Monday, October 31, 2011

Arafah

Isnin, 4 Zulhijjah 1432H : Hari ‘Arafah ialah hari sembilan Zulhijjah. Ia adalah hari terbaik sepanjang tahun kerana Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Tidak ada suatu hari di mana Allah memerdekakan lebih banyak hamba-Nya dari api neraka kecuali di hari Arafah. Sesungguhnya pada hari ini Allah mengetahui hamba-hamba-Nya lalu Allah memuji mereka di hadapan para Malaikat.”( HRiwayat Muslim dan Aisyah r.a)

Padang Arafah merupakan daerah terbuka dan luas yang terletak di sebelah timur luar kota suci Makkah, disinilah umat Islam menunaikan rukun wukuf.

Wukuf di padang Arafah merupakan salah satu rukun haji, bagi mengingati kembali peristiwa di mana Nabi Adam a.s. dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga atas sebab mengingkari perintah Allah dan terpedaya oleh tipu daya Iblis.

Mereka telah dipisahkan di dunia ini dan mengambil masa 40 tahun untuk bertemu kembali. Tempat pertemuan mereka adalah di Padang Arafah iaitu di Jabar Rahmah. Di sinilah bertahun-tahun mereka memohon ampun daripada Allah. Akhirnya permohonan mereka diterima Allah.

Wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah bererti berhenti seketika di padang itu.Berada di padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di padang Mahsyar di mana semua manusia tanpa mengira bangsa,pangkat atau kedudukan akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan makruf dan mungkar mereka semasa di dunia

Ada beberapa tempat utama di Arafah yang selalu dijadikan kunjungan jamaah haji Jabal Rahmanh dan Masjid Namira.

Disunatkan berpuasa pada hari tersebut bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah Haji, dalilnya ialah; hadis dari Abu Qatadah r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang” (Riwayat Imam Muslim).

Friday, October 28, 2011

Air Zam Zam

Jumaat, 1 Zulhijjah 1432H : Air zam-zam mempunyai keistimewaan dan keberkatan, ia boleh menyembuhkan penyakit, menghilangkan dahaga serta mengenyangkan perut yang lapar. Keistimewaan dan keberkatan itu di sebut dalam sepotong hadith Nabi yang bermaksud:, " Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit ". ( Riwayat - At Tabrani dan Ibnu Hibban.)

Perkataan "zamzam" dipercayai berasal daripada ungkapan "zomk-zomk" bermakna "berhenti mengalir" - yang diluahkan oleh Siti Hajar dalam percubaannya menakung air yang berhamburan keluar

Telaga zam - zam adalah sebagaimana telaga biasa, tetapi mempunyai riwayat yang tersendiri. Sejarahnya adalah berhubung kait dengan sejarah Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar (isteri Nabi Ibrahim ) yang datang ke Makkah. Mengikut asal mula riwayat telaga ini adalah seperti berikut; Nabi Ibrahim a.s. mempunyai dua orang isteri; Siti Sarah dan Siti Hajar (ibu Nabi Ismail).

Pada satu ketika terjadi pertelingkahan antara kedua isteri tersebut sehingga Siti Sarah bersumpah tidak akan tinggal bersama-sama ibu Ismail dalam satu negeri. Kemudian turunlah wahyu kepada Nabi Ibrahim supaya baginda bersama-sama anak dan isterinya (Ismail dan Hajar) pergi ke Makkah. Di waktu itu Makkah belum didiami manusia, hanya merupakan lembah pasir dan bukit-bukit yang tandus dan tidak ada air.

Apabila mereka tiba di Makkah, mereka tinggal di bawah sepohon pokok yang kering. Di tempat inilah bangunan Kaabah yang ada sekarang. Tidak berapa lama, kemudian Nabi Ibrahim meninggalkan mereka dengan dibekalkan sekantong kurma dan sekibah air.

Siti Hajar memerhatikan sikap suaminya yang menghairankan itu lalu bertanya ;

"Hendak kemanakah engkau Ibrahim ?"

"Sampai hatikah engkau meninggalkan kami berdua ditempat yang sunyi dan tandus ini ? ".

Pertanyaan itu berulang kali, tetapi Nabi Ibrahim tidak menjawab sepatah kata jua pun.

Siti Hajar bertanya lagi;"Adakah ini memang perintah dari Allah ?"

Barulah Nabi Ibrahim menjawab, "ya".

Mendengar jawapan suaminya yang ringkas itu, Siti Hajar gembira dan hatinya tenteram. Ia percaya hidupnya tentu terjamin kerana ia merupakan perintan Allah walaupun di tempat yang sunyi, tidak ada manusia dan tidak ada segala kemudahan. Sedangkan waktu itu, Nabi Ismail masih menyusu.

Selang beberapa hari, air yang dibekalkan Nabi Ibrahim habis. Siti Hajar berusaha mencari air di sekeliling sampai mendaki Bukit sofa dan Marwah berulang kali sehingga kali ketujuh (kali terakhir ) ketika sampai di Marwah, tiba-tiba terdengar oleh Siti Hajar suara yang mengejutkan, lalu ia menuju ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya, bahawa suara itu ialah suara air memancar dari dalam tanah dengan derasnya. Air itu adalah air zam-zam.

Di sini Siti Hajar bertemu dengan Malaikat Jibril dan Jibril mengatakan kepadanya, " Jangan khuatir, di sini Baitullah ( rumah Allah ) dan anak ini (Ismail ) serta ayahnya akan mendirikan rumah itu nanti. Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya".

Hendaklah seseorang memperbanyak do’a ketika meminum air zam-zam. Ketika meminumnya, hendaklah ia meminta pada Allah kemaslahatan dunia dan akhiratnya. Sebagaimana hal ini terdapat dalam hadits, dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

Air zam-zam sesuai keinginan ketika meminumnya." [Maksudnya do’a apa saja yang diucapkan ketika meminumnya adalah do’a yang mustajab]. Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas, ketika meminum air zam-zam, beliau berdo’a:

“Allahumma inni as-aluka ‘ilman naafi’an, wa rizqon waasi’an wa syifa-an min kulli daa-in” [Ya Allah, kami memohon kepada-Mu, ilmu yang bermanfaat, rizqi yang melimpah, dan kesembuhan dari setiap penyakit].
Namun riwayat ini adalah riwayat yang dho’if (lemah).

Para ulama bersepakat bolehnya menggunakan air tersebut untuk bersuci. Namun mereka mengatakan sebisa mungkin dijauhi untuk hal-hal yang rendah seperti membersihkan najis dan semacamnya. Al ‘Allamah Al Bahuti rahimahullah dalam Kasyful Qona’ mengatakan,

Dimakruhkan menggunakan air zam-zam untuk menghilangkan najis saja, dalam rangka untuk memuliakan air tersebut. Sedangkan menggunakannya untuk menghilangkan hadats tidaklah makruh.”[

Thursday, October 27, 2011

Hijir Ismail

Khamis,29 Zulkaedah 1432H: Diriwayatkan oleh Abu Daud dari 'Aisyah r.a. yang bermaksud, 'Dari 'Aisyah r.a. katanya; "Aku sangat ingin memasuki Kaabah untuk melakukan sembahyang di dalamnya. Rasulullah s.a.w. memegang tanganku dan memasukkan aku ke dalam Hijir Ismail sambil berkata " Sembahyanglah kamu di Hijir jika kamu hendak masuk ke dalam Kaabah kerana kaum engkau (orang Quraisy) telah meninggalkan bahagian ini di luar semasa mereka membina semula Kaabah".

Keterangan Hadis:

1. Hijir Ismail adalah pagar batu berlingkar. Tingginya 11/2 meter. Letaknya berdampingan dengan Kaabah di sebelah utara. Ia dibangunkan oleh Nabi Ibrahim sewaktu beliau membangunkan Kaabah.

2. Hijir Ismail itu pada mulanya cuma merupakan pagar batu yang sederhana sahaja. Kemudian para Khalifah, Sultan dan Raja-raja yang berkuasa telah memecahkan dan membangunkan semula pagar batu itu dengan batu mamar.

3. Berdasarkan kepada sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, sebahagian dari Hijir Ismail itu adalah termasuk dalam Kaabah. “Shalatlah kamu disini, kalau ingin shalat di dalam Ka’bah, karena ini termasuk sebagian dari Ka’bah

4. Adalah disunatkan bagi tiap-tiap orang yang telah mengerjakan tawaf, sembahyang sunat dan berdoa di Makam Ibrahim, sembahyang sunat pula dua rakaat di Hijir Ismail.

Tuesday, October 25, 2011

Hajarul Aswad

Selasa, 27 Zulkaedah 1432H : Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda :" Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak Adam ) menyebabkannya menjadi hitam " .(Riwayat Ahmad dan Turmizi)

Keterangan Hadis:

1. Menurut sejarahnya, Hajarul Aswad diturunkan oleh Allah dari langit ke atas Jabal Qubais. Ia merupakan sebiji permata putih, lebih putih dari salji, tetapi lama - kelamaan menjadi hitam sebab disentuh oleh orang - orang musyrik. Kalau tidak kerana sentuhan tersebut nescaya cahayanya menerangi antara timur dan barat.

2. Hajarul Aswad (الحجر الأسود) yang bermaksud batu hitam merupakan salah satu batu yang terdapat di penjuru Kaabah.

3. Kalau berkaitan dengan Kaabah maka ia terletak di salah satu bucu Kaabah dimana apabila orang yang ingin mengerjakan haji ingin memulakan tawaf mereka maka mereka hendaklah memulai tawaf itu dengan membetulkan bahu kiri mereka ke arah Hajarul Aswad berpusing sebanyak tujuh kali dan akhir sekali dengan akhir di Hajarul Aswad juga. Pada awal tawaf bermula dari Hajarul Aswad dan mengakhirkannya di Hajarul Aswad juga.

4. Menurut ajaran Islam, mencium Hajarul Aswad merupakan sunnah Nabi S.A.W. semata-mata, dan ini ditegaskan oleh Khalifah Umar Al-Khattab apabila sebelum beliau mencium batu itu (Hajar Aswad), beliau berkata-kata: “Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad).”

Monday, October 24, 2011

Ibadah Haji - Wukuf

Isnin 26 Zulkaedah 1432H: Dari jabir r.a, dia menceritakan dalam hadithnya bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:”Aku menyembelih korban di sini, dan Mina seluruhnya adalah tempat menyembelih. Kerana itu sembelihlah korbanmu di tempat kenderaanmu berhenti. Dan wukuf di ‘Arafah, maka ‘Arafah seluruhnya adalah tempat wukuf. Dan aku wukuf pula di Muzdalifah, maka Muzdalifah seluruhnya adalah tempat wukuf.”(HR Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Wukuf ertinya berhenti atau berdiri. Tetapi maksudnya ialah menghadirkan diri di
padang Arafah pada masa antara zohor hari 9 Zulhijjah hingga sejurus sebelum fajar 10Zulhijjah. Wukuf termasuk dalam rukun haji.

2.Cukup wukuf walau sekejap atau lalu sahaja dengan syarat orangnya sedar - sempurna akal. Di mana-mana sahaja dari bumi Arafah itu boleh jadi tempat wukuf, asal sahaja ianya dalam kawasan bumi Arafah. Dan tidak pula disyaratkan orangnya itu mesti memijak bumi Arafah. Andainya ia hanya berada di dalam kereta atau bas dan tidak turun menjejakkan kakinya di bumi itu juga sah wukufnya. Hanya yang ada khilafnya pada udara Arafah - menurut pendapat yang lebih kuat bahawa udara Arafah itu dikira Arafah seperti udara yang bertentang Kaabah dikira Kaabah.

3.Andainya seseorang itu tidak dapat wukuf tidaklah sah hajinya dan hendaklah meneruskan amalannya dan bertahallul dengan amalan umrah serta wajib membayar dam. Ia juga wajib mengqada haji pada tahun hadapannya.

4. Seandaikan jemaah meninggal dunia semasa wukuf maka wajib bagi warisnya menghajikannya - kerana rukun-rukunnye belum selesai. Itupun jika ada harta peninggalannya.

Friday, October 21, 2011

Hari Tashriq Diharamkan Berpuasa

Jumaat: 22 Zulkaedah 1432H :Dari Nubaisyah al-Hudzali r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Hari-hari Tashriq (11,12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari-hari makan minum.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Pada hari-hari Tashriq, umat Islam (Muslim) sama sekali diharamkan untuk melakukan ibadat puasa, ini kerana Hari Tashriq juga membawa maksud "Hari Makan Minum".

2. Hari-hari Tashriq dalam istilah Islam adalah merujuk kepada hari ke-11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah mengikut kalender Islam Hijrah. Pada hari-hari tersebut, umat Islam yang sedang melakukan ibadah Haji akan menyempurnakan amalan bekenaan dengan melakukan ibadah melontar di ketiga-tiga Jamrah; iaitu Jamratul Ula, Jamratul Wusta dan Jamratul Aqabah. Ibadah melontar jamrah ini dilaksanakan bersempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. melontar syaitan apabila ia menjelma bagi mengganggu kosentrasi kedua Nabi besar tersebut melakukan korban sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

3. Umat Islam boleh melakukan ibadah korban sehingga sebelumnya masuk waktu Maghrib 14 Zulhijjah. Begitu juga amalan bertakbir, juga disunatkan sehingga maghrib tersebut.

4. Takbir raya tidak semestinya dilaungkan di Masjid sahaja mahupun selepas setiap waktu solat. Umat Islam digalakkan melaungkan lafaz takbir ini (pada masa-masa yang disunatkan/dibenarkan) di mana-mana sahaja. Di dalam kereta waktu sedang memandu, di dalam rumah waktu sedang masak, di jalanan waktu pergi ke Masjid atau Surau dan di mana-mana sahaja mereka berada dan teringat hendak bertakbir. Tidak perlu tunggu sampai di Surau dan selepas solat baru hendak bertakbir

Thursday, October 20, 2011

Berpuasa Pada Hari Arafah

Khamis,22Zulkaedah 1432H : Diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a bahawa Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang." (HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat pada hari 9 Dzulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Ia adalah hari terbaik sepanjang tahun kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari neraka dari hari ‘Arafah” (Riwayat Imam Muslim).

2. Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith:
Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari ‘Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di ‘Arafah lantas Baginda meminumnya. (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Juga daripada hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra: Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari ‘Arafah bagi mereka yang berada di ‘Arafah. (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah rha)

3. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang. Ini bermakna Islam sentiasa mengawal setiap tindak tanduk umatnya di mana setiap amalan yang dikerjakan dan bertepatan dengan kehendak syarak akan diganjari pahala termasuklah juga perkara makan dan minum.

Wednesday, October 19, 2011

Ibadah Qurban - Waktu, Penyembelih, Qurban Wajib & Nazar

Rabu, 21 Zulkaedah 1432H: Dalam melaksanakan ibadah qurban kita perlu juga memastikan perlaksanaannya mengikut waktu yang ditetapkan dalam syariat Islam, siapa orang yang menyembelihnya dan perkara-perkara wajib dan sunat yang dituntut.

WAKTU PELAKSANAAN IBADAH QURBAN

1. Bermula daripada terbit matahari pada Hari Nahr (10 Zulhijjah)

2. Waktu yang afdhal melakukannya ialah ketika matahari telah naik sekadar 7 kaki dari ufuk.

3. Berkekalan waktu qurban ini sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.

ORANG YANG MENYEMBELIH BINATANG QURBAN

1. Para ualama menganjurkan agar yang melakukan penyembelihan afalah orang yang berqurban itu sendiri, sekiranya dia pandai menyembelih. Tetapi mereka juga sependapat mengatakan harus mewakilkannya kepada orang lain. Afdhalnya wakil itu adalah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hakam mengenai korban.

2. Adalah afdhal orang yang tidak pandai menyembelih berwakil kepada orang lain untuk menyembelih bagi pihak dirinya dan sunat bagi orang yang berwakil itu hadir dan menyaksikan penyembelihan ke atas binatang qurban tersebut

3. Makruh hukumnya mewakilkan qurban kepada kanak-kanak atau orang buta.

NIAT IBADAH QURBAN DAN PERKARA SUNAT KETIKA QURBAN

1. Qurban Wajib dan Qurban Nazar :
Bagi daging korban kerana sembelihan wajib seperti nazar maka hukumnya Wajib disedekahkan kesemuanya. Haram ke atas orang yang berkorban itu memakan daging tersebut. Jika telah dimakan daging itu maka Wajib diganti kadar yang dimakan itu tetapi tidak wajib dia menyembelih semula yang lain.

2. Qurban Sunat : Bagi daging korban sunat pula, adalah Sunat bagi orang yang empunya korban memakan sebahagian daripadanya sebagaimana firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Haj ayat 28: Maksudnya : "….Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir. Wajib disedekahkan sebahagian daripada daging-daging korban sunat itu kepada golongan fakir dan miskin yang beragama Islam dalam keadaan mentah lagi basah (belum dimasak).Adalah Afdhal jika yang empunya korban itu hanya mengambil sedikit daripada daging korban berkenaan manakala sebahagian besar daripadanya disedekahkan. Daging yang disedekahkan akan menjadi milik penerima sepenuhnya di mana dia boleh menjual, melelong atau menghadiahkan daging tersebut kepada orang lain dan sebagainya.

3. Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat dari seorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.

4. Haram menyedekah atau menghadiahkan daging korban kepada orang kafir walaupun sedikit.

5. Tidak harus memindahkan daging qurban ke daerah lain sebagaimana dalam hukum zakat.

6. Haram ke atas orang yang melaksanakan korban atau warisnya menjual daging korban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada binatang korban itu sebagaimana sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam : Maksudnya:"Siapa yang menjual kulit korban (udhiyyah) itu maka tiada dikira korban baginya." (Hadis riwayat al-Hakim)

7. Haram menjadikan kulit dan daging binatang korban itu sebagai upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.

Monday, October 17, 2011

Niat Dan Perkara Sunat Dalam Ibadah Qurban

Isnin, 19 Zulkaedah 1432H: Setiap ibadah dalam Islam dimulai dengan niat. Begitu juga dalam ibadah Qurban niat merupakan perkara penting untuk memastikan ibadah itu sah dan diterima oleh Allah SWT.

NIAT IBADAH QURBAN

1. Tidak memadai jika seseorang itu hanya membeli binatang dengan niat hendak diqurbankan tanpa dilafazkan niat itu.

2. Disyaratkan berniat ketika menyembelih binatang qurban jika dilakukan sendiri.

3. Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korban berkenaan dengan disaksikan oleh orang yang berwakil tadi.

4. Walaubagaimanapun adalah lebih baik orang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.

5. Tidak disyaratkan niat jika melakukan qurban nazar.

HUKUM QURBAN BAGI PIHAK ORANG LAIN

1. Tidak sah menyembelih korban bagi pihak orang lain yang hidup dengan tiada izinnya.

2. Begitu juga bagi pihak orang yang telah mati dengan tiada wasiat atau pesanan daripadanya.

3. Apabila qurban itu dilakukan kerana wasiat simati maka wajib disedekahkan kesemuanya.

PERKARA-PERKARA SUNAT KETIKA QURBAN

1. Apabila menjelang 10 Zulhijjah, tidak digalakkan empunya qurban memotong rambut dan kukunya sehingga dia melaksanakan ibadah qurban.

2. Semasa menyembelih binatang qurban disunatkan :
i.Membaca Bismillahirrohmanirrahim
ii.Berselawat ke atas Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
iii.Menghadapkan binatang itu ke arah kiblat di atas rusuk kirinya.
iv.Bertakbir sebelum membaca Bismilah dan selepasnya.
v.Membaca doa : Maksudnya: "Ini adalah nikmat daripada Mu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya."

3.Sebaik-baiknya ibadah qurban ini dilaksanakan sendiri tetapi harus diwakilkan kepada orang lain

Friday, October 14, 2011

Keharusan Berkongsi Haiwan Korban

Jumaat, 16 Zulkaedah 1432H : Dari Jabir r.a. katanya: “Kami menunaikan Haji bersama Rasulullah s.a.w. maka kami sembelih seekor unta buat tujuh orang, dan seekor lembu buat tujuh orang”. (HR Ahmad dan Muslim)

Dari Abu Zubair, dari Jabir bin Abdullah r.a, katanya:”Kami pernah menyembelih korban bersama-sama rasulullah s.a.w di tahun perjanjian Hudaibiyah untuk korban seekor unta atau korban seekor lembu, kami bersekutu tujuh orang.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1.Seekor unta, lembu atau kerbau itu harus dikongsi oleh tujuh orang sama ada dari keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud qurban, misalnya ada antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja.

2.Bagi seekor kambing atau biri-biri hanya cukup untuk seorang sahaja, tetapi harus berkongsi dengan orang lain dalam pahala berkorban dengan seekor korban itu.

3.Adalah afdhal dibuat korban bagi seorang dengan seekor unta, kerana banyak dagingnya untuk dibahagikan kepada fakir. Kemudian lembu atau kerbau, kemudian biri-biri dan kemudian kambing.

4.Berkorban dengan 7 ekor kambing itu lebih afdhal daripada seekor unta atau lembu kerana daging kambing lebih baik dan lebih banyak darah yang tumpah ketika disembelih.

5.Berqurban dengan seekor kambing itu pula lebih afdhal daripada seekor lembu atau unta yang dikongsi oleh tujuh orang.

6.Yang utamanya binatang qurban itu adalah berwarna putih, kemudian kuning, diikuti dengan warna putih tetapi tidak bersih putihnya, kemudian binatang yang sebahagian bulunya berwarna hitam, kemudian yang berwarna hitam semua bulunya, diikuti dengan binatang qurban yang berwarna merah bulunya.

Wednesday, October 12, 2011

Ibadah Qurban - Jenis, Umur & Kesempurnaan Haiwan.

Rabu, 14 Zulkaedah 1432H: Dalam melaksanakan ibadah qurban kita perlulah mengikut hukum Islam yang menjadikan ibadah qurban itu sah dan diterima di sisi Allah. Antaranya ialah haiwan yang hendak diqurbankan perlulah menenuhi tuntutan ibadah tersebut.

JENIS HAIWAN YANG BOLEH DIJADIKAN QURBAN

Ulama' bersepakat bahawa binatang yang boleh dijadikan qurban hanyalah binatang yang diketegorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), kambing dan biri-biri sama ada jantan atau betina.

UMUR BINATANG QURBAN

1.Unta - berumur 5 tahun masuk ke 6 tahun.

2.Lembu/kerbau/kambing - 2 tahun masuk ke 3 tahun.

3.Biri-biri/kibas - Setahun masuk kedua atau sudah bersalin gigi hadapan walaupun belum cukup setahun tetapi melebihi 6 bulan.

KECACATAN YANG MENGHALANG SAHNYA QURBAN

- Hendaklah ia sejahtera daripada sebarang kecacatan seperti tiada telinga atau terpotong ekor, gila, kudun, sangat kurus, buta dan sebagainya.

- Ada 4 kecacatan utama yang telah disepakati oleh Ulama'yang menghalang sahnya qurban iaitu berdasarkan hadis riwayat Barra' bin Azib iaitu sabda Rasullah Sallahallahu 'Alaihi Wasallam: Maksudnya : "4 jenis kecacatan yang tidak harus diperbuat qurban iaitu buta sebelah mata, berpenyakit, tempang dan terlalu kurus".

- Daripada hadith di aras Ulama' telah mengqiaskan kepada kecacatan yang seumpamanya atau lebih teruk daripada kecacatan tersebut. Ia dapat diringkaskan seperti berikut:

1.Tiada atau terpotong telinga ataupun lidahnya walaupun sedikit begitu juga yang terpotong ekornya.
2.Gila
3.Berkudis walaupun sedikit.
4.Haiwan yang baru melahirkan anak atau yang bunting.
5.Tersangat kurus.
6.Buta sebelah mata atau kedua-duanya.
7.Berpenyakit
8.Tersangat tempang

- Tetapi, jika telah bernazar untuk qurban binatang yang sudah ada kecacatan tersebut, wajarlah dia melaksanakannya.

- Haiwan yang tiada ekor, tiada gigi atau patah setengah giginya, tiada zakar, haiwan yang dikasi zakarnya boleh dijadikan binatang qurban.

- Makruh mengorbankan haiwan yang tidak bertanduk atau patah tanduknya begitu juga haiwan yang terbelah atau bertebuk telinganyan .

Tuesday, October 11, 2011

HIKMAH BERQURBAN

Selasa, 13 Zulkaedah 1432H : Ibadah qurban yang dilakukan mempunyai hikmah yang tertentu iaitu :

1. Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibarahim Alaihissalam yang sangup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam.

2. Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yan melimpah-ruah.

3. Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.

KEPADA SIAPA IBADAH QURBAN DISUNATKAN

- Menurut Mazhab Syafie, ibadah disunatkan kepada mereka yang mempunyai harta yang melebihi keperluan darinya dan tanggungannya pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari Tasriq (11,12 dan 13 Zulhijjah) termasuklah orang yang sedang mengerjakan haji.

- Manakala kanak-kanak tidak disunatkan melakukan ibadah qurban.

SYARAT SAH QURBAN

- Haiwan yang hendak diqurbankan itu hendaklah dalam keadaan sempurna tanpa ada kecacatan yang nyata tanpa ada kecacatan yan nyata dan mengurangkan daging atau memudaratkan kesihatan.

- Ianya dilakukan pada waktu yang dikhususkan untuk menjalankan ibadah qurban.

- Ibadah qurban hendaklah disertakan dengan niat.

Monday, October 10, 2011

Ibadah Qurban

Isnin, 12 Zulkaedah 1432H: Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

HUKUM MELAKUKAN IBADAH QURBAN

- Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakkadah iaitu sunah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

- Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya.

- Hukum qurban ini menjadikan wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram.

- Daging qurban wajib tidak dibenarkan untuk dimakan oleh yang empunya qurban dan tanggungannya.

DALIL PENSYARIATAN

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 : Maksudnya : "Maka kerjkanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur".

Allah S.W.T.telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 : Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yan sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".


Sabda Rasulullah S.A.W.: Maksudnya : "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu
". (Hadis riwayat Tirmidzi)

FADHILAT IBADAH QURBAN

Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban ini amat besar antaranya:

- Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan". (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

- Sebagai penebus dosa Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah: Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu". (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

- Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah. Sabda Rasullah Sallahahu 'Alaihi Wasallam: Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla." (Hadis riwayat Thabrani)

- Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda: Maksudnya : "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." (Hadith riwayat Tirmidzi)

- Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu katanya, sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam: Maksudnya: "Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami".

Monday, October 3, 2011

ADAB-ADAB SEBELUM MENUNAIKAN FARDHU HAJI

Isnin, 5 Zulkaedah 1432 :Setiap amalan yang baik akan menjadi lebih sempurna dan diterima oleh Allah SWT, jika dilakukan mengikut adab-adab tertentu. Dalam mengerjakan Haji, ulama telah menggariskan beberapa adab sebelum menunaikan Haji yang perlu dipatuhi bagimembolehkan seseorang itu mendapat Haji yang mabrur. Antaranya sebagaimana senarai di bawah :-

Niat Yang Ikhlas
Ikhlas di dalam niat adalah asas penerimaan segala ibadat. Firman Allah yang bermaksud :" Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap tetap teguh di atas Tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan demikian itulah agama yang benar ".


Dan Sabda Rasulullah S.A.W daripada Saidina Omar bin Al-Khattab yang bermaksud:" Setiap amalan adalah bergantung kepada niat dan seseorang itu akan menerima ganjaran mengikut niatnya".


Ikhlas makna membersihkan jiwa yang hendak menghampiri Allah dari segala campuran yang terdorong kepadanya oleh nafsu yang riak yang mana amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah apabila bercampur dengan riak atau lain-lainnya daripada sifat keji maka amalan itu terkeluar daripada ikhlas. Al-Fudhoil bin Ayyadh pernah ditanya tentang amalan yang dimakbulkan Allah, beliau menjawab iaitu yang ikhlas dan betul. Ditanya lagi, apakah yang ikhlas dan betul itu, beliau menjawab sesungguhnya amalan itu bila ia ikhlas dan tiada betul tiada diterima dan apabila betul tetapi tidak ikhlas juga tiada diterima sehinggalah ia ikhlas dan betul. Yang ikhlas dan betul itu ialah semata-mata kerana Allah dan mengikut sunnah.

Bertaubat Dari Segala Dosa Dan Kezaliman
Apabila seseorang itu berazam hendak menunaikan haji, ia hendaklah bersungguh-sungguh bertaubat dari segala maksiat dan segala yang dibenci oleh syarak dan berterusan taubatnya serta disertai dengan istighfar dan meninggalkan segala perbuatan zalim terhadap hamba-hamba Allah. Menjelaskan segala yang boleh segala hutang-hutangnya, mengembalikan segala amanah yang ada di tangannya, meminta halal dari orang yang ia berurusan dengan mereka dan sahabat handainya, menulis wasiat samada yang bersangkut dengan hak-hak Allah mahupun dengan hak-hak hamba dan dipersaksikan wasiat itu dan mewakilkan untuk ditunaikan hutangnya dan membekalkan belanja untuk keluarga dan orang-orang yang di bawah tanggungannya yang mencukupi sehingga masa kepulangannya.

Mencari Keredhaan
Berusaha untuk mencapai keredhaan kedua ibubapa, kaum kerabat dan guru-guru. Jika ia seorang isteri hendaklah ia mendapatkan keredaan suaminya dan kaum kerabatnya. Bagi suami disunatkan mengerjakan haji bersama-sama isterinya. Jika seseorang itu ditegah oleh salah seseorang ibubapanya dari mengerjakan haji, hendaklah dilihat jika ditegah dari mengerjakan haji fardhu maka tegahannya itu tidak perlu dihiraukan kerana ibubapanya sudah melakukan maksiat dengan tegahannya itu. Apabila ia berihram bapanya tidak boleh memaksanya bertahallul dari ihramnya. Walaubagaimana pun jika haji itu haji tatawwu' (sunat ) tiada harus baginya berihram dan jika ia berihram harus bagi bapanya memaksanya bertahallul mengikut qaul yang saheh. Adapun suaminya berhak menghalangnya dari mengerjakan haji fardhu mengikut qaul yang azhar kecuali di di dalam beberapa keadaan kerana hak suami terhadap isteri itu segera, manakala menunaikan haji fardhu tiada dengan segera.

Punca Perbelanjaan
Wang perjalanannya hendaklah daripada sumber yang halal yang tiada subahat kepadanya. Jika ia mengerjakan haji dengan wang yang haram, hajinya sah pada zahir tetapi ia tidak akan menjadi haji mabrur. Jauh dari diterima oleh Allah. ini adalah menurut Imam Shafie, Malik dan Abu Hanifah dan Jumhur Ulamak salaf dan khalaf tetapi di sisi Imam Ahmad bin Hambal tiada sah hajinya dengan harta yang haram.

Bekalan Yang Lebih

Disunatkan berbekal dengan bekalan dan perbelanjaan yang lebih bagi tujuan membantu orang-orang yang berhajat kepada bantuan dan hendaklah bekalan itu dari barang-barang yang bermutu baik dan halal serta diniatkan dengan ikhlas. Firman Allah yang bermaksud:" Wahai orang-orang beriman belanjakanlah ( pada jalan Allah ) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik, dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya. ( Lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat)".


Menjauhi Tawar Menawar

Sunat menjauhi tawar menawar yang berlebih-lebihan ketika membeli barang-barang untuk keperluan haji bagi dirinya demikian juga barang-barang yang hendak dibuat kebajikan dengannya untuk mendekatkan diri kepada Allah.


Tidak Bersekutu Bekalan Dan Perbelanjaan

Tidak digalakkan bersekutu di dalam perbelanjaan kerana bersekutu itu boleh menghalang seseorang itu melakukan berbagai-bagai kebajikan sekalipun diizinkan oleh rakan sekutunya tetapi tidak dapat dipercayai sejauhmana keredhaannya. Jika kedua-duanya bersetuju membuat kebajikan, maka disunatkan masing-masing menggunakan di bawah kadar haknya.

Adapun berhimpun, makan beramai-ramai, bergilir-gilir belanja makan adalah baik dan elok. Seseorang itu dibolehkan memakan lebih banyak dari rakan-rakannya jika ia percaya atau ada pada zatnya yang rakan-rakannya tidak menghalang. Jika tidak hendaklah makan mengikut keadaan habuannya.

Mencari Rakan Dan Teman
Eloklah kita mendapatkan rakan-rakan, teman yang sesuai yang cenderung kepada kebajikan dan bencikan kejahatan. Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud: " Sebaik-baik rakan ialah bila kita lupa ia mengingatkan dan bila kita ingat ia membantu " Amatlah baik sekiranya rakan-rakan itu dari golongan orang-orang yang berilmu ( Ulama ) kerana ia sangat membantu ke arah melakukan berbagai-bagai kebajikan dan berakhlak mulia dan dengan ilmu dan amalannya, ia dapat mencegah rakannya dari keburukan yang boleh berlaku daripada seseorang musafir iaitu perangai-perangai yang tidak baik seperti tidak sabar, keluh kesah dan sebagainya. Seseorang itu hendaklah memelihara keredhaan rakannya, bersabar di atas kesilapan yang berlaku dan masing-masing memandang yang lainnya lebih baik dan lebih hormat dari dirinya. Sekiranya berlaku perselisihan yang berlarutan di antara keduanya dan tiada harapan untuk diperbetulkan, maka hendaklah disegerakan perpisahan dengan cara yang baik kerana perpisahan yang demikian itu lebih menyelamatkan kedua pihak dari melakukan perkara-perkara yang meletakkan amalan haji jauh dari dapat diterima oleh Allah.

Sembahyang Sunat Musafir
Apabila seseorang hendak meninggalkan rumah dan bermusafir, disunat menunaikan dua rakaat sembahyang sunat musafir. Niat sembahyang sunat musafir ialah " Sahaja aku sembahyang sunat musafir dua rakaat kerana Allah Taala". Dibaca pada rakaat pertama selepas Al-Fatihah, Surah Al-Kafirun dan rakaat kedua selepas Fatihah, Surah Al-Ikhlas. Sabda Nabi Muhammad S.A.W : " Tiada yang lebih baik yang ditinggalkan oleh seseorang kepada keluarganya selain dari dua rakaat sembahyang yang dilakukan di sisi mereka ketika hendak bermusafir". Disunatkan membaca ayat Kursi dan Surah Al-Quraisy selepas salam kerana di samping berkat Al-Quran pada tiap-tiap suatu dan pada sebarang waktu terdapat perkataan-perkataan Assalafussoleh seperti Mafthumnya: " Sesiapa yang membaca ayat Kursi ketika keluar dari rumahnya, tiada menimpa ke atasnya sesuatu yang tidak disukai sehingga ia pulang dari ibadat hajinya".


Terdapat juga perkataan Assalafussoleh berkenaan dengan membaca Surah Al-Quraisy iaitu maksudnya : " Sesiapa yang hendak bermusafir dan ia merasai takut kepada seteru atau binatang buas, maka bacalah Surah Al-Quraisy. sesungguhnya ia mengamankan dari sebarang keburukan. Kemudian berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat. Pertolongan dan taufik di dalam perjalanannya".

Mengucap Selamat Tinggal
Sunat mengucap selamat tinggal kepada keluarga, jiran dan kawan-kawan kerana telah sabit bahawa Rasulullah S.A.W apabila hendak musafir, baginda pergi menemui sahabatnya dan memberi salam kepada mereka dan apabila pulang mereka ( sahabat-sahabat ) pula datang menemuinya dengan mengucapkan salam kepada baginda. Orang hendak musafir mendatangi kerana ia yang hendak berpisah dan orang yang pulang didatangi untuk diucap tahniah dan selamat pulang. Yang hendak bermusafir dan yang mengucapkan selamat berangkat masing-masing saling berdoa di antara mereka.

Tidak Berlebih-Lebihan Di Dalam Sebarang Keadaan

Menjauhi kekenyangan yang berlebih-lebihan dan berhias-hiasan, tiada mempelbagaikan makan minum, berurusan dengan lemah-lembut sekalipun dengan khadam dan orang suruhan. Tiada bersikap kasar lebih-lebih lagi terhadap peminta bantuan sedekah dan seumpamanya. Menjauhi perkelahian, pertengkaran, dan berpusu-pusu dengan manusia yang ramai di mana jua. Memelihara dari percakapan yang kotor, maki-hamun, mengumpat serta mengata. Sentiasa mengingati sabda Rasulullah S.A.W. Maksudnya : " Tiada mengeji orang yang berjalan tanpa bekalan bahkan mereka bersimpati dengannya dan membantunya sekadar yang boleh atau menolaknya dengan baik dan berdoa untuknya "

Berdoa Di Dalam Perjalanan
Sunat membanyakkan berdoa sepanjang masa perjalanannya untuk dirinya, dua ibubapanya, para kaum kerabat dan sekalian orang muslimin. Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya : " Tiga permohonan yang diterima oleh Allah iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang musafir dan doa dua ibubapa terhadap anaknya".

Sentiasa Di Dalam Kebersihan

Berkekalan di dalam thaharah atau pun bersuci dan sentiasa memelihara sembahyang dan orang yang bermusafir juga diharuskan mengqasar atau menjamakkan sembahyangnya jika mencukupi syarat-syaratnya.

Mempelajari Kafiat Mengerjakan Haji
Akhirnya apabila seseorang itu berazam menunaikan fardhu Haji, hendaklah ia mempelajarikhafiatnya iaitu segala rukun-rukun, syarat-syarat, wajib-wajib dan yang haram di dalam ihram dan yang merosakkan. Ini adalah fardhu ain. Tidak sah ibadat mereka yang tiada mengetahuinya. Sunat dibawa bersama kitab yang menerangkan amalan haji dan selalu membacanya kerana dibimbangi berlaku kesilapan atau ketinggalan syarat atau rukun atau umpamanya yang boleh merosakkan ibadat haji dan umrahnya. Ada orang yang terikut-ikut di dalam mengerjakan ibadah haji ini dengan orang-orang yang disangkakan mengerti dalam perkara ibadat haji itu seperti sebahagian penduduk-penduduk Makkah, padahal mereka juga tiada mengerti maka ia jadi tertipu dan akibatnya hajinya tidak diterima.