayaannya di dunia. Mukmin yang paling bijak adalah yang paling banyak mengingati kematian dan sentiasa membuat persiapan untuk kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Monday, June 27, 2022

Menarik Kembali Pemberian

 Isnin, 27 Zulkaedah 1443H: Menarik Kembali Pemberian

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالْكَلْبِ يَقِيءُ ثُمَّ يَعُودُ فِي قَيْئِهِ

Dari Ibnu 'Abbas RA berkata; Nabi SAW bersabda: "Orang yang meminta kembali apa yang telah dihibahkannya (dihadiah) bagaikan anjing yang muntah lalu menjilat (memakan) kembali apa yang dimuntahkannya ke dalam mulutnya".

(HR Bukhari No: 2400) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Antara cara mengeratkan hubungan ukhuwah dan kasih sayang dengan orang lain ialah dengan cara saling memberi atau berhadiah.

عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي مُسْلِمٍ عَبْدِ اللَّهِ الْخُرَاسَانِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَافَحُوا يَذْهَبْ الْغِلُّ وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا وَتَذْهَبْ الشَّحْنَاءُ

Dari 'Atha bin Abu Muslim Abdullah Al-Khurasani berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kalian saling berjabat tangan, nescaya akan hilanglah kedengkian. Hendaklah kalian saling memberi hadiah, nescaya akan saling mencintai dan hilanglah permusuhan." (HR Malik No: 1413)

2.Sesuatu yang telah dihadiahkan, dilarang untuk diambil kembali.

3.Orang yang mengambil kembali sesuatu yang telah dihadiahkan kepada orang lain seumpama anjing yang memakan muntahnya sendiri.

Friday, June 24, 2022

Ikhlas Beramal

Jumaat, 24 Zulkaedah 1443H : Ikhlas Beramal

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu." 

(HR Muslim No: 2564) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Ganjaran pahala di atas setiap amalan adalah bergantung kepada hati yang benar-benar ikhlas dan niat yang benar.

2.Kepentingan menjaga niat agar hati sentiasa benar dan bersih daripada sifat-sifat mazmumah serta membuahkan sifat taqwa kepada Allah SWT.

3.Kepentingan menjaga amalan hati terlebih mendahului daripada amalan yang dilakukan oleh anggota badan kerana hanya amalan yang dilakukan dengan ikhlas akan diterima dalam setiap amalan yang disyariatkan.

Wednesday, June 22, 2022

Ujian Penghapus Dosa

Rabu, 22 Zulkaedah 1443H: Ujian Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي نَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَمَالِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Ujian (bala) akan sentiasa menimpa orang mukmin sama ada lelaki mahupun perempuan, pada dirinya, anak dan hartanya hingga ia bertemu Allah dengan tidak membawa satu kesalahan (dosa) pun atasnya.” 

(HR Tirmizi No: 2323) Hadis Hasan Sahih.


Pengajaran:

1.Setiap ujian (bala) atau musibah yang dihadapi oleh orang mukmin sama ada pada dirinya, harta serta ahli keluarganya adalah sebagai pengampun dosa-dosanya.

2.Al-Baghawi menyatakan: Tidak ada satupun musibah yang menimpa seorang hamba, demikian pula musibah yang lebih besar (dan luas) darinya, kecuali kerana sebab dosa yang Allah mengampuninya hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya) atau Allah hendak mengangkat darjatnya (kepada suatu darjat kemuliaan) hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya)” (Tafsir Al-Baghawi: 4/85)

3.Ada Muslim di hari akhirat nanti diampunkan semua dosanya ketika bertemu Allah kerana kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berbentuk musibah semasa di dunia.

4.Antara tujuan utama Allah SWT menimpakan ujian kepada hamba-Nya adalah untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلً

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” Al-Mulk: 2

Moga kita bersabar dengan setiap ujian yang dilalui agar ia menjadi penghapus dosa-dosa kita.

Tuesday, June 21, 2022

Penghapus Dosa

 Selasa, 21 Zulkaedah 1443H: Kesusahan, Kesakitan & Keperitan Menjadi Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُمَا سَمِعَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ وَصَبٍ وَلَا نَصَبٍ وَلَا سَقَمٍ وَلَا حَزَنٍ حَتَّى الْهَمِّ يُهَمُّهُ إِلَّا كُفِّرَ بِهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِ

Daripada Abu Sa'id dan Abu Hurairah RA bahawasanya kedua orang sahabat itu pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada penderitaan, kesengsaraan, sakit, kesedihan dan bahkan juga kekalutan yang menimpa seorang mukmin, melainkan semua itu menghapuskan sebahagian dosanya." 

(HR Muslim No: 4670) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Sebagai makhluk yang lemah, kita tidak boleh lari dari melalui ujian yang menyebabkan kesakitan, kesusahan, kesedihan mahupun kekalutan.

2.Setiap keperitan, kesusahan, kesakitan dan kesedihan yang dilalui oleh seseorang adalah ujian daripada Allah untuk hambanya.

3.Setiap mukmin yang bersabar dan redha diatas segala ujian keperitan, kesusahan, kesakitan juga kesedihan yang menimpanya, ia akan menjadi penghapus dosa-dosanya yang lalu.

4.Justru kita dituntut bersabar dan redha di atas segala ujian yang dilalui sama ada berbentuk kesusahan, kesakitan, kesedihan mahupun kepedihan.

Monday, June 20, 2022

Sakit Penghapus Dosa

 Isnin, 20 Zulkeadah 1443H: Sakit Penghapus Dosa

عَنْ الْحَارِثِ بْنِ سُوَيْدٍ قَالَ : قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ قَالَ : رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أَذًى مَرَضٌ فَمَا سِوَاهُ إِلَّا حَطَّ اللَّهُ لَهُ سَيِّئَاتِهِ كَمَا تَحُطُّ الشَّجَرَةُ وَرَقَهَا " .

Daripada al-Harith bin Suiyed beliau berkata, telah berkata Abdullah bin Masud bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” 

(Sahih Bukhari No: 5255) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Sihat dan sakit adalah anugerah Allah kepada makhluk.

2.Rasa sakit adalah suatu anugerah yang harus disyukuri kerana Allah memberikan rasa sakit sebagai tanda kasih sayang Allah terhadap mahluknya. Apabila sakit, kita akan segera menyedari kelemahan kita sebagai hamba. Kita akan segera mengingati Allah dan berdoa agar diberi kesembuhan.

3.Bagi manusia yang berpikir tentunya, rasa sakit adalah sebagai ujian dari Allah untuk menghilangkan dosa seseorang malah juga untuk meningkatkan darajatnya di sisi Allah.

4.Orang yang bersabar dan redha di atas penyakit yang menimpanya, nescaya Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pokok yang mengugurkan daun-daunnya yang kering.

Friday, June 17, 2022

Al-Quran Syafaat dan Barakah

Jumaat, 17 Zulkaedah 1443H:  Al-Quran Syafaat dan Barakah

عَنْ زَيْدٍ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا سَلَّامٍ يَقُولُ حَدَّثَنِي أَبُو أُمَامَةَ الْبَاهِلِيُّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

Daripada Zaid bahawa ia mendengar Abu Sallam berkata, telah menceritakan kepadaku Abu Umamah Al Bahili ia berkata; Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bacalah Al-Quran, kerana ia akan datang memberi syafaat kepada para pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaini surah Al-Baqarah dan Ali Imran, kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti, seperti dua tumpuk awan menaungi pembacanya, atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam formasi hendak membela pembacanya. Bacalah Al-Baqarah, kerana dengan membacanya akan memperoleh barakah, dan dengan tidak membacanya akan menyebabkan penyesalan, dan pembacanya tidak dapat dikalahkan oleh tukang-tukang sihir." 

(HR Muslim No: 1910) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Al-Quran akan menjadi penolong (pemberi syafaat) kepada pembacanya pada hari akhirat nanti.

2. Al-Munawi menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan oleh Nabi bukanlah Al-Quran itu datang dalam bentuk lelaki, burung, awan dan sebagainya, akan tetapi yang dimaksudkan adalah pahala yang layak diberikan kepada mereka yang membaca dan beramal dengannya. Pahala-pahala itu nantinya akan datang dalam bentuk lelaki yang menjadi hujah di hadapan Allah. Ia juga menjadi seperti awan yang menaungi para pembacanya dari kepanasan di hari akhirat.

3. Sesiapa yang mengamalkan membaca surah Al-Baqarah dan Ali Imran pada hari kiamat nanti akan mendapat naungan kedua surah ini dengan izin Allah.

4. Orang yang melazimi membaca surah al-Baqarah, ia akan memperoleh barakah

5. Orang yang tidak membaca al-Quran, ia akan menyesal

6. Orang yang melazimi membaca surah al-Baqarah, tidak akan dapat dikalahkan oleh tukang-tukang sihir

Thursday, June 16, 2022

Ahli Al-Quran

 Khamis, 16 Zulkaedah 1443H: Ahli Al-Quran

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا فَإِنَّ مَنْزِلَتَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَأُ بِهَا

Daripada Abdullah bin 'Amru dari Nabi SAW baginda bersabda: "Pada hari pengadilan kelak akan diseru kepada (sohibul Quran) ahli Al-Quran; Teruskanlah bacaan al-Quran mu dan teruskanlah menaiki tingkat demi tingkat syurga dan bacalah dengan tartil sebagaimana kamu membacanya ketika di dunia, sesungguhnya tempat terakhirmu ada pada ayat terakhir yang kamu baca."

(HR Tirmidzi No: 2838) Status: Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1. Sohibul Quran ialah mereka yang ahli dalam al-Quran, sentiasa mendampingi al-Quran juga penghafal al-Quran.

2. Sohibul Quran akan sentiasa menjaga hak al-Quran dengan membacanya, menghafal, memahami dan melaksanakan tuntutan al-Quran.

3. Orang yang membaca dan menghafal al-Quran perlu memberi tumpuan dan perhatian serta bersungguh-sungguh secara berterusan membaca dan menjaganya. Semoga al-Quran menjadi pegangan dan panduan hidup.

عَنْ مَالِك أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Daripada Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi " (HR. Malik No: 1395).

4. Pada hari akhirat nanti orang yang membaca al-Quran berterusan akan menaiki tingkat demi tingkat di dalam syurga dan terus membacanya dengan tartil sebagaimana ia membacanya ketika di dunia.

Sempena Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang sedang berlangsung di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor sekarang, marilah kita berusaha membaca dan menjadikannya panduan dalam kehidupan.

Wednesday, June 15, 2022

Dua Perkara Yang Sentiasa Muda Bagi Orang Tua

 Rabu, 15 Zulkaedah 1443H:  Dua Perkara Yang Sentiasa Muda Bagi Orang Tua

أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَزَالُ قَلْبُ الْكَبِيرِ شَابًّا فِي اثْنَتَيْنِ فِي حُبِّ الدُّنْيَا وَطُولِ الْأَمَلِ

Telah mengkhabarkan kepadaku Sa'id bin Al Musayyab bahawa Abu Hurairah radliallahu 'anhu berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Hati orang tua masih tetap berjiwa muda dalam dua perkara, iaitu; mencintai dunia dan panjang angan-angan." 

(HR Bukhari No: 5941) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Rasulullah SAW mengingatkan agar berwaspada dengan keinginan hati yang melalaikan dan melekakan.

2.Kenginan untuk sentiasa muda adalah suatu yang baik jika disalurkan ke tempat yang betul seperti sentiasa muda dan bersemangat melakukan amal soleh.

3.Namun orang tua yang dikurniakan hati dan keinginan yang sentiasa muda dalam dua perkara iaitu; Mencintai dunia dan panjang angan-angan adalah dua perkara yang melalaikan.

4.Tanda cintakan dunia dapat dikenal pasti secara umumnya berdasarkan perkara-perkara ini:

- Hanya nikmat dunia yang menjadi matlamat dan tumpuan.
- Lalai atau lupa kepada matlamat terakhir iaitu akhirat.
- Mengetepikan agama dalam urusan seharian – baik kerana merasakan bahawa ia suatu yang menyukarkan atau tidak relevan dengan kehidupan.

Tuesday, June 14, 2022

Dunia Adalah Jambatan Akhirat

 Selasa, 14 Zulkaedah 1443H: Dunia Adalah Jambatan Akhirat

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي فَقَالَ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

Daripada Ibnu Umar radliallahu 'anhuma dia berkata; Rasulullah SAW pernah memegang bahuku dan bersabda: "Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah orang asing atau seorang pengembara. Ibnu Umar telah berkata; Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan apabila kamu berada di pagi hari, maka janganlah menunggu waktu petang. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu."

(HR Bukhari No: 5937) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Jangan jadikan dunia sebagai matlamat dan tempat tinggal hakiki. Dunia adalah jambatan menuju akhirat.

2.Jadikanlah diri kita sebagai seorang musafir. Orang yang bermusafir perlu membawa bekalan yang sepatutnya sebagai bekalan.

3.Sebagai musafir, kita tidak membawa kesemua yang dimilik. Malah kita hanya membawa bekalan perjalanan sekadarnya.

4.Seorang Muslim perlu bersegera melakukan amal kebajikan, memperbanyak ketaatan dan amal soleh sebagai bekalan perjalanan menuju akhirat.

5.Elakkan dari bertangguh untuk melakukan amal soleh kerana kita tidak pasti apakah berkesempatan untuk melakukannya pada masa akan datang.

6.Setiap Muslim perlu merebut peluang dan kesempatan yang ada sebaik mungkin. Lakukan amal kebaikan ketika kita sihat dan masih hidup. Sakit dan ajal boleh berlaku bila-bila masa.

Rebutlah peluang beramal ketika kita masih muda, sihat, berharta, lapang dan semasa hidup ini.

Monday, June 13, 2022

Mukmin Yang Terpelihara

 Isnin, 13 Zilkaedah 1443H: Mukmin Yang Terpelihara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: 'Barang siapa membebaskan seorang mukmin dari suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat. Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut menolong saudaranya sesama muslim. Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya. Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca Al-Quran dan mempelajarinya, melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya. Barang siapa yang ketinggalan amalnya (kurang), maka keturunannya tidak akan dapat meninggikannya (menambah amalnya).' 

(HR Muslim No: 2699) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Mukmin yang membebaskan mukmin lain dari suatu kesulitan di dunia, nescaya Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat.

2.Mukmin yang memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan semasa di dunia, nescaya Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat.

3.Mukmin yang menutupi aib seorang muslim semasa di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.

4.Allah akan menolong sesiapa yang menolong saudara muslim yang lain.

5.Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya.

6.Orang yang berkumpul di masjid untuk membaca Al-Quran dan mempelajarinya, Allah akan mengurniakan ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.

7.Barang siapa yang kurang amalnya semasa di dunia, maka keturunannya tidak akan dapat menambah amalnya. (Amal kita seperti solat, puasa adalah tanggungjawab kita).

Friday, June 10, 2022

Jadilah Orang Yang Diredai Allah Bukan Dibenci

Jumaat, 10 Zulkaedah 1443H:  Jadilah Orang Yang Diredai Allah Bukan Dibenci

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلَاثًا وَيَسْخَطُ لَكُمْ ثَلَاثًا يَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَأَنْ تُنَاصِحُوا مَنْ وَلَّاهُ اللَّهُ أَمْرَكُمْ وَيَسْخَطُ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah meredai kalian dalam tiga perkara dan benci kepada kalian dalam tiga perkara. Allah meredai kalian jika kalian beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, jika kalian berpegang teguh kepada agamanya dan tidak berpecah belah dan, jika kalian saling nasihat menasihati kepada orang yang diserahkan kepadanya urusanmu. Dan Allah membenci kalian dari sikap percaya kepada khabar yang tidak tentu sumbernya, banyak bertanya (tentang perkara yang tidak perlu) dan memboroskan harta". 

(HR Ahmad No: 8444) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Allah meredai seseorang apabila ia melakukan tiga perkara:

a.Beribadah kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu

b.Berpegang teguh kepada agama-Nya dan tidak berpecah belah

c.Saling nasihat menasihati dalam melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah.

2.Allah membenci seseorang apabila ia memiliki tiga perkara:

a.Percaya kepada khabar, maklumat atau info yang tidak tentu sumbernya sama ada dalam bentuk pertuturan mahupun tulisan.

b.Banyak bertanya (tentang perkara yang tidak perlu) sehingga menyusahkan orang lain untuk beramal

c.Membazir atau boros dalam membelanjakan harta

Berusahalah menjadi hamba yang diredai bukan dibenci.

Thursday, June 9, 2022

Satu Rumah Satu Ibadah Korban

 Khamis, 9 Zulkaedah 1443H: Satu Rumah Satu Ibadah Korban

عَنْ مِخْنَفِ بْنِ سُلَيْمٍ كُنَّا وَقُوفًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَةَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّة

Daripada Mikhnaf bin Sulaim, kami berwukuf di Arafah bersama Rasulullah SAW dan aku mendengar baginda bersabda: "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya keatas setiap ahli sebuah rumah, satu ibadah korban pada setiap setahun".

(HR Ibnu Majah No: 3116) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Kita telah memasukki bulan Zulkaedah. Kita ada lebih kurang sebulan lagi untuk menyambut kedatangan Hari Raya Eidul Adha di mana antara amalan yang dituntut kepada Muslim adalah ibadah Kurban.

2.Berdasarkan hadis di atas, sebahagian ulamak beranggapan, Ibadah korban adalah sunat kifayah bagi setiap rumah (suatu sunat yang amat dituntut). Dalam mazhab Syafie ibadat korban ini sunat Muakkad.

3.Bagi Imam Abu Hanifah dan ulamak bermazhab Hanafi telah menetapkan bahawa menyembelih korban adalah wajib sekali setahun bagi orang bermukim dan berkemampuan daripada penduduk tempatan

4.Ibadat korban ini adalah sebahagian dari syiar agama sebagai memperingati pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail. Melaksanakan ibadat ini akan membangkitkan kesedaran untuk sentiasa membelanjakan harta dan berkorban semata-mata meninggikan syiar agama Allah


Wednesday, June 8, 2022

Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

Rabu, 8 Zulkaedah 1443H: Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَجَّلُوا إِلَى الْحَجِّ يَعْنِي الْفَرِيضَةَ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَا يَدْرِي مَا يَعْرِضُ لَهُ

Daripada Ibnu Abbas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah kamu menunaikan haji (yang wajib) kerana kamu tidak mengetahui apa-apa yang mungkin menimpa” 

(Musnad Ahmad No: 2721) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1. Menunaikan ibadat haji suatu kewajipan kepada mereka yang berkuasa dan berkemampuan. Jangan ditangguh dengan sengaja.

2. Mengikut Imam Shafi’i kewajipan menunaikan haji tidaklah mesti disegerakan tetapi tidak pula bererti boleh dilambatkan.

3. Segera menunaikan haji dalam keadaan kita sihat dan mampu adalah penting sebagai langkah berjaga-jaga. Apatah lagi jika telah mendapat surat tawaran. Jika dilewatkan berkemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan langsung kerana luput masa atau berlaku sesuatu bencana.

4.Jika ada kemudahan untuk tidak menunggu giliran yang mungkin lama lagi; contohnya menggunakan package yang lebih bayarannya dan kita berkemampuan, maka elok diusahakan pemergian itu.

Bagi mereka yang berkemampuan dan berkuasa, jangan tunggu tahun depan atau tahun berikutnya. Kita tak pasti, ketika itu adakah kita masih berkuasa atau berkemampuan?.

Friday, June 3, 2022

Pesanan Untuk Orang Yang Akan Bermusafir

 Jumaat, 3 Zulkaedah 1443H: Pesanan Untuk Orang Yang Akan Bermusafir

عَنْ سَالِمٍ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ يَقُولُ لِلرَّجُلِ إِذَا أَرَادَ سَفَرًا ادْنُ مِنِّي أُوَدِّعْكَ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوَدِّعُنَا فَيَقُولُ أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

Daripada Salim RA bahawa Ibn Umar RA berkata kepada seseorang apabila hendak melakukan musafir: “Datanglah kepadaku, aku ingin menyampaikan ucapan perpisahan sebagaimana Rasulullah SAW mengucapkan kepada kami, kemudian beliau mengucapkan:

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.” 

(HR Tirmizi, No. 3443) Status: Hadis Sahih
.
Pengajaran:

1.Musafir adalah perjalanan seseorang daripada satu tempat ke satu tempat yang lain. Contohnya mengerjakan ibadat fardhu haji ke Mekah. Ianya boleh menyebabkan kesulitan dan kemudharatan kerana menimbulkan kesukaran, keletihan dan menghalang keselesaan, kerehatan serta kesempurnaan dalam beribadah sepanjang perjalanan.

2.Justeru, Rasulullah SAW telah mengajar para sahabat mengenai sunnah yang sangat baik untuk diamalkan apabila seseorang hendak melakukan musafir ialah mengucapkan doa kepadanya.

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.”

3. Terdapat juga dalam hadis Riwayat Anas RA, bahawa seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW memberitahu dia akan bermusafir, lalu Nabi SAW mendoakannya:

زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ

“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.” (Sunan Tirmizi No: 3444) Status: Hadis Sahih

4. Kebiasaannya, bermusafir akan menyebabkan hilangnya kesenangan dan keselesaan dalam melakukan amalan harian mahupun beribadah. Oleh sebab itu, Islam telah memberikan rukhsah (keringanan) kepada seseorang yang bermusafir.

5. Sebagai Muslim hendaklah kita mendoakan orang yang akan bermusafir dan berpesan kepada mereka untuk sentiasa bertaqwa dan menjaga amalan ibadah sepanjang perjalanan tersebut.

6. Sempena musim orang bertolak untuk bermusafir mengerjakan ibadat haji yang dijangkakan penerbangan awal bermula 4hb Jun 2022, doakanlah mereka dengan doa di atas semoga mereka memperoleh kekuatan dan kemudahan sepanjang berada di sana dan mendapat haji yang mabrur.

Mari kita doakan Duyufurrahman (tetamu Allah) dengan lafaz:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

“Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

Thursday, June 2, 2022

Jaga Hak Allah, Diri dan Masyarakat

Khamis, 2 Zulkaedah 1443H: Jaga Hak Allah, Diri dan Masyarakat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَأْخُذُ عَنِّي هَؤُلَاءِ الْكَلِمَاتِ فَيَعْمَلُ بِهِنَّ أَوْ يُعَلِّمُ مَنْ يَعْمَلُ بِهِنَّ فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَقُلْتُ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَخَذَ بِيَدِي فَعَدَّ خَمْسًا وَقَالَ اتَّقِ الْمَحَارِمَ تَكُنْ أَعْبَدَ النَّاسِ وَارْضَ بِمَا قَسَمَ اللَّهُ لَكَ تَكُنْ أَغْنَى النَّاسِ وَأَحْسِنْ إِلَى جَارِكَ تَكُنْ مُؤْمِنًا وَأَحِبَّ لِلنَّاسِ مَا تُحِبُّ لِنَفْسِكَ تَكُنْ مُسْلِمًا وَلَا تُكْثِرْ الضَّحِكَ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Siapakah yang mahu mengambil beberapa kalimat daripadaku lalu mengamalkannya atau mengajarkan pada orang yang akan mengamalkannya?" 

Abu Hurairah menjawab: "Saya, wahai Rasulullah." 

Lalu Rasulullah memegang tanganku lalu menyebut lima perkara; "Jauhkanlah larangan-larangan nescaya kamu akan menjadi orang yang paling beribadah, terimalah pemberian Allah dengan rela nescaya engkau akan menjadi orang paling kaya, berbuat baiklah kepada jiran tetangga nescaya kamu akan menjadi orang yang benar-benar beriman, kasihilah orang lain sepertimana engkau mengasihi dirimu sendiri nescaya engkau akan menjadi orang muslim yang sebenar-benarnya dan, janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa akan mematikan hati." 

HR Tirmidzi No: 2227) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW mengajar kepada kita untuk mengambil pesanan baginda bagi di amalkan dan disampaikan kepada orang lain. Antara pesanan untuk dilaksanakan dan disampaikan:

a.Jauhi larangan dan tegahan seperti minum arak, mencuri, meninggalkan perintah wajib umpama solat dan sebagainya agar kita menjadi orang yang paling beribadat.

b. Merasa reda dan puas hati dengan apa yang dikurniakan Allah. Tidak merasa keluh kesah, kecewa serta tamak dengan apa yang dimiliki. Yakin setiap sesuatu itu adalah ketentuan taqdir Allah nescaya kita akan menjadi orang yang paling kaya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW baginda bersabda: "Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati." (HR Bukhari No: 5965)

c. Berbuat baik kepada jiran tetangga dengan sentiasa menyayangi, memberi pertolongan, menziarahi, tidak menyakitinya sama ada dengan perbuatan, perkataan dan sebagainya. Menjaga hak jiran sama ada Muslim mahupun bukan Muslim adalah bukti kesempurnaan iman.

d. Mengasihi orang lain sepertimana kita mengasihi diri sendiri adalah bukti keislaman dan keimanan seseorang. Tidak boleh menzalimi dan menganiaya serta menyakiti saudara kita. Firman Allah:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara (al-Hujurat: 10)

e. Jangan banyak ketawa kerana banyak gelak ketawa akan melalaikan seseorang daripada mengingati Allah serta akan menjadi penyebab menghalang cahaya petunjuk dan boleh mematikan hati.

2. Marilah kita menjaga hak Allah, hak diri dan hak manusia lain. Peliharalah hubungan yang baik sama ada hubungan dengan Allah juga dengan masyarakat seluruhny

Wednesday, June 1, 2022

Penyelamat Dari Neraka dan Masuk Syurga

Rabu, 1 Zulkaedah 1443H: Penyelamat Dari Neraka dan Masuk Syurga

قُلْتُ ثِنْتَانِ أَسْأَلُكَ عَنْهُمَا مَا يُنَجِّينِي مِنْ النَّارِ وَمَا يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ قَالَ فَنَظَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى السَّمَاءِ ثُمَّ نَكَسَ رَأْسَهُ ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيَّ بِوَجْهِهِ قَالَ لَئِنْ كُنْتَ أَوْجَزْتَ فِي الْمَسْأَلَةِ لَقَدْ أَعْظَمْتَ وَأَطْوَلْتَ فَاعْقِلْ عَنِّي إِذًا اعْبُدْ اللَّهَ لَا تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا وَأَقِمْ الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ وَأَدِّ الزَّكَاةَ الْمَفْرُوضَةَ وَصُمْ رَمَضَانَ وَمَا تُحِبُّ أَنْ يَفْعَلَهُ بِكَ النَّاسُ فَافْعَلْهُ بِهِمْ وَمَا تَكْرَهُ أَنْ يَأْتِيَ إِلَيْكَ النَّاسُ فَذَرْ النَّاسَ مِنْهُ

Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanadnya daripada Ibnu Al-Muntafiq: Aku telah bertemu Rasulullah SAW di Arafah. Aku lalu berkata, "Aku ingin bertanya kepadamu dua perkara: Apakah yang dapat menyelamatkan aku daripada neraka, dan apa yang menyebabkan aku masuk syurga? ' 

Lalu Rasulullah SAW menengadahkan kepalanya ke langit dan menurunkannya lagi, kemudian menatapku dengan wajahnya, baginda bersabda: "Telah meringkaskan soalan kamu tetapi kamu telah bertanya sesuatu yang amat besar dan perjalanannya adalah jauh. Oleh itu berilah perhatian kepada jawapanku: Sembahlah Allah dan jangan kamu sekutukan dengan sesuatupun, dirikan solat yang difardhukan, keluarkan zakat yang diwajibkan, dan berpuasalah pada bulan Ramadan. Jika kamu ingin supaya manusia melakukan sesuatu (kebaikan) kepadamu, maka lakukanlah kebaikan itu terlebih dahulu kepada mereka. Sebaliknya jika kamu benci orang lain melakukan keburukan itu kepadamu, maka kamu hendaklah terlebih dahulu tidak melakukan keburukan itu kepada mereka." 

 (HR Ahmad No: 25901) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:

Rasulullah SAW memberikan peringatan perkara yang boleh menyelamatkan seseorang daripada neraka dan memasukkan seseorang ke syurga:

1. Menyembah Allah dan jangan melakukan perbuatan syirik

2. Menunaikan solat yang difardhukan

3. Mengeluarkan zakat yang diwajibkan

4. Berpuasalah pada bulan Ramadan.

5. Jika ingin orang lain melakukan kebaikan kepada diri kita, maka lakukanlah kebaikan itu terlebih dahulu kepada orang lain.

6. Jika tidak mahu orang lain melakukan keburukan kepada diri kita, maka hendaklah terlebih dahulu tidak melakukan keburukan itu kepada orang lain.