Monday, March 31, 2014

Hisab Di Hari Kiamat

Isnin, 29 Jamadilawal 1435H: Dari 'Aisyah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Siapa yang dihisab (diperiksa) pada hari kiamat, dia akan terseksa." 

Tanya Aisyah, "Bukankah Allah Azza wa Jalla telah berfirman, "Mereka akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah." (Al Insyiqaq, 84:8). 

Jawab beliau, "Itu belum pemeriksaan, tetapi baru sekadar mengemukakan bukti-bukti." Orang yang diperiksa dengan teliti nescaya terseksa."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, March 25, 2014

Penduduk Syurga

Selasa, 23 Jamadilawal 1435H : Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. katanya Nabi saw. bersabda: 

"Allah Ta'ala berfirman kepada penduduk syurga. "Hai penduduk syurga!" 

Maka menjawab penduduk syurga. "Kami siap memenuhi panggilan dan perintah-Mu, wahai Tuhan kami. Segala kebaikan berada di tangan Engkau." 

Lalu bertanya Allah Ta'ala, "Adakah kamu merasa puas?" 

Jawab mereka, "Bagaimana kami tidak akan puas, bukankah Engkau telah memberi kami segala kenikmatan yang belum pernah Engkau berikan kepada makhluk lain?" 

Tanya, "Mahukah kalian Aku beri nikmat yang lebih istimewa dari itu?" 

Jawab mereka, "Wahai Tuhan, nikmat apa pulakah yang lebih istimewa dari itu?" 

Jawab Allah Ta'ala, "Akan Ku curahkan kepada mu keredhaan-Ku, di mana Aku tidak akan pernah marah kepada mu sesudah itu untuk selama-lamanya."

Hadis Sahih Muslim.

Monday, March 24, 2014

Bencana, Tuhan Mengampuni Kesalahannya

Isnin, 22 Jamadilawal 1435H : Dari 'Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya: Saya masuk ke tempat Rasulullah saw. ketika beliau sedang menderita sakit. Beliau saya raba dengan tangan saya, lalu saya berkata: 

"Ya Rasulullah, penyakit Anda amat berat." 

Rasulullah saw: menjawab: "Benar, penyakit saya sama dengan penyakit dua orang di antara kamu." 

Saya berkata: "Demikian itu kerana Anda mendapat pahala dua kali lipat." 

Rasul menjawab: "Benar!" 

Setelah itu beliau berkata: "Setiap orang Islam yang mendapat bencana penyakit dan lain-lain, maka Tuhan menggugurkan (mengampuni) kesalahan-kesalahannya, sebagaimana pohon kayu mengugurkan daunnya."

Hadis Sahih Bukhari.

Friday, March 21, 2014

Imam & Solat Berjemaah

Jumaat, 18 Jamadilawal 1435H : Abu Mas'ud al Anshari r.a. menceritakan bahawa seseorang mengadu kepada Rasulullah saw. katanya, 

"Ya, Rasulullah! Hampir saja aku tidak mampu , solat berjemaah, kerana si Fulan yang menjadi imam memanjangkan solatnya bersama kami." 

Saya belum pernah melihat Nabi saw. sangat marah waktu mengajar, seperti marahnya di hari itu. Sabda beliau, 

"Para jemaah semuanya! Janganlah Anda menjauhkan orang dari solat berjemaah. Siapa mengimami solat, hendaklah ia memendekkan solatnya, kerana di antara mereka (makmum) ada orang yang sakit, orang yang lemah, dan orang yang mempunyai keperluan."

Hadis Sahih Bukhari.

Wednesday, March 19, 2014

Sempurnakan Solat Dengan Tenang

Rabu, 17 Jamadilawal 1435H: Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda:

"Apabila qamat telah dibacakan oleh hendak solat, maka janganlah kamu datang dengan tergesa-gesa, tetapi datanglah dengan berjalan seperti biasa, bersikap tenang. Ikutlah solat pada rakaat yang mana saja kamu dapati. Mana yang ketinggalan sempurnakanlah (sesudah imam memberi salam). "

Hadis Sahih Bukhari .

Tuesday, March 18, 2014

Senang Dan Menyenangkan

Selasa, 16 Jamadilawal 1435H: Dari Abu Qatadah bin Rabi' r.a., dia menceritakan bahawa pada suatu ketika, satu jenazah lewat di hadapan Nabi saw., lalu beliau bersabda: 

"Senang dan menyenangkan." 

Para sahabat bertanya, "Apa maksud ucapan anda itu, ya Rasulullah?" 

Jawab Nabi saw., "Apabila seorang mukmin meninggal dunia, maka dia telah senang (istirehat) dari kesusahan dunia. 

Dan bila seorang jahat yang meninggal, maka dia menyenangkan (mengistirehatkan) seluruh hamba Allah, seluruh negeri, pohon-pohon dan binatang dari kejahatannya."

Hadis Sahih Muslim.

Friday, March 14, 2014

Doa Nabi Memohon Hujan

Jumaat, 12 Jamadilawal 1435H: Berita dari Anas bin Malik r.a., katanya:
"Pada suatu ketika di zaman Nabi, terjadi musim kemarau. Ketika Nabi saw. membaca khutbah Jumaat, tiba-tiba seorang Arab dusun berdiri dan berkata: Ya, Rasulullah! Harta benda telah binasa dan rakyat kelaparan. kerana itu mendoalah kepada Allah swt. untuk kita semua.
" Nabi mendoa dengan mengangkat kedua belah tangannya. Ketika Nabi mulai mendoa itu kami tidak menampak awan sedikit pun di langit. Demi Allah yang diri ku dalam kekuasaan...Nya, belum sampai Nabi menurunkan tangannya, awan mendung telah kelihatan bergulung-gulung seperti bukit. Nabi saw. belum turun dari mimbar, namun hari telah hujan, sehingga kelihatan air hujan bertitikan dari janggut Nabi saw. Hujan lebat turun pula hari itu, esok, lusa dan seterusnya beberapa hari berikutnya sampai hari Jumaat pula.

Arab dusun itu atau mungkin juga Arab yang lain berdiri dan berkata pula: "Ya, RasuLullah! Bangun-bangunan telah roboh dan harta benda telah habis tenggelam. kerana itu mendoalah kepada Allah (mohon diselamatkan). Nabi mengangkat kedua belah tangannya dan mendoa: "Ya, Allah! Di sekitar kami saja dan jangan di atas kami." Beliau menunjuk dengan tangannya ke suatu penjuru berawan, maka kelihatan, awan itu menyingkir. Di atas kota Madinah kelihatan lingkaran-lingkaran seperti lubang yang bundar. Lembah-lembah padang pasir mengalirkan air selama sebulan. Setiap orang yang datang dari segenap penjuru memberitakan kemurahan yang melimpah-ruah."


Hadis Sahih Bukhari.

Thursday, March 13, 2014

Solat Minta Hujan - Istiqa

Khamis, 11 Jamadilawal  1435H : Dari Abdullah bin Zaid r.a., katanya: 

"Nabi saw. pernah keluar untuk minta hujan. Beliau menghadap ke kiblat, mendoa dan membalikkan cadarnya. Kemudian beliau solat dua rakaat, menyaringkan bacaan di kedua rakaat itu."

Hadis Sahih Bukhari.

Wednesday, March 12, 2014

Orang Islam Bersaudara

Rabu, 10 Jamadilawal 1435H : Dari Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: 

"Orang Islam itu saudara orang Islam; ia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkannya teraniaya. 

Siapa yang menolong keperluan saudaranya, Allah akan menolong keperluannya pula. 

Siapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari kiamat. 

Siapa yang menutup rahsia orang Islam, Allah akan menutup rahsianya di hari kiamat nanti."

Hadis Sahih Bukhari.

Monday, March 10, 2014

Segerakanlah Berbuat Amal Kebajikan

Isnin, 8 Jamadilawal 1435H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Segerakanlah berbuat amal kebajikan, sebelum datang bencana yang bagaikan malam gelap gelita. 

Pagi-pagi seseorang masih mukmin, tetapi bila hari petang dia kafir. 

Atau petang hari dia masih mukmin, pagi hari dia kafir. 

Dijualnya agamanya kerana mengharapkan keuntungan dunia."

Hadis Sahih Muslim.

Friday, March 7, 2014

Membaca Sepertiga AlQuran

Jumaat, 5 Jamadilawal 1435H: Dari Abu Darda' r.a., dari Nabi saw., sabdanya:
"Tidak sanggupkah kamu membaca sepertiga Quran dalam semalam?"
Mereka balik bertanya, "Bagaimana cara membaca sepertiganya?"

Jawab Nabi saw., "Qui huwallahu ahad (Surat Al Ikhlas) sama dengan sepertiga Al Quran."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, March 6, 2014

Perumpamaan Orang Yang Membaca Al Quran

Khamis, 4 Jamadilawal 1435H: Dari Abu Musa Al Asy'ari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Perumpamaan orang mukmin yang membaca Quran ialah seperti jeruk manis. Baunya harum dan rasanya manis. 

Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Quran, ialah seperti kurma, tidak berbau tetapi rasanya manis. 

Dan perumpamaan orang munafik yang membaca Quran, ialah seperti kemangi, baunya harum tetapi rasanya pahit. 

Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Quran, ialah seperti peria, tidak berbau dan rasanya pahit."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, March 5, 2014

Dingin dan Panas

Rabu, 3 Jamadilakhir 1435H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabdanya: 

"Apabila udara sangat panas, maka solatlah kalau udara sudah agak dingin. kerana udara yang sangat panas itu bertiup dari neraka jahannam. 

Dan mengadulah neraka kepada Tuhannya, "Sebahagian ku memakan sebahagian yang lain."

Maka Tuhan mengizinkannya berhembus dua kali, satu kali di musim dingin dan satu kali di musim panas. Maka itulah yang kamu rasakan, bersangatan panas di musim kemarau dan bersangatan dingin di musim dingin."

Hadis Sahih Bukhari.

Tuesday, March 4, 2014

Solat Malam Rasulullah saw

Selasa, 2 Jamadilawal 1435H: Diceritakan dari 'Aisyah r.a., bahawa dia ditanya orang mengenai solat Rasulullah saw. di waktu malam. Jawab 'Aisyah, 

"Beliau tidur pada awal malam dan bangun pada akhirnya, lalu beliau solat. Kemudian beliau kembali pula ke tempat tidurnya. 

Maka apabila muadzin telah azan (untuk solat Subuh), beliau bangun. Kalau memang perlu, beliau mandi lebih dahulu, jika tidak, beliau mengambil wuduk saja, kemudian beliau pergi solat ke masjid."

Hadis Sahih Bukhari.

Monday, March 3, 2014

Awas! Dengan Ucapan Kafir

Isnin, 1 Jamadilawal 1435 Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Siapa yang berkata kepada saudaranya, "Hai Kafir!", maka ucapan itu kembali kepada salah satu di antara keduanya. 

Jika apa yang diucapkannya itu benar, maka ucapan itu tertuju kepada orang yang dipanggil. 

Jika tidak, maka ucapan itu tertuju kepada yang mengucapkan."

Hadis Sahih Muslim.