Monday, September 30, 2013

Haji Wada Rasulullah SAW

Isnin,24 Zulkaedah 1434H: Dari Salim ibnu Abdullah, bahawa Abdullah ibnu Umar berkata: "Pada haji wada', Rasulullah saw telah menunaikan haji tamattu', iaitu mengerjakan umrah sebelum haji, kemudian beliau membayar dam (ternak urban), dan ternak itu telah dibawanya ke Dzul Hulaifah (tempat beliau berihram). 

Maka beliau berihram untuk umrah, setelah itu berihram untuk haji, dan orang-orang pun menunaikan haji tamattu' bersama Rasulullah saw dengan mengerjakan umrah sebelum haji. Maka sebahagian orang-orang itu ada yang membayar dam dan membawa damnya sebahagian dari mereka ada yang tidak membayar dam. 

Maka ketika Rasulullah saw sampai di Mekah, beliau bersabda: "Siapa diantara kamu yang membayar dam, maka ia tidak dihalalkan melakukan sesuatu telah diharamkan, hingga ia menyelesaikan hajinya. 

Dan siapa tidak membayar dam, maka hendaknya ia tawaf di Baitullah, lalu sai' antara Shafa dan Marwa, setelah itu memotong rambutnya dan bertahalul. Kemudian berihram untuk haji, lalu menyembelih ternak korban.

Dan barangsiapa yang tidak mempunyai ternak kurban, maka hendaknya ia berpuasa selama tiga hari dalam masa haji dan ditambah tujuh hari(lagi) apabila ia telah pulang ke rumah keluarganya." 

Kemudian Rasulullah saw mengerjakan tawaf qudum (tawaf ketika baru datang di tanah suci Mekah) dan menyempurnakan rukun yang pertama. Pada tiga putaran dari tujuh putaran dari tawaf, beliau mengelilingi Ka'bah dengan berlari kecil, lalu pada empat putaran selanjutnya beliau mengelilingi dengan berjalan biasa. 

Setelah selesai tawafnya, beliau solat dua rakaat di maqam Ibrahim (tempat solat Nabi Ibrahim). 

Setelah salam maka beliau pergi ke Shafa, lalu beliau melakukan sa'i antara Shafa dan Marwa sebanyak tujuh kali. Dan beliau tidak dihalalkan lakukan sesuatu yang telah diharamkan beliau menyempurnakannya. Lalu menyembelih korbannya kemudian mengerjakan tawaf ifadlal di Baitullah. Setelah itu beliau bertahallul. Demikian pula orang yang membawa ternak korban mereka juga mengerjakan apa yang dikerjakan oleh Rasulullah saw."

Hadis Sunan An-Nasai 

Friday, September 27, 2013

Haji Yang Bersih Dari Dosa

Jumaat, 21 Zulkaedah 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang mendatangi rumah ini (menunaikan ibadah haji atau umrah) tanpa merosaknya dengan perbuatan dan perkataan kotor, serta tidak membuat maksiat, maka dia kembali pada keadaannya seperti baru lahir (bersih dari dosa)."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, September 26, 2013

Tawaf - Sunat Berlari Tiga Kali Putaran

Khamis, 20 Zulkaedah 1434H: Dari Ibnu 'Abbu r.a., katanya: "Rasulullah saw. dan juga sahabat beliau datang ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji dalam keadaan lemah oleh penyakit Madinah. Lalu orang-orang musyrik Mekah berkata sesama mereka, "Esok akan datang ke sini suatu kaum yang lemah kerana mereka diserang penyakit panas yang memayahkan. Oleh kerana itu mereka duduk di dekat hijir memperhatikan kaum muslimin tawaf. 

Nabi saw. memerintahkan mereka supaya berlari tiga kali putaran dan berjalan biasa empat kali putaran antara dua sudut supaya dilihat kaum musyrikin ketangkasan mereka. 

Maka berkata kaum musyrikin sesama mereka, "Inikah orang-orang yang kamu katakan lemah kerana sakit panas, ternyata mereka lebih kuat dari golongan ini dan itu."

Hadis Sahih Muslim.

Wednesday, September 25, 2013

Nazar Haji

Rabu, 19 Zulkaedah 1434H: Dari Ibnu Abbas r.a. bahawa seorang perempuan datang kepada Nabi saw. bertanya: "Ibu saya bernazar akan mengerjakan haji, tetapi dia telah meninggal dunia sebelum sempat mengerjakannya. Bolehkah saya mengerjakan haji menggantikannya?" 

Jawab Nabi: "Ya boleh! Kerjakanlah haji itu untuk menggantikannya! 

Bagaimana pendapat engkau, kalau kiranya ibu engkau berhutang engkaukah yang akan membayarnya?" 

Jawab perempuan itu: "Ya!" 

Kata Nabi: "Bayarlah, kerana hutang (kewajiban) kepada Allah lebih patut dibayar."

Hadis Sahih Bukhari 

Tuesday, September 24, 2013

Saai Antara Safa dan Marwah

Selasa, 18 Zulkaedah 1434H: Dari 'Urwah r.a., dari bapanya, dari 'Aisyah r.a., katanya: "Aku berpendapat, jika seseorang tidak saai antara Safa dan Marwah tidak membatalkan hajinya."
 
Tanya 'Aisyah, "Apa alasanmu?"
 
Jawab ku, "Firman Allah Taala yang berbunyi: "Sesungguhnya Safa dan Marwah sebahagian dari syi'ar agama Allah. " (Al Baqarah: 158).
 
Kata 'Aisyah, "Tidak sempurna haji dan umrah seseorang tanpa saai antara Safa dan Marwah. Kalau benarlah apa yang kamu katakan, tentu firman Allah Ta'ala itu seharusnya berbunyi: Tidaklah berdosa orang yang tidak saai antara keduanya. Tahukah kamu sebabnya?
 
Sebabnya ialah: Di zaman jahiliyah, orang-orang Ansar menyembah dua berhala yang terletak di tepi pantai, iaitu berhala yang disebut Isaf dan Nailah. Sesudah mereka mendatangi kedua berhala itu, mereka saai antara Safa dan Marwah, dan sesudah itu mereka bercukur. Setelah Islam datang, mereka enggan saai antara keduanya, kerana mereka tak ingin mengingat perbuatan mereka semasa jahiliyah.
 
Kata 'Aisyah, lalu Allah menurunkan ayat: "Sesungguhnya Safa dan Marwah sebahagian daripada syiar agama Allah." (Al Baqarah : 158). Maka sejak itu, mereka saai antara keduanya."

Sahih Muslim

Monday, September 23, 2013

Tempat Miqat Umrah dan Haji

Isnin, 17 Zulkaedah 1434H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya:"Rasulullah saw. menetapkan miqat (tempat memulai ihram) bagi penduduk Madinah di Zulhulaifah,
 
Bagi penduduk Syam di Juhfah,
 
Bagi penduduk Nejed di Qarnalmanazil, dan
 
Bagi penduduk Yaman, Yalamlam.
 
Tempat-tempat itu berlaku pula bagi orang-orang yang bukan penduduk negeri-negeri tersebut, tetapi dia bermaksud menunaikan ibadah haji dan umrah melalui tempat-tempat itu bagi orang yang lebih dekat ke Mekah dari tempat-tempat tersebut atau bagi penduduk Mekah sendiri, miqatnya ialah di mana mereka berada.
 
(Sahih Muslim)

Friday, September 20, 2013

Haji - Mencukur Rambut

Jumaat, 14 Zulkaedah 1434H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Bahawasanya Rasulullah saw. mencukur rambut ketika beliau haji wada'."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, September 19, 2013

Wajib Haji Bagi Yang Berkemampuan

Khamis, 13 Zulkaedah 1434H: Muhammad bin Yahya Al-Qutha'i Al-Bashri menceritakan kepada kami, Muslim bin Ibrahim memberitahukan kepada kami, Hilal bin 'Abdullah, pelayan Rabi'ah bin 'Amr bin Muslim Al-Bahili memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari AL-Harits dari 'Ali di mana ia berkata:
 
"Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang mempunyai bekal dan kenderaan yang dapat membawanya sampai ke Baitullah namun ia tidak berhaji maka tidak ada halangan baginya bila ia mati dalam keadaan Yahudi atau Nasrani. Yang demikian itu kerana Allah berfirman di dalam kitabNya: (yang ertinya: "Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah.")
 
Abu 'Isa berkata: "Hadis ini adalah hadis hasan gharib yang tidak kami ketahui kecuali dari riwayat gharib ini. Dalam sanadnya terdapat beberapa pendapat. Hilal bin 'Abdullah itu tidak dikenali; sedangka Al-Harith itu dianggap daif dalam hadis ini."
 
(Hadis Sunan At-Termizi)

Wednesday, September 18, 2013

Umrah Dalam Bulan Haji

Rabu, 12 Zulkaedah 1434H : Ahmad bin 'Abdah Adh-Dhabbi menceritakan kepada kami, Ziyad bin 'Abdullah menceritakan kepada kami (yang berasal) dari Mujahid dari Ibnu 'Abbas "bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: " 'Umrah itu masuk ke dalam haji sampai hari Kiamat."
 
Masalah yang sama diriwayatkan dari Suraqah bin Malik bin Ju'syum dan Jabir bin 'Abdullah. Abu 'Isa berkata: "Hadis Ibnu 'Abbas itu adalah hadis hasan. Yang dimaksudkan dengan hadis ini iaitu bahawasanya tidak ada larangan menunaikan 'umrah dalam bulan-bulan haji. Demikianlah pendapat Asy-Syafi'i, Ahmad dan Ishaq.
 
Maksud dari hadis ini ialah bahawa orang-orang Jahiliyah tidak mengerjakan 'umrah pada bulan-bulan haji. Ketika Islam datang, Nabi s.a.w. memberikan keringanan dalam masalah itu, di mana baginda bersabda: " 'Umrah itu masuk ke dalam haji sampai hari Kiamat"; maksudnya tidak ada larangan mengerjakan 'umrah pada bulan-bulan haji. Bulan-bulan haji itu adalah Syawal, Zulkaedah dan sepuluh hari dari bulan Zulhijjah.
 
Seseorang tidak boleh menunaikan haji kecuali pada bulan-bulan haji. Sedangkan bulan-bulan yang mulia adalah bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Demikianlah diriwayatkan oleh para ulama' yang tidak sedikit dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. dan yang lain."

Hadis Sunan At-Termizi

Friday, September 13, 2013

Perempuan Mengerjakan Haji Bersama Muhrim

Jumaat, 7 Zulkaedah 1434H: Dari Ibnu Abbas r.a.: Ia mendengar Nabi s.a.w. bersabda:
"Janganlah seorang laki-laki tinggal berdua saja dengan seorang perempuan!
Dan janganlah seorang perempuan berpergian, melainkan bersama muhrim!"
Seorang laki-laki lalu berdiri, katanya: "Hai Rasulullah! Nama saya telah didaftarkan untuk peperangan ini dan itu, sedang isteri saya akan pergi mengerjakan haji".
Beliau bersabda: "Pergilah engkau mengerjakan haji bersama isteri engkau!"

Sahih Bukhari

Wednesday, September 11, 2013

Apa Nabi Buat Dalam Rumahtangganya?

Rabu, 5 Zulkaedah 1434H. Aswad r.a. berkata bahawa ia bertanya kepada 'Aisyah, katanya: "Apakah yang diperbuat Nabi dalam rumah tangganya?" Jawab 'Aisyah, "Beliau juga melakukan pekerjaan rumah tangga, menolong isteri beliau. Dan apabila waktu solat telah tiba, beliau pergi solat."(Sahih Bukhari)

Monday, September 9, 2013

Kewajiban Haji Hanya Sekali

Isnin, 3 Zulkaedah 1434H : Dan Abu Sinan Ad-Du-aly dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Rasulullah saw berkhutbah: "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan haji atas kamu." Tanya Al-Aqra' ibnu Habis: "Apakah haji itu diwajibkan setiap tahun?" Asalnya beliau diam saja, kemudian bersabda: "Andaikan saya berkata "Ya", nescaya akan menjadi wajib. Dan kamu tidak akan dapat mematuhinya. Kewajiban haji hanya sekali saja."( Sunan An-Nasai )

Friday, September 6, 2013

Belajarlah Mengerjakan Haji

Jumaat, 30 Syawal 1434H: Dari Jabir r.a., katanya : "Aku melihat Nabi saw. melontar dari atas kenderaannya pada hari Nahar (hari menyembelih kurban, iaitu 10 Zulhijjah). Lalu beliau bersabda: "Hendaklah kamu sekalian pelajari sungguh-sungguh bagaimana caranya aku mengerjakan haji, kerana aku tidak tahu, barangkali aku tidak akan sempat lagi mengerjakan haji sesudah hajiku ini."

(Sahih Muslim)

Thursday, September 5, 2013

Ihram Haji & Umrah

Khamis, 29 Syawal 1434H: Dari 'Aisyah r.a. katanya: "Diantara kamu ada yang ihram untuk haji ifrad (mendahulukan haji dari umrah), ada yang ihram untuk haji Qiran (mengerjakan haji digabung dengan umrah sekaligus) dan ada pula yang ihram untuk haji Tamattuk (mendahulukan umrah daripada haji)."

( Sahih Muslim)

Wednesday, September 4, 2013

Berlindung Dengan Allah Dari Seksa Kubur

Rabu, 28 Syawal 1434H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Dua orang wanita tua bangsa Yahudi datang ke rumahku, lalu keduanya berkata: "Sesungguhnya ahli kubur itu diseksa dalam kuburnya." Aku mendustakan ucapan mereka dan tidak mahu mengiakannya. Setelah mereka keluar, Rasulullah saw. datang. Lalu ku ceritakan kepada beliau kedatangan wanita tua Yahudi itu serta ucapan mereka yang mengatakan bahawa ahli kubur diseksa dalam kubur mereka. Jawab Rasulullah saw., "Mereka benar! Memang ahli kubur itu diseksa, sehingga seksaan mereka itu terdengar oleh binatang ternak." Kata 'Aisyah, "Semenjak itu, ku lihat beliau sentiasa berlindung dengan Allah dan seksa kubur dalam solat."

(Sahih Muslim)