Thursday, October 31, 2013

Haji - Dilarang Memungut Barang Tercicir

Khamis, 26 Zulhijjah 1434H: Dari 'Abdurrahman bin 'Usman At Taimi r.a., katanya: "Rasulullah saw. melarang memungut barang-barang orang haji yang tercicir."

Hadis Sahih Muslim.

Wednesday, October 30, 2013

Haji Wada - Pesan Nabi saw

Rabu, 25 Zulhijjah 1434H: Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya Nabi saw. bersabda ketika haji wada': "Hati-hatilah kamu! Janganlah kamu kafir kembali sepeninggal ku. Di mana sebahagian kamu membunuh sebahagian yang lain (perang saudara)."

Hadis Sahih Muslim.

Tuesday, October 29, 2013

Ibadat Umrah

Selasa, 24 Zulhijjah 1434H: Dari Ya'la bin Umayyah, dari bapanya r.a., katanya: "Seorang lelaki mendatangi Rasulullah saw. di Ja'ranah, ketika beliau sedang umrah. Janggut dan rambut lelaki itu dicatnya kuning (pakai pacar) dan dia memakai jubah. 

Lalu dia bertanya kepada Rasulullah saw., "Bolehkah aku umrah dalam keadaan dan pakaianku seperti sekarang?" 

Jawab Rasulullah saw., "Tanggalkan jubahmu, cuci cat janggut dan rambutmu. Lalu apa yang diperbuat dalam haji lakukan pula dalam umrah."

Hadis Sahih Muslim.

Monday, October 28, 2013

Haji - Meninggal Dalam Ihram

Isnin, 23 Zulhijjah 1434H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya, "Seorang lelaki jatuh dari unta ketika dia ihram lalu patah lehernya dan meninggal. 

Maka bersabda Rasulullah saw., "Mandikan dia dengan air yang dicampur daun Sidir (bidara), kemudian kafan dengan kedua kain ihramnya, dan jangan ditutup kepalanya; kerana sesungguhnya Allah akan membangkitkannya kelak di hari kiamat dalam keadaan membaca talbiyah (sedang mengerjakan haji)."

Hadis Sahih Muslim.

Friday, October 25, 2013

Antara Pesanan Khutbah Haji Wada

Jumaat, 20 Zulhijjah 1434H: Dari Yahya bin Hushain r.a., katanya: "Aku mendengar nenekku mengkhabarkan bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda dalam khutbah beliau ketika Haji Wada',

"Sekali pun pegawai yang diangkat dalam pemerintahanmu seorang hamba sahaya tetapi dia memerintah (memimpin) dengan Kitabullah, hendaklah kamu patuh dan setia kepadanya."

Hadis Sahih Muslim 

Thursday, October 24, 2013

Haji - Mencukur Rambut

Khamis, 19 Zulhijjah 1434H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Bahawasanya Rasulullah saw. mencukur rambut ketika beliau haji wada'."

Hadis Sahih Muslim.

Wednesday, October 23, 2013

Ibadat Haji - Terlanjur atau Lupa

Rabu, 18 Zulhijjah 1434H: Dari 'Abdullah bin 'Amru bin 'Ash r.a .,katanya: 
"Ketika haji wada', Rasulullah saw. pernah berhenti di Mina untuk menunggu orang banyak agar bertanya kepada beliau. Maka tampillah seorang lelaki, lalu dia bertanya: 
"Ya, Rasulullah. Aku sudah terlanjur bercukur sebelum menyembelih korban, bagaimana itu?" 
Jawab beliau, "Sembelihlah, tidak mengapa!" 
Kemudian datang pula lelaki yang katanya:
"Ya, Rasulullah! Aku sudah terlanjur menyembelih lebih dahulu sebelum melontar, bagaimana itu?"
Jawab beliau, "Lontarlah. Tidak mengapa!" 
Kata 'Abdullah, "Segala sesuatu yang ditanyakan kepada beliau, ialah hal-hal yang urutannya tidak tertib kerana terlanjur atau lupa. Dijawab oleh beliau, "Teruskanlah, tidak berdosa."

Hadis Sahih Muslim.

Tuesday, October 22, 2013

Amal Yang Paling Utama

Selasa, 17 Zulhijjah 1434H: Dari Abu Hurairah r.a, katanya ada orang bertanya kepada Rasulullah saw, tanyanya: 
"Apakah amal yang paling utama?" 
Jawab Nabi saw, "Percaya kepada Allah dan Rasul-Nya." 
Tanyanya pula, "Sesudah itu apakah?" 
Jawab beliau, "Jihad (berusaha keras atau berjuang) di jalan Allah!" 
Tanyanya lagi, "Sesudah itu apa pula?" 
Jawab beliau, " Haji yang mabrur (haji yang diterima Allah, kerana memenuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan Allah)"

Hadis Sahih Bukhari

Monday, October 21, 2013

Sifat Orang Yang Beriman

Isnin, 16 Zulhijjah 1434H: Dari Nukman bin Basyir r.a, katanya: Rasulullah saw bersabda: "Anda lihat orang-orang yang beriman itu dalam saling kasih-mengasihi, saling cinta-mencintai dan saling tolong-menolong, seperti sebatang tubuh. Kalau ada salah satu anggota yang terkena penyakit, seluruh batang tubuh ikut menderita tidak dapat tidur dan menderita panas."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, October 18, 2013

Berkorban Di Tempat Solat Hari Raya

Jumaat, 13 Zulhijjah 1434H: Dari Ibnu Umar r.a., katanya: Rasulullah saw. menyembelih dan berkorban di tempat solat hari raya.

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, October 17, 2013

Sebelumnya Dilarang

Khamis, 12 Zulhijjah 1434H: Dari 'Abdullah bin Buraidah r.a., dari bapanya, katanya Rasulullah saw. bersabda:
"Dahulu aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah. 

Aku pernah melarang kamu memakan daging korban mu lebih dari tiga hari, sekarang simpanlah sekadar kamu memerlukan. 

Aku pernah melarang kamu minum anggur kecuali di gelas biasa, sekarang, minumlah di segala tempat minum. Tetapi sekali-kali jangan kamu minum yang memabukkan."

Hadis Sahih Muslim .

Friday, October 11, 2013

Puasa Sunat Hari Arafah 9 Zulhijjah

Jumaat, 6 Zulhijjah 1434H: Dari Abu Qatadah Al Anshari r.a., katanya Rasulullah saw. ditanya orang tentang puasa hari Arafah. Jawab beliau. "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang." Kemudian beliau ditanya pula tentang puasa hari 'Asyura. Jawab beliau, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu."  (Hadis Sahih Muslim)


Ahmad bin Mani' menceritakan kepada kami, Isma'il bin 'Ulabbah memberitahukan kepada kami, Ayub memberitahukan kepada kami di mana keduanya berkata: "Hammad bin Zaid memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ghailan bin Jarir dari 'Abdullah bin Ma'bad Az-Zamani dari Abu Qatadah bahawasanya nabi s.a.w. bersabda: "Puasa pada hari 'Arafah, sesungguhnya saya memohon kepada Allah, agar dapat menghapus dosa satu tahun sesudahnya dan satu tahun sebelumnya." Di dalam bab ini terdapat hadis dari Abu Sa'id. Abu 'Isa berkata: "Hadis Abu Qatadah tersebut adalah hadis hasan. Para ulama' menganggap sunat untuk berpuasa pada hari 'Arafah kecuali di 'Arafah." (Hadis Sunan At-Termizi)

Wednesday, October 9, 2013

Haji dan Ibadat Korban

Rabu, 4 Zulhijjah 1434H: Dari Jundab r.a. bahawa dia menyaksikan Nabi saw. di hari raya Haji, beliau solat dan sesudah itu berkhutbah, mengucapkan: "Siapa yang telah menyembelih korban sebelum solat Hari Raya, hendaklah disembelihnya seekor lagi sebagai gantinya. Dan siapa yang belum menyembelih korban, hendaklah disembelihnya dengan nama Allah."

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, October 8, 2013

Haji dan Umrah

Selasa, 3 Zulhijjah 1434H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., dari Nabi saw., sabda beliau: "Haji dan Umrah ke Kaabatullah akan tetap dilaksanakan orang walaupun setelah keluar Yakjuj dan Makjuj."

Hadis Sahih Bukhari

Monday, October 7, 2013

Beristilam Ketika Tawaf

Isnin, 2 Zulhijjah 1434H: Dari Hisyam ibnu Urwah dari ayahnya dari Aisyah r.a berkata: "Pada haji Wada' Rasulullah saw tawaf di Baitullah diatas unta, dan beliau beristilam Hajarul Aswad dengan mengangkat tongkatnya."

Hadis Sunan An-Nasai 

Friday, October 4, 2013

Haji - Solat Jamak di Muzdalifah

Jumaat, 28 Zulkaedah 1434H: Dari Abdullah bin Yazid bahawasanya Abu Ayyub Al Anshari memberitahukan: "Di waktu haji Wada' sewaktu berada di Muzdalifah, dia menjamak solat maghrib dan isyak bersama Rasulullah saw."

Hadis Sunan An-Nasai 

Thursday, October 3, 2013

Haji Mabrur Balasnya Syurga

Khamis, 27 Zulkaedah 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda:
"(Pahala) satu kali Umrah sampai Umrah (berikutnya, dapat) menghapus dosa yang terjadi antara keduanya. 

Dan Haji yang mabrur (diterima Allah) tiada balasannya melainkan syurga."
Hadis Sahih Bukhari 




Wednesday, October 2, 2013

Anak Kecil Mendapat Pahala Haji

Rabu, 26 Zulkaedah 1434H: Dari Kuraib dari Ibnu Abbas r.a berkata: 
"Ada seorang perempuan mengangkat anaknya dan menunjukkan kepada Rasulullah saw seraya bertanya: "Apakah anak ini akan mendapat pahala haji?" 

Jawab beliau: "Ya, dan bagimu pahala haji juga."

Hadis Sunan An-Nasai 

Tuesday, October 1, 2013

Haji Itu Adalah Arafah

Selasa, 26 Zulkaedah 1434H: Muhammad bin Basysyar menceritakan kepada kami, Yahya bin Sa'id dan 'Abdur Rahman bin Mahdi memberitahukan kepada kami di mana keduanya berkata: "Sufyan memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Bukair bin 'Atha' dari 'Abdur Rahman bin Ya'mar "bahawasanya orang-orang dari penduduk Najd mendatangi Rasulullah s.a.w. sewaktu baginda berada di 'Arafah, kemudian mereka bertanya kepada baginda, baginda lantas menyuruh seorang penyeru untuk menyerukan:

"Haji itu adalah 'Arafah. Barangsiapa yang datang pada malam 'Arafah sebelum fajar terbit maka ia telah mendapatkan haji. 

Hari-hari Mina itu adalah tiga hari, barangsiapa yang bersegera (meninggalkannya) dalam dua hari maka ia tidak mendapatkan dosa; dan barangsiapa yang mengakhirkan (sampai tiga hari) maka ia tidak mendapatkan dosa". 

Muhammad berkata: "Yahya memberi tambahan: "Dan baginda menyusulkan seseorang kemudian ia berseru dengan kalimat tersebut."

Hadis Sunan At-Termizi.