Wednesday, December 14, 2022

Bergaul Dengan Orang Soleh

Rabu, 19hb Jamadil Awal 1444H: Bergaul Dengan Orang Soleh

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُصَاحِبْ إِلَّا مُؤْمِنًا وَلَا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلَّا تَقِيٌّ

Daripada Abu Sa'id RA ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah berteman kecuali dengan orang mukmin dan jangan ada yang memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa.

(Sunan Tirmizi No: 2318) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Bergaullah dengan mereka yang beriman dan berakhlak mulia.

2. Syarah Sunan Abi Daud: Tabiat atau kebiasaan itu adalah sesuatu yang dicuri (diambil) dari orang lain (dibimbangi bila bergaul dengan orang yang tidak berakhlak akan menyebabkan seseorang meniru akhlak buruk tersebut).

3. Berilah makan kepada orang-orang yang soleh dan bertakwa.

4. Al-Khathabi: Larangan memakan makanan kecuali orang yang bertakwa hanya berlaku pada makanan undangan bukan makanan kerana keperluan (kita disuruh membantu kepada sesiapapun lebih-lebih lagi kepada yang memerlukan termasuk non muslim juga binatang).

Thursday, December 8, 2022

Ganjaran Menunjukkan Kebaikan

Khamis, 13hb Jamadil Awal 1444HGanjaran Menunjukkan Kebaikan

 
عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ.
Daripada Abu Mas'ud 'Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya." 
 
(HR Muslim, No: 1893) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
1. Amal kebaikan yang dilakukan serta diusahakan oleh seseorang Muslim akan menjadi bekalan pahala di sisi Allah.
 
2. Antara amal kebaikan seseorang ialah menunjukkan suatu kebaikan kepada orang lain sama ada untuk kebaikan di dunia atau di akhirat. Kemudian amal kebaikan itu diikuti dan dilakukan oleh orang lain dan pelakunya akan mendapat ganjaran pahala. 
 
3. Amalan menunjukkan kepada kebaikan merupakan amalan yang boleh dicontohi oleh orang lain dan lebih besar manfaatnya berbanding amalan yang manfaatnya hanya terbatas untuk diri sendiri.
 
4. Amalan kebaikan yang boleh ditunjukkan merangkumi perbuatan, percakapan dan penulisan. Contohnya menghasilkan poster, menulis tazkirah dan berkongsi di media sosial serta diamalkan oleh orang lain seperti tazkirah menghadapi ibadah Ramadan.

Wednesday, December 7, 2022

Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin

Rabu, 12hb Jamadil Awal 1444H: Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin

عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Daripada An Nu'man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya) ' 

(HR Muslim No: 4685) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Orang mukmin sesama mukmin adalah bersaudara.

2.Perumpamaan berkasih sayang sesama Mukmin seperti satu tubuh badan. Jika ada anggota badan yang sakit, anggota lain juga turut menanggung kesakitan.

3.Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan.

4.Hak-hak yang lahir daripada persaudaraan diwajibkan kerana iman. Wajib memberikan komitmen terhadap hak mukmin yang lain sama seperti wajibnya menunaikan solat, puasa, zakat dan haji

5.Wajib memelihara hak sesama mukmin dengan tidak menyakiti, menzalimi, mengumpat, memfitnah dan membiarkannya dalam kesusahan.

6.Kejayaan Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijrah membina Negara Madinah yang makmur dan harmoni apabila baginda berjaya mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin untuk sama-sama bertolong bantu membangunkan Negara Islam Madinah.

7.Bagi membangunkan Negara Malaysia tercinta ini, marilah kita tunaikan hak persaudaraan yang wajib dengan sentiasa berkasih sayang sesama mukmin dan bertolong bantu membina Masyarakat Yang Utuh, Negara Yang Teguh. Jika memelihara solat, puasa, zakat dan haji itu wajib, menunaikan hak persaudaraan ini juga wajib.

Tuesday, December 6, 2022

Malaikat Mendoakan Kebaikan Kepada Pendoa

Selasa, 11hb Jamadil Awal 1444H: Malaikat Mendoakan Kebaikan Kepada Pendoa

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Daripada Abi Darda RA, Rasulullah SAW bersabda: 'Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan, melainkan malaikat akan mendoakannya pula: 'Dan bagimu kebaikan yang sama.' 

(Sahih Muslim No: 4912) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara adab persaudaraan dan menjaga ukhuwah sesama Muslim ialah mendoakan kebaikan kepada sahabat kita.

2. Mereka yang mendoakan sahabatnya ketika berjauhan, malaikat juga akan mendoakan kebaikan yang sama untuknya.

3. Doa seseorang kepada sahabatnya ketika berjauhan adalah mustajab. Sepertimana hadis Rasulullah SAW:

Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”

(Riwayat Muslim No: 4914) Status: Hadis Sahih

دُعَاءُ الأخِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الغَيبِ لايُرَدُّ

"Doa seseorang kepada saudaranya yang tidak ada disisinya, tidak akan tertolak" (HR Al-Bazzar: 500)

Marilah kita doakan saudara Muslim kita termasuk pemimpin kita dengan kebaikan. Moga dapat memacu Malaysia menjadi negara yang baik dan dirahmati.

Al-Fudhayl bin 'Iyadh berkata: "Jika aku memiliki satu doa yang mustajab, nescaya akan kudoakan (kebaikan) buat sang pemimpin" (Abu Nu'aym al-Asbahani).

Imam Ahmad bin Hanbal mewajibkan dirinya untuk mendoakan ulil amri siang dan malam supaya dikurniakan ketepatan, taufik dan pertolongan (al-Khallal).

Thursday, December 1, 2022

Sayangi Orang Lain Agar Kita Disayangi

Khamis, 06hb Jamadil Awal 1444H: Sayangi Orang Lain Agar Kita Disayangi

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:"الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ارْحَمْ مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكَ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Daripada Abdullah bin Amir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang yang menyayangi (orang lain) pasti akan disayangi Allah. Sayangilah setiap penduduk bumi, nescaya engkau akan disayangi para penghuni langit” 

(Mu’jam Awsat li al-Tabarani No: 9009) Maktabah al-Maarif Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menjadi tanggungjawab setiap Muslim memiliki sifat penyayang mengikut panduan syarak.

2. Orang yang menyayangi makhluk nescaya Allah akan menyayanginya

3. Orang yang mengasihi orang lain, dia akan disayangi oleh penghuni dilangit

4. Sifat saling menyayangi datang daripada mereka yang memiliki kejernihan jiwa dan kesucian rohani