Friday, October 8, 2010

Labbaika Allahomma Labbaik...

Jumaat, 29 Syawal 1431H : Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah, Allahu Akbar. Insyallah, saya dan isteri telah dijemput oleh Allah SWT untuk mengunjungi Baitulallah untuk melaksanakan rukun Islam yang ke lima pada tahun 1431H. Saya mohon ampun dan maaf kepada pembaca-pembaca blog ini jika terdapat sebarang kesilapan. Mohon doa daripada pembaca semua supaya saya dan isteri khususnya dan serta semua jemaah haji amnya akan dapat mengerjakan haji dengan sempurna dan mendapat haji yang Mabrur.

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ ، لَبَّيْكَ إنَّ الْحَّمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالمُلْكَ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ

Labbaika Allahomma Labbaik. Labbaik La Shareeka Laka Labbaik. Innal-Hamdah, Wan-Nematah, Laka wal Mulk, La Shareeka Laka.

Maksud:

"Hamba-Mu datang menyahut panggilan- Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan ni'kmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu".

Thursday, October 7, 2010

ADAB-ADAB SEBELUM MENUNAIKAN FARDHU HAJI

Khamis, 28 Syawal 1431H : Setiap amalan yang baik akan menjadi lebih sempurna dan diterima oleh Allah SWT, jika dilakukan mengikut adab-adab tertentu. Dalam mengerjakan Haji, ulama telah menggariskan beberapa adab sebelum menunaikan Haji yang perlu dipatuhi bagi membolehkan seseorang itu mendapat Haji yang mabrur.

Antaranya sebagaimana senarai di bawah :-

1 .Niat Yang Ikhlas
Ikhlas di dalam niat adalah asas penerimaan segala ibadat. Firman Allah yang bermaksud :" Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap tetap teguh di atas Tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan demikian itulah agama yang benar " Dan Sabda Rasulullah S.A.W daripada Saidina Omar bin Al-Khattab yang bermaksud: " Setiap amalan adalah bergantung kepada niat dan seseorang itu akan menerima ganjaran mengikut niatnya".

Ikhlas makna membersihkan jiwa yang hendak menghampiri Allah dari segala campuran yang terdorong kepadanya oleh nafsu yang riak yang mana amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah apabila bercampur dengan riak atau lain-lainnya daripada sifat keji maka amalan itu terkeluar daripada ikhlas. Al-Fudhoil bin Ayyadh pernah ditanya tentang amalan yang dimakbulkan Allah, beliau menjawab iaitu yang ikhlas dan betul. Ditanya lagi, apakah yang ikhlas dan betul itu, beliau menjawab sesungguhnya amalan itu bila ia ikhlas dan tiada betul tiada diterima dan apabila betul tetapi tidak ikhlas juga tiada diterima sehinggalah ia ikhlas dan betul. Yang ikhlas dan betul itu ialah semata-mata kerana Allah dan mengikut sunnah.

2. Bertaubat Dari Segala Dosa Dan Kezaliman
Apabila seseorang itu berazam hendak menunaikan haji, ia hendaklah bersungguh-sungguh bertaubat dari segala maksiat dan segala yang dibenci oleh syarak dan berterusan taubatnya serta disertai dengan istighfar dan meninggalkan segala perbuatan zalim terhadap hamba-hamba Allah. Menjelaskan segala yang boleh segala hutang-hutangnya, mengembalikan segala amanah yang ada di tangannya, meminta halal dari orang yang ia berurusan dengan mereka dan sahabat handainya, menulis wasiat samada yang bersangkut dengan hak-hak Allah mahupun dengan hak-hak hamba dan dipersaksikan wasiat itu dan mewakilkan untuk ditunaikan hutangnya dan membekalkan belanja untuk keluarga dan orang-orang yang di bawah tanggungannya yang mencukupi sehingga masa kepulangannya.

3. Mencari Keredhaan .
Sempurna dan selesaikan Hak-Hak Allah seperti Shalat, Zakat, Nazar, Kifarat, Fidyah dan lain.lain.

Berusaha untuk mencapai keredhaan kedua ibubapa, kaum kerabat dan guru-guru. Jika ia seorang isteri hendaklah ia mendapatkan keredaan suaminya dan kaum kerabatnya. Bagi suami disunatkan mengerjakan haji bersama-sama isterinya. Jika seseorang itu ditegah oleh salah seseorang ibubapanya dari mengerjakan haji, hendaklah dilihat jika ditegah dari mengerjakan haji fardhu maka tegahannya itu tidak perlu dihiraukan kerana ibubapanya sudah melakukan maksiat dengan tegahannya itu. Apabila ia berihram bapanya tidak boleh memaksanya bertahallul dari ihramnya. Walaubagaimana pun jika haji itu haji tatawwu' (sunat ) tiada harus baginya berihram dan jika ia berihram harus bagi bapanya memaksanya bertahallul mengikut qaul yang saheh. Adapun suaminya berhak menghalangnya dari mengerjakan haji fardhu mengikut qaul yang azhar kecuali di didalam beberapa keadaan kerana hak suami terhadap isteri itu segera, manakala menunaikan haji fardhu tiada dengan segera.

4. Punca Perbelanjaan.
Wang perjalanannya hendaklah daripada sumber yang halal yang tiada subahat kepadanya. Jika ia mengerjakan haji dengan wang yang haram, hajinya sah pada zahir tetapi ia tidak akan menjadi haji mabrur. Jauh dari diterima oleh Allah. ini adalah menurut Imam Shafie, Malik dan Abu Hanifah dan Jumhur Ulamak salaf dan khalaf tetapi di sisi Imam Ahmad bin Hambal tiada sah hajinya dengan harta yang haram.

5. Bekalan Yang Lebih.
Disunatkan berbekal dengan bekalan dan perbelanjaan yang lebih bagi tujuan membantu orang-orang yang berhajat kepada bantuan dan hendaklah bekalan itu dari barang-barang yang bermutu baik dan halal serta diniatkan dengan ikhlas. Firman Allah yang bermaksud: " Wahai orang-orang beriman belanjakanlah ( pada jalan Allah ) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik, dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya. ( Lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat)".

6. Menjauhi Tawar Menawar.
Sunat menjauhi tawar menawar yang berlebih-lebihan ketika membeli barang-barang untuk keperluan haji bagi dirinya demikian juga barang-barang yang hendak dibuat kebajikan dengannya untuk mendekatkan diri kepada Allah.

7. Tidak Bersekutu Bekalan Dan Perbelanjaan.
Tidak digalakkan bersekutu di dalam perbelanjaan kerana bersekutu itu boleh menghalang seseorang itu melakukan berbagai-bagai kebajikan sekalipun diizinkan oleh rakan sekutunya tetapi tidak dapat dipercayai sejauhmana keredhaannya. Jika kedua-duanya bersetuju membuat kebajikan, maka disunatkan masing-masing menggunakan di bawah kadar haknya.
Adapun berhimpun, makan beramai-ramai, bergilir-gilir belanja makan adalah baik dan elok. Seseorang itu dibolehkan memakan lebih banyak dari rakan-rakannya jika ia percaya atau ada pada zatnya yang rakan-rakannya tidak menghalang. Jika tidak hendaklah makan mengikut keadaan habuannya.

8. Mencari Rakan Dan Teman.
Eloklah kita mendapatkan rakan-rakan, teman yang sesuai yang cenderung kepada kebajikan dan bencikan kejahatan. Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud: " Sebaik-baik rakan ialah bila kita lupa ia mengingatkan dan bila kita ingat ia membantu " Amatlah baik sekiranya rakan-rakan itu dari golongan orang-orang yang berilmu ( Ulama ) kerana ia sangat membantu ke arah melakukan berbagai-bagai kebajikan dan berakhlak mulia dan dengan ilmu dan amalannya, ia dapat mencegah rakannya dari keburukan yang boleh berlaku daripada seseorang musafir iaitu perangai-perangai yang tidak baik seperti tidak sabar, keluh kesah dan sebagainya.
Seseorang itu hendaklah memelihara keredhaan rakannya, bersabar di atas kesilapan yang berlaku dan masing-masing memandang yang lainnya lebih baik dan lebih hormat dari dirinya. Sekiranya berlaku perselisihan yang berlarutan di antara keduanya dan tiada harapan untuk diperbetulkan, maka hendaklah disegerakan perpisahan dengan cara yang baik kerana perpisahan yang demikian itu lebih menyelamatkan kedua pihak dari melakukan perkara-perkara yang meletakkan amalan haji jauh dari dapat diterima oleh Allah.

9. Sembahyang Sunat Musafir.
Apabila seseorang hendak meninggalkan rumah dan bermusafir, disunat menunaikan dua rakaat sembahyang sunat musafir. Niat sembahyang sunat musafir ialah " Sahaja aku sembahyang sunat musafir dua rakaat kerana Allah Taala". Dibaca pada rakaat pertama selepas Al-Fatihah, Surah Al-Kafirun dan rakaat kedua selepas Fatihah, Surah Al-Ikhlas.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W : " Tiada yang lebih baik yang ditinggalkan oleh seseorang kepada keluarganya selain dari dua rakaat sembahyang yang dilakukan di sisi mereka ketika hendak bermusafir". Disunatkan membaca ayat Kursi dan Surah Al-Quraisy selepas salam kerana di samping berkat Al-Quran pada tiap-tiap suatu dan pada sebarang waktu terdapat perkataan-perkataan Assalafussoleh seperti Mafthumnya: " Sesiapa yang membaca ayat Kursi ketika keluar dari rumahnya, tiada menimpa ke atasnya sesuatu yang tidak disukai sehingga ia pulang dari ibadat hajinya". Terdapat juga perkataan Assalafussoleh berkenaan dengan membaca Surah Al-Quraisy iaitu maksudnya : " Sesiapa yang hendak bermusafir dan ia merasai takut kepada seteru atau binatang buas, maka bacalah Surah Al-Quraisy. sesungguhnya ia mengamankan dari sebarang keburukan. Kemudian berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat. Pertolongan dan taufik di dalam perjalanannya".

10. Mengucap Selamat Tinggal .
Sunat mengucap selamat tinggal kepada keluarga, jiran dan kawan-kawan kerana telah sabit bahawa Rasulullah S.A.W apabila hendak musafir, baginda pergi menemui sahabatnya dan memberi salam kepada mereka dan apabila pulang mereka ( sahabat-sahabat ) pula datang menemuinya dengan mengucapkan salam kepada baginda. Orang hendak musafir mendatangi kerana ia yang hendak berpisah dan orang yang pulang didatangi untuk diucap tahniah dan selamat pulang. Yang hendak bermusafir dan yang mengucapkan selamat berangkat masing-masing saling berdoa di antara mereka.

11. Tidak Berlebih-Lebihan Di Dalam Sebarang Keadaan.
Menjauhi kekenyangan yang berlebih-lebihan dan berhias-hiasan, tiada mempelbagaikan makan minum, berurusan dengan lemah-lembut sekalipun dengan khadam dan orang suruhan. Tiada bersikap kasar lebih-lebih lagi terhadap peminta bantuan sedekah dan seumpamanya. Menjauhi perkelahian, pertengkaran, dan berpusu-pusu dengan manusia yang ramai di mana jua. Memelihara dari percakapan yang kotor, maki-hamun, mengumpat serta mengata. Sentiasa mengingati sabda Rasulullah S.A.W. Maksudnya : " Tiada mengeji orang yang berjalan tanpa bekalan bahkan mereka bersimpati dengannya dan membantunya sekadar yang boleh atau menolaknya dengan baik dan berdoa untuknya "

12. Berdoa Di Dalam Perjalanan.
Sunat membanyakkan berdoa sepanjang masa perjalanannya untuk dirinya, dua ibubapanya, para kaum kerabat dan sekalian orang muslimin. Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya : " Tiga permohonan yang diterima oleh Allah iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang musafir dan doa dua ibubapa terhadap anaknya".

13. Sentiasa Di Dalam Kebersihan.
Berkekalan di dalam thaharah atau pun bersuci dan sentiasa memelihara sembahyang dan orang yang bermusafir juga diharuskan mengqasar atau menjamakkan sembahyangnya jika mencukupi syarat-syaratnya.

14. Mempelajari Kafiat Mengerjakan Haji.
Akhirnya apabila seseorang itu berazam menunaikan fardhu Haji, hendaklah ia mempelajari khafiatnya iaitu segala rukun-rukun, syarat-syarat, wajib-wajib dan yang haram di dalam ihram dan yang merosakkan. Ini adalah fardhu ain. Tidak sah ibadat mereka yang tiada mengetahuinya. Sunat dibawa bersama kitab yang menerangkan amalan haji dan selalu membacanya kerana dibimbangi berlaku kesilapan atau ketinggalan syarat atau rukun atau umpamanya yang boleh merosakkan ibadat haji dan umrahnya. Ada orang yang terikut-ikut di dalam mengerjakan ibadah haji ini dengan orang-orang yang disangkakan mengerti dalam perkara ibadat haji itu seperti sebahagian penduduk-penduduk Makkah, padahal mereka juga tiada mengerti maka ia jadi tertipu dan akibatnya hajinya tidak diterima.

Memperbaiki diri ke arah yang lebih baik, memahami maksud dan tujuan haji haji, membuang sifat-sifat buruk, keji. Melaksanakan semua perintah dan menjauhi semua larangan-Nya dan jangan menunggu perubahan setelah sampai di Tanah Suci atau selepas selesai mengerjakan haji, tetapi ubah diri kita dahulu dari sekarang mengikut hal-hal yang tersirat di dalam maksud dan tujuan ibadah haji. Disamping itu hendaklah rajin ke masjid untuk melaksanakan shalat berjamaah dan banyak membaca Al-Qur’an, berdoa, berzikir dan beri’tikaf di Masjid.

Wednesday, October 6, 2010

Syarat-Syarat Wajib Haji & Umrah

Rabu, 27 Syawal 1431H : Dalam mengerjakan Ibadat Haji, kita mestilah terlebih dahulu mengetahui ilmu berkenaan haji. Antaranya ialah syarat-syarat wajib haji dan umrah iaitu:

1. Islam- tidak wajib atas orang kafir dan murtad.
2. Baligh- tidak wajib atas kanak-kanak tetapi sah hajinya dan tidak gugur wajibnya bila baligh.
3. Berakal - tidak wajib atas orang gila dan jika dilakukan juga, tidak sah hajinya.
4. Merdeka- Hamba abdi tidak diwajibkan, tetapi sah hajinya dan diberi pahala.
5. Berkuasa / Kemampuan.
Berhubung dengan berkuasa atau berkemampuan, ini ialah berdasarkan kepada Firman Allah S.W.T yang bermaksud: " Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan di antara mereka" (Surah Ali Imran ayat 97)

Dalam masalah berkuasa atau berkemampuan untuk mengerjakan haji dan umrah ini adalah berkuasa kepada dua bahagian:-

1) Berkuasa atau berkemampuan dengan sendiri; dan

i) Berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain untuk melakukan pekerjaan haji dari mula hingga akhir.
ii) Mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang dibawah tanggungannya,
iii) Ada kenderaan pergi dan balik,
iv) Aman dalam perjalanan, yakni tidak ada marabahaya yang mengancam keselamatan diri dan harta. Ini termasuklah juga tidak ada penyakit yang membahayakan tubuh badan,
v) Sihat tubuh badan,
vi) Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah.

Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:- "Dari Anas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w ditanya " Apakah yang dimaksudkan dengan "sabil"? Rasulullah s.a.w. menjawab: " Bekalan dan perjalanan". (Riwayat- Daruqutni)

2) Berkuasa dengan bantuan orang lain.

i) Orang yang mempunyai cukup syarat wajib haji, tetapi tidak dapat mengerjakan hajinya sendiri kerana keuzuran dan sakit yang tidak ada harapan akan sembuh, atau telah terlalu tua umurnya serta telah putus asa tidak dapat pergi sendiri menunaikan hajinya,

ii) Orang yang telah meninggal dunia yang berupaya semasa hidupnya, tetapi tidak mengerjakan haji, maka terhutanglah fardu haji atasnya sehingga warisnya atau orang yang menerima wasiatnya menunaikan hutang hajinya itu dengan upah atau secara sukarela.

Dalam masalah mengerjakan haji untuk orang lain atau upah haji ini, Rasulullah s.a.w yang bermaksud: " Dari Laqit bin Amir r.a bahawa dia telah datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: " Bahawa bapa saya seorang yang telah tua, tidak berdaya menunaikan haji dan umrah, dan tidak berkuasa mengikuti rombongan atau berjalan untuk mengerjakan haji atau umrah" Rasulullah s.a.w. bersabda : " Tunaikanlah haji untuk bapamu dan umrahnya sekali". (Riwayat - Abu Daud dan Tarmizi).

Tuesday, October 5, 2010

Mendapat Haji Mabrur

Selasa, 26 Syawal 1431H : Untuk mencapai haji mabrur bukannya mudah tetapi ia tidak mustahil untuk diperolehi. Secara umumnya, untuk mencapai haji yang diterima disisi Allah hendaklah memenuhi kriteria berikut;

1: Hajinya hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak riyak (menunjuk-menunjuk).
Imam Nawawi ketika menafsirkan hadith diatas dengan berkata “mabrur (diterima) adalah baik hajinya. Dikatakan almabrur juga ialah haji yang tidak bercampur dengan dosa. Ada yang mengatakan tidak ria’ pada hajinya”

Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riya’ iaitu menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan ALlah

Di dalam Musnad Ahmad, ada sebuah hadith: “Sesiapa yang keluar dari rumahnya, pada tangannya ada dua bendera, satu bendera pada malaikat dan satu bendera pada syaitan, jikalau dia keluar dengan niat kerana Allah, malaikat akan mengekorinya bersama bendera tadi, maka bendera tadi masih bersamanya sehingga dia kembali ke rumahnya, dan jikalau dia keluar dari rumahnya melakukan kemurkaan kepada Allah, maka syaitan akan mengekorinya bersama benderanya, dan bendera tersebut masih bersamanya sehingga dia kembali ke rumahnya” .

2: Kesemua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada yang halal.
Di dalam Sahih Muslim ada hadith menyebut: “Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak menerima kecuali yang baik-baik dan sesungguhnya Allah menyuruh orang mukmin megikut apa yang diperintahkan oleh para utusan Allah. Kemudian baginda membacakan ayat alQuran
“Wahai sekalian Rasul, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dan beramal soleh. Sesungguhnya aku tahu apa yang kamu lakukan [Surah alMukminun : 51]”

Kemudian Rasulullah membacakan lagi : “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dari apa yang kami rezekikan” [Surah alBaqarah 172]

Kemudian disebut, seorang lelaki bermusafir menadah tangan ke langit seraya berkata “Ya Tuhanku” sedangnya punca makanan dari yang haram, minuman punca yang haram, pakaiannya punca yang haram. Bagaimana ia boleh diterima??”

Oleh itu, sewajarnya sebagai seorang yang akan menunaikan haji meneliti dan bermuhasabah kembali sumber-sumber pendapatan, perbelanjaannya dan bekalannya disana dari sumber-sumber yang halal.

3: Melakukan fardhu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.
Bermula dengan niat sehinggalah haji wada’ ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah didalam sunnahnya. Sebagai seorang muslim yang sejati, kita wajar meneladani Baginda tanpa menambah-nambah ibadat yang tidak pernah dilakukan Baginda.

Ini sesuai dengan sabda Baginda; “Sesiapa yang memperbaharui urusan agama (menokok tambah), maka mereka bukan dari kalangan kami (umat Muhammad)”

Syeikh Mustafa azZarqa’ ketika ditanya makna haji yang mabrur, beliau menyatakan diantara ciri-ciri hajinya diterima ialah “hendaklah bagi tuan empunya yang menunaikan haji tidak melampau-lampau didalam mengerjakan kewajipan haji, tidak mengabaikan adab-adab haji dan sunnah-sunnahnya, memperbanyakkan taat, ibadat, sedekah, menjadi teladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik, memberi makan sekadar kemampuannya, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran yang ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf, kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan berniat untuk kekal (seperti keadaan tersebut) dan istiqomah”

4: Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya.
Ali Radiyallahu’anh ketika ditanya perbuatannya mencium hajarul aswad, maka beliau menjawab “Kau hanya sebuah batu yang tidak mempu memberi faedah dan mudarah, kalau bukanlah kerana Rasulullah mengucupnya, sudah aku aku tidak aku mengucupnya”
Ini jelas menunjukkan kita melakukan ibadat mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah tanpa menokok tambah berdasarkan akal semata-mata.

5- Setelah menunaikan haji, berusaha pula melakukan badal (ganti) haji ayah dan ibu yang tidak berkemampuan menunaikan Haji:
Ini sesuai dengan hadith : “Ya Rasulullah, sesungguhnya emakku telah bernazar untuk menunaikan haji, tetapi tidak ditunaikan sehingga dia meninggal dunia, adakah aku perlu menunaikan hajinya? Sabda Rasulullah : Ya, tunaikanlah haji untuknya. Adakah kau lihat jika emakmu berhutang engkau akan membayarnya? Jawab wanita tersebut : Ya. Sabda Nabi : Begitu juga (hutang) kepada Allah. Malah kepada Allah lebih layak dilunaskan (hutangnya)”.

Didalam hadith yang lain: “Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas hamba-hambanya menunaikan haji. Bapaku seorang yang tua tidak mampu pergi bermusafir (ke Mekah), adakah aku perlu menunaikan haji untuknya? Sabda Rasulullah : Ya”

Friday, October 1, 2010

Pensyariatan Haji

Jumaat , 22 Syawal 1431H :Musim Haji bermula pada bulan Syawal, Zulkaedah sehingga kemuncaknya pada 9 Zulhijjah setiap tahun. Haji adalah merupakan salah satu dari hukum Islam yang lima yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim, lelaki dan perempuan apabila cukup syarat-syaratnya. Menurut jumhur ulama', fardhu haji mula diwajibkan pada tahun ke enam Hijrah kerana pada tahun itulah turunnya wahyu Allah yang bermaksud: "Dan tunai atau sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah" (Surah Al- Baqarah ayat 196)

Dalam pada itu Ibnul Qaiyim menguatkan pendapat bahawa mulai diwajibkan haji itu ialah pada tahun ke sembilan atau ke sepuluh Hijrah. Sesiapa yang menafikan hukum wajib haji itu maka bererti kufur dan murtadlah ia dan terkeluar dari Agama Islam. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:- "Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan diantara mereka. Dan barang siapa yang mengingkarinya, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari sekalian alam" (Surah Ali Imran ayat 97)

Firman Allah dalam surah Al-Haj ayat 27 hingga 29, maksudnya: "Dan serulah manusia supaya mereka mengerjakan haji, nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan menunggang kenderaan berjenis-jenis unta yang kurus. Mereka datang dari seluruh pelusuk rantau yang jauh supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka, serta mereka dapat mengingati dengan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu dengan sebab Allah telah mengurniakan mereka binatang-binatang ternakan untuk dijadikan qurban. Dengan yang demikian makanlah darinya (daging qurban itu) dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir, (kemudian hendaklah membersihkan diri mereka, dan hendaklah mereka menyempurnakankan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu)". Dalam ayat tersebut Allah memerintahkan supaya haji itu hendaklah disempurnakan sekalipun dengan berjalan kaki atau berkenderaan menunggang unta yang kurus dengan sebab jauhnya berjalan.

Dari Ali, Rasulullah SAW telah bersabda :" Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak mahu mengerjakan haji, maka bolehlah dia memilih untuk mati secara Yahudi atau Nasrani ini kerana Allah telah berfirman dalam kitabnya ...." (H.Riwayat Turmizi)

Semua imam-imam bersependapat bahawa ibadat Haji adalah fardhu, malah ia adalah rukun Islam kelima dan ia juga fardhu yang perlu dikerjakan secepat mungkin.