Wednesday, April 29, 2015

Dua Macam Penduduk Neraka

Rabu,10 Rejab 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Ada dua macam penduduk neraka yang keduanya belum kelihatan olehku. 

(1) Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi. yang dipergunakannya untuk memukul orang. 

(2) Wanita-Wanita berpakaian, tetapi sama juga dengan bertelanjang (kerana pakaiannya terlalu mini, terlalu nipis atau tembus pandang, terlalu ketat atau pakaian yang merangsang pria kerana sebahagian auratnya terbuka), dan wanita-wanita yang mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka (disasak) bagaikan punuk unta. 

Wanita-wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga. Padahal bau syurga dapat tercium dari jarak yang sangat jauh."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, April 28, 2015

Nikmat Syurga Yang Tiada Taranya

Selasa, 9 Rejab 1436H: Dari Shuhaib r.a., dari Nabi saw, sabdanya: "Apabila penduduk syurga telah masuk ke dalam syurga, Allah Tabaraka wa Ta'ala berfirman kepada mereka: "Apakah kamu semua memerlukan sesuatu yang perlu Aku tambah untukmu?" 

Jawab mereka, "Bukankah muka kami telah putih gilang-gemilang? Bukankah kami telah Engkau masukkan ke syurga dan Engkau bebaskan dari neraka?" 

Kata Rasulullah saw. selanjutnya, "Lalu Allah membukakan tabir yang menutupNya. Sekonyong-konyong penduduk syurga merasakan nikmat yang tiada taranya, selain memandang Allah 'azza wa jalla."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, April 23, 2015

Tiada Lagi Kematian

Khamis, 4 Rejab 1436H: Dari Ibnu Umar r.a. katanya: "Rasulullah saw. bersabda: 

"Setelah penghuni syurga masuk ke dalam syurga dan penghuni neraka masuk ke dalam neraka, kematian itu dibawa dan diletakkan antara syurga dan neraka, lalu disembelih. Kemudian itu ada orang yang meneriakkan : 

"Hai isi syurga! Tidak ada lagi kematian. 

Hai isi neraka! Tidak ada lagi kematian." 

Karena itu kegembiraan isi syurga bertambah dari kegembiraan yang telah ada. 

Sebaliknya isi neraka bertambah kesedihannya dari kesedihan yang telah ada."

Hadis Sahih Bukhari .

Wednesday, April 22, 2015

Penghuni Syurga Terakhir

Rabu, 3 Rejab 1436H: Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Aku tahu penduduk neraka yang terakhir keluar dari neraka, dan penduduk syurga yang terakhir masuk syurga. Yaitu orang yang keluar dari neraka sambil merangkak. 

Allah Ta'ala berfirman kepadanya, "Pergilah dan masuklah ke syurga!" Lalu dia pergi ke syurga. Tetapi terbayang kepadanya syurga telah penuh. Kerana itu dia kembali kepada Tuhan dan berkata, "Ya, Tuhan ku! Ku dapati syurga telah penuh." 

Firman Allah swt., "Pergilah dan masuklah ke syurga!" Dia pun pergi ke syurga. Sementara itu terbayang pula kepadanya syurga telah penuh. Kerana itu dia kembali pula kepada Tuhannya seraya berkata, "Ya, Tuhan ku. Ku dapati syurga telah penuh." 

Allah berfirman pula kepadanya, "Pergilah, dan masuklah ke syurga!" Kemudian dia pergi. Tetapi tetap terbayang olehnya syurga telah penuh. Maka dia kembali lagi seraya berkata, "Ya, Tuhan ku! Ku dapati syurga telah penuh." 

Allah berfirman kembali, "Pergilah, dan masuklah ke syurga. Untukmu tersedia tempat sepuluh kali luas dunia." 

Kata orang itu, "Apakah Engkau tidak mengolok-olokku? Engkau adalah Maha Raja." 

Kata Abdullah menambahkan, "Aku melihat Rasulullah saw. tertawa, sehingga kelihatan gigi beliau." 

Beliau bersabda, "Dikatakan kepada ku, itulah tempat penduduk syurga yang paling rendah,"

Hadis Sahih Muslim .

Tuesday, April 21, 2015

Perbanyakan Beramal

Selasa, 2 Rejab 1436H: Dari Abu Hurairah ra. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang menolong menghilangkan kesusahan orang mukmin, Allah Taala menghilangkan pula kesusahannya di hari kiamat kelak. 

Siapa yang membantu memudahkan orang yang dalam kesulitan, Allah memudahkannya pula di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hambanya selama hamba itu mahu menolong saudaranya. 

Siapa berusaha mencari ilmu, Allah memudahkan baginya jalan ke syurga. 

Bila suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah (masjid)lalu mereka membaca Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, diturunkan kepada mereka ketenangan dan diselubungi mereka dengan rahmat. Mereka dikerumuni oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut dengan bangga kepada orang-orang yang di dekat-Nya. 

Sedangkan orang yang lalai beramal, ia tidak akan dapat mengejar ketinggalannya dengan gelar kebangsawanan nya."

Hadis Sahih Muslim

Monday, April 20, 2015

Doa Sebelum Dan Selepas Tidur

Isnin, 1 Rejab 1436H: Dari Al Bara' r.a. katanya: "Bahwasanya Nabi saw. apabila beliau hendak tidur beliau membaca doa: "Allahumma bismika ahyaa wa bismika amutu.(Dengan nama Mu aku hidup dan dengan nama Mu aku mati) 

Dan bila beliau bangun beliau membaca:"Alhamdulillahiilladzi ahyaana ba'da maa amaatana wa itaihinnusyuur" (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan dan kepadaNya tempat kembali)

Hadis Sahih Muslim .

Friday, April 17, 2015

Kelebihan Solat Berjemaah

Jumaat, 27 Jamadilakhir 1436H: Abu Hurairah r.a. memberitakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda:

"Solat seseorang dengan berjemaah, pahalanya berlipat ganda daripada solatnya seorang diri di rumahnya atau di pasar, dua puluh lima kali ganda. Sebabnya ialah, kerana apabila seseorang berwuduk, kemudian disempurnakannya wuduknya itu, lalu dia pergi ke masjid dengan niat hanya untuk menunaikan solat, maka tidak satu langkah pun langkah yang dilangkahkannya, melainkan ditinggikan Allah darjatnya satu tingkat untuk setiap langkah, dan dihapuskan pula kesalahannya. 

Apabila dia telah solat, maka malaikat sentiasa mendoakannya selama dia masih berada di tempatnya solat, katanya: "Wahai, Allah! Limpahkan kepadanya kebaikan dan kasihilah dia!" 

Dan seseorang kamu sentiasa dianggap seperti dalam solat selama dia menunggu-nunggu waktu solat."

Hadis Sahih Bukhari .

Thursday, April 16, 2015

Wanita Kematian Tiga Orang Anak

Khamis, 26 Jamadilakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya : 

"Seorang perempuan datang kepada Nabi saw. membawa anaknya yang masih kecil. Lalu dia berkata kepada beliau, "Ya, Nabiyallah! Doakanlah anakku ini (semoga dia panjang umur). Aku telah kematian anak tiga orang." 

Tanya Nabi saw., "Engkau telah kematian anak tiga orang?" 

Jawab perempuan itu, "Betul, ya, Nabiyallah!" 

 Sabda beliau, "Sesungguhnya engkau telah didinding dari neraka dengan dinding yang kuat."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, April 15, 2015

Doa Rasulullah SAW

Rabu, 25 Jamadilakhir 1436H: Dari Anas bin Malik ra. katanya Rasulullah saw. sering membaca doa sebagai berikut: 

Allahumma inni a'udzu bika minal 'ajzi, al kasali, wal jubuni, wal harami. wal bukhli; wa a 'udzu bika min 'azabil qabri. wa min fitnatil mahyaa wal mamaati 

( Wahai Allah! Aku berlindung dengan Engkau dari kelemahan, dari kemalasan, dari penakut, dari kepikulan dan dari kebakhilan; dan aku berlindung dengan Engkau dari seksa kubur dan dari bencana hidup dan mati )

Hadis Sahih Muslim.

Tuesday, April 14, 2015

Mendoa Semasa Tasyahhud Dalam Solat

Selasa, 24 Jamadilakahir 1436H: Dari Amir bin Abdullah bin Zubair r.a., dari bapanya, katanya:

"Apabila Rasulullah saw. duduk mendoa (tasyahhud dalam solat), diletakkannya tangan kanan atas paha kanan, tangan kiri atas paha kiri. Beliau menunjuk dengan telunjuk, meletakkan ibu jari di jari tengah, serta meletakkan tapak tangan kiri di atas lutut."

Hadis Sahih Muslim .

Monday, April 13, 2015

Mengambil Tanah Orang Lain Tanpa Hak

Isnin, 23 Jamadilakhir 1436H: Dari Sa'id bin Zaid bin 'Amr bin Nufail r.a., katanya dia didakwa oleh Arwa (seorang wanita) mengenai sebahagian tanah pekarangannya. 

Lalu kata Sa'id, "Biarlah diambilnya! Kerana aku pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Siapa mengambil tanah orang lain tanpa hak walaupun sejengkal, di hari kiamat kelak, Allah mengalungkan kepadanya tujuh lapis bumi." 

Lalu Sa'id mendoa; "Wahai Allah! Jika wanita itu dusta; butakanlah matanya dan jadikanlah rumahnya menjadi kuburan baginya." 

Tidak berapa lama kemudian ku lihat dia berjalan meraba-raba dinding dalam keadaan buta sambil berkata, "Aku terkena kutukan Sa'id bin Zaid." Sedang ia berjalan dalam rumah menuju sumur, ia terjatuh ke dalam, sehingga sumur itu menjadi kuburnya."

Hadis Sahih Muslim

Friday, April 10, 2015

Doa Rasulullah Ketika Kesulitan

Jumaat, 20 Jamadilakhir 1436H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: Nabi saw. berdoa ketika beliau berada dalam kesulitan: 

"Tiada Tuhan selain dari Allah Yang Maha Besar dan Maha Penyantun. Tiada Tuhan selain dari Allah, Tuhan langit dan bumi, Tuhan 'Arasy (singgahsana) yang Maha Besar."

Hadis Sahih Bukhari.

Thursday, April 9, 2015

Doa Dua Malaikat Setiap Pagi

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : 

 "Setiap pagi dua malaikat turun mendampingi seorang hamba. 

Yang satu mendoa: "Wahai, Allah! Berikanlah ganti bagi dermawan yang menyedekahkan hartanya." 

Dan yang satu lagi berkata: "Wahai Allah! Musnahkanlah harta si bakhil!"

Hadis Sahih Muslim


Wednesday, April 8, 2015

Inilah Kiblat

Rabu, 18 Jamadilakhir 1436H: Dari 'Atha' r.a., katanya: Saya mendengar Ibnu Abbas berkata, 

"Ketika Nabi saw. masuk Kaabah, beliau mendoa di setiap sudut, dan beliau tidak melakukan solat sehinga akhirnya beliau keluar dari dalam. Sampai di luar, beliau solat dua rakaat menghadap ke Kaabah, lalu beliau bersabda, "Inilah kiblat."

Hadis Sahih Bukhari

Monday, April 6, 2015

Bacaan Ketika Bangun Tengah Malam

Isnin, 16 Jamadilakhir 1436H: Diberitakan oleh 'Ubbadah bin Shamit, bahawa Nabi saw. bersabda: 

"Barangsiapa bangun tengah malam, lalu dia membaca: "Laa Illaaha illallaahu wahdahu laa syariikalah, Lahul mulku walahul hamdu wa hu wa 'alaa kulli syai-in qadiir. Alhamdu lillaah, wa subhaanallaah. walaa ilaaha illallaah, wallaahu akbar. Walaa hawla walaa quwwata illaa billaah, kemudian dilanjutkannya: Allaahummaghfirli. 

(Ertinya: Tidak ada Tuhan yang patut disembah melainkan hanya Allah satu-satuNya, tidak ada sekutu bagiNya. MilikNya sajalah kekuasaan, dan milikNya sajalah segala puji, dan Dia berkuasa atas segala-galanya. Segala puji hanya milik Allah, Maha Suci Allah, Tidak ada Tuhan melainkan hanya Allah; dan Allah Maha Besar. Dan tidak ada daya, tiada pula kekuatan melainkan hanya milik Allah, kemudian dilanjutkannya: "Wahai Allah! Ampunilah kiranya aku!") 

Jika dia mendoa, diperkenankan doanya. Jika dia mengambil wuduk, lalu dia solat, diterima Allah solatnya.

Hadis Sahih Bukhari

Friday, April 3, 2015

Berdoalah Bersungguh-Sungguh

Jumaat, 13 Jamadilakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Apabila kamu mendoa, maka janganlah mendoa dengan menggunakan kalimat: Wahai Allah! Ampunilah aku jika Engkau mahu. Tetapi hendaklah kamu mempergunakan kalimat yang sungguh-sungguh meyakinkan permohonan, serta besar jawapan (bahawa Allah Ta'ala mendengar dan mengabulkan permohonanmu). Kerana sesunguhnya Allah Ta'ala tidak pernah memberatkan-Nya memberikan sesuatu."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, April 2, 2015

Doa Rasulullah Membalasi Pemuka Quraisy

Khamis, 12 Jamadilakhir 1436H: Dari Abdullah r.a., katanya: Ketika Rasulullah s.a.w. sedang sujud dan sekelilingnya ada orang-orang Quraisy yang musyrik. Tiba-tiba datanglah kepada beliau 'Uqbah bin Abi Muaaith, membawa perut (tempat peranakan) unta, lalu dilemparkannya di atas punggung Nabi s.a.w. Beliau belum lagi mengangkat kepalanya, sehingga Fatimah datang, lalu diambilnya dari punggung beliau, dan Fatimah mendoakan kebinasaan orang yang melakukan yang demikian itu. 

Nabi s.a.w. berdoa: "Ya Tuhan! Terserah kepada Engkau membalasi pemuka Quraisy! Ya Tuhan! Terserah kepada Engkau memberi balasan kepada Abu Jahl bin Hisyam, 'Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, 'Uqbah bin Abu Muaith, dan Umaiyah bin Khalaf atau Ubaiy bin Khalaf!" 

Saya lihat semua mereka itu dibunuh dalam peperangan Badr, lalu dilemparkan ke dalam telaga, selain Umaiyah atau Ubaiya kerana ia seorang laki-laki yang besar (gemuk). Setelah mereka mengheretnya putus persendiannya sebelum dilemparkan ke dalam telaga"

Hadis Sahih Bukhari.

Wednesday, April 1, 2015

Doa Para Malaikat

Rabu, 11 Jamadilakhir 1436H: Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: 

"Para malaikat sentiasa mendoakan kamu selama kamu masih berada di tempatmu solat dan belum berhadas. 

Doanya, "Ya, Allah! Ampunilah kiranya dia dan limpahkan kasih sayang kepadanya!" 

Seseorang kamu sentiasa dianggap seperti dalam solat, selama dia masih menunggu dan tidak ada yang menghalanginya untuk pulang ke rumahnya melainkan hanya kerana (menunggu) solat."

Hadis Sahih Bukhari