Sunday, September 15, 2024

Orang Yang Enggan Masuk Syurga

Ahad, 11 Rabiul Awal 1446H  |  Orang Yang Enggan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan, " Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?" Nabi menjawab: "Siapa yang taat kepadaku masuk syurga dan siapa yang mendurhakaiku dialah orang yang enggan." (HR Bukhari No: 6737) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap umat Nabi Muhammad SAW akan masuk ke syurga dengan syarat mentaati dan mengikuti apa yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala yang dilarang.
 
2.  Taat dan patuh kepada Nabi SAW itu antaranya dengan mentauhidkan Allah serta istiqamah dalam melaksanakan syariat Allah seperti menunaikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan puasa Ramadhan, berbakti kepada kedua orang tua, menjaga dari perkara yang haram seperti perbuatan zina, minum yang memabukkan, serta melakukan perkara haram yang  lain.

3.  Orang yang enggan dan tidak mahu mentaati syariat yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah SAW adalah orang yang enggan untuk masuk syurga. Orang tersebut mencegah dirinya untuk masuk ke dalam syurga dengan melakukan amal keburukan dan meninggalkan syariat yang diwajibkan.

4.  Wajib bagi setiap muslim untuk mentaati segala perintah Allah, serta mengikuti Nabi Muhammad SAW dalam setiap syariat yang baginda bawa. Firman Allah:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya” (Al Hasyr: 7)

Marilah kita sempena bulan Maulidurasul ini menjadi orang yang akan masuk syurga bukan orang yang enggan.


Saturday, September 14, 2024

Rasulullah Penyelamat Umat

Sabtu, 10 Rabiul Awal 1446H  | Rasulullah Penyelamat Umat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَتِ الدَّوَابُّ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهِ فَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya perumpamaan diriku dengan umatku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Ketika itu, binatang dan kelekatu berjatuhan ke dalamnya. Maka aku mencegah kalian, namun kalian melemparkan diri ke dalamnya. (HR Bukhari No: 6483) Status : Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW diutus untuk memberitahu manusia akan ancaman azab api Neraka yang menanti di Akhirat bagi mereka yang berbuat maksiat juga yang tidak beriman.

2.  Rasulullah SAW berusaha untuk menyelamatkan manusia dari menjadi ahli Neraka. Baginda SAW menyampaikan Islam sebagai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

3.  Imam An-Nawawi berkata: hadis ini membawa maksud bahawa Rasulullah SAW menggambarkan perbuatan orang jahil dan ingkar yang bergelumang dengan maksiat dan syahwat sebenarnya melemparkan diri ke dalam api Neraka, seperti kelekatu yang terbang ke dalam api kerana mengikut keinginan dan tidak mampu membezakan bahaya atau tidak, sedangkan Baginda SAW berusaha menghalang mereka dari terjatuh ke dalamnya.

4.  Teknik memberikan perumpamaan yang boleh digambarkan oleh akal, adakalanya diperlukan bagi menyampaikan dakwah dan menyedarkan jiwa umat.

5.  Jangan jadikan kita seperti kelekatu yang terhumban ke dalam api kerana tidak dapat membezakan antara bahaya dan bahagia. Ikutilah perintah dan larangan Rasulullah SAW yang sayang dan kasih kepada umatnya agar tidak terhumban ke dalam neraka.

6.  Jadikan diri kita pewaris tugas Rasulullah sebagai pendakwah untuk menyelamatkan diri kita dan orang lain daripada api neraka.

Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Berusahalah kita mencintai Rasulullah SAW dengan mencontohinya.


Friday, September 13, 2024

Mencintai Rasulullah SAW

Jumaat, 9 Rabiul Awal 1446H  |  Mencintai Rasulullah SAW

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ  أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak sempurna keimanan seseorang dari kalian sampai ia mencintai aku melebihi kedua orang tuanya dan anaknya.” (HR Bukhari No: 13) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW memulakan dengan sumpah “Demi Dzat yang jiwaku berada ditangan-Nya”, menunjukkan apa yang akan disampaikan oleh baginda adalah suatu yang amat penting.

2.  Pesanan penting tersebut ialah tentang syarat kesempurnaan iman pada seseorang, dengan mencintai Rasulullah SAW melebihi kasih dan sayang kita kepada ibu bapa serta anak-anak.

3.  Cinta kepada ibu bapa melahirkan rasa hormat serta kesanggupan kita untuk berbakti kepadanya. Cinta kepada anak dengan cara kita memenuhi permintaannya. Sementara cinta kepada Rasulullah SAW mesti lebih hebat daripada itu.

4.  Jika cinta kepada ibu bapa kerana ia telah melahirkan, mendidik, membesarkan juga memberi nafkah kepada kita, cinta kepada Rasulullah SAW kerana ia telah menyampaikan petunjuk dan menyelamatkan kita dari kesesatan.

5.  Cinta kepada Rasulullah SAW melebihi kecintaan kepada orang tua dengan cara mengagungkan serta mentaati perintah Rasulullah SAW, mencontohi dan melaksanakan sunnah yang ditunjukkan oleh baginda mesti diutamakan.

Kita telah memasuki bulan Rabiul Awal, mengingatkan kita bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Mari kita memperlihatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW melebihi kecintaan terhadap ibu bapa serta anak-anak kita.


Thursday, September 12, 2024

Bersama Dengan Orang Yang Dicintai

Khamis, 8 Rabiul Awal 1446H  |  Bersama Dengan Orang Yang Dicintai

عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

Daripada Abu Wa`il dari Abdullah dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda: "Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya." (HR Bukhari No: 5702) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:

1.  Orang yang "mencintai" seseorang akan sentiasa bersama dengan orang yang "dicintai".

2.  Ibnu Hajar menjelaskan: sesungguhnya kita akan bersama dengan orang yang kita cinta, sentiasa akan didekatkan dengan orang yang dicintai malah kita akan  termasuk dalam golongan yang dicintai.

3.  Cintailah orang yang soleh kerana seseorang akan dibangkitkan di hari kiamat bersama dengan orang yang dicintai.

4.  Ibnu Battal dalam Syarah Sahih Al-Bukhari, hlm. 9/333, menyatakan: Ketika seorang mencintai orang yang soleh, di mana dia mencintai mereka kerana ketaatan mereka pada Allah sedang cinta itu merupakan perbuatan hati dan keyakinan hati maka Allah memberi pahala padanya sebagaimana pahala orang soleh yang dicintainya. Kerana niat itu adalah yang asal sedang amal itu mengikuti niat.


قِيلَ لِلنَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلُ يُحِبُّ الْقَوْمَ وَلَمَّا يَلْحَقْ بِهِمْ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

Ada yang berkata pada Nabi SAW, ‘Ada seseorang yang mencintai suatu kaum, namun ia tidak pernah berjumpa dengan mereka.’ Nabi SAW  lantas bersabda, ‘Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang yang ia cintai.’” (HR Muslim  no:  2640) Status: Hadis Sahih.

5.  Orang yang cinta kepada Rasulullah SAW, ia akan tetap dapat bersama Rasulullah SAW memasuki Syurga walaupun tingkatan syurganya berbeza (Fathul Bari, 10: 555).

6.  Cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan sentiasa mencontohi, mengikuti dan mentaati perintah dan larangan. Perbuatan tersebut akan menatijahkan kecintaan Rasulullah SAW kepada kita walaupun kita tidak pernah menemui baginda.

Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Marilah kita menunjukkan kecintaan kepada Nabi SAW. Dalam kita membina kehidupan di negara tercinta ini, kita mengharapkan kebahagiaan hidup ini bukan hanya di dunia malah juga di akhirat nanti. Justeru jadikanlah Rasul serta orang-orang soleh sebagai qudwah untuk kita contohi dan cintai. Moga kita akan bersama mereka di Syurga nanti.


Wednesday, September 11, 2024

Adab Menggunakan Media Sosial

Rabu, 7 Rabiul Awal 1446H  |  Adab Menggunakan Media Sosial

عَنْ حَفْصِ بْنِ عَاصِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Daripada Hafsh bin ‘Ashim, dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW baginda bersabda, “Cukup seseorang dikatakan dusta, jika dia menceritakan segala apa yang dia dengar (tanpa tabayyun).” (HR. Muslim no. 5). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dusta ialah memberitahu kepada orang ramai satu berita atau satu cerita yang tidak benar. Apabila dia membaca atau dia mendengar sesuatu maklumat, tanpa siasat dan tanpa bukti, dia terus menyampaikan kepada orang lain malah mungkin ada tambah menambah, bagi menyedapkan cerita.

2.  Setiap kita perlu berhati-hati sebelum kita menceritakan atau menyebar sesuatu maklumat yang diterima. Ambil sikap tawaqquf (diam hingga ada dalilnya) itu lebih baik dari berlumba-lumba menjadi orang pertama yang menyampaikan.

3.  Imam Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim ketika menjelaskan hadis ini menyatakan: Seseorang boleh dikatakan berdusta, apabila segera menceritakan khabar yang diperolehi, kerana berita yang didengar boleh jadi ditokok tambah.

4.  Media sosial hari ini sering menyebarkan maklumat yang berbeza daripada yang asal. Contohnya petikan ucapan, video atau gambar mungkin juga diedit dan disebarkan yang boleh menimbulkan kontrovesi. Lalu di olah dan diulas dengan gambaran yang berbeza daripada cerita asal  atau keseluruhan ucapan. Oleh sebab itu apa yang didengar atau sesuatu yang ditulis boleh jadi benar, boleh  jadi tidak. Jika seseorang menceritakan atau menyebarkan setiap apa yang ia dengar atau setiap apa yang di terima seperti menerusi whatsaap, telegram, FB dan sebagainya, maka ia telah berdusta kerana memberitakan sesuatu yang sebenarnya mungkin tidak terjadi atau tidak benar. Kalaupun benar mungkin boleh jatuh kepada mengumpat kerana sengaja membuka aib orang lain serta membuka ruang kepada maki hamun dalam komen nitezen.

Ingatlah Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya (tabayyun), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan (al-Hujurat: 6)

5.  Imam al-Syaukani berkata;“Yang dimaksudkan dengan ‘tabayyun’ adalah memeriksa dengan teliti, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sesuatu peristiwa dan khabar yang datang, sehingga menjadi jelas dan terang baginya.”

6.  Tidak semua berita yang benar itu boleh disebarluaskan jika ia boleh menimbulkan salah faham, keresahan juga kekacauan kepada masyarakat. Kata Abdullah bin Masud RA dalam Muqaddimah Sahih Muslim: 

مَا أَنْتَ بِمُحَدِّثٍ قَوْمًا حَدِيثًا لَا تَبْلُغُهُ عُقُولُهُمْ إِلَّا كَانَ لِبَعْضِهِمْ فِتْنَةً

“Tidak boleh engkau menceritakan (suatu berita) kepada sekelompok orang, berupa berita yang tidak boleh mereka fahami malah akan menjadi sumber kerusakan (keresahan atau kekacauan) kepada mereka.”

7.  Berhati-hatilah apabila menyebar atau share sesuatu maklumat. Latihlah diri agar tidak terus share info yang diterima. Moga kita tidak menjadi pendusta. Justru diam itu lebih baik daripada menyebarkan berita palsu.


Tuesday, September 10, 2024

Perbuatan Dosa

Selasa, 6 Rabiul Awal 1446H  | Perbuatan Dosa

عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الْأُمَّهَاتِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنَعَ وَهَاتِ وَكَرِهَ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ

Daripada Al-Mughirah bin Syu'bah berkata; Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mengharamkan atas kalian durhaka kepada ibu, mengubur anak perempuan hidup-hidup,  mempercayai setiap khabar yang tidak tentu  sumbernya, banyak bertanya dan menyia-nyiakan harta (boros)". (HR Bukhari No: 2231) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah melarang setiap Muslim daripada melakukan perkara berikut:

1.  Mendurhakai ibu

2.  Menanam anak perempuan hidup-hidup

3.  Mempercayai kepada khabar yang tidak pasti sumbernya (sama ada melalui lisan juga media sosial seperti TikTok, FB, Twiter, Whatsapp, Telegram, Akhbar, TV dan lain-lain) lalu di sebarkan (forward). Awaslah daripada menjadi penyebar berita palsu.

4.  Banyak bertanya yang bertujuan untuk menguji atau mengadu domba

5.  Boros terhadap harta (tidak berjimat).

Marilah kita menjadi Muslim yang baik dengan taat kepada kedua ibu dan bapa, mengasihi anak-anak dengan diberikan didikan dan asuhan, memastikan setiap berita yang sampai pada kita diselidiki terlebih dahulu kesahihannya sebelum mempercayai dan disebarkan, kurangkan bertanya yang bukan ikhlas untuk mendapatkan maklumat dan berjimat dalam membelanjakan harta.


Monday, September 9, 2024

Ghibah, Gosip Perbuatan Tercela

 Isnin, 5 Rabiul Awal 1446H  | Ghibah, Gosip Perbuatan Tercela

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ قِيلَ أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ قَالَ إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah  SAW pernah bertanya: "Tahukah kamu, apakah ghibah (mengumpat) itu?" Para sahabat menjawab; Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Engkau menyebut sesuatu mengenai saudara kamu dengan perkara yang tidak disukainya." Baginda ditanya lagi, "Bagaimana pendapatmu jika apa yang ada pada saudaraku sesuai dengan yang aku katakan?" Baginda menjawab: "Jika apa yang engkau katakan itu memang benar-benar ada padanya maka engkau telah berbuat ghibah (mengumpat), namun jika tidak benar, maka engkau telah memfitnahnya." (HR Muslim No: 4690)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Perbuatan ghibah atau mengumpat atau gossip  adalah berdosa.

2.  Ghibah atau mengumpat adalah menceritakan sesuatu yang buruk yang ada pada diri orang lain. Sesuatu yang diceritakan mengenai orang lain itu mungkin berkaitan  tubuh badan seseorang, agamanya, dunia, diri, akhlak, harta, anak, orang tua, isteri, pembantu, pakaian, cara jalan, gerak-gerik, wajah atau segala hal yang berkaitan dengannya.

3.  Imam al-Ghazali mengatakan ghibah itu bermaksud: ‘…engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya, sekiranya sampai perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh badannya, keturunan, akhlak, perbuatan, perkataan, agama, atau dunianya hatta pakaian, rumah atau haiwannya..’. (Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)

4.  Ghibah atau Mengumpat atau Gossip boleh berlaku melalui lisan, tulisan, gambar atau melalui bahasa isyarat.

5.  Walaupun yang diperkatakan itu betul pada orang tersebut, ia adalah ghibah atau mengumpat yang diharamkan. Jika yang dibicarakan itu tidak benar, maka ia adalah fitnah.

6.  Dunia sosial hari ini mudah terdedah dengan mengumpat dan fitnah melalui media sosial sama ada melalui FB, Twitter, Whatsapp, Telegram dan sebagainya. Bila di post atau ditularkan, akhirnya ia mengundang komen dan umpatan netizen walaupun ia betul  atau boleh menjadi fitnah jika tidak benar.

Berhati-hatilah dalam pertuturan, penulisan dan perbuatan daripada perkara yang tidak benar, palsu, mencela, mengumpat, atau memfitnah.

Sunday, September 8, 2024

Berhati-hati Dalam Berbicara

Ahad, 4 Rabiul Awal 1446H  |   Berhati-hati Dalam Berbicara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:  Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun. (HR Tirmizi No: 2314) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dalam menyampaikan berita, seseorang mesti bertanggungjawab dalam segala ucapan dan penyampaiannya sama ada secara lisan mahupun tulisan. 

2.  Al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa sebahagian manusia memandang remeh perkataan yang diucapkannya sehingga dia tidak menyangka perkataan tersebut menjadi penyebab kepada dia dihumban ke neraka. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 12/79).

3.  Setiap berita yang disampaikan mestilah benar serta tidak akan mengundang kepada keaiban dan pembohongan. Jangan sampai mengundang kemurkaan  Allah SWT dan berlaku kekacauan di dalam masyarakat. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ  لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم  بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ  لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ  وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).(Surah An-Nur, 11).

Al-Maraghi berkata: Allah SWT menerangkan hukuman yang menimpa ke atas orang yang ikut serta menyebarkan berita dusta; mereka semua akan mendapat hukuman yang setimpal dengan peranan yang dimainkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4730).


Saturday, September 7, 2024

Menjaga Hak Sesama Muslim

Sabtu, 3 Rabiul Awal 1446H  |   Menjaga Hak Sesama Muslim

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة

Bahawa Abdullah bin Umar RA mengkhabarkannya Rasulullah SAW  bersabda: Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan membiarkan muslim lain dianiaya. Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutup aib seorang muslim di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat. (HR Bukhari No: 2262) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain

2.  Sebagai orang Islam, perlu menjaga hak orang Islam yang lain antaranya:

a.  Tidak boleh berlaku zalim atau menganiaya ke atas orang Islam yang lain

b.  Tidak boleh membiarkan orang Islam yang lain di zalimi

3.  Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah akan memperkenankan hajatnya.

4.  Orang Islam yang melapangkan kesempitan orang Islam yang lain semasa di dunia, Allah akan melapangkan dan mempermudahkan kehidupannya di hari kiamat.

5.  Orang yang menutup kekurangan, aib atau keburukan Muslim yang lain semasa di dunia, nescaya Allah akan menutup aib dan kekurangannya semasa di akhirat kelak.

6.  Menurut Al-Qadhi Iyadh dalam Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim (16/360): “Ditutupnya aib si hamba pada hari kiamat berkemungkinan 2 keadaan:

a.  Allah SWT akan menutup maksiat dan aibnya dengan cara tidak mengumumkannya kepada manusia di padang mahsyar.

b.  Allah SWT tidak akan menghisab aibnya dan tidak akan menyebut aibnya tersebut.”

Setiap kita perlu berhati-hati terutama dalam penggunaan media sosial. Mudahnya  membuka aib,  membuat fitnah dengan menzalimi terhadap individu  tertentu. Sama-samalah kita memelihara hak saudara Islam kita yang lain.


Friday, September 6, 2024

Bertakwa Walau Dimana Berada

Jumaat, 2 Rabiul Awal 1446H  |   Bertakwa Walau Dimana Berada

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Daripada Abu Zar RA beliau berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan ikutilah setiap (amalan) kejahatan dengan (amalan) kebaikan yang dapat menghapuskannya serta berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik." (HR Tirmizi, No: 1987) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Taqwa kepada Allah SWT merupakan kewajipan setiap Muslim dan menjadi benteng daripada melakukan kejahatan dan maksiat.

2. Taqwa menurut Imam At-Tabari adalah beriman dan melakukan ketaatan kepada Allah, meninggalkan perkara yang dilarang Allah dan melaksanakan perintah serta sangat waspada terhadap siksaan Allah jika meninggalkan petunjuk yang telah diketahui

3. Bersegeralah melakukan kebaikan setelah menyedari atau melakukan kejahatan atau maksiat. Antaranya beristighfar, bersedekah dan sebagainya.

4. Para ulama’ bersepakat bahawa kebaikan hanya dapat menghapuskan dosa-dosa kecil sahaja. Adapun dosa besar seperti derhaka kepada ibu bapa, membunuh, memakan riba, meminum arak dan selainnya tidak akan terhapus kecuali dengan taubat nasuhah.

5. Setiap Muslim hendaklah bersungguh-sungguh menjauhi amalan kejahatan dan memperbanyakkan amalan kebaikan serta menghias diri dengan akhlak terpuji.


Thursday, September 5, 2024

Makan Daging Saudara SeIslam

Khamis,  01hb Rabiul Awal 1446H   |   Makan Daging Saudara SeIslam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْن مَسْعُودٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ رَجُلٌ فَوَقَعَ فِيهِ رَجُلٌ مِنْ بَعْدِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "تَخَلَّلْ" قَالَ: وَمَا أَتَخَلَّلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَلْتُ لَحْمًا قَالَ: "إِنَّكَ أَكَلْتَ لَحْمَ أَخِيكَ

Daripada Abdullah ibn Masud RA beliau berkata : Kami berada di sisi Nabi SAW, kemudian berdirilah seorang lelaki, dan seorang lelaki lain menceritakan keaibannya selepas dia pergi, berkata Nabi SAW : “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”, kemudian dia berkata : Apa yang perlu aku keluarkan? Aku tidak makan apa-apa daging! Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.” (HR Thabarani  No: 13145) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dalam kehidupan ini, setiap orang tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Namun kita dilarang menceritakan kekurangan dan aib orang lain.

2.  Orang yang menceritakan aib orang lain atau disebut mengumpat, diumpamakan seperti memakan daging saudara Islam yang lain. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)

3.  Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan; mengumpat adalah haram secara ijma’ dan tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah (kebaikan) pada mengumpat lebih kuat daripada mafsadahnya (kerosakan) (Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)

4.  Walaupun begitu, bukanlah larangan mutlak menceritakan aib dan kelemahan orang lain. Al-Nawawi dan Ibn Qudamah menyebut Enam keadaan mengumpat yang diharuskan oleh syarak:

a)  Membuat aduan mengenai kezaliman kepada pihak berkuasa atau  hakim agar kezaliman dapat dibanteras dan diadili.
b)  Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat
c)  Meminta fatwa
d)  Memberikan peringatan kepada orang lain terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang terhindar daripada kejahatannya.
e)  Seseorang yang terang-terang melakukan kemungkaran.
f)  Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran tertentu seperti si buta dan dia redha dengannya

Bersamalah kita menjaga hubungan dalam hidup bermasyarakat. Elakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan hubungan ukhuwah sesama kita.

Wednesday, September 4, 2024

Hubungkan Ukhuwah Dengan Sapaan

Rabu, 30 Safar 1446H   |  Hubungkan Ukhuwah Dengan Sapaan

عَنْ هِشَامَ بْنَ عَامِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ مُسْلِمًا فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ فَإِنْ كَانَ تَصَارَمَا فَوْقَ ثَلَاثٍ فَإِنَّهُمَا نَاكِبَانِ عَنْ الْحَقِّ مَا دَامَا عَلَى صُرَامِهِمَا وَأَوَّلُهُمَا فَيْئًا فَسَبْقُهُ بِالْفَيْءِ كَفَّارَتُهُ فَإِنْ سَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ وَرَدَّ عَلَيْهِ سَلَامَهُ رَدَّتْ عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ وَرَدَّ عَلَى الْآخَرِ الشَّيْطَانُ فَإِنْ مَاتَا عَلَى صُرَامِهِمَا لَمْ يَجْتَمِعَا فِي الْجَنَّةِ أَبَدًا

Daripada Hisyam bin 'Amir berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal bagi seorang muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudara Muslim lebih dari tiga malam, jika mereka berdua saling mendiamkan lebih dari tiga malam tersebut, keduanya jauh dari kebenaran selama mereka berdua masih memutuskan hubungan. Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dari rasa marah (menyambung kembali hubungan ukhuwah), maka ia menjadi penebus dosanya. Jika (si 'A') memberi salam terhadap temannya (si 'B') namun tidak diterima, padahal (si 'A') masih mahu menjawab salamnya, maka (si 'A') akan dijawab oleh Malaikat, dan (si 'B') yang mendiamkan akan dijawab oleh syaitan. Jika mereka berdua meninggal dalam keadaan saling mendiamkan, maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya." (HR Ahmad No: 15668) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Seorang muslim tidak boleh memutuskan hubungan dengan saudara Muslimnya lebih dari tiga malam

2.  Jika kedua-dua Muslim yang berselisih, saling mendiamkan diri dengan tidak bertegur sapa lebih dari tiga malam, keduanya akan jauh dari kebenaran (Rahmat) selama mereka berdua masih memutuskan hubungan.

3.  Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dan segera menyambung kembali hubungan ukhuwah, maka ia akan menjadi penebus dosanya kerana memutuskan.

4.  Jika ia memberi salam kepada temannya namun tidak dijawab oleh temannya, maka ucapan salamnya akan dijawab oleh Malaikat, dan teman yang berdiam akan dijawab oleh syaitan.

5.  Jika mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan saling mendiamkan diri (tidak mahu menghubungkan kembali ukhuwah), maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya.

Bersamalah kita saling menghubung ukhuwah dan menyemai sifat berkasih sayang sesama kita melalui bertegur sapa. Saling bertolong bantu dalam perkara yang disepakati dan saling bermaafan dalam perkara yang berbeza.


Tuesday, September 3, 2024

Jangan Saling Memusuhi

Selasa, 29 Safar 1446H  |   Jangan Saling Memusuhi

عَنْ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّام

Daripada Anas bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Janganlah kamu saling membenci, jangan saling iri hati, saling bermusuhan, saling memutuskan hubungan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari" (HR Bukhari No: 5718) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Umat Islam dilarang saling membenci sesama mereka

1.Sifat iri hati dan cemburu kelebihan yang ada pada orang lain perlu dijauhi. Elakkan saling berdengki sesama Muslim

2.Sifat bermusuhan dengan sesama Muslim adalah dilarang kerana setiap Muslim adalah bersaudara.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka bermusuh" (Sahih Bukhari No: 6765) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

3.Kita boleh berbeza pandangan dengan orang lain, namun perlu saling berlapang dada dan memaafkan.

4.Elakkan diri daripada tidak bertegur atau menjauhi saudara Muslim melebihi tiga hari.

Dalam kita hidup bermasyarakat dan bernegara, perlu ada sifat bertolak ansur dan saling memaafkan. Jauhi sikap bermusuh, benci dan dengki terhadap orang lain. Binalah ukhuwah melalui sifat saling berkasih sayang.


Monday, September 2, 2024

Manusia Paling Dibenci Allah

Isnin, 28 Safar 1446H  |   Manusia Paling Dibenci Allah

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA, ia mengatakan; Rasulullah SAW bersabda: "Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka membantah (suka bermusuh)" (HR Bukhari No: 6765) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Keras kepala adalah sifat yang beriringan dengan sifat sombong, bongkak, takbur dan ego. Kesemua sifat-sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT dan merupakan sifat Iblis.

2.Iblis menjadi kufur akibat daripada sifat keras kepala dan sombong dengan merasakan dia lebih baik daripada orang lain.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مسعود عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Daripada Abdullah bin Masud RA, daripada Nabi SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi daripada kesombongan." (Sahih Muslim No: 133) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

3.Orang yang suka membantah adalah mereka yang suka bertengkar dan suka menegakkan pendapatnya sendiri walaupun salah. Ia akan menjadikannya  seorang yang angkuh dan sombong. Baginya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah. Dia sukar untuk berbincang dengan cara baik kerana dia menganggap pendapat orang lain rendah dan pendapatnya sahaja yang baik dan perlu diutamakan. Akhirnya mewujudkan ketidak sefahaman dan permusuhan.

Hidup bermasyarakat menuntut kita memiliki hati yang lembut, boleh menerima nasihat dan teguran. Jauhi sifat keras kepala dan suka membantah.


Sunday, September 1, 2024

Golongan Penghuni Syurga

Ahad, 27 Safar 1446H  |  Golongan Penghuni Syurga

عن عياض بن حمار المجاشعي رضي الله عنه عن النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال : وَأَهْلُ الْجَنَّةِ ثَلَاثَةٌ ذُو سُلْطَانٍ مُقْسِطٌ مُتَصَدِّقٌ مُوَفَّقٌ وَرَجُلٌ رَحِيمٌ رَقِيقُ الْقَلْبِ لِكُلِّ ذِي قُرْبَى وَمُسْلِمٍ وَعَفِيفٌ مُتَعَفِّفٌ ذُو عِيَالٍ

Daripada Iyadh bin Himar al-Mujasyai RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: "Penghuni syurga itu terdiri daripada tiga golongan; iaitu penguasa yang berlaku adil, gemar bersedekah dan diberi kurnia taufik (Allah), seorang yang penuh kasih sayang dan lemah lembut kepada setiap kerabat dan sesama muslim, dan seorang yang suci dan miskin namun menjaga dirinya dari meminta-minta”  (Sahih Muslim No: 5109) Status : Hadis Sahih

Pengajaran

Antara golongan yang akan menjadi penghuni Syurga ialah:

1.Penguasa atau pemimpin yang adil, sentiasa pemurah dengan bersedekah dan diberi kurnia taufik oleh Allah dalam menjalankan tanggungjawab.

2.Orang yang memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut kepada setiap kerabat dan sesama muslim yang lain

3.Orang yang suci hatinya walaupun miskin namun menjaga dirinya dari menjadi peminta sedekah.

Sebagai warganegara, sama ada kita seorang pemimpin mahupun pengikut, berusahalah memiliki sifat adil, kasih sayang, lemah lembut serta menjadi pemberi bukan peminta.