Wednesday, November 30, 2011

Hijrah Rasulullah saw. Bersama Abu Bakar

Rabu, 4 Muharram 1433H:Dari Aisyah r.a katanya: Sungguh sedikit waktu (kesuntukan waktu) bagi nabi saw. pada hari-hari itu, namun amat perlu sekali bagi baginda datang juga ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi baginda untuk pergi (hijrah) ke Madinah, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika baginda datang ke rumah kami waktu Zohor, lalu kedatangan baginda itu dimaklumkan kepada Abu Bakar. Berkata Abu Bakar,:”Nabi saw. tidak akan datang pada waktu ini melainkan kerana ada urusan yang sangat penting.” Ketika Nabi saw. masuk ke tempat Abu Bakar, baginda bersabda kepadanya. “Suruhlah orang yang ada di sekelilingmu keluar.” Berkata Abu Bakar:”Ya Rasulullah! Hanya ada dua orang anakku, ‘Aisyah dan ‘Asma’.” Sabda Nabi saw. Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)?” Berkata Abu Bakar,:”Anda perlu teman, ya Rasulullah!” Sabda Baginda,:”Ya, kawan.” Berkata Abu Bakar,:”Ya Rasulullah! Aku mempunyai dua ekor unta yang sengaja kusediakan untuk keluar (hijrah), ambillah seekor untuk anda.” Sabda Nabi,”Kuambil seekor dengan harganya.” (HR Bukhari)

Keterangan Hadis:

1. Orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah Saidina Umar al-khattab dalam masa beliau memegang jawatan sebagai khalifah iaitu pada tahun 17 hijrah. Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada beliau, ada yang mencadangkan kelahiran Rasulullah, ada pula mencadangkan kebangkitannya menjadi Rasul dan ada pula yang mencadangkan tahun kewafatan baginda.Tetapi semua cadangan itu tidak dipersetujui oleh Saidina Umar memandangkan Hijrah adalah peristiwa yang terpenting di antara peristiwa-peristiwa lain sebagaiman katanya: ”Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah s.a.w. kerana hijrahnya itu adalah merupakan perbezaan antara yang benar dengan yang batal.” Pendapat ini disokong oleh Saidina Ali.

2. Sebenarnya, wujud jalinan perkaitan antara perkiraan tahun Masihi dan Hijri (Hijrah) kepada umat Islam. Tahun Masihi dikira menurut ‘peredaran’ matahari (tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun Hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari).

3. Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-syamsi adalah untuk menentukan musim atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat.

4. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu. Contohnya musim haji dan puasa. Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas.

Tuesday, November 29, 2011

Hijrah Satu Perjuangan

Selasa, 3 Muharram 1433H: Dari Abdullah bin Mas’ud, katanya:”Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiap-tiap Nabi yang diutus sebelum saya mempunyai pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat yang terpilih dari umatnya masing-masing; mereka itu berpegang kepada contoh Nabinya dan menuruti perintahnya; kemudian setelah zaman itu berlalu mereka disambung oleh generasi yang hanya pandai berkata, tetapi tidak bekerja,dan bekerja tetapi tidak menuruti pedoman-pedoman Nabinya. Sesiapa menentang kaum itu dengan kekerasan, mu’minlah ia, menentangnya dengan perkataan, mu’min pula, dan menentangnya dengan hatinya mu’min juga; dan telah habislah iman dari orang-orang yang tidak menentang kemungkaran, walaupun dengan hatinya.” (HR Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Perjuangan melawan kemungkaran adalah menjadi dasar utama para nabi dan orang-orang yang beriman. Nabi Muhammad saw, seperti halnya nabi-nabi sebelumnya, menghadapi berbagai kesukaran sepanjang hidup baginda. Baginda berkorban meninggalkan harta dan berhijrah ke Madinah demi kelangsungan dakwah Islam.

2. Ini disebutkan di dalam al-Quran yang bermaksud :"Sesungguhnya, orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (al-Baqarah: 218)

3. Sebagai balasan atas pengorbanan tersebut, Allah memberikan khabar gembira dengan limpahan kebaikan dan rezeki di dunia. Hal ini disebutkan di dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dimaksudkan), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.."(an-Nisaa:100)

4. Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman sama sekali tidak merasa takut atau gementar apabila menghadapi musuh. Semuanya adalah kerana keyakinan pada Allah bahawa Dia sentiasa bersama orang-orang yang benar seperti mana firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu ia berkata kepada temannya, 'Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita.' Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (at-Taubah: 40)

Friday, November 25, 2011

Fakta-fakta Penting Bulan Muharram

Jumaat, 29 Zulhijjah 1432H: Muharram (محرّم) adalah bulan pertama dalam Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Pada asasnya, Muharram membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91).

Fakta-fakta penting bulan Muharram:

1 Muharram

- Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).

10 Muharram

- 10 Muharram - Dinamakan juga Hari Asyura. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.
- Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
- Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
- Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
- Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
- Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
- Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
- Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
- Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
- Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
- Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
- Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
- Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
- Hari pertama Allah menciptakan alam.
- Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
- Hari pertama Allah menurunkan hujan.
- Allah menjadikan 'Arasy.
- Allah menjadikan Luh Mahfuz.
- Allah menjadikan alam.
- Allah menjadikan Malaikat Jibril.
- Nabi Isa diangkat ke langit

Thursday, November 24, 2011

Amalan Puasa Sunat Bulan Muharam

Khamis, 28 Zulhijjah 1432H: Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam." (Riwayat Muslim)

Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari." (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)

Puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram).Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim)

Puasa hari Tasu'a (Tanggal 9 Muharram)Ia disunatkan, namun Rasullullah s.a.w. belum sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharram,." (Riwayat Ahmad dan Muslim)

PERINGATAN :Puasa sunnat pada hari ke-10 Muharram hendaklah digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau dengan hari selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari berturut-turut iaitu ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika ditunggalkan 10 Muharram sahaja maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan jangalah menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya." (Riwayat Imam Ahmad)

Wednesday, November 23, 2011

Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat

Rabu, 27 Zulhijjah 1432H: Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:”Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?” (HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1.Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim lelaki.

2. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Bahkan orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain.

3. Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir.

4. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

Tuesday, November 22, 2011

Bangkai Haram Dimakan

Selasa,26 Zulhijjah 1432 :Abu Waqid r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apa-apa yang dipotong dari binatang ketika ia masih hidup, maka ia adalah bangkai.” (HR Abu Daud)

Pengajaran Hadis:

1. Perkataan 'bangkai' diterjemahkan daripada maitah, iaitu satu daripada tujuh kalimah yang terbit daripada kata dasar mim wau ta, yang amnya bererti mati.

2. Bangkai bermaksud binatang yang mati dengan sendirinya tanpa ada suatu pun usaha manusia yang sengaja menyembelih atau membunuhnya dengan cara berburu. Bangkai sahaja terhad pada haiwan yang tidak disembelih. Contohnya seekor lembu yang telah disembelih jika dibiarkan mati begitu sahaja sehingga berbau busuk dan berulat, maka ia dikategorikan sebagai bangkai juga.

3. Binatang yang dicekik, dipukul, jatuh dari kedudukan yang tinggi, ditanduk atau kerana dimakan binatang buas, semuanya juga termasuk dalam pengertian bangkai.

4. Begitu juga binatang yang disembelih untuk berhala, bukan kerana Allah juga mempunyai pengertian yang sama.

5. Terdapat beberapa hikmah mengapa bangkai diharamkan untuk dimakan iaitu:
• Naluri manusia yang sihat tidak akan tergamak memakai bangkai kerana ia dianggap kotor. Bahkan ia juga merupakan perbuatan yang merendahkan darjat manusia. Justeru semua agama Samawi menganggap bahawa bangkai adalah makanan yang haram. Ia tidak boleh dimakan kecuali yang mati kerana disembelih, meskipun berbeza cara sembelihan itu.
• Supaya manusia membiasakan diri melakukan sesuatu dengan niat dan usaha iaitu menangkap binatang dengan niat hendak menyembelihnya dengan tujuan hendak memakannya.
• Umumnya binatang yang mati dengan sendirinya adalah mati kerana sesuatu sebab iaitu mungkin kerana penyakit atau kerana termakan tumbuh-tumbuhan beracun dan sebagainya. Semua ini sudah tentu akan membahayakan manusia.
• Allah mengharamkan bangkai kepada kita kerana hal tersebut memberi kesempatan kepada haiwan atau binatang lain memakannya sebagai rezeki mereka dan tanda kasih sayang Allah kepada makhluk-makhluk-Nya.

Supaya manusia memberi perhatian terhadap binatang-binatang peliharaan mereka dan tidak membiarkan binatang itu diserang oleh penyakit sehingga mati. Sebaliknya ia hendaklah segera diberikan rawatan yang sepatutnya.

Friday, November 18, 2011

Senjakala

Jumaat, 23 Zulhijjah 1432H: Dari Jabir r.a katanya:”Jangan biarkan ternakan dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Waktu senja adalah waktu matahari hampir terbenam (lebih kurang pukul tujuh malam) iaitu ketika hari hampir akan malam.

2. Waktu begini adalah saat di mana seseorang itu sepatutnya bersedia untuk menguruskan keperluan diri termasuklah bersiap sedia untuk ke masjid dan menunaikan solat maghrib.

3.Rasulullah SAW melarang anak-anak masih dibiarkan bermain-main di luar rumah memandangkan bahawa di saat inilah syaitan keluar untuk mengganggu manusia dan dibimbangi jika berlaku rasukan syaitan dan sebagainya.

Wednesday, November 16, 2011

Syukur "Alhamdulillah"

Rabu, 20 Zulhijjah 1432H: Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan.” (HR Bukhari)

Pengajaran Hadis:

1.Firman Allah SWT yang maksudnya:”Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (Ibrahim:7).

2.Sesungguhnya setiap nikmat itu wajib disyukuri dan antara kunci rahsia dalam bersyukur yang dapat mengundang nikmat Allah yang seterusnya sebagaimana yang disebut dalam firman Allah di atas ialah :

i.) Tidak merasa memiliki kecuali meyakini bahawa segalanya adalah menjadi milik Allah. Hal demikian dapat mengelak seseorang daripada menjadi angkuh dan sombong dengan nikmat yang ada padanya.

ii) Selalu mengucapkan “alhamdulillah”, memuji Allah dalam segala keadaan sama ada ketika susah ataupun senang kerana nikmat yang harus disyukuri itu sebenarnya lebih banyak daripada musibah.

iii) Mempercayai bahawa sebarang nikmat yang dikurniakan adalah jalan menuju Allah atau mendekatkan diri kepada Allah dan

iv) Tahu membalas budi dan berterima kasih dengan kebaikan yang telah diberikan oleh seseorang.

Friday, November 11, 2011

Abu Hurairah

Jumaat, 15 Zulhijjah 1432H: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: “Aku pernah berkata kepada Rasulullah SAW:” Saya mendengar banyak hadis dari tuan, Ya Rasulullah ! Tetapi saya lupa. “ Rasulullah SAW bersabda:” Hamparkan Rida’ mu. “ Aku melakukan (apa yang diperintahkan nabi SAW) dan kemudian nabi SAW menggerakkan kedua tangannya seakan-akan mengisi sesuatu lalu bersabda :” Ambil dan selendangkan ini (pada tubuh mu)”. Aku lakukan perintahnya dan setelah itu aku tidak pernah lupa lagi.” (HR al-Bukhari)

Pengajaran Hadis:

1. Abu Hurairah merupakan salah seorang sahabat yang amat rapat dengan Rasulullah SAW dan salah seorang perawi hadis yang terkemuka.

2.Beliau dilahirkan 19 tahun sebelum Hijrah. Nama sebenar beliau sebelum memeluk agama Islam tidak diketahui dengan jelas, tetapi pendapat yang masyhur ialah Abd Syams. Nama Islamnya adalah Abd al-Rahman.

3.Beliau berasal daripada kabilah ad-Dusi di Yaman. Gelaran Abu Hurairah r.a. adalah kerana kegemarannya bermain dengan anak kucing. Diceritakan pada suatu masa ketika Abu Hurairah r.a. bertemu Rasullullah SAW, beliau ditanya oleh baginda apakah yang ada dalam lengan bajunya. Apabila dia menunjukkan anak kucing dalam lengan bajunya lantas dia digelar Abu Hurairah oleh Rasullullah SAW. Semenjak itu dia lebih suka dikenali dengan gelaran Abu Hurairah.

4.Abu Hurairah memeluk Islam pada tahun 7 Hijrah ketika Rasulullah berada di Khaibar.

5.Beliau adalah sahabat yang sangat dekat dengan Rasulullah SAW dan dikenali sebagai salah seorang ahli suffah, iaitu orang-orang miskin atau sedang menuntut ilmu dan tinggal di laman masjid.

6.Beliau begitu rapat dengan Nabi SAW sehingga baginda selalu menyuruhnya mengumpulkan ahli suffah jika ada makanan yang hendak dibahagikan.

7.Hadis beliau yang disepakati oleh Imam al-Bukhari dan Muslim berjumlah 325 hadis, oleh Bukhari sendiri sebanyak 93 hadis dan oleh Muslim 189 hadis. Hadis yang diriwayatkan oleh beliau juga terdapat dalam kitab-kitab hadis lainnya.

8. Abu Hurairah r.a.pernah diangkat menjadi gabenor Bahrain ketika Umar r.a. menjadi Amirul Mukminin

9. Di Kota Penuh Cahaya (Al-Madinatul Munawwarah) beliau mengembuskan nafas terakhir pada 57 atau 58 H. (676-678 M.) dalam usia 78 tahun. Abu Hurairah r.a. meninggalkan sebanyak 5,374 hadis

Thursday, November 10, 2011

Solat Asar

Khamis, 14 Zulhijjah 1432H: Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a beliau mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:”Orang yang luput solat Asarnya samalah ertinya dia telah kehilangan keluarga dan harta kekayaannya.” (HR al-Bukhari)

Pengajaran Hadis:

Solat adalah perkara yang diwajibkan dalam Islam malah ia termasuk dalam salah satu daripada rukun Islam yang lima. Dari sudut pelaksanaan solat, seseorang itu tidak boleh sewenang-wenangnya meninggalkan solat kecuali mereka yang menghadapi suasana darurat yang membolehkan ia berbuat demikian sebagaimana yang dilakukan Nabi s.a.w dan umat Islam Madinah ketika berlaku peperangan Khandak yang sungguh sengit di mana pihak musuh telah mengepung Kota Madinah. Demi menjaga keselamatan mereka terpaksa menunda solat Asar hingga ke waktu Maghrib.

Wednesday, November 9, 2011

Menjauhi Perbuatan Yang Mendatangkan Bahaya

Rabu, 13 Zulhijjah 1432H: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenaranya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan."(HR Ibn Mas'ud r.a)

Pengajaran Hadis:

i) Setiap manusia mempunyai lintasan hati yang berlainan kerana berlainan sebabnya.

ii) Satu daripada jenis lintasan itu adalah lintasan yang dibawa oleh malaikat yang bertugas memancarkan ke dalam hati manusia perasaan suka berbuat kebajikan dan menerima kebenaran; sementara satu lagi lintasan adalah lintasan syaitan iaitu lintasan untuk melakukan kejahatan dan menolak kebenaran.

iii) Lintasan malaikat ini dinamakan sebagai “ilham” dan lintasan jahat syaitan itu sebenarnya adalah “was-was” di mana kita diperintahkan memohon perlindungan Allah daripadanya sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran, surah an-Nas.

iv) Oleh yang demikian selaku manusia biasa, apabila datang sesuatu lintasan hati, maka hendaklah kita mempertimbangkannya terlebih dahulu dengan neraca syarak; jika bersesuaian kerjakanlah, jika sebaliknya jauhkanlah.

Friday, November 4, 2011

Haji Mabrur

Jumaat, 7 Zulhijjah 1432H: Haji mabrur bermaksud haji yang diterima. Ibn Kholawaih mentakrifkan alMabrur sebagai alMaqbul iaitu diterima. Dan ada yang mengatakan sesuatu yang tidak bercampur dengan dosa. Kemudian, diabsahkan oleh Imam Nawawi dengan pendapat tersebut (tidak bercampur dosa).

Apabila merujuk kitab hadith yang muktabar seperti Sahih Bukhari, Imam Bukhari meletakkan bab yang khusus bertajuk ”Kelebihan Haji Mabrur”. Manakala, Imam Muslim meletakkan perbincangan haji yang diterima di dalam bab “Iman kepada Allah Taala seafdal-afdal amalan”.

Cara mencapai haji mabrurSecara umumnya, untuk mencapai haji yang diterima disisi Allah hendaklah memenuhi kriteria berikut;

1: Hajinya hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak riyak (menunjuk-menunjuk).

Imam Nawawi ketika menafsirkan hadith diatas dengan berkata “mabrur (diterima) adalah baik hajinya. Dikatakan almabrur juga ialah haji yang tidak bercampur dengan dosa. Ada yang mengatakan tidak ria’ pada hajinya”

Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riya’ iaitu menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan ALlah

Di dalam Musnad Ahmad, ada sebuah hadith:

“Sesiapa yang keluar dari rumahnya, pada tangannya ada dua bendera, satu bendera pada malaikat dan satu bendera pada syaitan, jikalau dia keluar dengan niat kerana Allah, malaikat akan mengekorinya bersama bendera tadi, maka bendera tadi masih bersamanya sehingga dia kembali ke rumahnya, dan jikalau dia keluar dari rumahnya melakukan kemurkaan kepada Allah, maka syaitan akan mengekorinya bersama benderanya, dan bendera tersebut masih bersamanya sehingga dia kembali ke rumahnya”

2: Kesemua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada yang halal.

Di dalam Sahih Muslim ada hadith menyebut:
“Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak menerima kecuali yang baik-baik dan sesungguhnya Allah menyuruh orang mukmin megikut apa yang diperintahkan oleh para utusan Allah. Kemudian baginda membacakan ayat alQuran

“Wahai sekalian Rasul, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dan beramal soleh. Sesungguhnya aku tahu apa yang kamu lakukan [Surah alMukminun : 51]”


Kemudian Rasulullah membacakan lagi :
“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dari apa yang kami rezekikan” [Surah alBaqarah 172]

Kemudian disebut, seorang lelaki bermusafir menadah tangan ke langit seraya berkata “Ya Tuhanku” sedangnya punca makanan dari yang haram, minuman punca yang haram, pakaiannya punca yang haram. Bagaimana ia boleh diterima?”

Oleh itu, sewajarnya sebagai seorang yang akan menunaikan haji meneliti dan bermuhasabah kembali sumber-sumber pendapatan, perbelanjaannya dan bekalannya disana dari sumber-sumber yang halal.

3: Melakukan fardhu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.

Bermula dengan niat sehinggalah haji wada’ ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah didalam sunnahnya. Sebagai seorang muslim yang sejati, kita wajar meneladani Baginda tanpa menambah-nambah ibadat yang tidak pernah dilakukan Baginda.

Ini sesuai dengan sabda Baginda;
“Sesiapa yang memperbaharui urusan agama (menokok tambah), maka mereka bukan dari kalangan kami (umat Muhammad)”.

Syeikh Mustafa azZarqa’ ketika ditanya makna haji yang mabrur, beliau menyatakan diantara ciri-ciri hajinya diterima ialah “hendaklah bagi tuan empunya yang menunaikan haji tidak melampau-lampau didalam mengerjakan kewajipan haji, tidak mengabaikan adab-adab haji dan sunnah-sunnahnya, memperbanyakkan taat, ibadat, sedekah, menjadi teladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik, memberi makan sekadar kemampuannya, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran yang ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf, kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan berniat untuk kekal (seperti keadaan tersebut) dan istiqomah”

4: Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya.

Ali Radiyallahu’anh ketika ditanya perbuatannya mencium hajarul aswad, maka beliau menjawab “Kau hanya sebuah batu yang tidak mempu memberi faedah dan mudarah, kalau bukanlah kerana Rasulullah mengucupnya, sudah aku aku tidak aku mengucupnya”

Ini jelas menunjukkan kita melakukan ibadat mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah tanpa menokok tambah berdasarkan akal semata-mata.

5- Setelah menunaikan haji, berusaha pula melakukan badal (ganti) haji ayah dan ibu yang tidak berkemampuan menunaikan Haji:

Ini sesuai dengan hadith :
“Ya Rasulullah, sesungguhnya emakku telah bernazar untuk menunaikan haji, tetapi tidak ditunaikan sehingga dia meninggal dunia, adakah aku perlu menunaikan hajinya? Sabda Rasulullah : Ya, tunaikanlah haji untuknya. Adakah kau lihat jika emakmu berhutang engkau akan membayarnya? Jawab wanita tersebut : Ya. Sabda Nabi : Begitu juga (hutang) kepada Allah. Malah kepada Allah lebih layak dilunaskan (hutangnya)”.

Didalam hadith yang lain:

“Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas hamba-hambanya menunaikan haji. Bapaku seorang yang tua tidak mampu pergi bermusafir (ke Mekah), adakah aku perlu menunaikan haji untuknya? Sabda Rasulullah : Ya”.

Thursday, November 3, 2011

Hari Raya Aidiladha

Khamis 7 Zulhijjah 1432H: Hari Raya Aidiladh('Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Hari Raya Aidiladha berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas)

Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Berdasarkan sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."

Berdasarkan sebuah hadis Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a:
Diriwayatkan daripada Ibnu Juraij katanya: Aku telah diberitahu oleh Ata' daripada Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a kedua-duanya berkata: "Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri) dan sembahyang Hari Raya Korban (Aidiladha). Selepas beberapa ketika aku bertanya Ata' tentang perkara tersebut: Lantas dia menjawab dengan berkata: Aku telah diberitahu oleh Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a bahawa: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri), baik ketika imam keluar atau sesudahnya. Juga tiada iqamat atau apa-apa pun."

Wednesday, November 2, 2011

Keistimewaan 10 Hari Pertama Bulan Zulhijjah

Rabu, 6 Zulhijjah 1432H: Pada bulan Zulhijjah, terdapat padanya satu ibadah yang sangat besar pahalanya di sisi ALLAH `Azza wa Jalla, iaitu ibadah mengerjakan haji bagi sesiapa yang mampu. Ia melengkapkan rukun ISLAM pada diri seseorang Muslim.

Disebut di dalam hadith bahawa ganjaran yang menanti bagi jemaah haji yang memperolehi haji yang mabrur ialah Syurga. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: “Satu umrah sampai umrah berikutnya adalah kafarat (penebus) dosa-dosa yang terjadi di antara kedua umrah itu. Dan haji yang mabrur tiada balasannya kecuali Syurga” (HR al-Bukhari & Muslim)

Bagi ummat ISLAM yang tidak mempunyai kesempatan untuk mengerjakan ibadah haji, ALLAH `Azza wa Jalla tetap menyediakan keistimewaan yang besar untuk direbut pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Antaranya ialah :

1. Memperbanyakkan amalan kebaikan dan ibadah sunnat sepanjang 10 hari pertama pada bulan Zulhijjah.

Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhu bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih di kasihi ALLAH selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah).” Para sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah?”
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: “Walaupun berjihad di jalan ALLAH, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu(syahid).
” (HR al-Bukhari)

2. Puasa pada hari `Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah

Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa hari `Arafah, kemudian Baginda menjawab:“Puasa itu dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.” (HR Muslim)

3. Solat `Eidul-Adha

Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan dua hari istimewa kalian itu dengan dua hari yang lebih istimewa daripadanya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha” - Hadith riwayat Abu Daud: 1134, al-Albani mensahihkannya di dalam as-Silsilah as-Sahihah: 2021.

“Sesungguhnya sebaik-baik hari di sisi ALLAH adalah Hari Raya Aidiladha.” - Hadith riwayat Abu Daud: 1765, al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih Abu Daud.

4. Menyembelih haiwan korban selepas Solat `Eidul-Adha.

Rasulullah SAW bersabda:“Amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang sangat disukai ALLAH ialah menyembelih korban. Sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya. Sesungguhnya ALLAH akan menerima penyembelihan korban itu sebelum darahnya tumpah ke bumi. Maka, kamu hendaklah ikhlaskan diri semasa melakukan korban itu.” - Ibn Majah: 3117 dan at-Tirmizi: 1412

Tuesday, November 1, 2011

Kaabah

Selasa, 5 Zulhijjah 1432H: Sunat memasuki Kaabah bagi Jemaah Haji dan bukan Jemaah Haji serta sunat Sembahyang di dalamnya dan berdoa di setiap sudutnya.

Hadis Bilal r.a: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w memasuki Kaabah bersama Usamah, Bilal dan Othman bin Talhah Al-Hajabi, kemudian baginda menutupnya dan terus berada di dalamnya. Ibnu Umar r.a berkata: Aku bertanya kepada Bilal ketika beliau keluar: Apakah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w? Beliau menjawab: Baginda menempatkan diri dengan menjadikan di sebelah kiri baginda dua batang tiang, di sebelah kanan satu batang tiang dan tiga batang tiang di belakang baginda. Baitullah pada masa itu terdapat enam batang tiang. Kemudian baginda mendirikan sembahyang.( Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 2358)

Hadis Usamah bin Zaid r.a: Diriwayatkan daripada Ibnu Juraij katanya: Aku pernah bertanya kepada Ata': Adakah kamu pernah mendengar Ibnu Abbas r.a berkata: Kamu hanya diperintahkan untuk melakukan Tawaf, bukan diperintah untuk memasuki ke dalamnya. Ata' berkata: Beliau tidak melarang dari memasukinya. Tapi aku mendengar beliau berkata: Usamah bin Zaid r.a pernah menceritakan padaku: Nabi s.a.w ketika masuk Baitullah baginda berdoa di setiap sudutnya dan baginda tidak mendirikan sembahyang sehinggalah keluar. Setelah keluar, baginda sembahyang dua rakaat di hadapan Baitullah. Baginda bersabda: Ini adalah kiblat. Kemudian aku bertanya kepada Usamah: Pada setiap penjuru atau pada satu sudut sahaja? Beliau menjawab: Pada setiap sudut Baitullah adalah kiblat.( Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 2364)

Hadis Ibnu Abbas r.a: Rasulullah s.a.w pernah masuk ke Kaabah. Di dalamnya terdapat enam batang tiang. Baginda berdiri berhampiran salah satu tiang lalu berdoa. Baginda tidak mendirikan sembahyang.( Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 2365 )

Hadis Abdullah bin Abu Aufa r.a: Diriwayatkan daripada Ismail bin Abu Khalid katanya: Aku pernah bertanya kepada Abdullah bin Abu Aufa r.a yang pernah mengiringi Rasulullah s.a.w: Adakah Nabi s.a.w pernah masuk ke dalam Baitullah ketika mengerjakan Umrah? Beliau menjawab: Tidak!.( Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 2366 )