Thursday, September 28, 2017

Kriteria Imam Solat

Khamis, 7 Muharram 1438H: Dari Abu Mas'ud Al Anshari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Orang yang patut jadi imam (solat berjemaah) ialah yang paling pandai membaca Kitabullah.

Jika ternyata mereka sama pandai, maka yang paling alim tentang sunnah.

Jika ternyata mereka sama alim, maka yang paling dahulu hijrah.

Jika ternyata mereka bersamaan pula hijrah, maka yang paling dahulu masuk Islam.

Janganlah kamu menjadi imam dalam wilayah kekuasaan orang lain, dan jangan pula duduk di tempat yang disediakan khusus untuk kemuliaan seseorang, kecuali dengan izinnya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0633.

Wednesday, September 27, 2017

Solat Sunat Rawatib Rasulullah SAW

Rabu, 6 Muharram1439H: Dari 'Abdullah bin Syaqiq r.a. katanya: "Aku bertanya kepada 'Aisyah r.a., tentang solat sunat rawatib yang pernah dikerjakan Rasulullah saw. 

Katanya, "Beliau solat di rumahku empat rakaat sebelum Zohor, kemudian beliau pergi ke masjid mengimami solat orang ramai. Sesudah itu beliau pulang, lalu solat pula di rumahku dua rakaat.
Kemudian beliau pergi mengimami solat Maghrib orang ramai, sesudah itu beliau pulang, lalu solat di rumah dua rakaat. 

Kemudian beliau pergi mengimami solat Isyak. Sesudah itu beliau pulang, lalu solat di rumah dua rakaat. 

Dan biasanya beliau sentiasa solat tengah malam sembilan rakaat, termasuk di dalamnya sunat witir. Kadang-kadang beliau solat sepanjang malam dengan berdiri dan kadang-kadang duduk. Apabila beliau membaca sambil berdiri, maka dia rukuk dan sujud sambil berdiri pula. Apabila beliau membaca sambil duduk, maka dia rukuk dan sujud sambil duduk pula. 

Dan kalau fajar sudah terbit, beliau solat pula dua rakaat (sunat fajar)."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0702

Tuesday, September 26, 2017

Imam Untuk DiIkuti

Selasa, 5 Muharram 1439; Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Nabi saw. jatuh dari kuda, menyebabkan rusuk kanan beliau luka. Kerana itu kami datang menjenguk beliau dan kebetulan ketika kami tiba di sana waktu solat pun tiba.

Beliau solat mengimami kami sambil duduk, dan kami solat mengikut beliau sambil duduk pula. Setelah selesai solat beliau bersabda,

"Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikut. Kerana itu, apabila imam takbir, takbir pulalah kamu. Apabila imam sujud, sujud pulalah kamu. Apabila iman bangkit, bangkit pulalah kamu. Dan apabila imam membaca 'Sami'allahu liman hamidah', maka ucapkanlah 'Rabbana walakal hamdu'.

Apabila imam itu solat sambil duduk, maka solat pulalah kamu sekalian sambil duduk."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0364.

Monday, September 25, 2017

Duabelas Bulan

Isnin, 4 Muharram 1439H: Dari Abu Bakrah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Sesungguhnya masa beredar, sama keadaannya ketika Allah Ta'ala menjadikan langit dan bumi.Iaitu setahun dua belas bulan. 
 
Empat di antaranya adalah bulan haram, di mana tiga di antaranya berturut-turut, iaitu: Dzul Qaidah, Dzul Hijah,dan Muharram.

Sedangkan bulan Rajab, ialah bulan kaum Mudhar yang terletak antara dua bulan Jumadi dan Sya'ban."
 
Kemudian beliau bertanya, "Sekarang bulan apa ini?"

Jawab kami, "Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih tahu."

Beliau terdiam, sehingga kami menyangka kalau-kalau beliau akan menamainya dengan nama yang lain. Lalu beliau bertanya pula, "Bukankah bulan ini bulan Dzul Hijjah?"

Jawab kami, "Betul!"

Tanya beliau pula, "Negeri apa ini?"

Jawab kami, "Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih tahu."

Beliau diam seketika, sehingga kami menyangka mungkin beliau akan memberinya nama dengan nama lain. Tanya beliau, "Bukankah negeri ini negeri (Haram)?"

Jawab kami, "Betul!"

Tanya beliau, "Hari apa ini?"

Jawab kami, "Allah dan Rasul-Nya sajalah yang lebih tahu."

Beliau diam seketika, sehingga kami menyangka kalau-kalau beliau akan memberinya nama lain. Lalu beliau bertanya pula, "Bukankah hari ini hari Nahar?"

Jawab kami, "Betul, ya Rasulullah!"

Sabda beliau, "Sesungguhnya darahmu, harta mu, dan kehormatanmu adalah haram (dilindungi) atas kamu, seperti haramnya hari ini, di negeri ini dan di bulan ini. Dan kamu semua akan menemui Tuhan mu kelak, lalu Dia akan menanya segala perbuatanmu. Kerana itu janganlah kamu kafir sepeninggal ku nanti, di mana sebahagian kamu memotong leher yang lain.

Perhatikan! Hendaklah yang hadir sekarang ini menyampaikan kepada yang tidak hadir. Mudah-mudahan orang yang disampaikan kepadanya amanatku ini lebih pandai mengamalkannya daripada yang mendengarkannya sendiri".

Kemudian beliau bertanya, "Ketahuilah! Bukankah telah kusampaikan?"

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1665.

Thursday, September 21, 2017

Mamatuhi Amir

Khamis, 30 Zulhijjah 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., Ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kita umat yang terakhir (di dunia) paling di muka (di akhirat). Siapa yang mematuhi perintah saya, bererti ia telah patuh kepada Tuhan. 

Sebaliknya, siapa yang mendurhakai saya, sesungguhnya ia mendurhakai Tuhan. 

Siapa yang mematuhi Amir (pembesar negeri), sesungguhnya ia telah mematuhi saya dan siapa yang mendurhakai Amir, sesungguhnya ia telah mendurhakai saya.

Dan sesungguhnya Imam itu dinding (pembela) terhadap rakyat yang dibelakangnya. Jika rakyat itu diperangi musuh, Imam mempertahankannya. 

Jikalau ia memerintahkan taqwa kepada Allah dan ia bersikap adil, maka kerana hal yang demikian itu, ia memperoleh pahala. 

Sebaliknya kalau ia berkata (berbuat) bukan demikian, maka ia berdosa (dihukum).".

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, September 20, 2017

Setiap Seorang Ada Jin

Rabu, 29 Zulhijjah 1438H: Dari Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Tidak seorang pun di antara kamu melainkan telah ada jin yang di tugaskan pemimpinnya untuk selalu menggodanya."

" Tanya para sahabat, "Anda juga, ya Rasulullah?" 

Jawab beliau, "Ya, aku juga. Tetapi Allah selalu melindungi ku dari godaan mereka, sehingga mereka yang menggoda ku akhirnya Islam (menyerah). Kerana itu mereka tidak berani menyuruh ku melainkan untuk kebaikan."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, September 19, 2017

Dunia Itu Manis

Selasa, 28 Zulhijjah 1438H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. dari Nabi saw. sabdanya:

"Sesungguhnya dunia itu manis. Dan sesungguhnya Allah telah menguasakannya kepada kamu sekalian. 

Kemudian Allah menunggu (memperhatikan) apa yang kamu kerjakan (di dunia itu). Kerana itu takutilah dunia dan takutilah wanita, kerana sesungguhnya sumber bencana Bani Israil adalah wanita."

Hadis Sahih Muslim

Monday, September 18, 2017

Bila Tidak Saling Mengenal

Isnin, 27 Zulhijjah 1438H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Ruh (jiwa) bagaikan para parajurit yang aneka ragam. Bila saling mengenal, mereka akan bersatu. Bila tidak saling mengenal, mereka akan berpecah-belah."
 
Hadis Sahih Muslim

Friday, September 15, 2017

Kebaikan Bukan Dengan Tergesa-Gesa

Jumaat, 24 Zulhijjah 1438H: Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: "Saya berangkat bersama-sama dengan Nabi saw. pada hari 'Arafah. Nabi saw. mendengar suara herdikan yang keras dan pukulan terhadap unta.

Lalu beliau memberi isyarat kepada mereka dengan cemetinya, dan bersabda: "Hai, orang banyak! Tenanglah! kerana sesungguhnya kebaikan itu diperoleh bukanlah dengan tergesa-gesa."

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, September 14, 2017

Apabila Muadzin Qamat

Khamis, 23 Zulhijjah 1438H: Berita dari Abu Qatadah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda:

"Apabila muadzin telah qamat untuk solat, maka janganlah kamu berdiri lebih dahulu, sebelum melihat ku (berdiri di hadapanmu), dan hendaklah kamu bersikap tenang. "

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, September 13, 2017

Jangan Tergopoh-Gopoh

Rabu, 22 Zulhijjah 1438H: Dari Abu Qatadah r.a., katanya: "Ketika kami sedang solat bersama Nabi saw., tiba-tiba beliau mendengar suara gaduh seorang laki-laki. 

Setelah selesai solat beliau bertanya, "Apa yang terjadi?" 

Jawab mereka, "Kami tergopoh-gopoh hendak solat." Sabda 

Nabi saw., "Jangan berbuat begitu! Apabila kamu hendak solat (berjemaah), bersikaplah tenang. Mana yang kamu dapati, solatlah bersama mereka, dan mana yang kamu tertinggal sempurnakanlah kemudian."

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, September 12, 2017

Balasan Allah Kepada HambaNya

Selasa, 21 Zulhijjah 1438H: Dari Abu Hurairah ra. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang menolong menghilangkan kesusahan orang mukmin, Allah Taala menghilangkan pula kesusahannya di hari kiamat kelak. 

Siapa yang membantu memudahkan orang yang dalam kesulitan, Allah memudahkannya pula di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hambanya selama hamba itu mahu menolong saudaranya. 
 
Siapa berusaha mencari ilmu, Allah memudahkan baginya jalan ke syurga. 

Bila suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah (masjid)lalu mereka membaca Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, diturunkan kepada mereka ketenangan dan diselubungi mereka dengan rahmat.

Mereka dikerumuni oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut dengan bangga kepada orang-orang yang di dekat-Nya. 

Sedangkan orang yang lalai beramal, ia tidak akan dapat mengejar ketinggalannya dengan gelar kebangsawanan nya."

Hadis Sahih Muslim

Friday, September 8, 2017

Pohon Kurma Menangis

Jumaat, 17 Zulhijjah 1438H: Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya seorang wanita Ansar bertanya kepada Rasulullah saw., katanya:

"Ya, Rasulullah! Bolehkah saya buatkan untuk Tuan sebuah bangku tempat duduk bagi Tuan? Kerana saya mempunyai seorang anak muda tukang kayu."

Sabda Nabi saw., "Kalau anda mahu, silakan!"

Kata wanita itu, "Maka saya buatkan sebuah mimbar untuk beliau. Pada hari Jumaat, Nabi saw. duduk di mimbar itu. Pohon kurma yang berada di samping beliau berkhutbah itu berteriak sehingga hampir belah.

Nabi saw. turun, lalu beliau pegang pohon kurma itu dan mendakapnya".Pohon kurma itu pun menangis seperti tangisnya anak kecil yang didiamkan (ibunya). (Beliau mendakapnya) sampai kurma itu tenang.

Sabda Nabi, "Ia menangis seperti itu, kerana mendengar apa-apanya dari zikir (pelajaran)."

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, September 7, 2017

Apabila Qamat Telah DiBacakan

Khamis, 16 Zulhijjah 1438H: Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda:

"Apabila qamat telah dibacakan oleh hendak solat, maka janganlah kamu datang dengan tergesa-gesa, tetapi datanglah dengan berjalan seperti biasa, bersikap tenang.

Ikutlah solat pada rakaat yang mana saja kamu dapati. Mana yang ketinggalan sempurnakanlah (sesudah imam memberi salam). "

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, September 6, 2017

Seperti Saf Malaikat

Rabu, 15 Zulhijjah 1438H: Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Rasulullah saw. mendatangi kami lalu beliau bersabda:

"Apa sebabnya anda mengangkat kedua tangan anda (dalam solat), sehingga ku lihat bagaikan ekor kuda liar? Bersikap tenanglah dalam solat!"

Kemudian beliau mendatangi kami pula, dan melihat kami berkelompok-kelompok. Lalu beliau bersabda: "Mengapa ku lihat anda berpisah-pisah?"

Kemudian beliau mendatangi kami pula lalu bersabda: "Mengapa anda tidak membuat saf (berbaris) seperti saf malaikat di hadapan Tuhannya?"

Tanya kami, "Bagaimana caranya saf malaikat di hadapan Tuhannya?"

Jawab beliau, "Mereka penuhi lebih dahulu saf pertama, dan mereka rapatkan barisan mereka."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, September 5, 2017

Solatlah Dengan Tenang

Selasa, 14 Zulhijjah 1438H: Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi saw. masuk ke dalam masjid, kemudian masuk pula seorang laki-laki lalu dia solat. Selesai solat, orang itu datang dan memberi salam kepada Nabi saw. Nabi menolak orang itu dan bersabda,

"Ulangilah solat anda kembali kerana anda belum solat!" Maka diulanginya solatnya kembali, kemudian dia datang dan memberi salam kepada Nabi.

Sabda Nabi, "Ulangilah solat anda kembali, kerana anda belum solat!" Sampai tiga kali Nabi saw. menyuruh orang itu demikian.

Jawab orang itu, "Demi Allah, yang telah mengutus anda dengan yang hak. Aku belum tahu cara solat yang lebih baik dari itu. kerana itu ajarkanlah kepada ku."

Jawab Nabi saw., "Apabila engkau berdiri hendak solat, ucapkanlah Takbir. Kemudian baca ayat-ayat Quran yang mudah bagi mu. Kemudian rukuk sehingga engkau tenang dalam rukuk itu, kemudian bangkit, berdiri lurus kembali. Sesudah itu sujud, sehingga engkau tenang dalam sujudmu itu. Sesudah itu bangkit, duduk, sehingga engkau tenang tenteram dalam dudukmu itu. Kemudian sujud, sehingga engkau tenang dalam sujudmu itu. Lakukanlah seperti itu setiap kamu solat."

Hadis Sahih Bukhari