Thursday, May 28, 2015

Waktu Solat Lima Waktu

Khamis, 10 Sya'aban 1436H: Kata Jabir r.a.: "Nabi saw. solat Zohor di tengah hari, solat 'Asar ketika matahari masih bersinar terang, Maghrib setelah matahari terbenam, dan solat 'Isya berubah-ubah kerana keadaan. 

Apabila beliau melihat jemaah telah berkumpul untuk solat Isyak, beliau lakukan segera, dan apabila beliau lihat mereka terlambat datang, maka beliau undur pula solat Isyak. 

Sedangkan solat Subuh mereka atau Nabi saw. melakukannya pada waktu gelap pagi."

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, May 27, 2015

Apabila Lupa Solat

Rabu, 9 Sya'aban 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. kembali dari perang Khaibar, beliau berjalan tengah malam, sehingga beliau mengantuk, lalu beliau berhenti dan rehat untuk tidur. 

Beliau bersabda kepada Bilal, "Bangunkan kami bila waktu Subuh tiba." 

Sementara itu Bilal solat seberapa dapat dilakukannya, sedangkan Nabi saw. dan sahabat-sahabat yang lain tidur. Ketika fajar hampir terbit, Bilal bersandar ke kenderaannya menunggu fajar terbit. Tetapi dia sangat mengantuk dan tertidur ketika sedang bersandar itu, sehingga dia tidak dapat membangunkan Rasulullah saw. dan para sahabat yang lain, sampai sinar matahari mengenai mereka. Yang mula-mula terbangun ialah Rasulullah saw. 

Ketika beliau terbangun, beliau bertanya, "Mana Bilal?" 

Jawab Bilal, "Demi Allah! Aku tertidur, ya Rasulullah." 

 Sabda Rasulullah saw., "Bersiaplah semua!" 

Lalu mereka siapkan kenderaan mereka. Kemudian Rasulullah saw. mengambil wuduk dan menyuruh Bilal qamat. Setelah Bilal qamat, Nabi saw. mengimami mereka solat Subuh. 

Setelah selesai solat, beliau bersabda: "Siapa yang lupa solat, maka hendaklah dia solat apabila ingat. Sesunguhnya Allah berfirman: "Tegakkanlah solat untuk mengingat-Ku."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, May 26, 2015

Pahala Solat Duduk

Selasa, 8 Sya'ban 1436H: Dari 'Imran, katanya: "Aku bertanya kepada Nabi saw. perihal orang yang solat duduk." 

Jawab beliau, "Orang yang solat berdiri, itulah yang paling utama. Dan orang yang solat duduk, maka pahalanya seperdua pahala solat berdiri. Dan orang yang solat tidur, maka pahalanya seperdua pahala orang yang solat duduk."

Hadis Sahih Bukhari.

Monday, May 25, 2015

Imam Untuk Diikuti

Isnin, 7 Sya'aban 1436H: Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Nabi saw. jatuh dari kuda, menyebabkan rusuk kanan beliau luka. Kerana itu kami datang menjenguk beliau dan kebetulan ketika kami tiba di sana waktu solat pun tiba. Beliau solat mengimami kami sambil duduk, dan kami solat mengikut beliau sambil duduk pula. Setelah selesai solat beliau bersabda, 

"Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikut. Kerana itu, apabila imam takbir, takbir pulalah kamu. Apabila imam sujud, sujud pulalah kamu. Apabila iman bangkit, bangkit pulalah kamu. Dan apabila imam membaca 'Sami'allahu liman hamidah', maka ucapkanlah 'Rabbana walakal hamdu'. Apabila imam itu solat sambil duduk, maka solat pulalah kamu sekalian sambil duduk."

Hadis Sahih Muslim

Friday, May 22, 2015

Mengingatkan Sesuatu Dalam Solat Hendaklah Bertasbih

Jumaat, 4 Sya'ban 1436H: Dari Sahal bin Sa'ad As Sa'idi r.a., katanya: "Rasulullah saw. pergi ke kampung Bani 'Umar bin 'Auf untuk mengadakan perdamaian sesama mereka. Kebetulan waktu solat tiba. Muadzin datang kepada Abu Bakar dan berkata, "Mahukah anda mengimami solat? Biarlah aku yang qamat." "Baiklah!" jawab Abu Bakar. 

 Ketika Abu Bakar sedang solat, tiba-tiba Rasulullah saw. datang dan terus maju hingga sampai ke shaf pertama). Orang-orang bertepuk, tetapi Abu Bakar tidak menoleh. Ketika tepukan tangan bertambah banyak barulah dia menoleh, dan terlihat kepada Rasulullah saw. Rasulullah saw. memberi isyarat kepada Abu Bakar supaya dia tetap di tempatnya. Tetapi Abu Bakar mengangkat tangannya dari memuji Allah 'Azza wa Jalla atas suruhan Rasulullah saw. itu. Kemudian dia mundur hingga sejajar dengan shaf, sedangkan Rasulullah saw. maju ke depan mengimami solat selanjutnya.

Setelah selesai solat beliau bertanya kepada Abu Bakar, "Hai, Abu Bakar! Apa sebabnya anda tidak mahu ku suruh tetap di tempatmu menjadi imam?" 

Jawab Abu Bakar, "Tidaklah patut bagi anak Abu Quhafah untuk solat mengimami Rasulullah saw." 

Kemudian beliau bertanya kepada jemaah, "Aku lihat anda semua ramai bertepuk tangan, mengapa? 

"Siapa yang hendak mengingatkan sesuatu dalam solat hendaklah dia tasbih (membaca 'subhanallah'), kerana apabila dia tasbih orang akan melihat kepadanya. Sedangkan bagi kaum wanita bertepuk tangan."

Hadis Sahih Muslim.

Thursday, May 21, 2015

Amal Yang Paling Disukai Allah

Khamis 3 Syaaban 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. tidak pernah puasa sunat tiap bulan dalam setahun, lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya'aban. Beliau bersabda, 

"Beramallah kamu sesuai dengan kemampuanmu. Sesungguhnya Allah tidak pernah bosan (memberi pahala) sehingga kamu sendiri yang bosan beramal. Sedangkan amal yang paling disukai Allah ialah amal yang dilakukan secara tetap walaupun sedikit."

Hadis Sahih Muslim .

Wednesday, May 20, 2015

Jibril Mengimami Solat

Rabu, 2 Syaaban 1436H: Dari Abu Mas'ud r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: 

"Jibril turun mengimami ku solat. Kerana itu aku solat bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya. Beliau menghitung dengan anak jari beliau lima kali solat."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, May 19, 2015

Sebaik-Baik Solat Sunat

Selasa, 1 Syaaban 1436H: Dari Zaid bin Tsabit r.a., katanya: "Rasulullah saw. memasang khemah dari tikar pada sebuah tempat di masjid, sehingga merupakan sebuah kamar tempat beliau solat (malam). Melihat hal itu, beberapa orang sahabat mendatangi tempat itu dan mereka solat pula mengikuti Nabi saw. solat. 

Pada suatu malam mereka datang pula, tetapi Rasulullah saw. terlambat, sehingga beliau tidak keluar sama sekali menemui mereka. Oleh kerana itu mereka mengeraskan suara, dan melontar pintu dengan kerikil untuk memberitahu Nabi saw., kerana mereka menyangka kalau-kalau beliau lupa. 

Kerana itu Rasulullah saw. keluar (menemui mereka sambil berkata dengan marahnya: Janganlah sentiasa kamu berbuat demikian, kerana aku mengira bahawa (solat malam) itu akan diwajibkan kepada mu. Sebab itu solatlah di rumah mu masing-masing, kerana sebaik-baik solat ialah di rumah masing-masing kecuali solat wajib."

Hadis Sahih Muslim

Monday, May 18, 2015

Solat Jenazah Seorang Munafik

Isnin, 29 Rejab 1436H: Dari Ibnu 'Umar r.a. katanya : "Ketika 'Abdullah bin Ubay bin Salul wafat, anaknya Abdullah bin Abdullah (bin Ubay) datang kepada Rasulullah saw. meminta jubah beliau untuk kafan bapanya. Rasulullah memenuhi permintaan anaknya itu. 

Kemudian dimintanya pula supaya Rasulullah saw. menyolatkan jenazah bapanya. Ketika beliau berdiri hendak solat jenazah, maka ditarik baju beliau oleh 'Umar (bin Khaththab) seraya berkata, "Ya, Rasulullah! Akan Anda solatkankah dia? Bukankah Allah telah melarang Anda menyolatkannya." 

Jawab beliau, "Aku diberi pilihan oleh Allah Ta'ala menyolatkan atau tidak. Lalu dibacanya ayat, "Kamu mohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu mohonkan ampun bagi mereka (adalah sama saja); sekalipun bagi mereka tujuh puluh kali (Taubah, 9:80). Dan aku akan melebihi dari tujuh puluh kali." 

Kata 'Umar, "Dia munafik!" Tetapi Rasulullah saw. menyolatkannya juga. 

Kemudian Allah Ta'ala menurunkan ayat: "Dan sekali-kali janganlah kamu solatkan jenazah salah seorang mereka yang mati, dan jangan pula kamu berdiri di kuburnya.."(At Taubah, 9:84)

Hadis Sahih Muslim

Thursday, May 14, 2015

Solat Malam

Khamis, 25 Rejab 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Pada suatu ketika di tengah malam, Rasulullah saw. keluar pergi solat ke masjid. Beberapa orang laki-laki solat pula mengikuti solat Nabi saw. 

Ketika hari telah pagi, mereka mempercakapkan hal itu. Kerana itu orang berkumpul lebih banyak daripada malam pertama dan mereka solat bersama-sama dengan Nabi saw. 

Pagi hari, mereka bercakap-cakap pula perihal solat malam itu.Kerana itu pada malam ketiga orang berkumpul di masjid lebih banyak. Rasulullah saw. keluar untuk solat, lalu mereka solat pula beserta Nabi. 

Malam keempat orang tidak muat lagi dalam masjid hingga Nabi keluar untuk solat Subuh. 

Setelah beliau selesai solat Subuh, beliau menghadap kepada orang banyak, membaca kalimah syahadah, kemudian beliau bersabda: 

"Adapun kemudian, sesungguhnya tidak ada yang tersembunyi bagi ku keadaanmu. Tetapi aku khuatir akan diwajibkan atasmu dan kamu tidak sanggup melaksanakannya."

Ketika Rasulullah saw. wafat, keadaan tetap berlaku seperti itu."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, May 8, 2015

Solat Sunat Sesudah Solat Qashar

Jumaat, 19 Rejab 1436H: Dari 'Isa bin Hafash bin 'Ashim bin 'Umar bin Khaththab r.a., dari bapanya, katanya: 

"Aku pernah berjalan bersama-sama Ibnu 'Umar dalam suatu perjalanan menuju Mekah. Dalam perjalanan itu dia mengimami kami solat Zohor dua rakaat. Setelah selesai solat dia pergi, dan kami mengikutinya sampai ke tempatnya dan duduk bersama-sama dengan dia. Sebentar kemudian dia menoleh ke tempat solat dan dilihatnya masih banyak orang yang solat. 

Lalu dia bertanya, "Apa yang diperbuat orang-orang itu?" 

Jawab ku, "Mereka solat sunat." 

Kata Ibnu 'Umar, "Kalaulah aku harus solat sunat pula (sesudah qashar), lebih baik ku cukupkan solat ku. Hai, anak saudaraku! Aku sering menyertai Rasulullah saw. dalam perjalanan. Beliau solat (dalam setiap perjalanan itu) tidak pernah lebih dari dua rakaat, hingga beliau meninggal. 

Aku juga sering menemani Abu Bakar dalam perjalanan. Beliau juga solat (dalam perjalanan itu) tidak pernah lebih dari dua rakaat, hingga dia meninggal. 

Aku juga sering menemani 'Umar dan 'Usman, mereka solat (dalam perjalanan itu) tidak lebih dari dua rakaat, hingga mereka meninggal. 

Kemudian beliau membaca firman Allah: "Laqad kana lakum fi Rasulutlahi uswatun hasanatun " (Al Ahzab: 21)

Hadis Sahih Muslim

Thursday, May 7, 2015

Solat Sunnat Rawatib

Khamis, 18 Rejab 1436H: Dari 'Abdullah bin Syaqiq r.a. katanya: "Aku bertanya kepada 'Aisyah r.a., tentang solat sunat rawatib yang pernah dikerjakan Rasulullah saw. 

Katanya, "Beliau solat di rumahku empat rakaat sebelum Zohor, kemudian beliau pergi ke masjid mengimami solat orang ramai. Sesudah itu beliau pulang, lalu solat pula di rumahku dua rakaat.

Kemudian beliau pergi mengimami solat , Maghrib orang ramai, sesudah itu beliau pulang, lalu solat di rumah dua rakaat. 

 Kemudian beliau pergi mengimami solat Isyak. Sesudah itu beliau pulang, lalu solat di rumah dua rakaat. 

 Dan biasanya beliau sentiasa solat tengah malam sembilan rakaat, termasuk di dalamnya sunat witir. 

Kadang-kadang beliau solat sepanjang malam dengan berdiri dan kadang-kadang duduk. 

Apabila beliau membaca sambil berdiri, maka dia rukuk dan sujud sambil berdiri pula. 

Apabila beliau membaca sambil duduk, maka dia rukuk dan sujud sambil duduk pula. 

Dan kalau fajar sudah terbit, beliau solat pula dua rakaat (sunat fajar)."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, May 6, 2015

Waktu-Waktu Solat

Rabu, 17 Rejab 1436H: Dari Sulaiman bin Buraidah r.a., dari bapanya, dari Nabi saw., bahawa seorang lelaki bertanya kepada beliau tentang waktu-waktu solat. Sabda Rasulullah saw., "Solatlah bersama-sama dengan kami dua hari ini." 

Maka ketika matahari telah gelincir, beliau menyuruh Bilal azan dan qamat untuk solat Zohor. 

Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Asar, sedangkan matahari masih tinggi dan cahayanya masih terang. 

Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Maghrib, iaitu ketika matahari telah terbenam. 

Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Isyak, iaitu ketika mega merah telah hilang. 

Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Subuh, iaitu ketika terbit fajar. 

 Pada hari kedua disuruhnya pula Bilal azan dan qamat untuk solat Zohor agak terlewat dari kelmarin, iaitu sehingga hawa panas telah agak reda. Setelah panas reda, barulah beliau solat. 

Kemudian beliau solat Asar ketika matahari masih tinggi, tetapi agak terlambat dari kelmarin. 

Dan beliau solat Maghrib sebelum hilang mega merah. Solat Isyak setelah lewat sepertiga malam. Solat Subuh setelah langit agak bercahaya. 

Kemudian beliau bertanya, "Kemanakah orang yang bertanya tentang waktu solat?" 

Seorang lelaki menjawab, "Aku, ya, Rasulullah!" 

 Sabda beliau, "Waktu waktu solat ialah seperti yang telah anda saksikan itu."

Hadis Sahih Muslim 

Tuesday, May 5, 2015

Solatlah Dengan Sempurna

Selasa, 16 Rejab 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. masuk ke dalam masjid. Tidak lama kemudian, masuk pula seorang lelaki lalu dia solat. Sesudah solat dia datang kepada Rasulullah saw. sambil memberi salam. Rasulullah menjawab salamnya sambil bersabda : "Ulanglah solatmu, kerana sesungguhnya kamu belum solat." 

Lalu orang itu mengulang solatnya seperti solat yang mula-mula tadi. Kemudian dia datang pula kepada Nabi saw. sambil memberi salam. Jawab Rasulullah, "Wa, 'alaikassalam." Kemudian beliau bersabda pula, "Ulang lagi solatmu!" Sesungguhnya engkau belum solat.

Akhirnya orang itu mengulang solatnya sampai tiga kali. Kemudian dia berkata, "Demi Allah yang telah mengutus anda dengan agama ini, sesungguhnya aku belum tahu bagaimana caranya solat yang bagus. Kerana itu ajarilah aku." 

Sabda Nabi saw., "Apabila engkau berdiri hendak solat, bacalah takbir lebih dahulu. Sesudah itu baca ayat-ayat Quran yang mudah bagi mu. Sesudah itu rukuk sehingga rukukmu itu sempurna sekali. Sesudah itu bangkit dari rukuk sehingga engkau kembali berdiri dengan sempurna. Kemudian sujud dengan sempurna sekali. Kemudian duduk sehingga dudukmu sempurna sekali. Perbuatlah seterusnya seperti itu setiap kamu solat."

Hadis Sahih Muslim