Thursday, February 28, 2019

Jangan Lalai Melakukan Amal

Khamis, 27 Jamadilakhir 1440H: Dari Abu Hurairah ra. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang menolong menghilangkan kesusahan orang mukmin, Allah Taala menghilangkan pula kesusahannya di hari kiamat kelak. 

Siapa yang membantu memudahkan orang yang dalam kesulitan, Allah memudahkannya pula di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hambanya selama hamba itu mahu menolong saudaranya. 

Siapa berusaha mencari ilmu, Allah memudahkan baginya jalan ke syurga. 

Bila suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah (masjid)lalu mereka membaca Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, diturunkan kepada mereka ketenangan dan diselubungi mereka dengan rahmat. Mereka dikerumuni oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut dengan bangga kepada orang-orang yang di dekat-Nya. 

Sedangkan orang yang lalai beramal, ia tidak akan dapat mengejar ketinggalannya dengan gelar kebangsawanan nya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2322.

Wednesday, February 27, 2019

Allah Kagum

Rabu, 27 Jamadilakhir 1440H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. lalu dia berkata, "Aku dalam kesulitan susah hidup dan lapar." 

Maka beliau bawa pulang itu ke rumah isteri beliau satu persatu menanyakan kalau-kalau mereka ada sedia makanan. Para isteri beliau menjawab. "Demi Allah yang mengutus Anda dengan yang hak, aku tidak sedia apa-apa selain air." Begitulah jawapan mereka masing-masing. 

Lalu bersabda beliau kepada para sahabat. "Siapa bersedia menerima tetamu malam ini nescaya di beri rahmat oleh Allah Ta'ala." 

Maka berdirilah seorang lelaki Ansar seraya berkata, "Aku, ya Rasulullah!"
Maka dibawanya lah orang itu ke rumahnya. Dia bertanya kepada isterinya, "Adakah engkau sedia makanan?" 

Jawab isterinya, "Tidak ada, kecuali makanan anak-anak." 

Katanya, "Pujuklah mereka dengan apa saja. Bila tetamu kita dah masuk tunjukkan kepadanya bahawa kita makan bersamanya. Bila dia telah mulai makan, berdirilah ke dekat lampu lalu padamkan."

Maka duduklah mereka dan sang tetamu pun makanlah. Setelah Subuh, sahabat tersebut bertemu dengan Nabi saw. lalu kata beliau, "Allah kagum dengan cara kamu berdua melayani tetamu kalian malam tadi."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1966.

Tuesday, February 26, 2019

Pemohoan Rasulullah SAW

Selasa, 21 Jamadilakhir 1440H: Dari Tsauban r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda, "Sesungguhnya Allah Ta'ala telah memperlihatkan kepada ku (peta) bumi secara keseluruhan, sehingga aku dapat melihat bumi sebelah Timur dan Barat. 

Dan sesungguhnya kekuasaan ummat ku akan sampai ke seluruh tempat yang telah diperlihatkan Allah Ta'ala kepada ku. Kepada ku diberikan dua macam perbendaharaan, iaitu merah dan putih. 

Aku memohon kepada Tuhan untuk membantu ummat ku, agar mereka tidak dibinasakan dengan musim susah yang panjang, dan agar mereka tidak dijajah oleh kekuasaan asing selain oleh mereka sendiri, sehingga kekuasaan mereka menjadi hancur luluh. 

Tuhan ku berfirman, "Ya, Muhammad! Apabila Aku telah memutuskan suatu putusan, maka putusanKu tidak dapat diubah lagi. Aku memperkenankan doa mu untuk umat mu, bahawa mereka tidak akan binasa dengan musim susah yang panjang. 

Dan bahawa Aku tidak akan menjajahkan kepada mereka suatu kekuatan musuh selain diri mereka sehingga kekuatan mereka hancur luluh, sekalipun musuh-musuh mereka bersatu mengelilingi, kecuali bila sebahagian mereka membinasakan yang sebahagian dan mereka saling tawan-menawan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2463.

Monday, February 25, 2019

Dengki Yang DiBolehkan

Isnin, 20 Jamadilakhir 1440H: Dari Salim r.a., dari bapanya, dari Nabi saw. sabdanya: 

"Tidak boleh dengki melainkan kepada dua macam: 

Pertama, kepada orang yang dikaruniai Allah ilmu Al Quran, lalu diamalkannya siang malam. 

Kedua, kepada orang yang dikaruniai Allah harta kekayaan, lalu dibelanjakannya siang dan malam (di jalan Allah)."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0782.

Friday, February 22, 2019

Dosa Ketika Imam Sedang Berkhutbah

Jumaat, 17 Jamadilakhir 1440H: Dari Abu Hurairah katanya: "Bahawasanya aku pernah mendengar rasulullah saw bersabda:

"Jika kamu berkata kepada kawanmu;"Tenanglah kamu", ketika imam sedang berkhutbah di hari Jumaat, maka kamu telah berbuat dosa."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 1376.

Thursday, February 21, 2019

Menyaringkan Bacaan Dalam Solat

Khamis, 16 Jamadilakhir 1440H: Dari 'Imran bin Hushain r.a., katanya: "Pada suatu kali Rasulullah saw. mengimami kami solat Zohor atau 'Asar.

Setelah selesai solat beliau bersabda; "Siapa tadi di belakangku yang menyaringkan bacaan 'Sabbihisma rabbikal a'la?" 

Jawab seorang sahahat, "Aku. Maksudku hanya semata-mata untuk kebaikan." 

Sabda Rasulullah saw., "Aku tahu maksudmu baik. Tetapi kamu mengganggu orang lain".

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0353.

Wednesday, February 20, 2019

Apabila Matinya Ulama

Rabu, 15 Jamadilakhir 1440H: Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a. katanya dia mendengar Rasulullah saw bersabda: "Allah tidak menarik kembali ilmu pengetahuan dengan jalan mencabutnya dari hati sanubari manusia, tetapi dengan jalan mematikan orang-orang berpengetahuan (ulama). 

Apabila orang berpengetahuan telah punah, maka masyarakat akan mengangkat orang-orang bodoh menjadi pemimpin yang akan dijadikan tempat bertanya. 

Orang-orang bodoh ini akan berfatwa tanpa ilmu; mereka itu sesat dan menyesatkan."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0076.

Tuesday, February 19, 2019

Kebaikan & Kejahatan

Selasa, 14 Jamadilakhir 1440H: Dari Ali r.a. katanya: Kami duduk bersama Nabi saw. dan di tangan beliau ada sepotong kayu yang dicocok-cocokkannya ke tanah dan di tunggang balikkannya, lalu beliau bersabda: "Setiap kamu telah ditentukan tempatnya dalam neraka atau dalam syurga."

Di antara orang banyak itu ada yang bertanya: "Apakah tidak lebih baik kita menyerah saja Ya Rasulullah?" 

Jawab Nabi: "Tidak boleh, melainkan hendaklah kamu bekerja dan setiap orang memperoleh kemudahan." 

Kemudian beliau membacakan ayat: "Adapun orang yang memberi dan bertakwa serta membenarkan hal yang baik, akan Kami mudahkan baginya hal mudah (kebaikan). Tetapi orang yang kikir dan merasa dirinya serba cukup serta mendustakan hal yang baik, akan Kami mudahkan baginya hal yang sulit (kejahatan)."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1781.

Friday, February 15, 2019

Kaum Selepas Abad Yang Paling Baik

Jumaat, 10 Jamadilakhir 1440H: Dari Imran bin Husain r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda: "Yang paling baik di antara kamu ialah mereka yang ada pada abadku, di bawah itu orang-orang yang setelah mereka, seterusnya orang-orang yang setelah mereka". 

Dan selanjutnya Nabi s.a.w. bersabda: Setelah kamu nanti akan ada kaum yang berkhianat dan mereka tiada dipercayai. 

Mereka turut jadi saksi, sedangkan mereka tiada diminta untuk itu; mereka bernazar, tetapi mereka tiada memenuhinya (tiada membayarnya), dan di antara mereka ada gemuk-gemuk badannya".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1235.

Thursday, February 14, 2019

Bersin & Menguap

Khamis, 9 Jamadilakhir 1440H; Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi saw: "Allah mencintai bersin dan membenci menguap. 

Kerana itu kalau seseorang bersin lalu ia memuji Allah, maka setiap orang Islam lain yang mendengar, hendaklah mendoakannya. 

Menguap itu adalah dari syaitan. Orang hendaklah menahan kuapnya dengan secepat mungkin. Kalau ia mengucapkan "Wah!", maka syaitan tertawa mendengarnya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1719.

Tuesday, February 12, 2019

Bersedekah Mesti Tiap Muslim

Selasa, 7 Jamadilakhir 1440H: Dari Abu Musa r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Mestinya tiap-tiap orang muslim bersedekah. 

Orang banyak bertanya: "Ya, Nabi Allah! Bagaimana dengan orang yang tak punya (untuk disedekahkan)?" 

Jawab Nabi saw.. "Ia harus bekerja dengan tangannya, sehingga ia memperoleh keuntungan untuk dirinya dan dapat bersedekah." 

Tanya mereka. "Kalau tidak sanggup?"

Sabda Nabi, "Hendaklah ia menolong orang yang memerlukannya." 

Tanya: "Kalau sekiranya tidak boleh?" 

Jawab Nabi saw., "Kerjakanlah segala kebaikan dan hentikan segala macam kejahatan. Yang demikian itu bererti sedekah juga baginya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0742.

Monday, February 11, 2019

Dilarang Menyentuh & Melempar

Isnin, 6 Jamadilakhir 1440H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya; "Rasulullah saw. melarang kami jual beli dengan dua malam cara. Iaitu jual beli mulamasah dan munabadzah. 

Mulamasah ialah si pembeli hanya menyentuh kain dagangan si penjual, malam atau siang, tanpa membalik-baliknya dengan teliti. 

Munabadzah ialah si penjual melemparkan kain dagangannya kepada si pembeli, maka dengan begitu terjadilah jual beli tanpa diberi kesempatan kepada pembeli untuk meneliti dan tanpa disetujuinya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1455.

Friday, February 8, 2019

Penciptaan Bumi

Jumaat, 3 Jamadilakhir 1440H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. memegang tangannya, lalu beliau bersabda:

"Allah Azza wa Jalla menjadikan tanah pada hari Sabtu, memasakkan gunung pada hari Ahad, menumbuhkan pohon-pohon pada hari Isnin, menjadikan bahan-bahan mineral pada hari Selasa, menjadikan cahaya pada hari Rabu, menebarkan binatang pada hari Khamis, dan menjadikan Adam Alaihissalam sesudah Asar pada hari Jumaat setelah selesai tercipta seluruh makhluk dan pada saat terakhir di hari Jumaat antara 'Asar dan malam."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2388.

Thursday, February 7, 2019

Zikir Yang Paling Utama

Khamis, 2 Jamadilakhir 1440H: Dari Abu Dzar r.a. katanya Rasulullah saw. pernah ditanya orang: "Apakah ucapan zikir yang paling afdhal (utama), ya Rasulullah?"

Jawab beliau, "Yaitu ucapan zikir yang dipilihkan Allah bagi para malaikatNya dan hamba-hambaNya, ialah: Subhanallahi wa bihamdih.(Maha Suci Allah Maha Terpuji Dia)"

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2352.