Monday, December 31, 2012

Rasulullah

Isnin, 17 Safar 1434H : Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: Rasulullah diutus setelah berusia empat puluh tahun. Beliau tetap di Mekah tiga belas tahun, diturunkan wahyu kepada beliau. Kemudian beliau diperintahkan pindah. Beliau hijrah ke Madinah selama sepuluh tahun. Dan beliau wafat dalam usia enam puluh tiga tahun.

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1556.

Friday, December 21, 2012

Amanah


Jumaat, 7 safar 1434H: Dari Hudzaifah r.a., katanya: "Kami menerima dua buah hadis dari Rasulullah saw., yang satu telah ku lihat kenyataannya, sedangkan yang satu lagi masih ku tunggu-tunggu. Rasulullah saw. bersabda kepada kami, "Sesungguhnya amanah itu bertempat di hati sanubari seseorang. Kemudian Al Quran turun, lalu mereka belajar dari Al Quran dan Sunnah. Kemudian Rasulullah saw. bersabda pula tentang hilangnya amanah.

Sabda beliau, "Seorang sedang tidur, lalu dicabut amanah dari hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti noktah. Kemudian ia tidur lagi, lalu dicabut pula amanah dari hatinya maka kini tinggallah bekasnya seperti lepuh yang membengkak di tangan atau di kaki yang terkena bara panas, dan lepuh itu mengandung air sedikit. Ketika itu, amanah hampir saja hilang sehingga orang mencarinya ke mana-mana. Ketika dikatakan orang: Di sana ada amanah! Mereka sama berkata: alangkah sabarnya dia; atau alangkah baiknya dia; dan atau alangkah cerdiknya dia. Tetapi yang sebenarnya batin orang itu kosong dari iman.

Kata Hudzaifah, "Dahulu, ketika amanah masih dipegang orang erat-erat, aku bisa berdagang dengan siapa pun. Jika dengan orang muslim, ia berlaku jujur kerana agamanya, dan jika dengan orang Nasrani atau dengan orang Yahudi, kejujuran itu pun terdapat pada majikannya. Tetapi sekarang, aku tak hendak berdagang lagi melainkan dengan orang-orang tertentu, seperti si Anu dan si Anu yang masih memegang amanah erat-erat.
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0116.

 

Thursday, December 20, 2012

Syurga Firdaus

Khamis, 6 Safar 1434H: Dari Abu Hurairah r.a.. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan RasulNya, mengerjakan solat, dan puasa dalam bulan Ramadan, adalah kewajiban Tuhan memasukkannya ke dalam syurga, baikpun ia berjihad dalam agama Allah atau tetap tinggal di negeri kelahirannya".
 
Orang banyak bertanya: "Apakah tidak baik tuan gembirakan manusia dengan yang demikian itu'!"
 
Beliau menjawab: "Sesungguhnya dalam syurga ada seratus darjat (tingkatan). Tuhan menyediakannya untuk orang-orang yang berjihad dalam agamaNya, jarak antara satu darjat dengan yang di atasnya bagai antara langit dan bumi. Jikalau kamu bermohon pada Tuhan, mohonkanlah beroleh Firdaus.Sesungguhnya Firdaus itulah yang paling baik dan paling tinggi darjatnya yang pernah diperlihatkan kepada saya. Di atasnya 'Arsy Tuhan, dan di situ mengalir sungai-sungai syurga".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1270.

Wednesday, December 19, 2012

Niat Semata-Mata Kerana Allah

Rabu, 5 Safar 1434H: Mahmud bin Rabi' Al Anshari r.a. menceritakan, "Bahawa 'Itban bin Malik adalah salah seorang sahabat Rasulullah saw. dari golongan Ansar yang ikut berperang dalam peperangan Badar. Dia datang kepada Rasulullah saw. dan berkata, "Ya, Rasulullah! Penglihatanku sudah lemah. Sedangkan aku solat menjadi imam bagi kaum ku. Apabila hari hujan, maka air mengalir di lembah yang terbentang antara rumahku dan mereka, sehingga aku tak dapat datang ke mesjid untuk solat bersama-sama dengan mereka. Aku ingin, ya, Rasulullah, supaya anda datang ke rumahku, kemudian anda solat di sana dan jadikanlah rumahku itu jadi mushalla.
 
Jawab Rasulullah, "Insya Allah. aku akan datang."
 
Kata 'Itban, "Pada suatu pagi Rasulullah datang bersama-sama dengan Abu Bakar. Ketika itu hari telah agak siang. Rasulullah minta izin hendak masuk ke rumahku, dan aku mempersilakan beliau masuk. Ketika beliau telah berada di rumahku beliau tidak duduk.
 
Beliau bertanya, "Di sebelah mana engkau suka aku solat di rumah mu ini?"
 
Kata 'Itban, "Aku hanya menunjuk ke suatu sudut dalam rumahku."
 
Maka berdirilah Rasulullah saw. di tempat itu, lalu beliau takbir. Kami pun berdiri dan membuat saf di belakang beliau. Beliau solat dua rakaat kemudian memberi salam. Setelah itu kami minta beliau tinggal sebentar untuk menikmati makanan yang telah kami sediakan untuk beliau.
 
Maka datanglah para tetangga berkumpul ke rumah itu. Di antara mereka ada yang bertanya, "Mana Malik ibnu Dukhaisyin atau Ibnu Dukhsyun?"
 
Kata yang lain, "Si munafik itu? Dia tidak mencintai Allah dan Rasul-Nya."
 
Sabda Rasulullah, "Janganlah berkata begitu! Bukankah anda tahu, bahawa dia telah mengucapkan La illaha Illallah, kerana menginginkan keredhaan Allah?"
 
Jawab orang itu, "Allah dan RasulNya lah yang lebih tahu." Dan katanya pula, "Kami telah menyaksikan bagaimana pandangan dan kejujuran Nabi menghadapi orang - orang munafik. "
 
Bersabda Rasulullah saw. : "Sesungguhnya Allah mengharamkan masuk neraka orang-orang yang mengucapkan "La Illaahaillallah" dengan niat semata-mata kerana ingin keredaan Allah."
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0250.

Tuesday, December 18, 2012

Allah Memudahkan....

Selasa, 4 Safar 1434H: Dari Abu Hurairah ra. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang menolong menghilangkan kesusahan orang mukmin, Allah Taala menghilangkan pula kesusahannya di hari kiamat kelak.
 
Siapa yang membantu memudahkan orang yang dalam kesulitan, Allah memudahkannya pula di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hambanya selama hamba itu mahu menolong saudaranya.
 
Siapa berusaha mencari ilmu, Allah memudahkan baginya jalan ke syurga.
 
Bila suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah (masjid)lalu mereka membaca Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, diturunkan kepada mereka ketenangan dan diselubungi mereka dengan rahmat. Mereka dikerumuni oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut dengan bangga kepada orang-orang yang di dekat-Nya.
 
Sedangkan orang yang lalai beramal, ia tidak akan dapat mengejar ketinggalannya dengan gelar kebangsawanannya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2322.

Monday, December 17, 2012

Para Wanita, Bersedekahlah!

Isnin, 3 Safar 1434H: Dari Jabir bin' Abdullah r.a., katanya: "Aku hadir solat 'Id bersama-sama Rasulullah saw. pada hari raya. Mula-mula beliau solat sebelum berkhutbah tanpa azan dan iqamah. Beliau berkhutbah sambil berdiri dan berpegangan kepada Bilal. Beliau memerintahkan supaya taqwa kepada Allah dan mendorong supaya mentaati-Nya. Selanjutnya beliau memberi peringatan dan pengajaran kepada mereka. Kemudian beliau berlalu hingga sampai ke tempat kaum wanita. Beliau memberi pengajaran kepada para wanita, memperingatkan dan menyuruh mereka supaya gemar bersedekah.
 
Sabda beliau, "Bersedekahlah anda semua, kerana sesungguhnya kamulah saya lihat yang terbanyak menjadi kayu neraka." Mendengar itu, maka berdiri seorang perempuan di antara para wanita yang banyak dengan wajah merah kehitam-hitaman.
 
Dia bertanya; "Kenapa begitu, ya, Rasulullah?"
 
Jawab Rasulullah, "Kerana kamu banyak mengeluh dan suka membangkang kepada suami."
 
Kerana itu mereka sedekahkan perhiasan mereka, seperti anting-anting dan cincin, yang mereka lemparkan ke kain yang dibentangkan Bilal."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0835.

Friday, December 14, 2012

Imam (Pemimpin, Pembesar, Penguasa)

Jumaat, 30 Muharram 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Sesungguhnya Imam (pemimpin, pembesar, atau penguasa) itu adalah bagaikan perisai, di mana orang berperang memakai perisai dan menjaga diri dengannya.

Jika Imam memerintahkan supaya taqwa kepada Allah 'Azza wa Jalla dan berlaku adil, dia mendapat pahala kerananya, dan jika dia memerintahkan selain itu, maka dia mendapat seksa."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1809.

Thursday, December 13, 2012

Umat Akhir Zaman

Khamis, 29 Muharram 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., Ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kita umat yang terakhir (di dunia) paling di muka (di akhirat). Siapa yang mematuhi perintah saya, bererti ia telah patuh kepada Tuhan. Sebaliknya, siapa yang mendurhakai saya, sesungguhnya ia mendurhakai Tuhan.
 
Siapa yang mematuhi Amir (pembesar negeri), sesungguhnya ia telah mematuhi saya dan siapa yang mendurhakai Amir, sesungguhnya ia telah mendurhakai saya.
 
Dan sesungguhnya Imam itu dinding (pembela) terhadap rakyat yang dibelakangnya. Jika rakyat itu diperangi musuh, Imam mempertahankannya.
 
Jikalau ia memerintahkan taqwa kepada Allah dan ia bersikap adil, maka kerana hal yang demikian itu, ia memperoleh pahala. Sebaliknya kalau ia berkata (berbuat) bukan demikian, maka ia berdosa (dihukum.)".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1339.

Friday, December 7, 2012

Rahmat Allah Sentiasa Terbuka

Jumaat, 23 Muharram 1434H: Dari Abu Musa r.a., dari Nabi saw. katanya:
 
"Allah 'Azza wa Jalla membentangkan tanganNya malam hari untuk menerima taubat orang-orang yang bersalah siang hari,
 
Dan membentangkan tanganNya siang hari untuk menerima taubat orang yang bersalah malam hari, sehingga matahari terbit di Barat."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2368.

Thursday, December 6, 2012

Tujuh Perkara

Khamis, 22 Muharram 1434H: Dari Al Bara' bin' Ab r.a., katanya, "Rasulullah saw. memerintahkan kepada kami tujuh perkara yang melarang kami dari tujuh perkara. Beliau memerintahkan:
(1) Mengunjungi orang sakit.
(2) Menziarah jenazah.
(3) Mendoakan orang bersin.
(4) Menepati sumpah.
(5) Menolong orang yang teraniaya.
(6) Memenuhi undangan.
(7) Menyebarluaskan salam.

Beliau melarang :
(1) Memakai cincin emas,
(2) Minum dari bejana perak,
(3) Memakai seperai sutera,
(4) Memakai sutera campur katun, (
5) Memakai sutera biasa.
(6) Memakai sutera tebal,
(7) Memakai sutera kembang."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1974.

Wednesday, December 5, 2012

Madu

Rabu, 21 Muharram 1434H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. lalu dia berkata, "Saudaraku sakit perut sehingga dia buang-buang air."
 
Sabda Rasulullah saw., "Minumkan madu kepadanya." Lalu diminumkan madu kepadanya.
 
Kemudian dia datang pula kepada Nabi saw. lalu katanya, "Telah ku minumkan madu kepadanya, tetapi sakitnya bertambah."
 
Nabi saw. menyuruhnya pula meminumkan madu sampai berulang tiga kali.
 
Dia datang untuk keempat kalinya, Nabi saw. tetap menyuruhnya supaya meminumkan madu. Kata orang itu, "Aku telah meminumkannya, ya Rasulullah, namun sakitnya bertambah juga."
 
Sabda Rasulullah saw., "Allah Maha Besar! Perut saudara mu itulah yang dusta."
 
Lalu diminumkannya pula madu, maka sembuhlah saudaranya.
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2073.

Tuesday, December 4, 2012

Solatlah Dengan Tenang

Selasa, 20 Muharram 1434H: Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi saw. masuk ke dalam masjid, kemudian masuk pula seorang laki-laki lalu dia solat. Selesai solat, orang itu datang dan memberi salam kepada Nabi saw. Nabi menolak orang itu dan bersabda,

"Ulangilah solat anda kembali kerana anda belum solat!"

Maka diulanginya solatnya kembali, kemudian dia datang dan memberi salam kepada Nabi. Sabda Nabi,

"Ulangilah solat anda kembali, kerana anda belum solat!"

Sampai tiga kali Nabi saw. menyuruh orang itu demikian. Jawab orang itu,

"Demi Allah, yang telah mengutus anda dengan yang hak. Aku belum tahu cara solat yang lebih baik dari itu. kerana itu ajarkanlah kepada ku." Jawab Nabi saw.,

 "Apabila engkau berdiri hendak solat, ucapkanlah Takbir. Kemudian baca ayat-ayat Quran yang mudah bagi mu. Kemudian rukuk sehingga engkau tenang dalam rukuk itu, kemudian bangkit, berdiri lurus kembali. Sesudah itu sujud, sehingga engkau tenang dalam sujudmu itu. Sesudah itu bangkit, duduk, sehingga engkau tenang tenteram dalam dudukmu itu. Kemudian sujud, sehingga engkau tenang dalam sujudmu itu. Lakukanlah seperti itu setiap kamu solat."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0435.

Monday, December 3, 2012

Pemurah Dan Kikir

Isnin, 19 Muharram 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Perumpamaan orang yang kikir dengan orang yang pemurah, seperti dua orang memakai baju besi yang menutupi susu sampai ke leher.
 
Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badan sampai ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya).
 
Sedangkan orang yang kikir, kerana ia tidak hendak menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap pertemuan bajunya menyempit di tempatnya. Ia berusaha hendak melonggarkan, tetapi tidak boleh longgar."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0741.

Friday, November 30, 2012

Amalan Berbekam

Jumaat, 16 Muharram 1434H: Dari Humaid r.a., katanya: "Anas bin Malik ditanya orang tentang tukang bekam.

Jawab Anas, "Rasulullah saw. pernah berbekam. Yang membekamnya ialah Abu Thaibah. Setelah selesai berbekam, Rasulullah saw. memerintahkan supaya memberi Abu Thaibah dua gantang makanan, dan beliau menganjurkan kepada majikan Abu Thaibah supaya meringankan tugas yang dibebankan kepadanya."

Kemudian Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya berbekam itu termasuk cara pengubatan yang utama, atau termasuk ubat yang baik."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1545

Thursday, November 29, 2012

Cinta Bertemu Allah, Allah Cinta Menemuinya

Khamis, 15 Muharram 1434H: Dari 'Ubadah bin as-Shamit, dari Nabi saw., beliau bersabda: "Siapa yang cinta untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga cinta untuk menemuinya."

Siapa yang benci untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci untuk bertemu dengannya."

Lalu 'Aisyah atau salah seorang isteri Nabi yang lain berkata: "Kami memang benci untuk mati."

Nabi berkata: "Bukan begitu! Tetapi seorang yang beriman, kalau kematian telah datang kepadanya, maka ia diberi berita gembira dengan keredhaan dan kemurahan Tuhan. Maka tidak ada yang lebih disenanginya selain dari apa yang di depannya (akan diperolehnya). Kerana itu, ia cinta untuk menemui Allah dan Allah cinta pula untuk bertemu dengannya.

Sedangkan orang yang kafir kalau telah didatangi kematian, maka ia diberi berita tentang seksaan dan hukuman Allah. Kerana itu tidak ada yang lebih dibencinya dari apa yang di depannya (akan ditanggungkannya). Ia benci bertemu dengan Allah, dan Allah benci pula bertemu dengannya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1748.

Wednesday, November 28, 2012

Penuhi Saf dan Rapatkan Barisan

Rabu, 14 Muharram 1434H: Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Rasulullah saw. mendatangi kami lalu beliau bersabda: "Apa sebabnya anda mengangkat kedua tangan anda (dalam solat), sehingga ku lihat bagaikan ekor kuda liar? Bersikap tenanglah dalam solat!"

Kemudian beliau mendatangi kami pula, dan melihat kami berkelompok-kelompok. Lalu beliau bersabda: "Mengapa ku lihat anda berpisah-pisah?"

Kemudian beliau mendatangi kami pula lalu bersabda: "Mengapa anda tidak membuat saf (berbaris) seperti saf malaikat di hadapan Tuhannya?"

Tanya kami, "Bagaimana caranya saf malaikat di hadapan Tuhannya?"

Jawab beliau, "Mereka penuhi lebih dahulu saf pertama, dan mereka rapatkan barisan mereka."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0383

Tuesday, November 27, 2012

Kaya Jiwa

Selasa, 13 Muharram 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Yang disebut 'kaya', bukanlah kaya harta-benda duniawi, tetapi yang dikatakan 'kaya' ialah kaya jiwa."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1011.

Monday, November 26, 2012

Sekiranya Manusia Tahu!

Isnin, 12 Muharram 1434H: Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Ketika seseorang berjalan di suatu jalan; kemudian di menjumpainya sepotong duri di jalan itu, lalu dibuangnya, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya.
 
Sesudah itu beliau bersabda. pula: "Yang disebut mati syahid itu ada lima macam:
1. Orang mati kena tikam.
 2. Orang mati kerana sakit perut (kolera?)
3. Orang mati tenggelam.
4. Orang mati ditimpa tanah longsor (runtuh).
5. Orang yang mati fi sabilillah (mati di medan perang kerana berjuang menegakkan Agama Allah).
 
Kalaulah manusia tahu keutamaan azan dan saf pertama solat berjemaah, tetapi mereka tidak mungkin mendapatkannya kecuali hanya dengan jalan diundi, nescaya mereka akan mahu diundi untuk mendapatkannya.
 
Kalaulah mereka tahu keutamaan solat Zohor (dilakukan tepat pada awal waktu), pastilah mereka akan berlumba-lumba melaksanakannya.
 
Dan kalaulah mereka mengetahui keutamaan solat Isyak dan solat Subuh (dengan berjemaah), pastilah mereka akan memerlukan datang (ke masjid), sekalipun mereka akan merangkak."
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0372.

Friday, November 23, 2012

Puasa Sunat Hari Asyura

Jumaat, 9 Muharram 1434H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. belum lama tiba di Madinah, didapatinya orang-orang Yahudi puasa pada hari 'Asyura. Maka bertanya beliau kepada mereka, "Hari apakah ini, sehingga anda semua mempuasakannya?"
 
Jawab mereka, "Hari ini hari besar, di mana Allah telah memenangkan Musa serta kaumnya, dan menenggelamkan Firaun serta kaumnya. Kerana itu Musa puasa setiap hari itu untuk menyatakan syukur, lalu kami mempuasakannya pula."
 
Maka bersabda Rasulullah saw., "Kami lebih berhak dan lebih patut memuliakan Musa daripada kamu semua." Lalu Rasulullah saw. puasa pada hari 'Asyura dan memerintahkan kaum muslimin puasa pada hari itu. (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1099.)

Dari 'Abdullah bin 'Abbas r.a., dia menceritakan bahawa ketika Rasulullah saw. puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan memerintahkan kaum Muslimin supaya puasa, para sahabat berkata, "Hari ini adalah hari raya orang-orang Yahudi dan Nasrani."
Lalu Rasulullah saw. bersabda: "Apabila masih menyaksikan tahun yang akan datang, insya Allah kita puasa pada tanggal sembilan Muharram."

Kata 'Abdullah selanjutnya, "Ternyata tahun depan itu, beliau sudah wafat." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1103.)

Thursday, November 22, 2012

Puasa Asyura


Khamis, 8 Muharam 1434H:Dari 'Aisyah r.a.. katanya: "Biasanya orang-orang Quraisy pada masa jahiliyah, puasa dari hari 'Asyura. Dan Rasulullah saw. pun mempuasakannya. Ketika beliau tiba di Madinah, dia mempuasakannya dan suruhnya pula orang-orang puasa pada hari itu. Tatkala puasa Ramadhan telah diwajibkan, beliau meninggalkan puasa Asyura, dan siapa yang ingin mengerjakannya dibolehkan dan siapa yang ingin meninggalkannya boleh pula."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0988.



Wednesday, November 21, 2012

Solat Berjemaah

Rabu, 8 Muharam 1434H: Dari Abdullah r.a., katanya: "Siapa yang ingin bertemu dengan Allah kelak sebagai seorang muslim yang sempurna, maka hendaklah dia selalu solat berjemaah setiap mendengar azan. Kerana Allah telah mengukuhkan hukum-hukum agama kepada Nabi-Nya, di antaranya ialah solat berjemaah itu.
 
Andaikata anda solat sendirian di rumah anda, tidak datang ke masjid seperti halnya orang-orang yang tidak datang ini, bererti anda meninggalkan "sunnah nabi" anda. Apabila anda meninggalkan sunnah Nabi, bererti anda sesat.
 
Siapa berwuduk dengan sebaik-baiknya, kemudian dia pergi ke salah satu masjid, maka dituliskan Allah baginya untuk setiap langkah yang dilangkahkannya ke masjid itu, pahala satu kebajikan dan diangkat darjatnya satu darjat, serta dihapus daripadanya dosa satu kejahatan.
 
Menurut pendapat kami, orang yang tidak suka solat berjemaah ke masjid, ialah orang-orang munafik. Namun begitu, masih ada orang yang pergi solat berjemaah ke masjid, dipapah oleh dua orang lelaki sampai ia ditegakkan dalam saf."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0613.

Tuesday, November 20, 2012

Perintah Solat Menghadap Baitullah (Kaabah)

Selasa, 6 Muharam 1434H: Dari Barra' bin Azib r.a., "Pertama kali Nabi saw. datang ke Madinah, beliau bertempat tinggal di rumah abang atau pakcik-pakcik beliau dari kaum Ansar. Ketika itu Nabi solat menghadap ke Baitul Maqdis (Jerusalem), lebih kurang 16 atau 17 bulan lamanya. Sesungguhnya Nabi lebih suka Baitullah (Ka'bah di Mekah) menjadi kiblatnya. Dan solat yang mula-mula dikerjakan Nabi menghadap ke Baitullah (Kaabah) ialah solat Asar, yang dilakukan beliau bersama-sama dengan orang banyak. Kemudian salah seorang yang ikut jemaah bersama Nabi ketika itu keluar, dan pergi melalui sebuah masjid, di mana jemaahnya sedang rukuk (menghadap ke Baitul Makdis)"
 
Lantas orang itu berkata, "Demi Allah, baru saja saya solat bersama-sama Rasulullah menghadap ke (Baitullah di) Mekah. "Maka segera mereka merubah kiblat mereka menghadap ke Baitullah. Orang-orang Yahudi mulanya sangat bangga, ketika (Nabi dan pengikutnya) solat menghadap ke Baitul Maqdis. Begitu pula Ahli Kitab (Nasrani). Tetapi setelah kiblat umat Islam berubah ke Baitullah, mereka mencela perubahan itu. Selanjutnya Barra' menyebutkan dalam hadisnya ini, "Banyak orang telah meninggal di masa kiblat masih ke Baitul Makdis, dan yang terbunuh sebelum perubahan kiblat ke Baitullah. Kami tidak mengerti bagaimana (hukumnya) solat itu."
 
Lalu turun ayat: "Allah tidak akan mensia-siakan iman kamu semua." (Surah Al Baqarah, 2 : 143)

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0034.

Monday, November 19, 2012

Hijrah

Isnin, 5 Muharam 1434H: Dari 'Umar bin Khaththab r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya setiap amal tergantung kepada niat. Dan pahala bagi setiap orang yang beramal diberikan sesuai dengan apa yang diniatkannya. Siapa yang hijrah dengan niat kerana hendak memperoleh keredhaan Allah dan RasulNya, maka pahalanya ada di sisi Allah dan RasulNya. Dan siapa yang hijrah dengan niat hendak memperoleh harta kekayaan (kebanggaan duniawi) atau dengan niat hendak mengahwini seorang perempuan yang dicintainya, maka pahala hijrahnya sesuai dengan niatnya pula." ( Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1861.)

Dari Umar bin Khathab r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehnya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya untuk apa dia hijrah". (Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0001.)

Friday, November 9, 2012

Bila Angin Bertiup Kencang

Jumaat, 24 Zulhijjah 1433H: Dari 'Atha' bin Abu Rabah r.a., katanya dia mendengar 'Aisyah isteri Rasulullah saw. bercerita: Bila angin bertiup kencang, dan langit mendung berawan banyak, nampak kegelisahan di wajah Rasulullah saw., sehingga beliau maju mundur.
 
Apabila hujan telah turun wajah beliau berubah jadi gembira dan hilang kegelisahannya.
 
Kata 'Aisyah, "Aku bertanya kepada beliau, apa yang menyebabkannya gelisah begitu rupa."
 
Jawab beliau, "Aku khuatir, kalau-kalau angin dan mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umat ku. Tetapi bila hujan telah turun, maka hal itu adalah rahmat."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0852.

Thursday, November 8, 2012

Apabila Langit Berubah Warna

Khamis, 22 Zulhijjah 1433H: Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw., katanya: "Bila angin bertiup kencang, maka Rasulullah saw. membaca doa sebagai berikut: 'Allahumma inni as-aluka khairaha wa khaira ma fiha, wa khaira ma ursilat bihi. Wa a'udzubika min syarriha wa syarri ma fiha, wa syarri ma ursilat bihi'.
 
Dan apabila langit telah mendung dan warnanya berubah (hitam pekat disertai kilat dan guntur), beliau kelihatan gelisah, sehingga beliau keluar masuk ke muka dan ke belakang. Tetapi bila hujan telah turun, beliau gembira, kerananya, dan kelihatan di wajah beliau. Kerana itu aku bertanya kepada beliau, kenapa dia sampai begitu.
 
Jawab beliau, "Mungkin, hai 'Aisyah, seperti apa yang dikatakan mengenai kaum 'Ad: Setelah mereka melihat awan itu membentang menuju ke lembah-lembah mereka lalu berkata : Inilah awan-awan itu datang hendak menurunkan hujan bagi kita: Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disergerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Ahqaf: 24)


Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0853.

Tuesday, November 6, 2012

Orang Islam Yang Paling Baik

Selasa, 21 Zulhijjah 1433H: Dari 'Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a., katanya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw., "Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik?"
 
Jawab Rasulullah saw., "Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya:'

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0033.

Monday, November 5, 2012

Dibangkit Mengikut Niat Masing-masing

Isnin, 20 Zulhijjah 1433H: Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Satu pasukan tentera menyerang Kaabah. Ketika mereka berada di tanah lapang, mereka ditenggelamkan ke bumi dari yang dahulu sampai mereka yang penghabisan,"
 
Saya bertanya, "Ya, Rasulullah! Mengapa mereka ditenggelamkan dari yang dahulu sampai penghabisan? Padahal di dalam mereka ada orang-orang pasar (rakyat banyak) dan orang-orang yang bukan dari golongan mereka."
 
Sabda beliau, "Ditenggelamkan mereka dari yang dahulu sampai yang penghabisan, kemudian mereka dibangkit sesuai dengan niat mereka masing-masing."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1044.

Friday, November 2, 2012

Kita Bersaudara

Jumaat, 17 Zulhijjah 1433H: Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah saw, bersabda: "Janganlah kamu saling marah, jangan saling dengki, dan jangan pula saling tak acuh satu sama lain. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara. Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi saudaranya (sesama muslim) lebih dari tiga hari."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2189.

Thursday, November 1, 2012

Tawaf Wada

Khamis, 16 Zulhijjah 1433H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Orang ramai telah pulang ke negerinya masing-masing. Maka bersabda Rasulullah saw., "Janganlah seseorang pulang sebelum dia thwaf wada' (akhir) di Baitullah."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1261
 
 

Monday, October 29, 2012

Melontar Jamaratul Aqabah

Isnin, 13 Zulhijjah 1433H: Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Bahwasanya Usamah pernah menjadi pengiring Rasulullah saw. semenjak dari 'Arafah sampai ke Muzdalifah. Kemudian digantikan oleh Fadhal dari Muzdalifah sampai ke Mina. Kata Ibnu Abbas, keduanya mengatakan bahawa Nabi saw. sentiasa membaca talbiyah sehingga beliau melontar Jamratul 'Aqabah.

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0803.

Thursday, October 25, 2012

Khutbah Arafah Rasulullah SAW

Khamis, 9 Zulhijjah 1433H: Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah melakukan ibadah Haji yang terakhir pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah yang juga berlakunya peristiwa Haji Wida’ di Lembah Uranah, Bukit Arafah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyampaikan khutbah :
.
Rasululah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda; Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan!!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
  • Wahai manusia sekalian! Sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
  • Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba hendaklah dibatalkan mulai sekarang.
  • Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. Sesungguhnya syaitan itu masih terus berusaha (untuk mengganggu kamu) dengan cara yang lain. Syaitan akan puas jika kamu sekalian melakukan perbuatan tercela. Oleh kerana itu hendaklah kamu menjaga agamamu dengan baik.
  • Takutlah kepada Allah SWT dalam bersikap kepada wanita, kerana kamu telah mengambil mereka (menjadi isteri) dengan amanah Allah dan kehormatan mereka dihalalkan bagi kamu sekalian.
  • Wahai manusia sekalian! Sebagaimana kamu mempunyai hak (kewajipan) atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai kewajipan atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan kewajipan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
  • Layanilah wanita-wanita (hamba) kamu dengan baik! Berikanlah makan kepada mereka dengan apa yang kamu makan dan berikanlah pakaian kepada mereka dengan pakaian yang kamu pakai dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. Jika mereka melakukan suatu kesalahan yang tidak boleh kamu maafkan, maka pulangkanlah hamba tersebut dan janganlah kamu menyeksa mereka.
  • Wahai manusia sekalian! Dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.
  • Ketahuilah kamu sekalian, bahawa setiap Muslim itu adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh. Oleh sebab itu janganlah kamu menganiaya diri kamu sendiri.
Ya Allah, sudahkah aku menyampaikan mesej ini kepada mereka?
  • Ingatlah bahawa kamu akan menemui dan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
  • Wahai manusia sekalian! Tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.
  • Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Sekiranya kamu berpegang teguh dengan apa yang aku tinggalkan itu dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
  • Hendaklah orang-orang yang hadir mendengar ucapanku ini menyampaikannya kepada orang lain yang tidak hadir dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitulah seterusnya. Mungkin nanti orang yang mendengar berita tentang khutbah ini lebih memahami kata-kataku ini dari kamu yang mendengar terus dariku pada hari ini.
.
Kalau kamu semua nanti akan ditanya tentang kau, maka apakah yang akan kamu katakan?
Semua yang hadir menjawab, Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan tentang kerasulanmu, engkau telah menyampaikan amanah, dan telah memberikan nasihat.”
Sambil menunjuk ke langit, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kemudian bersabda; Saksikanlah Ya Allah! Bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”
.
(HR. Bukhari dan Muslim).

Ibadah Haji ialah Wukuf Di Arafah

Khamis, 9 Zulhijjah 1433H: Dari Bukair ibnu 'Atha' dari Abdur Rahman ibnu Ya'mar r.a berkata: "Saya telah menyaksikan Rasulullah saw didatangi orang-orang dan ditanya tentang manasik haji, jawab beliau: "Yang terpenting dalam ibadah haji adalah wuquf di Arafah, maka barangsiapa yang mendapatkan malam Arafah sebelum fajar terbit, maka ia telah menyempurnakan hajinya."
 
Hadis Sunan An-Nasai Jilid 3. Hadis Nombor 2877.

Wednesday, October 24, 2012

Wukuf di Arafah

Rabu, 8 Zulhijjah 1433H: Dari 'Abdullah bin 'Abdullah bin 'Umar, dari bapanya, katanya, "Kami berangkat pagi-pagi bersama-sama Rasulullah saw. dari Mina ke Arafah. Sementara itu, dalam rombongan kami ada yang membaca talbiyah, dan ada pula yang membaca takbir."

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1229.

Tuesday, October 23, 2012

Ibadat Qurban

Selasa, 7 Zulhijjah 1433H: Dari Al Bara' r.a. katanya: "Pakcikku Abu Burdah menyembelih korbannya sebelum solat hari raya.
 
Maka bersabda Rasulullah saw., "Itu hanya kambing untuk daging makanan (bukan kurban)."
 
Jawab Pakcik, "Ya, Rasulullah! Kambingku hanya tinggal seekor kambing muda."
 
Sabda Nabi saw., "(Kali ini) engkau boleh berkorban dengan itu, tetapi tidak mencukupi bagi yang lain-lain."
 
Kemudian beliau melanjutkan sabdanya "Siapa menyembelih korban sebelum solat 'Id, dia hanya menyembelih untuk dirinya sendiri (tidak menyembelih kurban), dan siapa menyembelih sesudah solat 'Id maka sempurnalah ibadatnya dan dia telah melaksanakan sunnah kaum muslimin dengan tepat."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1908.

Monday, October 22, 2012

Haji - Solat Jamak Tamam di Muzdalifah

Isnin, 6 Zulhijjah 1433H: Dari Usamah bin Zaid r.a., katanya: "Rasulullah saw. berangkat dari Arafah. Ketika sampai di suatu bukit, beliau turun hendak buang air kecil dan sesudah itu beliau wuduk dengan sederhana. Lalu aku bertanya kepada beliau, "Apakah akan solat sekarang?"
 
Jawab beliau, "Belum. Nanti saja pada perhentian yang berikut." Lalu beliau naik kenderaan kembali.
 
Setelah sampai di Muzdalifah beliau turun, lalu wuduk dengan sempurna. Kemudian diqamatkan orang solat Maghrib dan semua orang berhenti di situ. Lalu diqamatkan pula solat Isyak, tanpa solat sunat antara keduanya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1230.

Friday, October 19, 2012

Puasa Sunat Hari Arafah

Jumaat, 3 Zulhijjah 1433H: Ahmad bin Mani' menceritakan kepada kami, Isma'il bin 'Ulabbah memberitahukan kepada kami, Ayub memberitahukan kepada kami di mana keduanya berkata: "Hammad bin Zaid memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ghailan bin Jarir dari 'Abdullah bin Ma'bad Az-Zamani dari Abu Qatadah bahawasanya nabi s.a.w. bersabda: "Puasa pada hari 'Arafah, sesungguhnya saya memohon kepada Allah, agar dapat menghapus dosa satu tahun sesudahnya dan satu tahun sebelumnya."
 
Di dalam bab ini terdapat hadis dari Abu Sa'id. Abu 'Isa berkata: "Hadis Abu Qatadah tersebut adalah hadis hasan. Para ulama' menganggap sunat untuk berpuasa pada hari 'Arafah kecuali di 'Arafah."

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 2. Hadis Nombor 0746

Thursday, October 18, 2012

Wukuf di Arafah

Khamis, 2 Zulhijjah 1433H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Orang-orang Quraisy dan orang-orang yang seagama dengan mereka, dahulu mereka wukuf di Muzdalifah dan mereka dinamakan "Al Hums" (pemberani).
 
Tetapi orang-orang Arab lainnya wukuf di Arafah. Ketika Islam datang Allah 'Azza wa Jalla memerintahkan kepada Nabi-Nya supaya datang ke Arafah dan wukuf di sana. Setelah itu berangkat dari sana bersama-sama.
 
Itulah yang dimaksud dengan firman Allah swt.: "Kemudian berangkatlah kamu semua dari tempat berangkatnya orang ramai."(Al Baqarah : 199)

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1191.

Wednesday, October 17, 2012

Solat Jamak di Muzdalifah

Rabu, 1 Zulhijjah 1433H: Dari Abu Ayyub al Anshary r.a., katanya: "Bahawasanya Rasulullah saw. pernah menjamak solat Maghrib dan Isyak di Muzdalifah ketika Haji Wada'."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0862

Tuesday, October 16, 2012

Haji Yang Mabrur


Selasa, 30 Zulkaedah 1433H : Dari Abu Hurairah r.a, katanya ada orang bertanya kepada Rasulullah saw, tanyanya: "Apakah amal yang paling utama?"

Jawab Nabi saw, "Percaya kepada Allah dan Rasul-Nya."

Tanyanya pula, "Sesudah itu apakah?"

Jawab beliau, "Jihad (berusaha keras atau berjuang) di jalan Allah!"

Tanyanya lagi, "Sesudah itu apa pula?"

Jawab beliau, " Haji yang mabrur (haji yang diterima Allah, kerana memenuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan Allah)"

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0021.

Friday, October 12, 2012

Haji Ibadat Quran (Unta & Lembu)

Jumaat,28 Zulkaedah 1433H: Dari Jabir r.a., katanya: "Kami pergi haji bersama Rasulullah saw. Lalu beliau menyuruh kami bersekutu tujuh orang untuk korban seekor unta atau seekor sapi bersekutu tujuh orang. "

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1254.

Tuesday, October 9, 2012

Haji - Jangan Menyeksa Diri

Selasa, 23 Zulkaedah 1433H: Dari Anas r.a., katanya Nabi saw. pernah melihat seorang orang tua berjalan dipimpin oleh dua orang anaknya.
 
Lalu beliau bertanya, "Bagaimana orang tua ini?"
 
Jawab mereka, "Beliau bernazar akan melakukan (ibadah haji) dengan berjalan kaki."
 
Sabda Rasulullah saw., "Sesungguhnya Allah swt. Maha Kaya untuk menyuruh seseorang menyeksa diri." Lalu orang tua itu diperintahkan beliau supaya naik kenderaan.

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1626.

Monday, October 8, 2012

Rasulullah & Tawaf

Isnin, 22 Zulkaedah 1433H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya : "Rasulullah saw. melakukan tawaf qudum untuk haji dan umrah, berlari-lari kecil tiga kali putaran dan berjalan empat kali putaran. Kemudian beliau soat dua rakaat (di Maqam Ibrahim) dan sesudah itu saai antara Safa dan Marwa."
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1217

Thursday, October 4, 2012

Larangan Haji & Umrah

Khamis, 18 Zulkaedah 1433H: Dari Ya'la bin Umayyah, dari bapanya r.a., katanya: "Seorang lelaki mendatangi Rasulullah saw. di Ja'ranah, ketika beliau sedang umrah. Janggut dan rambut lelaki itu dicatnya kuning (pakai pacar) dan dia memakai jubah. Lalu dia bertanya kepada Rasulullah saw., "Bolehkah aku umrah dalam keadaan dan pakaianku seperti sekarang?"
 
Jawab Rasulullah saw., "Tanggalkan jubahmu, cuci cat janggut dan rambutmu. Lalu apa yang diperbuat dalam haji lakukan pula dalam umrah."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1148

Wednesday, October 3, 2012

Haji, Perempuan & Muhrim

Rabu,17 Zulkaedah 1433H: Dari Ibnu Abbas r.a.: Ia mendengar Nabi s.a.w. bersabda: "Janganlah seorang laki-laki tinggal berdua saja dengan seorang perempuan!
 
"Dan janganlah seorang perempuan berpergian, melainkan bersama muhrim!"
 
Seorang laki-laki lalu berdiri, katanya: "Hai Rasulullah! Nama saya telah didaftarkan untuk peperangan ini dan itu, sedang isteri saya akan pergi mengerjakan haji".
 
Beliau bersabda: "Pergilah engkau mengerjakan haji bersama isteri engkau!"
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1357.

Tuesday, October 2, 2012

Haji. Terlanjur atau Terlupa

Selasa, 16 Zulkaedah 1433H: Dari 'Abdullah bin 'Amru bin 'Ash r.a .,katanya: "Ketika haji wada', Rasulullah saw. pernah berhenti di Mina untuk menunggu orang banyak agar bertanya kepada beliau. Maka tampillah seorang lelaki, lalu dia bertanya: "Ya, Rasulullah. Aku sudah terlanjur bercukur sebelum menyembelih korban, bagaimana itu?" Jawab beliau, "Sembelihlah, tidak mengapa!"
 
Kemudian datang pula lelaki yang katanya: "Ya, Rasulullah! Aku sudah terlanjur menyembelih lebih dahulu sebelum melontar, bagaimana itu?" Jawab beliau, "Lontarlah. Tidak mengapa!"
 
Kata 'Abdullah, "Segala sesuatu yang ditanyakan kepada beliau, ialah hal-hal yang urutannya tidak tertib kerana terlanjur atau lupa. Dijawab oleh beliau, "Teruskanlah, tidak berdosa."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1248.

Monday, October 1, 2012

Haji Rasulullah SAW

Isnin, 15 Zulkaedah 1433H: Dari Zaid bin Arqam r.a., katanya: "Rasulullah saw. berperang sembilan belas kali peperangan, dan beliau naik haji sesudah hijrah satu kali, di mana beliau tidak pergi haji lagi sesudah itu, selain haji Wada'."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1783.

Friday, September 28, 2012

Ihram Haji & Umrah

Jumaat, 12 Zulkaedah 1433H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Kami pergi haji bersama-sama Rasulullah saw. lalu beliau bersabda : "Siapa yang ingin ihram untuk haji dan umrah sekaligus, silakan, dan siapa yang ingin ihram untuk haji saja silakan pula; dan siapa yang ingin ihram untuk umrah saja silakan juga!"
Kata 'Aisyah r.a.,"Rasulullah sendiri beserta sekelompok sahabat ihram untuk haji, kelompok yang lain ihram untuk umrah dan haji, sekelompok lagi ihram untuk umrah saja. Sedangkan aku sendiri ihram untuk umrah saja."
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1183.

Thursday, September 27, 2012

Haji Ifrad & Qiran

Khamis, 11 Zulkaedah 1433H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Kami pergi haji dengan Nabi saw. pada haji wada' dan kami ihram untuk umrah. Nabi saw. bersabda, "Barangsiapa mempunyai hadnya, ihramlah untuk Haji dan Umrah, dan jangan halal supaya boleh halal untuk keduanya sekaligus."
 
"Ketika saya tiba di Mekah," kata 'Aisyah, "maka saya haid, tidak boleh tawaf dan saai. Lalu saya ceritakan hal itu kepada Nabi saw."
 
Sabda beliau, "Bukalah sanggulmu, bersisir dan ihramlah untuk Haji dan hentikanlah Umrah."
 
Maka perintah beliau itu aku laksanakan. Sesudah mengerjakan Haji, beliau memerintahkan saya dan Abdurrahman bin Abu Bakar supaya pergi ke Tanaim dan di sana saya memulai umrah.
 
Sabda beliau, "Inilah umrah pengganti umrah engkau yang gagal tadinya."
 
Kata 'Aisyah, "Maka tawaflah semua orang yang ihram untuk Umrah di sekeliling Kaabah, dan saai antara Safa dan Marwah, kemudian mereka halal dan tawaf satu kali sekembali mereka dari Mina. Dan, orang yang menghimpun Haji dan Umrah, mereka tawaf satu kali saja."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0811.

Wednesday, September 26, 2012

Jenis-Jenis Haji

Rabu, 9 Zulkaedah 1433H: Dari 'Aisyah r.a. katanya: "Diantara kamu ada yang ihram untuk haji ifrad (mendahulukan haji dari umrah), ada yang ihram untuk haji Qiran (mengerjakan haji digabung dengan umrah sekaligus) dan ada pula yang ihram untuk haji Tamattuk (mendahulukan umrah daripada haji)."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1185.

Tuesday, September 25, 2012

Tempat Miqat Ibadat Haji & Umrah

Selasa, 9 Zulkaedah 1433H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Rasulullah saw. menetapkan miqat (tempat memulai ihram) bagi penduduk Madinah di Zulhulaifah,
 
bagi penduduk Syam di Juhfah,
 
bagi penduduk Nejed di Qarnalmanazil,
 
dan bagi penduduk Yaman, Yalamlam.
 
Tempat-tempat itu berlaku pula bagi orang-orang yang bukan penduduk negeri-negeri tersebut, tetapi dia bermaksud menunaikan ibadah haji dan umrah melalui tempat-tempat itu bagi orang yang lebih dekat ke Mekah dari tempat-tempat tersebut atau bagi penduduk Mekah sendiri, miqatnya ialah di mana mereka berada."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1149.

Monday, September 24, 2012

Perlaksanaan Haji Rasulullah SAW

Isnin, 8 Zulkaedah 1433H: Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya: "Rasulullah saw. mengerjakan haji tamattu' ketika beliau haji wada', iaitu dengan mengerjakan umrah sebelum haji. Kemudian beliau bayar denda dengan haiwan korban yang dibawanya dari Zulhulaifah, tempat beliau memulai ihram untuk umrahnya itu.
 
Sesudah itu barulah beliau ihram pula untuk haji, dan orang ramai umrah pula bersama-sama dengan beliau. Di antara orang ramai itu ada yang membawa hadiah, dan ada pula yang tidak membawa hadiah.
 
Setibanya Rasulullah saw. di Mekah. beliau bersabda kepada orang ramai, "Siapa-siapa yang membawa hadiah, dia tidak boleh tahallul (berhenti ihram) hingga selesai haji. Dan siapa yang tidak membawa hadiah, hendaklah tawaf di Bait, kemudian di Safa dan Marwa, sesudah itu dia boleh bercukur dan tahallul.
 
Kemudian dia hams ihram kembali untuk haji,dan harus membayar denda dengan menyembelih korban.
 
Siapa yang tidak membawa haiwan kurban, dia harus puasa tiga hari di tempat haji dan tujuh hari apabila dia telah tiba di kampungnya.
 
Sesampainya di Mekah lebih dahulu beliau jamah hajar aswad, kemudian beliau berlari-lari keci1 tiga kali putaran keliling Kaabah dan berjalan biasa empat kali putaran. Selesai tawaf keliling Kaabah, beliau solat dua rakaat di Maqam Ibrahim. Selesai solat, beliau pergi ke Safa dan Marwah lalu saai antara Safa dan Marwah tujuh kali. Beliau tidak tahallul sampai selesai haji dan menyembelih korbannya di hari Nahar (10 Zulhijjah).
 
Sesudah itu beliau kembali ke Mekah, lalu tawaf di Bait, kemudian tahallul atau menghalalkan segala sesuatu yang tadinya haram dikerjakan selama ibadah haji. Apa yang diperbuat beliau itu dicontoh pula oleh orang-orang yang membawa haiwan korban
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1198.

Friday, September 21, 2012

Wajib Haji

Jumaat, 5 Zulkaedah 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah saw. bersabda kepada kami dalam suatu pengajian, sabdanya: "Hai manusia! Allah telah mewajibkan kepada mu ibadah haji; kerana itu hajilah kamu semua."
 
Lalu bertanya seorang lelaki, "Apakah setiap tahun, ya Rasulullah?"
 
Beliau diam beberapa ketika, sehingga orang itu bertanya sampai tiga kali. Kemudian beliau menjawab, "Seandainya ku katakan ya, tentulah wajib kamu tunaikan setiap tahun; nescaya kau tidak akan sanggup melaksanakannya. Kerana itu biarkanlah untuk sementara masalah yang belum ku jelaskan. Sesungguhnya orang-orang yang sebelum engkau mendapat celaka kerana mereka banyak tanya dan suka mendebat para Nabi mereka. Kerana itu bila ku perintahkan kamu mengerjakan sesuatu, laksanakanlah seboleh-bolehnya, dan apabila ku larang kamu mengerjakan sesuatu, hentikanlah segera."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1275

Tuesday, September 18, 2012

Menghadiri Jamuan

Selasa, 2 Zulkaedah 1433H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Apabila seorang saudara mu mengundang kamu menghadiri suatu jamuan, hendaklah diperkenankan, baik undangan itu jamuan perkahwinan atau sebagainya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1361.

Friday, September 14, 2012

Baik Sangka Terhadap Allah

Jumaat, 27 Syawal 1433H: Dari Jabir bin 'Abdullah Al Anshari r.a. katanya tiga hari sebelum Rasulullah saw. wafat beliau bersabda: "Janganlah kamu mati melainkan baik sangka terhadap Allah 'Azza wa Jalla"
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2451.

Wednesday, September 12, 2012

Imam Untuk Diikuti

Rabu, 25 Syawal 1433H: Berita dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., bahawa beliau bersabda: "Imam itu ditetapkan untuk diikuti. kerana itu janganlah kamu menyalahinya. Apabila dia rukuk, rukuk pulalah kamu. Apabila dia membaca Sami'allahu liman hamidah, maka baca pulalah Rabbana lakal hamdu. Dan apabila dia sujud, sujud pulalah kamu, apabila dia duduk, duduk pulalah semuanya. Dan luruskan saf (barisan) dalam solat; sesungguhnya meluruskan saf itu sebaik-baik solat."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0402.

Tuesday, September 11, 2012

Hindari Prasangka

Selasa, 24 Syawal 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hindarilah prasangka, kerana prasangka itu berita yang paling bohong. Jangan saling mencari-cari keburukan orang. Jangan saling mengorek rahsia orang dan saling menyaingi. Jangan saling mendengki. Jangan saling marah dan jangan saling tak acuh. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara sebagai hamba-hamba Allah."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2191.

Monday, September 10, 2012

Jangan Meminta-minta Mati

Isnin, 23 Syawal 1433H: Dari Anas r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Sekali-kali janganlah kamu meminta-minta mati kerana suatu musibah yang menimpa. Jika kamu hendak meminta juga, maka mendoalah sebagai berikut : "Allahumma ahyini mall kaanatil hayatu khairan Ii, wa tawaffani idza kaanatil wafaatu khairan li." (Wahai Allah! Panjangkanlah umurku jika umur panjang itu yang lebih baik bagi ku, dan matikanlah aku jika mati itu yang lebih baik bagiku).
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2305.

Friday, September 7, 2012

Mengerjakan Haji Perlu Belajar

Jumaat, 20 Syawal 1433H: Dari Jabir r.a., katanya : "Aku melihat Nabi saw. melontar dari atas kenderaannya pada hari Nahar (hari menyembelih kurban, iaitu 10 Zulhijjah). Lalu beliau bersabda: "Hendaklah kamu sekalian pelajari sungguh-sungguh bagaimana caranya aku mengerjakan haji, kerana aku tidak tahu, barangkali aku tidak akan sempat lagi mengerjakan haji sesudah hajiku ini."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1238.

Thursday, September 6, 2012

Puasa & Badal Haji

Khamis, 20 Syawal 1433H: Dari 'Abdullah bin Buraidah, dari bapanya, katanya: "Ketika aku sedang duduk dekat Rasulullah saw., tiba-tiba datang seorang wanita lalu dia bertanya: "Aku pernah memberikan seorang hamba sahaya perempuan kepada ibu ku dan kini ibu ku telah meninggal. Bagaimana itu?"

Jawab beliau, "Engkau tentu mendapat pahala dari pemberianmu itu, dan sekarang pemberianmu itu kembali kepada mu sebagai pusaka."

Tanya wanita itu, "Ibuku punya hutang sebulan puasa. Bolehkah aku puasa untuk membayarnya?"

Jawab beliau, "Ya, boleh! Puasalah untuknya!"

Tanyanya lagi, "Ibuku belum pernah haji. Bolehkah aku yang menghajikannya?

 Jawab beliau, "Ya, boleh! Hajikanlah dia!"
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1115.

Wednesday, September 5, 2012

Nikmat dan Mulianya Mati Syahid

Rabu, 18 Syawal 1433H: Dari Anas bin Malik r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Tidak satu pun orang yang telah mati, pada hal dia telah memperoleh pahala yang menggembirakan di sisi Allah, yang ingin kembali ke dunia sekalipun dunia dan seluruh isinya diberikan kepadanya, kecuali orang yang mati syahid. Orang mati syahid itu ingin kembali ke dunia, kerana dia ingin sekali lagi sebagai syuhada kerana dia telah melihat bagaimana mulianya mati syahid."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1835.

Tuesday, September 4, 2012

3 Amalan Yang Disukai Allah

Selasa, 17 Syawal 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Pada hari kiamat kelak Allah Azza wa Jalla berfirman: Hai anak Adam! Aku sakit, mengapa tidak engkau kunjungi Aku?"
 
Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan ku. Bagaimana mungkin aku mengunjungi Engkau padahal Engkau Tuhan semesta alam?"
 
Firman Allah Ta'ala, "Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba Ku si Fulan sakit, mengapa kamu tidak mengunjunginya? Apakah kamu tidak tahu seandainya kamu kunjungi dia, kamu akan mendapati Ku di sisinya?"
 
"Hai, anak Adam! Aku minta makan kepada mu, mengapa kamu tidak memberi Ku makan?"
 
Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan. Bagaimana mungkin aku memberi Engkau makan, padahal Engkau Tuhan semesta alam?"
 
Firman Allah Ta'ala, "Apakah kamu tidak tahu, bahawa hamba Ku si Fulan minta makan kepada mu tetapi kamu tidak memberinya makan. Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu memberinya makan nescaya engkau mendapatkannya di sisi Ku?"
 
"Hai, anak Adam! Aku minta minum kepada mu, mengapa kamu tidak memberi Ku minum?"
 
Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan, bagaimana mungkin aku memberi Engkau minum, padahal Engkau Tuhan semesta alam?"
 
Firman Allah Ta'ala, "Hamba Ku si Fulan minta minum kepada mu, tetapi kamu tidak memberinya minum. Ketahuilah, seandainya kamu memberinya minum, nescaya kamu mendapatkannya di sisi Ku."


Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2201.

Monday, September 3, 2012

Siapa Harus Di Undang, Tidak Di Undang...

Isnin, 16 Syawal 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Seburuk-buruk makanan ialah makanan pesta, di mana orang yang seharusnya datang tidak diundang, sedangkan orang yang enggan datang malah diudang. Dan siapa yang tidak memenuhi suatu undangan sesungguhnya dia durhaka kepada Allah dan RasulNya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1366.

Thursday, August 30, 2012

Undangan Tanpa Mengikut Darjat

Khamis, 12 Syawal 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Seburuk-buruk makanan ialah makanan pesta, apabila yang diundang ke pesta itu hanya orang-orang kaya saja, tanpa mengikut-sertakan orang-orang miskin. Siapa yang tidak mendatangi suatu undangan, sesungguhnya dia mendurhakai Allah dan Rasul-Nya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1365

Wednesday, August 29, 2012

Penuhilah Undangan

Rabu, 11 Syawal 1433H: Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Penuhilah suatu undangan apabila kamu memang diundang menghadirinya. Kata Nafi', 'Abdullah bin 'Umar memang selalu mendatangi setiap undangan, baik undangan pesta perkahwinan atau tidak; bahkan sekalipun dia sedang puasa."

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1362.

Tuesday, August 28, 2012

Menziarahi Kubur

Selasa, 10 Syawal 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. ziarah ke kubur ibunya, lalu beliau menangis, maka menangis pulalah orang sekelilingnya. Kemudian beliau bersabda: "Aku mohon izin kepada Tuhan ku untuk memintakan ampun bagi ibu ku, tetapi tidak diperkenankan-Nya. Kemudian ku mohon izin untuk menziarahi kuburnya, maka diperkenankan-Nya bagi ku. Kerana itu pergilah kalian ke kubur, kerana hal itu akan mengingatkan kalian kepada maut.
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0924.

Monday, August 27, 2012

Puasa Sunat Syawal 6 Hari

 
Isnin, 9 Syawal 1433H: Dari Abu Ayyub Al Anshari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang puasa bulan Ramadhan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa.'"
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1134.

Thursday, August 16, 2012

Malam Qadar

Khamis, 27 Ramadhan 1433H: Dari Salim bin 'Abdullah bin 'Amru r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda perihal malam qadar. Sabdanya: "Beberapa orang di antara kamu telah bermimpi bahawa malam qadar ita terdapat pada tujuh malam yang awal, sedangkan yang lain bermimpi terdapat pada tujuh malam yang akhir dari Ramadhan. Maka carilah dia pada sepuluh yang akhir
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1137.

Wednesday, August 15, 2012

Menanti Malam 27 Ramadhan

Rabu, 26 Ramadhan 1433H: Dari 'Abdullah bin Mas'ad r.a., katanya: "Siapa yang melakukan solat malam sepanjang tahun nescaya dia bertemu dengan "Malam Qadar"
 
Jawab Ubay, "Demi Allah! Malam itu sesungguhnya terdapat dalam bulan Ramadhan. Demi Allah! Aku tahu malam itu, di mana Rasulullah saw. menyuruh kami menegakkannya (beribadah pada malam itu), iaitu yang kedua puluh tujuh Ramadhan.
 
Tanda-tandanya ialah, esok pagi matahari kelihatan putih tanpa sinar yang mencorot."

(Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0736.)

Tuesday, August 14, 2012

Mencari Lailatul Qadar Malam ke-27

Selasa, 25 Ramadhan 1433H: Dari Salim, dari bapanya r.a., katanya seorang lelaki bermimpi bahawa malam qadar terdapat pada malam kedua puluh tujuh bulan Ramadhan.

Maka bersabda Nabi saw., "Aku bermimpi seperti mimpimu, iaitu pada sepuluh yang akhir. Kerana itu carilah dia pada malam-malam yang ganjil."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1136.

Monday, August 13, 2012

Lailatul Qadar - Diampun Dosa Bagi Yang Iklhas

Isnin, 24 Ramadhan 1433H: Dari Abu Hurairah: Rasulullah saw telah bersabda: "Barangsiapa yang beribadah malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan berharap pahala dari Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu. Dan barangsiapa yang beribadah di malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan berharap pahala dari Allah, maka dia akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu." ( Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2168.)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw., bersabda: "Barangsiapa melakukan solat di malam qadar kerana iman dan ikhlas, nescaya diampuni (Allah) dosanya yang telah lalu." ( Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0029.)

Friday, August 10, 2012

Lailatul Qadar 25, 27, 29 ?

Jumaat,21 Ramadhan 1433H: Diceritakan oleh Ubadah bin Shamit r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. keluar hendak mengkhabarkan tentang terjadinya Malam qadar. (Kebetulan) beliau bertemu dengan dua orang laki-laki muslim sedang berbantah.

Maka Nabi bersabda, "Saya keluar hendak mengkhabarkan tentang terjadinya Malam qadar; kebetulan saya melihat dua orang sedang berbantah, maka aku jadi lupa. Mudah-mudahan kelupaan itu berguna untuk Anda sekalian.

Carilah Malam qadar itu di malam ketujuh, kesembilan dan kelima."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0041.

Thursday, August 9, 2012

Lailatul Qadar Malam ke 21 ?

Khamis, 20 Ramadhan 1433H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Rasulullah saw. i'tikaf pada sepuluh awal bulan Ramadhan, kemudian dilanjutkannya pada sepuluh pertengahan, dalam sebuah kubah kecil yang pintunya ditutup dengan tikar. Lalu beliau ambil tikar itu dan diletakkannya di sudut gobah. Kemudian diulurkannya kepalanya seraya berujar memanggil orang banyak. Maka mendekatlah mereka kepada beliau, lalu beliau bersabda: "Aku telah i'tikaf sejak sepuluh awal bulan untuk mendapatkan Malam qadar, kemudian sepuluh yang pertengahan. Kemudian dikatakan kepada ku bahawa malam qadar itu terdapat pada sepuluh yang akhir. Maka siapa yang suka i'tikaf, silakan!"
 
Lalu orang banyak i'tikaf bersama-sama dengan beliau. Sabda beliau pula, "Aku bermimpi melihat malam qadar di malam yang ganjil, di mana pagi-pagi aku sujud di tanah basah. Memang, pagi-pagi malam kedua puluh satu beliau solat Subuh sedangkan hari hujan sehingga masjid tergenang air. Aku melihat tanah dan air. Setelah selesai solat Subuh, Nabi saw. keluar sedangkan di kening dan di hidungnya ada tanah basah.
Malam itu ialah malam kedua puluh satu dari sepuluh yang akhir bulan Ramadhan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1139.

Tuesday, August 7, 2012

Malam Seribu Bulan

Selasa, 18 Ramadhan 1433H: Harun bin Ishaq Al-Hamdani menceritakan kepada kami, 'Abdah bin Sulaiman memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Hisyam bin 'Urwah dari ayahnya dari 'Aisyah di mana ia berkata: "Rasulullah s.a.w. biasa beri'tikaf pada sepuluh terakhir dalam bulan Ramadan, dan bersabda: "Bersungguh-sungguhlah kamu (untuk mendapatkan) Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadan."
Masalah yang sama diriwayatkan pula dari 'Umar, Ubayy bin Ka'b, Jabir bin Samurah, Jabir bin 'Abdullah, Ibnu 'Umar, Al-Falatan bin 'Ashim, Anas, Abu Sa'id, 'Abdullah bin Unais, Abu Bakrah, Ibnu 'Abbas, Bilal dan 'Ubadah dan Ash-Shamit. Abu 'Isa berkata: "Hadis 'Aisyah itu adalah hadis hasan sahih; sedangkan kata yujaawiru ertinya adalah beri'tikaf. Banyak riwayat dari Nabi s.a.w. bahawasanya baginda bersabda: "Carilah Lalatul Qadar itu pada sepuluh terakhir pada setiap yang ganjil."
Diriwayatkan dari Nabi s.a.w. tentang Lailatul Qadar iaitu bahawasanya Lailatul Qadar itu adalah pada malam 21, 23, 25, 27, 29 dan malam terakhir dari bulan Ramadan."
Asy-Syafi'i berkata: "Itu hanyalah pendapat saya. Dan Allah Maha Mengetahui; di mana Nabi s.a.w. menjawab suatu pertanyaan sewaktu ditanya tentang Lailatul Qadar. Dikatakan kepada baginda bahawa kamu mencarinya pada malam ini, kemudian baginda bersabda: "Carilah Laiatul Qadar itu pada malam ini." Asy-Syafi'i berkata: "Riwayat yang paling kuat menurut pendapat saya ialah bahawa Lailatul Qadar itu jatuh pada malam tanggal 21."
Abu 'Isa berkata: "Diriwayatkan dari Ubbay bin Ka'b bahawasanya ia bersumpah bahawa Lailatul Qadar itu berada pada malam 27 di mana ia berkata: "Rasulullah s.a.w. memberitahukan kepada kami dengan tanda-tanda malam itu kemudian kami menyebut-nyebut dan menghafalnya."
Diriwayatkan dari Abu Qilabah bahawasanya ia berkata: "Lailatul Qadar itu berkisar pada sepuluh terakhir." 'Abd bin Humaid memberitahukan yang demikian kepada kami, 'Abdur Razzaq memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ma'mar dari Ayyub dari ABu Qilabah dengan maksud seperti itu."
Hadis Sunan At-Termizi Jilid 2. Hadis Nombor 0789.

Monday, August 6, 2012

Ayat-ayat Mutasyabihat

Isnin, 17 Ramadhan 1433H: Dari Aisyah r.a. katanya, Rasulullah saw. membaca ayat : "Dialah yang menurunkan Kitab (Al Quran) kepada mu. Di antara isinya terdapat ayat-ayat maklumat (yang jelas dan tegas maksudnya), dan yang lain (ayat-ayat) mutasyabihat (samar-samar). Adapun orang-orang yang hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti ayat-ayat yang mutasyabihat, untuk menimbulkan fitnah (bencana) dan untuk mencari-cari takwilnya. Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan hanya Allah.
 
Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman kepada ayat-ayat mutasyabihat, semuanya itu turun dari Tuhan kami " Dan tidak dapat memahaminya kecuali orang-orang yang cerdas. " (Ali 'Imran, 3 : 7).
 
Kata 'Aisyah, maka bersabda Rasulullah saw., Apabila tuan-tuan melihat orang-orang yang mengikuti ayat-ayat mutasyabihat itulah orang-orang yang dimaksud Allah dalam ayat itu. Maka jauhilah mereka:"

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2288.

Friday, August 3, 2012

Malam Qadar

Jumaat, 14 Ramadhan 1433H: Diceritakan oleh Abu Salamah r.a., katanya: "Aku datang bertanya kepada Abu Sa'id Al Khudri, tanyaku: "Tidakkah lebih baik kita pergi ke Nakhl supaya kita dapat bercakap-cakap di sana?" Lalu kami pergi ke sana.
 
Aku berkata kepadanya, "Ceritakanlah kepada ku, apa yang telah tuan dengar dari Nabi saw. tentang Malam Qadar"
 
Katanya, "Rasulullah sedang iktikaf sepuluh hari pertama bulan Ramadhan. Kami pun iktikaf pula bersama-sama dengan beliau. Maka datanglah malaikat Jibril mengatakan, "Yang tuan inginkan itu (malam qadar) belum datang."
 
Nabi saw. meneruskan lagi iktikaf beliau pada sepuluh hari pertengahan bulan. Kami pun iktikaf pula bersama-sama dengan beliau. Lalu datang pula malaikat Jibril mengatakan: "Yang tuan inginkan belum datang."
 
Keesokan pagi dari malam kedua puluh bulan Ramadhan, Nabi saw. berpidato. Sabda beliau: "Barangsiapa iktikaf bersama-sama dengan ku, hendaklah diteruskannya, kerana kepada ku telah diperlihatkan Malam Qadar itu, tetapi aku lupa tanggalnya. Malam qadar itu ialah dalam sepuluh yang akhir (Ramadhan) di bilangan ganjil. Saya bermimpi seolah-olah saya sujud di tanah basah."
 
Atap masjid terbuat dari pelepah kurma. Di langit, kami tidak melihat awan sedikit pun. Tetapi tidak lama kemudian, datanglah awan gelap dan hujan pun turun dengan lebatnya. Kami solat bersama-sama dengan Nabi saw. dan kami melihat tanah dan air melekat di kening dan di puncak hidung Nabi, sesuai benar dengan mimpi beliau. "
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0446.