Sunday, May 31, 2026

Asas Kehidupan Muslim

Ahad, 14 Zulhijjah 1447H  |  Asas Kehidupan Muslim
 
عَنْ أَبِي ذَرٍّ رضي الله عنه، قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَوْصِنِي. قَالَ: أُوصِيكَ بِتَقْوَى اللَّهِ، فَإِنَّهُ رَأْسُ الْأَمْرِ كُلِّهِ. قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، زِدْنِي. قَالَ: عَلَيْكَ بِتِلَاوَةِ الْقُرْآنِ، وَذِكْرِ اللَّهِ، فَإِنَّهُ نُورٌ لَكَ فِي الْأَرْضِ، وَذُخْرٌ لَكَ فِي السَّمَاءِ
 
Daripada Abu Dzar al-Ghifari RA berkata, Aku berkata kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, berilah aku wasiat." Baginda bersabda: “Aku wasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah, kerana ia adalah pokok segala urusan.” Aku berkata lagi: “Wahai Rasulullah, tambahkan lagi nasihat untukku.” Baginda bersabda: “Hendaklah kamu sentiasa membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah kerana sesungguhnya ia menjadi cahaya untukmu di bumi, dan simpanan untukmu di langit.” (HR Ibn Ḥibbān No: 361) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Tiga asas kehidupan Muslim:
 
a.     Takwa: asas keselamatan dunia dan akhirat.
b.    Tilawah al-Quran: sebagai panduan hidup dan ubat hati.
c.     Zikrullah: menjadikan hati hidup dan bercahaya, serta sentiasa dekat kepada Allah.
 
2.    Takwa adalah punca atau teras segala perkara, asas dalam membuat keputusan, membina akhlak, hubungan dengan Allah dan manusia. Takwa bukan sekadar rasa takut, tetapi juga ketaatan, kesedaran melaksanakan perintah, menjauhi larangan serta pengawasan diri terhadap dosa dan maksiat.
 
3. Al-Quran perlu dibaca, difahami dan dihayati berterusan, kerana al-Quran adalah petunjuk kehidupan dan penerang dalam kegelapan, menjadi pembersih hati dan mendidik jiwa.
 
4. An-Nawawi dalam al-Adzkar menjelaskan bahawa zikir dan tilawah al-Quran bukan sekadar ibadah lisan, tetapi ia adalah bentuk ibadah hati yang membawa kesan yang luas dalam kehidupan seorang Muslim. Bahkan menjadi sumber ketenangan dan kekuatan dalaman.
 
5. Hadis ini menghimpunkan tiga bekalan utama seorang Mukmin:
a.     Takwa kepada Allah
b.    Membaca al-Quran
c.     Memperbanyakkan zikir
Ketiga-tiganya menjadi sumber kekuatan rohani, cahaya kehidupan dan bekalan menuju akhirat. Rasulullah SAW mendidik umat Islam supaya membina hubungan yang kuat dengan Allah melalui hati yang bertakwa, lidah yang berzikir dan jiwa yang sentiasa hidup dengan al-Quran.
 
6. Marilah kita bangunkan hati dengan takwa, hidupkan lidah dengan tilawah al-Quran dan tenangkan jiwa dengan zikirullah yang berterusan.
 

Saturday, May 30, 2026

Amalan Asas Masuk Syurga

Sabtu, 13 Zulhijjah 1447H  |  Amalan Asas Masuk Syurga
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ أَعْرَابِيًّا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ دَخَلْتُ الجَنَّةَ، قَالَ: «تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ المَكْتُوبَةَ، وَتُؤَدِّي الزَّكَاةَ المَفْرُوضَةَ، وَتَصُومُ رَمَضَانَ» قَالَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ أَزِيدُ عَلَى هَذَا، فَلَمَّا وَلَّى قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى رَجُلٍ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، فَلْيَنْظُرْ إِلَى هَذَا
 
Daripada Abu Hurairah RA bahawa seorang Arab Badwi telah datang menemui Nabi SAW lalu bertanya: "Tunjukkan kepada aku suatu amalan yang jika aku melakukannya, aku akan masuk syurga." Nabi SAW menjawab: "Kamu menyembah Allah, tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat yang difardukan, menunaikan zakat yang diwajibkan, dan berpuasa di bulan Ramadan." Lelaki itu berkata: "Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, aku tidak akan menambah apa-apa (di luar amalan ini)."Setelah lelaki itu pergi, Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang ingin melihat seorang lelaki daripada ahli syurga, maka lihatlah kepada lelaki ini."  (HR Bukhari No: 1397) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini menunjukkan asas utama untuk masuk syurga ialah dengan menunaikan rukun Islam dengan ikhlas dan istiqamah tanpa mensyirikkan Allah.
 
2.    Hadis ini menekankan pentingnya tauhid, iaitu menyembah Allah tanpa menyekutukan-Nya. Ia menjadi asas utama untuk seseorang diterima amalannya dan untuk masuk syurga.
 
3.    Menjadi kewajipan setiap Muslim menunaikan rukun Islam yang lima seperti solat, zakat dan puasa Ramadan.  Tiada jalan pintas untuk masuk syurga tanpa memenuhi kewajipan ini.
 
4.    Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menyebut bahawa hadis ini tidak menafikan amalan sunat, namun menekankan bahawa amalan fardu yang dilakukan dengan sempurna sudah mencukupi untuk mencapai syurga — bergantung kepada keikhlasan dan ketekunan seseorang.
 
5.    Nabi SAW mengiktiraf lelaki itu sebagai ahli syurga, bukan kerana banyak amalan sunatnya, tetapi kerana ketulusan dan kesempurnaan amalan fardhu yang dilaksanakan.
 
6.    Hadis ini menunjukkan bahawa jalan menuju syurga bermula dengan menjaga asas-asas utama Islam: tauhid, solat, zakat dan puasa Ramadan. Sesiapa yang melaksanakan kewajipan agama dengan ikhlas dan istiqamah mempunyai harapan besar untuk memperoleh syurga Allah SWT.
 
7.    Hadis ini juga mendidik umat Islam supaya memberi perhatian besar kepada ibadah wajib sebelum sibuk dengan perkara-perkara tambahan, kerana kewajipan adalah asas utama kejayaan seorang Mukmin di dunia dan akhirat.
 

Friday, May 29, 2026

Jangan Berbuat Zalim Dan Bakhil

Jumaat, 12 Zulhijjah 1447H  |  Jangan Berbuat Zalim Dan Bakhil
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاكُمْ وَالظُّلْمَ فَإِنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُحْشَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَالتَّفَحُّشَ وَإِيَّاكُمْ وَالشُّحَّ فَإِنَّهُ دَعَا مَنْ قَبْلَكُمْ فَاسْتَحَلُّوا مَحَارِمَهُمْ وَسَفَكُوا دِمَاءَهُمْ وَقَطَّعُوا أَرْحَامَهُمْ
 
Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian berbuat zalim, kerana kezaliman akan menjadi kegelapan pada hari kiamat di sisi Allah, janganlah berbuat keji kerana Allah tidak suka kekejian dan perbutan keji, janganlah bersifat bakhil, kerana sifat itu yang telah membinasakan orang-orang sebelum kalian, sehingga mereka menghalalkan perkara yang haram, menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturahim (kekeluargaan) mereka."  (HR Ahmad No: 9202) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Muslim dilarang melakukan kezaliman kepada dirinya dan orang lain.
 
2.    Perbuatan zalim ialah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contohnya mencuri, meninggalkan solat, menindas orang lain, mengambil hak orang lain, tidak berlaku adil, menyakiti, mencela orang lain. Perbuatan ini adalah maksiat dan dosa. Kezaliman yang paling besar adalah perbuatan syirik yang tidak diampunkan oleh Allah.
 
3.    Allah tidak suka kepada orang yang melakukan perbuatan keji atau buruk. Seorang Muslim perlu menjaga lidah dengan mengelak dari mengeluarkan perkataan kasar, mencaci, menghina dan memalukan orang lain.
 
4.    Muslim juga dilarang bersifat bakhil dan tamak. Bakhil adalah buah dan akibat dari kecintaan kepada dunia.
 
5.    Orang yang bakhil akan berusaha memiliki harta dengan apa juga cara asalkan mereka dapat dan memiliki tanpa mengira dengan cara yang halal atau haram, sanggup menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturahim.
 
6.    Sifat bakhil berpunca dari sifat tamak dan cinta dunia. Sifat ini boleh menghancurkan individu, keluarga dan Masyarakat.
 
7.    Keruntuhan umat bukan hanya kerana kelemahan fizikal atau ekonomi, tetapi kerana rosaknya hati dan akhlak.
 
8.    Hadis ini menghimpunkan tiga amaran besar dalam kehidupan manusia iaitu sifat zalim, keji dan bakhil. Ketiga-tiganya menjadi sebab kehancuran individu dan masyarakat. Rasulullah SAW mendidik umat Islam supaya membina kehidupan atas asas keadilan, akhlak mulia, kasih sayang dan pengendalian nafsu dengan baik.
 
Jauhilah sifat zalim, keji dan bakhil.
 

Thursday, May 28, 2026

Berbuat Ihsan Kepada Makhluk

Khamis, 11 Zulhijjah 1447H   |   Berbuat Ihsan Kepada Makhluk

عَنْ شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Daripada Syadad bin Aus, sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada segala sesuatu, jika kalian membunuh maka bunuhlah secara baik, dan jika kalian menyembelih maka sembelihlah dengan cara yang paling baik, dan hendaklah salah seorang dari kalian menajamkan pisaunya serta tidak menyiksa semasa menyembelihnya." (HR Muslim No: 1955) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Syariat Islam menuntut perbuatan ihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) kepada setiap makhluk di muka bumi ini termasuk haiwan.
 
2.    Seorang Muslim dituntut melakukan semua perkara dengan cara yang terbaik serta penuh adab dan tanggungjawab
 
3.    Islam melarang perbuatan kasar serta kejam walaupun terhadap haiwan apatah lagi terhadap diri juga orang lain.
 
4.    Termasuk ihsan ialah berbuat baik terhadap haiwan ternak dan belas kasih terhadapnya. Tidak boleh membebaninya diluar kemampuan binatang tersebut serta tidak menyiksa ketika menyembelihnya (antaranya dengan memastikan menyembelih menggunakan senjata tajam serta dengan sekali sembelihan). Penyembelihan dilaksanakan penuh rahmah, adab dan ihsan.
 
5.    Marilah kita berbuat ihsan dengan melakukan sesuatu urusan dengan menyempurnakan sebaik mungkin, bukan sekadar melepaskan batok ditangga atau menzaliminya.
 
6.    Hadis ini merupakan panduan agung tentang konsep ihsan dalam Islam. Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya melakukan setiap perkara dengan penuh rahmat, adab dan kesempurnaan, termasuk ketika menyembelih haiwan. Ia menunjukkan bahawa Islam ialah agama yang menegakkan nilai kasih sayang dan menolak kekejaman terhadap semua makhluk. Seorang Muslim sejati ialah mereka yang mempraktikkan ihsan dalam seluruh aspek kehidupannya.
 

Wednesday, May 27, 2026

Tempoh Makan Daging Korban

Rabu, 10 Zulhijjah 1447H   |   Tempoh Makan Daging Korban
 
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَابِسٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ أَنَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تُؤْكَلَ لُحُومُ الْأَضَاحِيِّ فَوْقَ ثَلَاثٍ قَالَتْ مَا فَعَلَهُ إِلَّا فِي عَامٍ جَاعَ النَّاسُ فِيهِ فَأَرَادَ أَنْ يُطْعِمَ الْغَنِيُّ الْفَقِيرَ وَإِنْ كُنَّا لَنَرْفَعُ الْكُرَاعَ فَنَأْكُلُهُ بَعْدَ خَمْسَ عَشْرَةَ قِيلَ مَا اضْطَرَّكُمْ إِلَيْهِ فَضَحِكَتْ قَالَتْ مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ خُبْزِ بُرٍّ مَأْدُومٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ حَتَّى لَحِقَ بِاللَّه
 
Daripada 'Abdurrahman bin Abis dari bapanya ia berkata; "Aku bertanya kepada Aisyah RA; 'Adakah Nabi SAW melarang untuk makan daging sembelihan hari raya Adha lebih dari tiga hari? ' Aisyah RA menjawab; "Baginda tidak melakukan itu kecuali pada tahun kesulitan (manusia kelaparan), sehingga baginda berharap orang kaya memberi makan kepada orang miskin. Dan sungguh, kami sendiri pernah menyimpan haiwan korban lalu memakannya setelah lima belas hari." Lalu ditanya kepada Aisyah; 'Apa yang mendorong kalian berbuat demikian? ' Maka Aisyah tertawa, lalu ia berkata; 'Keluarga Muhammad SAW tidak pernah kenyang kerana makan roti gandum beserta lauk selama tiga hari berturut-turut sehingga baginda wafat bertemu Allah.' (HR Bukhari No: 5003) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Hukum Islam mengambil kira keadaan semasa. Larangan sementara dalam hadis ini menunjukkan syariat melihat kepada maslahah Masyarakat.
 
2.    Daging korban sebahagian untuk disedekahkan dan 1/3 boleh diambil untuk dimasak dan dimakan serta boleh juga disimpan.
 
3.    Daging korban boleh disimpan lebih dari 3 hari tasyriq (tiada batas maksimum). Ia merupakan pendapat majoriti ulama dari kalangan sahabat, tabi’in serta empat imam mazhab.
 
4.    Rasulullah SAW tidak berlebihan dalam bab makan, hingga boleh berjimat memakan daging korban secara berdikit dalam tempoh yang agak lama.
 
5.    Orang mukmin makannya apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Elakkan berlebihan dalam makan dan minum. Seperti dalam hadis lain:
 
بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِه
 
“Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah 1/3 untuk makanannya, 1/3 untuk minumannya, dan 1/3 untuk nafasnya.” (HR Tirmidzi No: 2380)
 
6.    Hadis ini menjelaskan bahawa larangan menyimpan daging korban lebih tiga hari pada asalnya bertujuan membantu masyarakat yang mengalami kebuluran, bukan larangan mutlak untuk selama-lamanya. Ia menunjukkan kebijaksanaan syariat Islam dalam menjaga kebajikan sosial dan keperluan masyarakat.
 
Semoga kita bersifat RAHMAH dengan mengagihkan bahagian korban sebaiknya dan tidak berlebihan dalam makan dan minum.
 

Tuesday, May 26, 2026

Sembelihan Korban Selepas Solat Sunat Hari Raya

Selasa, 9 Zulhijjah 1447H  |  Sembelihan Korban Selepas Solat Sunat Hari Raya
 
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلَاةِ فَإِنَّمَا ذَبَحَ لِنَفْسِهِ وَمَنْ ذَبَحَ بَعْدَ الصَّلَاةِ فَقَدْ تَمَّ نُسُكُهُ وَأَصَابَ سُنَّةَ الْمُسْلِمِينَ
 
Daripada Anas bin Malik RA, dia berkata; Nabi SAW bersabda: Barang siapa menyembelih (binatang korban) sebelum solat (sunat hari raya Aidil Adha), maka sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri, dan barang siapa menyembelih setelah solat (sunat hari raya), maka ibadah korbannya telah sempurna dan bertindak sesuai dengan sunnah kaum Muslimin." (HR Bukhari No: 5120) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Penyembelihan korban adalah amal yang lebih disukai Allah pada Hari Raya Eidul Adha dan hari-hari tasyrik (11, 12 & 13 Zulhijjah) daripada setiap Muslim yang berkemampuan.
 
2.    Mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban hendaklah melakukan sembelihan selepas solat sunat Eidul Adha.
 
3.    Sembelihan Korban yang dilaksanakan sebelum solat sunat hari raya tidak menjadi ibadat korban, malah hanya akan menjadi sembelihan untuk makan biasa. 
 
4.    Hadis ini menjelaskan bahawa ibadah korban mempunyai waktu tertentu yang mesti dipatuhi. Penyembelihan sebelum solat Aidiladha tidak dikira sebagai korban, manakala yang dilakukan selepas solat menepati sunnah Rasulullah SAW. Ia mengajar umat Islam bahawa setiap ibadah mesti dilaksanakan dengan ilmu, disiplin dan kepatuhan kepada syariat agar diterima oleh Allah SWT.
 
5.    Justeru itu, laksanakanlah ibadah korban dengan memastikan waktu sembelihan selepas solat sunat Eidul Adha pada 10hb Zulhijjah sehingga hari tasyrik terakhir 13hb sebelum waktu maghrib.
 
6.    Laksanakan korban dengan binatang yang terbaik berdasarkan kemampuan kewangan di samping cara penyembelihan dan pengagihan daging yang sempurna.
 
Berusahalah melakukan sembelihan korban pada waktu yang ditetapkan di samping dilaksanakan dengan sempurna, mengambil kira SOP yang ditetapkan di satu-satu kawasan. Moga Allah menerima amal ibadah korban kita.
 

Monday, May 25, 2026

Sunat Takbir Raya Bermula 9hb Zulhijjah

Isnin, 8 Zulhijjah 1447H  |   Sunat Takbir Raya Bermula 9hb Zulhijjah
 
عَنْ عَلِيِّ وَعَمَّارٍ رضي الله عنهما أَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلاةَ الْغَدَاةِ  وَيَقْطَعُهَا صَلاةَ الْعَصْرِ  آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ
 
Daripada Ali dan Ammar RA: Sesungguhnya Nabi SAW bertakbir bermula pada hari Arafah (9hb Zulhijjah) selepas solat Subuh dan Baginda memberhentikannya selepas solat Asar hari Tasyriq yang akhir (13hb Zulhijjah). (HR al-Hakim  No: 1111) Status : Isnad Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Takbir adalah syiar penting Aidiladha dan hari-hari Tasyrik yang perlu dihidupkan oleh umat Islam.
 
2.    Bagi yang tidak mengerjakan haji, takbir raya bagi hari raya Eidil Adha bermula daripada Subuh 9hb Zulhijjah sehingga waktu Asar hari Tasyriq yang terakhir (13hb Zulhijjah) berdasarkan pendapat Imam al-Nawawi yang dipilih dalam Kitab al-Tashih, al-Majmuk, al-Azkar (Asah) dan Raudhah al-Talibin (Azhar).
 
3.    Takbir ini dipanggil Takbir Muqayyad iaitu takbir yang dilafazkan mengiringi solat sama ada solat fardu, sunat, tunai, qada’ dan solat jenazah.
 
4.    Sunat terus bertakbir sebaik sahaja selesai solat setiap solat bermula solat subuh 9hb Zulhijjah sehingga selepas solat Asar 13hb Zulhijjah.
 
5.    Sunat mengkemudiankan zikir selepas Takbir Muqayyad.
 
6.    Hari Arafah dan Hari Tasyrik ialah hari ibadah, hari zikir  dan hari membesarkan Allah. Mengamalkan Takbir Muqayyad adalah menghidupkan sunnah Rasulullah dan para sahabat.
 
7.    Hadis ini menunjukkan sunnah Rasulullah SAW dalam menghidupkan takbir pada Hari Arafah dan hari-hari Tasyrik. Takbir bukan sekadar lafaz di lisan, tetapi lambang pengagungan terhadap Allah dan penghayatan terhadap syiar Islam.
 
Marilah kita bersedia untuk melaksanakan Takbir Muqayyad dan Takbir Mursal (takbir bermula terbenam matahari masuknya hari raya).
 

Sunday, May 24, 2026

Hari Arafah Diampunkan Dosa dan Waktu Doa Mustajab

Ahad, 7 Zulhijjah 1447H  |  Hari Arafah  Diampunkan Dosa dan Waktu Doa Mustajab
 
عَنْ ابْنِ الْمُسَيَّبِ قَالَ قَالَتْ عَائِشَةُ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِي بِهِمْ الْمَلَائِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلَاءِ
 
Daripada Ibnul Musayyab ia berkata, Aisyah RA berkata; Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada suatu hari yang lebih ramai Allah membebaskan hamba daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah mendekati mereka (dengan rahmat-Nya), kemudian Allah membanggakan mereka (menunjukkan keutamaan) kepada para malaikat, lalu berfirman: ‘Apakah yang diinginkan oleh mereka ini? (HR Muslim No. 3354). Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Antara keutamaan Hari Arafah ialah mendapat keampunan Allah. Ibnu Rajab Al Hambali mengatakan, “Hari Arafah adalah hari pembebasan dari api neraka. Pada hari itu, Allah akan membebaskan siapa saja yang sedang wukuf di Arafah dan penduduk negeri kaum muslimin yang tidak melaksanakan wukuf. Oleh kerana itu, hari setelah hari Arafah iaitu hari Idul Adha adalah hari raya bagi kaum muslimin di seluruh dunia. Baik yang melaksanakan haji dan yang tidak melaksanakannya sama-sama akan mendapatkan pembebasan dari api neraka dan ampunan pada hari Arafah.
 
2.    Selain daripada tuntutan berpuasa sunat pada hari arafah bagi yang tidak menunaikan ibadat haji, digalakkan juga untuk berdoa kerana hari Arafah antara sebaik-baik waktu untuk berdoa.
 
عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
 
Dari ‘Amr bin Syu’aib dari ayahnya dari datuknya, Nabi SAW bersabda: Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah: "LAA ILAAHA ILLALLAHU WAHDAHUU LAA SYARIIKALAHU LAHUL MULKU WALAHUL HAMDU WAHUWA 'ALAA KULLI SYAI'IN QADIIR (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi–Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu)”. [HR. Tirmizi no. 3509]. Status: Hadis Hasan.
 
3.    Bagi mereka yang pergi menunaikan ibadat Haji, antara waktu dan tempat doa mustajab adalah pada hari Arafah dan di padang Arafah bermula selepas gelincir matahari 9hb Zulhijjah hingga terbit fajar 10hb Zulhijjah.
 
4.    Syaikh Sholih Al Munajjid: Mustajabnya doa tersebut adalah umum, sama ada yang menunaikan ibadat haji ataupun yang tidak menunaikan haji disebabkan  keutamaan yang ada adalah keutamaan hari arafah. Sedangkan yang berada di Arafah (yang sedang wukuf pada tanggal 9 Dzulhijjah), ia berarti menggabungkan antara keutamaan waktu dan tempat.
 
5.    Antara zikir yang paling baik dilafazkan dihari Arafah ialah 
 
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
 
Rebutlah peluang kelebihan hari wukuf di arafah dengan puasa sunat (bagi yang tidak mengerjakan ibadat haji) dan perbanyakan doa dan zikir.
 
6.    Hadis ini menggambarkan kemuliaan dan keagungan Hari Arafah sebagai hari rahmat, pengampunan dan pembebasan daripada api neraka. Allah SWT memuliakan hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh beribadah dan memohon keampunan pada hari tersebut.
 
7.    Ia menjadi peringatan kepada umat Islam agar merebut peluang Hari Arafah dengan memperbanyakkan doa, zikir, taubat dan amal soleh, kerana tiada hari yang lebih luas rahmat dan keampunan Allah selain daripadanya.
 

Saturday, May 23, 2026

Puasa Sunat Arafah

Sabtu, 6 Zulhijjah 1447H  |  Puasa Sunat Arafah
 
عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ  أَهْلُ الْعِلْمِ صِيَامَ يَوْمِ عَرَفَةَ إِلَّا بِعَرَفَة
 
Daripada Abu Qatadah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Puasa pada hari 'Arafah, sesungguhnya aku mengharapkan daripada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga setahun sesudahnya." Para ulama mensunnahkan puasa 'Arafah bagi selain orang yang berada di 'Arafah (bukan Jemaah haji yang wuquf di Arafah). (Sunan Tirmizi No: 680) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Disunahkan berpuasa pada hari Arafah (9hb Zulhijjah) bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji
 
2.    Puasa pada hari Arafah mempunyai kelebihan yang sangat besar. Orang yang berpuasa pada hari Arafah akan mendapat ganjaran keampunan dosa setahun sebelum dan setahun yang akan datang.
 
3.    Menurut ulama, yang dimaksudkan pengampunan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang ialah dosa-dosa kecil. Adapun dosa besar memerlukan taubat yang khusus.
 
4.    Ganjaran puasa sunat Arafah seolah-olah berpuasa selama dua tahun.
 
عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كَلِمَةً تُشْبِهُ عَدْلَ ذَلِكَ قَالَ صَوْمُ عَرَفَةَ بِصَوْمِ سَنَتَيْنِ وَصَوْمُ عَاشُورَاءَ بِصَوْمِ سَنَة
 
Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi SAW mengucapkan kata-kata yang mirip dengan kesamaannya, ia berkata; Puasa 'Arafah seperti puasa dua tahun dan puasa 'Asyura` sama seperti puasa setahun. (Musnad Ahmad No: 21568)
 
5.    Rasulullah SAW dan para sahabat tidak menunaikan puasa Arafah ketika melaksanakan ibadah Haji, namun boleh sahaja untuk berpuasa.
 
سُئِلَ ابْنُ عُمَرَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ بِعَرَفَةَ فَقَالَ حَجَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ أَبِي بَكْرٍ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ عُمَرَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ عُثْمَانَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَأَنَا لَا أَصُومُهُ وَلَا آمُرُ بِهِ وَلَا أَنْهَى عَنْهُ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ وَقَدْ رُوِيَ هَذَا الْحَدِيثُ أَيْضًا عَنْ ابْنِ أَبِي نَجِيحٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ رَجُلٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ وَأَبُو نَجِيحٍ اسْمُهُ يَسَارٌ وَقَدْ سَمِعَ مِنْ ابْنِ عُمَر
 
Ibnu Umar RA ditanya tentang puasa Arafah di 'Arafah, dia menjawab, saya pernah melaksanakan haji bersama Nabi SAW dan dia tidak puasa di Arafah, saya juga pernah haji bersama Abu Bakar beliau juga tidak puasa 'Arafah, pernah juga bersama Umar dan dia tidak berpuasa, demikian halnya bersama 'Utsman, beliau juga tidak berpuasa dan saya tidak berpuasa juga tidak menyuruh orang lain untuk berpuasa dan tidak juga melarangnya. (HR Tirmizi No: 682) Status: Isnad Sahih
 
6.    Hadis ini menunjukkan kelebihan luar biasa puasa Hari Arafah sebagai salah satu amalan terbaik dalam sepuluh awal Zulhijjah. Dengan rahmat Allah, puasa ini menjadi sebab penghapusan dosa selama dua tahun bagi orang yang melakukannya dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Ia juga mendidik umat Islam agar sentiasa merebut peluang hari-hari yang mulia untuk memperbanyakkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
 
Marilah kita mengambil kesempatan untuk melaksanakan puasa sunat hari Arafah pada Selasa ini 26hb Mei 2026 bagi kita di Malaysia. Ayuh ingatkan ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan kita untuk merebut peluang yang hanya datang setahun sekali. Tahun depan belum tentu kita menemuinya.
 

Friday, May 22, 2026

Keutamaan Arafah

Jumaat, 5 Zulhijjah 1447H |  Keutamaan Arafah
 
عن أبي هريرة  رضي الله عنه  عن رسول الله  صلى الله عليه وسلم - قال:  إنَّ اللهَ يُبَاهِي بِأَهْلِ عَرَفَات أهْلَ السَّمَاءِ، فَيَقُولُ لَهُمُ: انْظُرُوا إِلَى عِبَادي جَاءونِي شُعْثاً غُبْراً
 
Daripada Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah berbangga dengan para Jemaah (ahli Arafah) yang berada di Arafah di hadapan penduduk langit (para malaikat). Lalu Allah berfirman kepada mereka: ‘Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku ini, mereka datang kepada-Ku dalam keadaan kusut masai dan berdebu.’ (HR Ahmad No 8047) Status Hadis Sahih.
 
Pengajaran:
 
1.    Mengikut Ibn Hajar, Allah membanggakan ahli Arafah bermaksud Allah memberi penghormatan dan memuliakan para jemaah haji yang hadir di Arafah dengan menyebut mereka dengan pujian kepada para malaikat-Nya.
 
2.    Hari Arafah adalah kemuncak ibadat Haji, hari yang sangat mulia dimana pada hari tersebut Allah melimpahkan rahmat dan keampunan yang sangat luas kepada hamba-hamba-Nya.
 
3.    Jemaah haji yang datang dalam keadaan "kusut masai dan berdebu" menunjukkan bahawa Allah tidak melihat rupa dan harta para Jemaah haji, tetapi keikhlasan dan pengorbanannya meninggalkan keselesaan dalam kesungguhan beribadah demi mencari keampunan Allah.
 
4.    Wukuf adalah waktu paling mustajab doa, dan hadis ini mendorong para Jemaah haji agar menghadirkan diri di Padang Arafah dengan hati yang tunduk dan penuh harap.
 
5.    Hadis ini menggambarkan keagungan Hari Arafah dan kemuliaan para jemaah haji yang hadir dengan penuh keikhlasan dan pengorbanan. Allah memuji mereka di hadapan para malaikat sebagai tanda kasih sayang dan keredaan-Nya.
 
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah

Thursday, May 21, 2026

Upah Penyembelih dan Petugas Korban

Khamis, 4 Zulhijjah 1447H  |  Upah Penyembelih dan Petugas Korban
 
عَنْ عَلِيٍّ قَالَ أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا قَالَ نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا
 
Daripada Ali RA ia berkata; "Rasulullah SAW memerintahkanku untuk mengurus penyembelihan haiwan korban Baginda, dan supaya aku menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Dan aku dilarang oleh baginda mengambil upah untuk tukang potong dari haiwan korban itu. Maka Ali berkata: Kami memberikan upah  kepada tukang sembelih  daripada wang kami sendiri." (HR Muslim No: 2320) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Antara ibadat yang dituntut pada hari Raya Eidul Adha 10 Zulhijjah dan Hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah ialah melaksanakan Ibadat korban.
 
2.    Daging serta apa-apa sahaja daripada binatang korban hendaklah disedekahkan kepada yang berhak seperti fakir miskin juga jiran tetangga.
 
3.    Memberi daging korban kepada penyembelih atau petugas sebagai upah hasil kerja mereka adalah dilarang kerana ia termasuk dalam hukum jual beli, iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja mereka.
 
4.    Imam an-Nawawi dalam Syarahnya menyebut: “Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu bahagian dari bahagian korban kepada mereka. Ia tidak dibolehkan” (9/435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut).
 
5.    Telah sepakat al-Imam al-Syafii dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafii bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan umrah serta sembelihan korban dijual. Sama ada ia korban nazar atau sunat. Hal ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih. (8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr) kecuali penerima daging korban yang miskin atau fakir.
 
6.    Hadis ini bukan melarang memberikan upah kepada para penyembelih atau pelapah. Larangan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Upah itu boleh diberikan dalam bentuk lain seperti wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban. Kerja dan tenaga seseorang itu patut dibayar upah.
 
7.    Saidina Ali menyebut: Untuk upahnya (penyembelih dan pelapah), kami ambil dari wang kami sendiri.
 
8.    Walaupun begitu, jika diberi kepada penyembelih atau petugas dari apa yang dikorban disebabkan kemiskinannya atau sebagai hadiah kerana dia jiran dan sebagainya, maka ini tidak mengapa. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)
 
9.    Antara kesalahan yang sering berlaku semasa pengurusan korban ialah mengambil daging korban tanpa izin dari empunya korban. Biasanya hal ini dilakukan oleh petugas yang terlibat dengan proses pengurusan penyembelihan. Kadang-kala mereka merasa berhak kerana menolong atau kerana AJK.
 
10.    Ada yang meletakkan bahagian yang mereka sukai itu berasingan dan mengambil apabila selesai urusan korban. Walaupun mungkin tuan empunya tidak membuat bantahan, namun itu bukan bererti dia bersetuju memberikan.  Ingatlah Firman Allah:
 
ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ
 
“Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta antara kamu dengan cara yang batil (salah)” (Surah al-Nisa: 29).
 
Justeru itu, kepada mereka yang akan menjadi petugas korban, JANGAN sekali-kali mengambil sendiri bahagian dari sembelihan korban sebagai habuan seperti kaki, kepala, ekor, perut dan lainnya melainkan yang dihadiahkan oleh orang yang berkorban atau yang diterima seperti agihan kepada penerima lain yang layak.
 

Wednesday, May 20, 2026

Taqarub Kepada Allah

Rabu, 3 Zulhijjah 1447H  |  Taqarub Kepada Allah
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً
 
Daripada Abu Hurairah RA berkata, "Nabi SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba-Ku terhadap Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingati Ku. Apabila mereka mengingati Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila mereka mengingati-Ku dalam suatu majlis, maka Aku mengingatinya dalam majlis yang lebih baik daripada mereka. Demi sekiranya mereka mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku mendekatinya sehasta, dan jika ia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta, Aku mendekatinya sedepa.  Sekiranya mereka mendatangi-Ku dalam keadaan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dalam keadaan berlari (segera)." (HR Bukhari No: 6856) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Allah memperlakukan hambanya berdasarkan sikap hamba terhadap-Nya. Jika seseorang mengingati Allah dalam dirinya, berzikir dalam hatinya, dan yakin kepada Rahmat Allah, sama ada ketika dia bersendiri atau bersama orang lain, nescaya Allah akan sentiasa mengingati hambaNya.
 
2.    Seseorang yang memuji Allah dengan bersyukur, sentiasa berdoa, bertaubat dan menjaga keimanan di khalayak ramai, pasti Allah akan bersamanya melalui Rahmat, pertolongan, penjagaan dan keberkatan-Nya. 
 
3.    Seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadat dan amal solehnya, Allah akan membalas dengan Rahmat yang lebih dekat dan lebih besar.
 
4.    Setiap amalan seseorang yang baik bertujuan mendekatkan diri kepada Allah, maka Allah akan menggandakan balasan baik kepadanya. Tambah lagi jika dilakukan pada 10 pertama Zulhijjah ini.
 
فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ ١٥٢
 
“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) –Ku” (Al-Baqarah : 152)
 
5.    Hadis qudsi ini menggambarkan keluasan rahmat, kasih sayang dan keampunan Allah SWT terhadap hamba-Nya. Ia mendidik manusia agar sentiasa bersangka baik kepada Allah, memperbanyakkan zikir dan tidak berputus asa daripada rahmat-Nya.
 
6.    Hadis ini juga menanamkan rasa dekat dengan Allah, bahawa setiap langkah kecil menuju ketaatan akan disambut dengan rahmat dan kasih sayang yang jauh lebih besar daripada-Nya.
 

Tuesday, May 19, 2026

Amalan Yang Mengatasi Jihad

Selasa,  2 Zulhijjah 1447H  |  Amalan Yang Mengatasi Jihad
 
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ"
 
Daripada Ibn Abbas RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada hari-hari yang amalan soleh  padanya paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari sepuluh ini (10 hari terawal Zulhijjah). "Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?" Baginda bersabda,"Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad dengan diri dan hartanya, kemudian dia tidak kembali (gugur syahid). (Abu Daud di dalam Bab Puasa: 2438) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Allah menyukai orang yang melakukan amal soleh pada 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah.
 
2.    Orang yang melakukan amal soleh dalam tempoh ini sama ada amalan wajib mahupun sunat, dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad kecuali orang yang pergi berjihad itu gugur syahid.
 
3.    Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari awal Zulhijjah ini berbanding hari lain ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah, korban, haji, doa dan zikir. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain (Fath al-Bari).
 
4.    Amal soleh pada hari-hari awal 10 Zulhijjah tidak terbatas. Ia meliputi solat, puasa (kecuali 10 Zulhijjah), sedekah, bacaan al-Quran, zikir, berdoa, bertaubat, tahmid, takbir, tahlil, amar makruf nahi mungkar, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan kepada fakir miskin dan seumpamanya.
 
5.    Hadis ini menegaskan kelebihan luar biasa sepuluh awal Zulhijjah sehingga amal soleh padanya lebih dicintai oleh Allah berbanding waktu-waktu lain. Ia adalah peluang besar untuk meningkatkan ibadah, memperbanyakkan zikir dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
 

Monday, May 18, 2026

Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah

Isnin, 1 Zulhijjah 1447H  |  Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah
 
عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
 
Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini (sepuluh awal Zulhijjah). Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid. (Musnad Ahmad No: 5879) Status: Hadis Hasan
 
Pengajaran:
 
1.    Perbanyakkan amal soleh setiap waktu di samping hari tertentu antaranya "Hari-hari yang sepuluh" iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah (1 hb  Zulhijjah hingga 10hb Zulhijjah).  Firman Allah dalam surah al-Fajr 1-3 juga menyatakan;
 
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْر
 
“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”.
 
Imam At-Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh hari awal Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir. (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Quran:7/514)
 
Allah telah bersumpah dengannya (malam yang sepuluh). Bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil tentang besarnya manfaat (sepuluh hari tersebut).
 
2.    Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zulhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibnu Kathir: 8/413)
 
3.    Allah mengasihi kepada hambaNya yang memperbanyak amalan soleh pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah (1hb hingga 10hb Zulhijjah).
 
4.    Bulan Zulhijjah ini di dalamnya ada kelebihan tertentu untuk diraih bermula dari 1hb Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah dengan pelbagai amal soleh termasuk puasa sunat setiap hari (1 - 9), puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat hari Arafah, perbanyakkan zikir – tahlil, takbir dan tahmid, tilawah al-Quran, doa, bersedekah, menunaikan ibadah haji juga melakukan ibadah korban, berdakwah serta pelbagai amal soleh yang lain.
 
5.    Rebutlah peluang melakukan pelbagai amalan sunat menjelang Awal Zulhijjah. Kita mulakan dengan amalan puasa sunat Isnin atau Khamis atau paling tidak 9hb Zulhijjah (puasa sunat hari Arafah) di samping perbanyakkan zikir dengan kalimah tahlil, tahmid dan takbir.
 
6.    Hadis ini menunjukkan betapa besarnya kelebihan sepuluh awal Zulhijjah sehingga amalan pada hari-hari tersebut sangat dicintai oleh Allah SWT. Ia adalah musim ibadah yang perlu dimanfaatkan dengan memperbanyakkan amal soleh dan zikir.
 

Sunday, May 17, 2026

Peserta Korban Dilarang Memotong Kuku dan Rambut

Ahad, 29 Zulkaedah 1447H  |  Peserta Korban Dilarang Memotong Kuku dan Rambut
 
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ
 
Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, dan salah seorang daripada kamu ingin melakukan ibadah korban, maka hendaklah dia menahan diri daripada memotong rambut dan kukunya (sehingga selesai korban)."  (Sahih Muslim No: 3655) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dilarang (makruh)  menggunting rambut, mencukur, mencabut sebarang bulu di badan dan memotong kukunya bermula dari tarikh 1hb Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.
 
2.    Menurut Imam al-Nawawi larangan di dalam hadis ini bermaksud makruh memotongnya. Larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau bulu-bulu lain di bahagian anggota badan yang lain." (Syarah Muslim  Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139)
 
3.    Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).
 
Ibn Qudamah r.h berkata: "Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada Allah. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." (Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96)
 
4.    Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian mazhab Hanbali menyatakan makruh hukumnya memotong kuku atau rambut yang ada pada badan bermula 1hb Zulhijjah hingga ibadah korban dilaksanakan.
 
5.    Mengikut Imam Nawawi Rahimahullah dalam Syarah-nya, antara hikmah larangan memotong kuku dan menggunting rambut bagi orang yang ingin melaksanakan korban ialah supaya anggota yang terdapat pada badannya itu semuanya akan dibebaskan daripada api neraka.
 
6.    Para ulama lain menyebut antara hikmah larangan memotong kuku dan menggunting rambut kerana ia menyerupai sebahagian keadaan orang yang berihram serta simbol penyerahan diri kepada Allah dengan menjaga seluruh anggota sehingga selesai ibadah korban.
 
Jom amalkan sunnah dengan tidak memotong kuku dan rambut bermula 1hb Zulhijjah (dijangka pada 18hb Mei) bagi peserta korban  sehingga ibadat korban dilaksanakan.
 

Saturday, May 16, 2026

Guru Mempermudahkan Pengajaran

Sabtu, 28 Zulkaedah 1447H  |  Guru Mempermudahkan Pengajaran
 
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِّمُوا وَيَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ
 
Daripada Ibnu Abbas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "hendaklah kalian mengajar (ilmu), mempermudah dan jangan menyukarkan. Apabila engkau marah, maka diamlah. Apabila engkau marah maka diamlah. Apabila engkau marah maka diamlah." (HR Ahmad No: 2556) Status Hadis Hasan
 
Pengajaran:
 
1.    Berusahalah setiap kita menjadi guru, pendakwah, pendidik bagi menyampaikan ilmu untuk membimbing orang lain menjadi insan soleh. Ilmu bukan untuk disimpan tetapi untuk diamal dan disampaikan kepada orang lain.
 
2.    Sebagai guru, kita perlu berhikmah dengan mempermudahkan pengajaran sehingga orang yang diajar dapat memahami dan beramal dengannya. Gunakan pendekatan yang mudah difahami, tidak membebankan dan sesuai dengan pelajar. Jangan menyukarkan.
 
3.    Imam al-Nawawi menyatakan bahawa arahan "ajarkanlah dan mudahkanlah" adalah prinsip asas dalam dakwah dan pendidikan. Islam menyeru kepada penyampaian yang lembut, mudah difahami dan tidak membebankan.
 
4.    Sebagai guru, kita berhadapan dengan pelbagai karenah dan perangai anak murid atau orang yang kita sampaikan dan nasihati. Kesabaran adalah perlu ketika berhadapan dengan pelbagai ujian dan perangai murid.
 
5.    Rasulullah SAW mengulang tiga kali agar kita "DIAM" jika kita marah. Ulangan frasa ini sebanyak tiga kali menunjukkan betapa pentingnya kawalan diri ketika marah. Sebarang tindak balas akibat dari marah akan memudaratkan kita dan orang lain.
 
6.    Marah adalah satu sifat semula jadi manusia, namun Islam mengajar kita untuk mengawal emosi itu dengan bijak, antaranya dengan berdiam diri. Diam ketika marah membantu menenangkan diri dan mencegah reaksi berlebihan.
 
7.    Imam al-Ghazali pula menekankan bahawa pengendalian marah adalah kunci kepada akhlak mulia, dan diam ketika marah adalah cara untuk mencegah lidah daripada mengucap kata-kata yang dilarang seperti celaan atau fitnah.
 
Ayuh menjadi guru yang penuh hikmah dengan penyampaian ilmu yang  mudah difahami orang lain serta tidak memberatkan. Guru Bitara sentiasa bersabar dan tenang menghadapi karenah anak muridnya.
 

Friday, May 15, 2026

Guru Didoakan Makhluk Di Langit, Bumi dan Lautan

Jumaat, 27 Zulkaedah 1447H  |  Guru Didoakan Makhluk Di Langit, Bumi dan Lautan
 
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ قَالَ ذُكِرَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلَانِ أَحَدُهُمَا عَابِدٌ وَالْآخَرُ عَالِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِي عَلَى أَدْنَاكُمْ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ
 
Daripada Abu Umamah Al Bahili RA ia berkata; " Disebutkan di sisi Rasulullah SAW tentang dua orang lelaki: salah seorangnya adalah ahli ibadah (abid) dan yang seorang lagi adalah orang berilmu (alim), kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Keutamaan seorang alim ke atas seorang abid adalah seperti keutamaanku ke atas orang yang paling rendah kedudukannya di antara kalian ". Kemudian baginda melanjutkan sabdanya: "Sesungguhnya Allah, para Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi bahkan semut yang ada di dalam sarangnya juga ikan dilautan, semuanya akan berselawat (mendoakan kebaikan) ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia." (HR Tirmizi No: 2609) Status: Hadis Hasan
 
Pengajaran:
 
1.    Kedudukan orang berilmu yang beramal adalah lebih utama daripada seorang ahli ibadah. Ahli ibadah adalah mereka yang beribadah secara individu, seperti solat, puasa, dan zikir. Mereka beribadah hanya untuk amalan peribadi tanpa memberi manfaat besar kepada orang lain. Sedangkan Ahli ilmu adalah mereka yang tidak hanya mengamalkan ilmu mereka sendiri, tetapi juga menyebarkan ilmu dan mengajar kepada orang lain kebaikan.
 
2.    Ibn Rajab al-Hanbali dalam Fadhl 'Ilm al-Salaf menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan keutamaan ilmu dan pengajaran ilmu kerana orang yang berilmu bukan sahaja beramal untuk dirinya, malah menyampaikan manfaat kepada orang lain. Ilmu membimbing ibadah agar dilaksanakan dengan betul dan sah.
 
3.    Menurut Imam al-Mubarakfuri, seorang alim lebih utama kerana manfaat ilmunya meluas kepada masyarakat, bukan hanya untuk dirinya sendiri.
 
4.    Guru yang memiliki ilmu dan mengajar serta membimbing orang lain untuk menjadi insan soleh dan bertaqwa akan didoakan kebaikkan oleh semua makhluk di langit, bumi dan di dalam air.
 
5.    Fudlail bin Iyadl berkata; "Seorang alim yang mengamalkan ilmunya dan mengajarkan ilmunya akan dipanggil dengan kebesaran oleh para Malaikat yang ada di langit."
 
6.    Nabi SAW membandingkan keutamaan seorang alim dengan ahli ibadat adalah seperti keutamaannya berbanding orang yang paling rendah di kalangan sahabatnya. Hal ini menunjukkan betapa tinggi kedudukan orang yang berilmu dalam Islam.
 
7.    Hadis ini sangat penting sebagai dorongan untuk kita mencari ilmu dan berusaha mengajarkan kebaikan kepada orang lain, kerana ia adalah satu amalan yang bukan hanya memberi manfaat di dunia tetapi juga akan memberi ganjaran yang sangat besar di sisi Allah.
 

Thursday, May 14, 2026

Guru Bitara Nadi Negara

Khamis, 26 Zulkaedah 1447H  |  Guru Bitara Nadi Negara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: "Barang siapa mengajak kepada petunjuk (kebaikan), maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa, sebanyak dosa yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun." (HR Muslim No: 4831) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sesiapa sahaja yang berperanan mengajak, menasihat serta membimbing kepada petunjuk (kebaikan merangkumi amal soleh, akhlak mulia, ilmu yang benar juga iman) mereka akan mendapat ganjaran pahala.

2.  Imam al-Nawawi dalam syarah Sahih Muslim menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan betapa besar pahala orang yang menyampaikan kebenaran, kerana setiap orang yang mendapat manfaat daripada ajarannya akan turut memberikan pahala berterusan kepadanya.

3.  Guru yang berperanan mendidik, membimbing dan menasihat orang lain, perlu sentiasa melengkapkan dirinya dengan ilmu yang benar sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat. Guru yang memiliki kepakaran serta unggul, akan mampu mendidik dan membentuk insan, itulah Guru Bitara.

4.  Seorang Guru yang unggul akan sentiasa berusaha gigih dan bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu kepada orang lain tanpa mengira penat lelah bagi melahirkan generasi baharu yang berilmu dan memberi impak kepada kehidupan masyarakat dan negara.

5.  Guru Muslim yang menyampaikan, mendidik dan mengajar sesuatu ilmu yang benar, dia akan mendapat ganjaran pahala sama seperti pahala orang yang beramal dengan apa yang telah diajarkannya itu.

6.  Semakin ramai bilangan pelajar yang dibimbing dan diajar melakukan perkara yang baik dan bermanfaat, semakin banyak pahala yang diperolehi secara berterusan.

7.  Orang yang mengajar, membimbing dan menunjukkan yang buruk dan mungkar, dia akan memperolehi ganjaran dosa sebanyak orang yang mengikuti dan beramal dengannya.

8.  Dalam konteks hari ini, menyebarkan maklumat yang salah, maksiat, fitnah atau pengaruh buruk di media sosial boleh menyebabkan dosa berpanjangan, seperti yang digambarkan dalam hadis ini.

9.  Sebagai seorang Muslim, kita harus berhati-hati dengan apa yang ditulis dan forward, kerana kita boleh menjadi penyebab kepada seseorang untuk mengikuti kebaikan atau keburukan.

10.  Hadis ini mengingatkan bahawa tindakan manusia, baik atau buruk, boleh memberi kesan berterusan walaupun selepas kematiannya, sama seperti konsep dalam hadis tentang amalan yang tidak terputus.

Marilah kita merebut peluang membuat simpanan deposit amal yang berterusan untuk akhirat kita dengan menyampaikan ilmu melalui pelbagai medium termasuk menggunakan media sosial seperti Tiktok, FB, WhatsApp, Twitter dan sebagainya. Jadilah kita: Guru Bitara Nadi Negara -Guru cemerlang yang menjadi tunjang utama dan penggerak kehidupan sebuah negara, kerana merekalah yang membentuk generasi, membina akhlak, serta menentukan masa depan bangsa dan negara.


Wednesday, May 13, 2026

Ganjaran Pahala Berterusan

Rabu, 25 Zulkaedah 1447H  |  Ganjaran Pahala Berterusan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya." (HR Muslim No: 3084) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim bergantung dengan amal yang mereka lakukan semasa hidup. Kematian bukan penamat pahala. Ada amalan yang pahalanya terus mengalir walaupun setelah seseorang itu meninggal dunia.

2.  Hadis ini menerangkan amalan yang dilakukan oleh seorang Muslim semasa hidup akan berterusan mengalir pahalanya walaupun dia telah meninggal iaitu:

a.  Sedekah jariah yang dilakukan semasa hidup sama ada berbentuk wakaf, derma, pemberian, hadiah dan sebagainya. Contohnya untuk derma pembinaan masjid, untuk Pendidikan, menyediakan sumber air. Selagi ia dimanafaatkan oleh makhluk sama ada manusia, binatang mahupun tumbuhan, ganjaran pahalanya akan tetap berterusan.

b.  Ilmu bermanfaat yang diajar sama ada ilmu agama mahupun ilmu dunia, yang digunakan untuk kebaikan manusia juga kemaslahatan hidup termasuk penghasilan buku, artikel, juga dalam bentuk elektronik seperti laman sesawang, FB, telegram, whatsapp.    Selagi ilmu tersebut diamalkan atau faedahnya dimanfaatkan, maka ganjaran pahala akan diperolehi oleh mereka yang menyampaikan atau yang memulakan.

c.  Anak solleh yang sentiasa berbuat kebaikan dan mendoakan rahmat serta keampunan kepada kedua ibu bapa.

3.  Kita digalakkan untuk melabur dalam amalan yang berterusan (sama ada sedekah jariah, ilmu bermanfaat juga mendidik anak yang soleh) semasa hidup.

4.  Rancanglah kehidupan ini berorientasikan akhirat. Hadis ini mendidik kita agar merancang kehidupan dengan pandangan jauh, bukan hanya untuk dunia, tetapi untuk bekalan selepas mati. Binalah legasi kebaikan yang berterusan hingga ke akhirat.

5.  Jazakumullahhu khairan katsira kepada guru sama ada yang mengajar di Nurseri, Tadika, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Madrasah, Masjid dan Surau, Institusi Pengajian Tinggi seperti Kolej, IPG, dan  Universiti. Juga kepada setiap individu yang menyampaikan ilmu yang bermanfaat.

Semoga usaha para penyampai ilmu yang bermanfaat termasuk dengan tulisan, juga menggunakan media sosial akan menjadi penerus amal yang mendatangkan ganjaran pahala berterusan walaupun setelah meninggal dunia.


Tuesday, May 12, 2026

Amal Yang Disukai Allah Pada Eidul Adha

Selasa, 24 Zulkaedah 1447H  |  Amal Yang Disukai Allah Pada Eidul Adha

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Daripada Aishah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam yang lebih disukai Allah pada Hari Edul Adha selain menyembelih korban. Sesungguhnya binatang itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku, dan bulunya. Dan sesungguhnya darah korban lebih dahulu menitik di satu tempat di sisi Allah sebelum ia menitik ke bumi. Oleh itu elokkan dirimu dengan Ikhlas melakukannya” (Sunan Tirmizi No:1413) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Hari Raya Korban (Eidul Adha) semakin hampir. Amal yang paling Allah sukai pada Hari Raya Eidul Adha daripada setiap Muslim ialah melaksanakan ibadah korban berbanding amalan sunat yang lain.

2.  Mereka yang melaksanakan ibadah korban ini di hari akhirat nanti akan datang binatang yang dikorbankan berserta tanduk, kuku dan bulunya sebagai saksi ibadat yang telah mereka laksanakan semasa di dunia dengan Ikhlas.

3.  Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa ia juga menunjukkan kesempurnaan pahala yang diperoleh — bukan setakat ibadah biasa, tetapi ibadah yang datang dengan bukti nyata pada hari kiamat. Dimana setiap bahagian haiwan korban akan menjadi pahala dan saksi kepada pelakunya di akhirat.

4.  Ibadah Korban yang ikhlas dilaksanakan oleh Muslim, akan diterima Allah dan diredaiNya sebelum darahnya menitik ke bumi. Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan bahawa ini menunjukkan Allah sangat suka kepada ibadah ini kerana ia menggabungkan keikhlasan, pengorbanan harta, dan menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim a.s.

5.  Justeru itu, laksanakanlah ibadah korban dengan memastikan binatang yang terbaik berdasarkan kemampuan kewangan, cara penyembelihan dan pengagihan daging yang sempurna.

6.  Sunnah berkorban perlu terus dihidupkan, terutamanya dalam masyarakat yang semakin melupakan erti pengorbanan sebenar. Jom daftar untuk menyertai ibadat korban.


Monday, May 11, 2026

Hajarul Aswad

Isnin, 23 Zulkaedah 1447H  |   Hajarul Aswad

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: الْحَجَرُ الْأَسْوَدُ يَاقُوتَةٌ بَيْضَاءُ مِنْ يَاقُوتِ الْجَنَّةِ، وَإِنَّمَا سَوَّدَتْهُ خَطَايَا الْمُشْرِكِينَ، يُبْعَثُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِثْل أُحُدٍ يَشْهَدُ لِمَنِ اسْتَلَمَهُ وَقَبَّلَهُ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا

Daripada Ibn ‘Abbas RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Hajar Aswad adalah permata putih daripada permata syurga. Ia menjadi hitam disebabkan dosa-dosa orang musyrik. Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan sebesar Bukit Uhud dan akan menjadi saksi bagi sesiapa yang menyentuh dan menciumnya di dunia.” (HR Ibnu Huzaimah No 2734) Status Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Hajar Aswad berasal dari syurga, dan asal warnanya adalah putih bersih, seperti mana yang disebut dalam hadis ini. Menurut Imam al-Qurtubi, perubahan warna kepada hitam itu bukan disebabkan sifat fizikalnya, tetapi kerana kesan dosa-dosa manusia, khususnya golongan musyrikin yang menyentuhnya dengan penuh dosa dan kekufuran.

2.  Menyentuh dan mencium Hajar Aswad adalah salah satu bentuk ibadah yang menunjukkan penghormatan kepada syiar Islam yang ditetapkan oleh Allah dan diamalkan oleh Rasulullah SAW.

3.  Hadis ini mengajar bahawa dosa boleh memberi kesan, bukan hanya secara rohani, tetapi juga pada fizikal  seperti Hajar Aswad yang asalnya putih tetapi menjadi hitam kerana dosa.

4.  Umat Islam diajar agar mengikut sunnah seperti mencium Hajar Aswad bukan kerana batu itu sendiri, tetapi kerana meneladani Rasulullah SAW. Perlu juga diingat, mencium Hajar Aswad hukumnya sunat, jangan sampai kita menzalimi orang lain seperti menolak, memukul dan sebagainya semasa berusaha mencium batu tersebut.


Sunday, May 10, 2026

Keutamaan Ibu

Ahad, 22 Zulkaedah 1447H  |  Keutamaan Ibu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي قَالَ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أَبُوكَ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW sambil bertanya; "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku berbuat baik kepadanya?" baginda menjawab: "Ibumu." Dia bertanya lagi; "Kemudian siapa?" baginda menjawab: "Ibumu." Dia bertanya lagi; "kemudian siapa lagi?" baginda menjawab: "Ibumu." Dia bertanya lagi; "Kemudian siapa?" dia menjawab: "Kemudian ayahmu." (HR  Bukhari No: 5514) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Seorang anak berkewajipan berbakti dan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.

2.  Ibu adalah orang yang paling berhak dan diberi keutamaan mendapat penghormatan daripada si anak berbanding bapa. Menurut Ibn Battal ia adalah kerana ibu menghadapi kesusahan semasa mengandung, kesusahan semasa melahirkan, dan kesusahan semasa menyusu dan membesarkan anak.

3.  Walaupun ibu diutamakan, Islam tetap meletakkan bapa pada kedudukan yang tinggi untuk si anak berbakti sesuai dengan peranan bapa sebagai ketua keluarga, pemberi nafkah juga pelindung keluarga.

4.  Kewajipan kepada anak adalah berbuat baik kepada ibu bapa dengan berbakti dan taat kepada keduanya, bertutur dengan sopan, menjaga kebajikan mereka, tidak menyakiti keduanya serta sentiasa mendoakan mereka.

5.  Anak-anak yang menderhaka kepada ibu bapa balasannya adalah neraka dan akan diazab oleh Allah di dunia dan akhirat.

6.  Ketaatan kepada kedua ibu bapa hendaklah pada perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan agama.

7.  Hadis ini menegaskan kedudukan ibu yang sangat tinggi dalam Islam, sehingga disebut tiga kali sebelum bapa. Ia mencerminkan penghargaan Islam terhadap pengorbanan ibu serta keperluan untuk berbakti dengan penuh kasih sayang dan hormat.

Semoga Allah membimbing kita untuk berbuat baik dengan ibu kita. Selamat Hari Ibu.


Saturday, May 9, 2026

Keistimewaan Air Zam-Zam

Sabtu, 21 Zulkaedah 1447H  |  Keistimewaan Air Zam-Zam

وَعَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَاءُ زَمْزَمَ لِمَا شُرِبَ لَهُ، إنْ شَرِبْتَهُ تَسْتَشْفِي بِهِ شَفَاكَ اللَّهُ، وَإِنْ شَرِبْتَهُ يُشْبِعُكَ أَشْبَعَكَ اللَّهُ بِهِ، ‌وَإِنْ ‌شَرِبَتْهُ ‌لِقَطْعِ ‌ظَمَئِكَ ‌قَطَعَهُ ‌اللَّهُ وَهِيَ هَزْمَةُ جِبْرِيلَ وَسُقْيَا إسْمَاعِيلَ. [وفي رواية] وإن شربته مستعيذًا أعاذك الله فكان ابن عباس ذا شرب ماء زمزم قال: اللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا وَاسِعًا وَشِفٓاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ

Daripada Ibnu ‘Abbas RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda : "Air Zamzam itu bergantung kepada niat orang yang meminumnya. Jika engkau meminumnya untuk memohon kesembuhan, Allah akan menyembuhkanmu; jika engkau meminumnya untuk mengenyangkan, Allah akan mengenyangkanmu; jika engkau meminumnya untuk menghilangkan dahaga, Allah akan menghilangkan dahagamu. Ia adalah hasil hentakan malaikat Jibril dan minuman yang diberikan Allah kepada Nabi Ismail."
Dalam satu riwayat lain:
“Jika engkau meminumnya untuk memohon perlindungan, Allah akan melindungimu.”  Dan Ibn Abbas meminum air Zamzam, beliau berdoa: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas, dan kesembuhan dari segala penyakit.” (HR Al-Hakim 1/473) Status Hasan.

Pengajaran:

1.  Setiap amalan, termasuk ketika minum air Zamzam, harus dimulakan dengan niat yang baik.

2.  Ibn al-Qayyim menjelaskan bahawa air Zamzam memiliki keberkatan luar biasa yang tidak dimiliki oleh air lain. Ia adalah air terbaik di muka bumi dari segi kandungan, keberkatan, dan fadhilatnya.

3.  Air Zamzam mempunyai kelebihan bergantung kepada niat dan keyakinan orang meminumnya seperti mengenyangkan, menghilangkan dahaga juga menyembuhkan penyakit dengan keizinan dan kekuasaan Allah.

4.  Beradab ketika minum Air Zamzam antaranya dengan mengadap kiblat, membaca basmalah, minum dengan tiga tegukan serta berdoa. Antaranya doa yang dibaca oleh Ibnu Abbas RA Ketika minum air zamzam:

اللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا وَاسِعًا وَشِفٓاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas, dan kesembuhan daripada setiap penyakit

5.  Hadis ini menjelaskan keistimewaan air Zamzam sebagai anugerah Allah yang penuh keberkatan. Ia bukan sekadar air biasa, tetapi mempunyai nilai spiritual yang tinggi, bergantung kepada niat dan keyakinan peminumnya.


Friday, May 8, 2026

Ibadat Tawaf

Jumaat, 20 Zulkaedah 1447H  |   Ibadat Tawaf

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنه، أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ قَالَ: الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلَاةِ، إِلَّا أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلَا يَتَكَلَّمَنَّ إِلَّا بِخَيْرٍ.

Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Tawaf mengelilingi Kaabah itu seperti solat, cuma kamu dibenarkan bercakap-cakap dalamnya. Maka sesiapa yang bercakap ketika tawaf, janganlah dia bercakap kecuali dengan perkara yang baik." (Sunan Tirmizi No: 960) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Imam Nawawi menegaskan bahawa tawaf adalah ibadah yang sangat mulia dan mempunyai kedudukan yang tinggi seperti solat, bukan sekadar berjalan mengelilingi Kaabah. Justeru, ia menuntut adab seperti berwuduk, kekhusyukan dan penghindaran dari perkara sia-sia. Oleh itu, jika seseorang bercakap semasa tawaf, ia hendaklah dengan perkataan yang baik dan bermanfaat, seperti doa, zikir, atau memberi nasihat.

2.  Ibnu Qudamah dalam al-Mughni menyatakan bahawa tawaf adalah ibadah jasmani dan rohani. Maka, walaupun seseorang bercakap semasa tawaf  tidak membatalkan ibadat tawaf, tetapi percakapan sia-sia mengurangkan pahala. Justeru, dianjurkan untuk memperbanyak zikir, doa dan istighfar semasa tawaf.

3.  Seorang yang sedang bertawaf perlu menjauhi perkara sia-sia dengan menghindari percakapan yang sia-sia, lagha, gosip, jenaka berlebihan, atau perkara duniawi. 

4.  Seorang yang sedang melakukan tawaf hendaklah dalam keadaan berwuduk, suci dan bersih, menjaga kekhusyukan hati, mengisi lidah dengan zikir dan doa, serta menjauhkan diri dari kata-kata yang tidak berfaedah.

5.  Hadis ini menegaskan bahawa tawaf adalah ibadah yang sangat agung, setara dari segi kehormatan dengan solat. Walaupun diberikan kelonggaran untuk bercakap, Islam tetap menuntut agar setiap perkataan dijaga dan dipenuhi dengan kebaikan.


Thursday, May 7, 2026

Lafaz Talbiah Adalah Pengistiharan Ketundukan

Khamis, 19 Zulkaedah 1447H  |  Lafaz Talbiah Adalah Pengistiharan Ketundukan

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ "‏ مَا مِنْ مُلَبٍّ يُلَبِّي إِلاَّ لَبَّى مَا عَنْ يَمِينِهِ وَشِمَالِهِ مِنْ حَجَرٍ أَوْ شَجَرٍ أَوْ مَدَرٍ حَتَّى تَنْقَطِعَ الأَرْضُ مِنْ هَا هُنَا وَهَا هُنَا

Daripada Sahl bin Sa’di as-Saa’idi RA daripada Rasulullah SAW baginda bersabda:  "Tidak ada seorang yang bertalbiah (dengan Ikhlas - mengucapkan ‘Labbayk Allahumma labbayk’) melainkan semua yang berada di sebelah kanan dan kirinya - daripada batu, pokok atau tanah liat,  akan turut bertalbiah bersamanya, hingga bumi ini terputus dari arah sana dan sini (yakni sejauh pandangan atau ke seluruh penjuru)." (Sunan Ibn Majah No: 2921) Status Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Ucapan talbiah "لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ" bermaksud: “Aku sahut panggilan-Mu ya Allah, aku sahut seruan-Mu.” Adalah lafaz yang sunat diucapkan untuk mereka yang sedang mengerjakan ibadah umrah dan haji. Lafaz talbiah ini adalah tanda pengistiharan ketundukan seorang hamba.

2.  Lafaz talbiah menandakan kesediaan mutlak seorang hamba menyambut panggilan Allah, dan alam yang terdiri daripada batu, pokok serta tanah turut menyambut seruan menyokong serta mengiringi pengabdian tersebut.

3.  Mengikut ulama, makhluk alam seperti batu, pokok juga tanah menyambut seruan adalah ungkapan kiasan yang menggambarkan keberkatan dan besarnya kesan zikir tersebut, sehingga seluruh alam seperti bersama bertalbiah.

4.  Sebahagian ulama menyebut bahawa hadis ini juga menunjukkan kemuliaan orang yang bertalbiah dengan hati yang bersih, kerana alam turut mendoakan dan menyertai mereka, seolah-olah ia adalah tanda talbiah itu diterima di sisi Allah.

5.  Bagi mereka yang menunaikan ibadat haji atau umrah, lafazkan talbiah dengan sepenuh hati serta penuh kekhusyukan. Ketahuilah bahawa anda sedang berinteraksi dengan seluruh ciptaan Allah.

6.  Besarnya ganjaran Talbiah dimana setiap kali Jemaah umrah dan haji menyebut talbiah dengan ikhlas, dia sebenarnya disertai oleh seluruh alam, membesarkan Allah bersama-sama. Ia memberi motivasi kepada jemaah haji dan umrah untuk memperbanyakkan talbiah dengan penuh keikhlasan dan penghayatan.

7.  Dengan menghayati talbiah, seorang Muslim akan merasai kedekatan dengan Allah serta kesatuan dengan seluruh ciptaan-Nya dalam ketaatan.

8.  Hadis ini menggambarkan keindahan dan keagungan ibadah dalam Islam, khususnya talbiyah dalam haji dan umrah. Ia menunjukkan bahawa apabila seorang hamba menyahut panggilan Allah dengan ikhlas, seluruh alam seakan-akan turut serta bersamanya dalam ketaatan tersebut.


Wednesday, May 6, 2026

Awal Pagi Waktu Barakah

Rabu, 18 Zulkaedah 1447H  |   Awal Pagi Waktu Barakah

عَنْ صَخْرٍ الْغَامِدِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلًا تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ
قَالَ أَبُو دَاوُد وَهُوَ صَخْرُ بْنُ وَدَاعَةَ

Daripada Shakhr Al Ghamidi, dari Nabi SAW, baginda mengucapkan: "ALLAAHUMMA BAARIK LI UMMATII FII BUKUURIHAA (Ya Allah, berkatilah bagi umatku di awal pagi hari mereka). Dan baginda apabila mengirim expedisi atau pasukan baginda mengirim mereka di awal siang (awal pagi). Dan Shakhr adalah seorang pedagang dan ia mengirim perdagangannya di awal siang, maka hartanya bertambah banyak. Abu Daud berkata; ia adalah Shakhr bin Wada'ah. (Sunan Abu Daud No: 2239) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Awal pagi adalah waktu yang banyak keberkatan dari Allah.

2.  Rasulullah mendoakan umatnya keberkatan pada setiap waktu pagi.

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا

(Ya Allah, berkatilah bagi umatku di awal pagi hari mereka)

3.  Perkataan bukur (بُكُور ) bermaksud awal pagi sehingga terbitnya matahari. Syeikh Abu Usamah Salim dalam syarah Riyad as-Salihin menyatakan: waktu yang terbaik dan berkat. Menghidupkan waktu pagi merupakan sunah Nabi SAW dan amalan orang yang berjaya.

4.  Hadis ini menunjukkan bahawa waktu awal pagi adalah waktu penting untuk melaksanakan kerja-kerja penting dan utama. Elakkan waktu awal pagi dengan kerja yang kurang manfaatnya seperti tidur selepas subuh.

5.  Shakhr al-Ghamidi menjadi kaya raya dan banyak harta antaranya kerana ia mengikut sunah Nabi SAW dengan memulakan perniagaan di awal pagi.

6.  Waktu sebelum terbitnya matahari umpama waktu rezeki diluluskan manakala apabila terbitnya matahari, waktu rezeki diagih-agihkan.

Rebut dan manfaatkan waktu penuh keberkatan di awal pagi dengan melakukan kerja bermanfaat seperti waktu untuk belajar, waktu untuk bekerja dan memulakan perniagaan. Pekerja Madani Kesuma Bangsa.


Tuesday, May 5, 2026

Jadilah Pemberi Bukan Peminta

Selasa, 17 Zulkaedah 1447H   |  Jadilah Pemberi Bukan Peminta

عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ

Daripada Hakim bin Hizam RA dari Nabi SAW bersabda: “Tangan yang diatas lebih baik dari pada tangan yang di bawah, maka mulailah untuk orang-orang yang menjadi tanggunganmu dan sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka barangsiapa yang berusaha memelihara dirinya, Allah akan memeliharanya dan barangsiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya”. (HR Bukhari No: 1338) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bersedekah lebih baik daripada meminta-minta.

2.  Menghulurkan sedekah dan sumbangan hendaklah dimulakan terlebih dahulu kepada ahli keluarga yang menjadi tanggungan kita.

3.  Sedekah yang paling baik adalah lebihan daripada keperluan asas seseorang.

4.  Berusahalah mencari rezeki sebaik mungkin dan elakkan diri dari meminta-minta atau mengharap belas kasihan orang lain.

5.  Allah akan memelihara dan mencukupkan keperluan kepada orang yang berusaha dan bekerja mencari rezeki tanpa meminta-minta.

6.  Nabi SAW mencela orang yang suka meminta-minta (mengemis) kerana perbuatan tersebut merendahkan martabat kehormatan manusia. Padahal Allah sendiri sudah memuliakan manusia, seperti terungkap melalui firman-Nya:

وَلَقَدْ كَرَمْنَا بَنِى اَدَم وَحَمْلنَاهُمْ فىِ اْلبَرِّ وَاْلبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيْرٍ مِمَنْ خَلَقْنَا تَفْضِيْلاً

Maksudnya: Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam. Kami angkat mereka di daratan dan di lautan. Kami berikan mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas  kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah Al-Isra’ Ayat: 70).

7.  Jangan sengaja menjadi peminta. Ingatlah amaran Nabi SAW seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

مَنْ سَأَلَ النَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا  فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ

Barangsiapa meminta harta kepada orang lain untuk memperkaya diri, maka sungguh, ia hanyalah meminta bara api, maka silakan ia meminta sedikit atau banyak (HR. Muslim (no. 1041)

8.  Lakukanlah apa juga pekerjaan yang halal dan baik seperti bertani, berniaga, mengutip tin kosong dan menjualnya, bertukang, menjadi pelayan, kerja kilang dan sebagainya untuk keperluan hidup, jangan sekali-kali mengharapkan pemberian orang lain. Pekerja Madani Kesuma Bangsa.

Jadilah Kita Pemberi Bukan Orang Yang Mengharap Pemberian Orang Lain.


Monday, May 4, 2026

Pemimpin Wajib Bekerja Bersungguh-sungguh

Isnin, 16 Zulkaedah 1447H  |   Pemimpin Wajib Bekerja Bersungguh-sungguh

عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَبِي الْمَلِيحِ  أَنَّ عُبَيْدَ اللَّهِ بْنَ زِيَادٍ عَادَ مَعْقِلَ بْنَ يَسَارٍ فِي مَرَضِهِ فَقَالَ لَهُ مَعْقِلٌ إِنِّي مُحَدِّثُكَ بِحَدِيثٍ لَوْلَا أَنِّي فِي الْمَوْتِ لَمْ أُحَدِّثْكَ بِهِ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ أَمِيرٍ يَلِي أَمْرَ الْمُسْلِمِينَ ثُمَّ لَا يَجْهَدُ لَهُمْ وَيَنْصَحُ إِلَّا لَمْ يَدْخُلْ مَعَهُمْ الْجَنَّةَ

Daripada Qatadah dari Abu al-Malih, bahawa Ubaidullah bin Ziyad telah menziarahi Ma'qil bin Yasar ketika ia sedang sakit, Ma'qil kemudian berkata kepadanya: 'Sesungguhnya aku akan menyampaikan kepadamu sebuah hadis, kalaulah bukan kerana aku berada di ambang kematian, nescaya aku tidak akan menceritakannya kepadamu. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak seorang pemimpin yang mengurus urusan kaum muslimin, kemudian dia tidak bersungguh-sungguh bekerja untuk mereka dan tidak menasihati mereka, melainkan dia pasti tidak akan masuk syurga bersama mereka'." (HR Muslim No: 205) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap pemimpin bertanggungjawab bekerja bersungguh-sungguh memberi khidmat, menjaga kebajikan dan kebaikan mereka yang berada di bawah kepimpinannya termasuk memberi nasihat kepada mereka.

2.  Sebagai pemimpin, ketua mahupun pentadbir perlu sentiasa memikirkan bahawa seluruh tanggungjawab dan amanah yang dipikul akan dihisab oleh Allah SWT satu persatu secara terperinci di Akhirat kelak.

3.  Pemimpin perlu bersungguh-sungguh menjaga kebajikan, keperluan, kasih sayang, keselamatan, keselesaan dalam kalangan kakitangan atau rakyat yang dipimpin, bukan hanya kelompok yang dia suka sahaja.

4.  Rasulullah SAW memberi amaran kepada pemimpin yang tidak bersungguh-sungguh bekerja mengurus rakyat atau pekerja di bawah kepimpinannya juga membimbing dan menasihati mereka,  dengan tiada jaminan syurga keatasnya.

5.  Saidina Umar Ibnu Khattab RA pernah menyatakan: "Andainya seekor kambing berjalan mencari makan dari Madinah ke Kufah dan patah kakinya dipinggir Sungai Dajlah lalu mati lantaran jalannya rosak, aku takut Allah SWT akan mempertanggungjawabkan ke atas aku di Akhirat kelak."

6.  Mengabaikan rakyat juga mereka yang berada dibawah tanggungjawab kepimpinannya adalah dosa besar.

Bagi mereka yang dilantik sebagai pemimpin, ketua, pengurus tidak kira diperingkat mana pun, seperti Menteri, Wakil Rakyat, Pegawai, Ketua, Pentadbir dan lain-lain, anda wajib melaksanakan tanggungjawab dalam urus tadbir tersebut dengan bersungguh-sungguh. Mereka yang dilantik sebagai pemimpin, ketua, pegawai adalah khadam kepada rakyat.


Sunday, May 3, 2026

Laksanakan Amanah Jangan Menipu

Ahad, 15 Zulkaedah 1447H  |   Laksanakan Amanah Jangan Menipu

مَعْقِلَ بْنَ يَسَارٍ الْمُزنِيَّ قَالَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Ma'qil bin Yasar al-Muzani RA berkata, Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada seorang hamba yang Allah amanahkan kepadanya urusan rakyat (di bawah jagaannya), lalu dia meninggal dunia dalam keadaan menipu atau mengkhianati rakyat, melainkan Allah mengharamkan Syurga keatasnya. (HR Muslim No: 203) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Amanah adalah modal paling besar dalam melaksanakan kewajipan kepimpinan sama ada kecil atau besar meliputi pemimpin negara, pegawai dan pentadbir, guru juga ibu bapa.

2.  Kejujuran pemimpin melaksanakan amanah adalah dituntut. Penipuan juga pengkhianatan adalah dilarang termasuk penyalah gunaan kuasa, mengabaikan kebajikan orang bawahan, tidak menunaikan tanggungjawab juga segala bentuk ketidak jujuran.

3.  Pemimpin atau ketua sewajarnya menunjukkan kejujuran melaksanakan amanah dalam kepimpinan untuk dijadikan contoh dan ikutan kepada rakyat atau pekerja di bawahnya daripada tukang sapu hinggalah pegawai tertingginya.

4.  Ancaman keras daripada Rasulullah SAW dengan pengharaman syurga kepada mana-mana pemimpin atau pegawai yang mengkhianati amanah yang diberi dibawah tanggungjawabnya.

5.  Ibnu Bathal berkata:  “Ini adalah ancaman keras terhadap para pemimpin atau petugas yang menyia-nyiakan amanah yang diberikan kepada mereka, atau mengkhianati rakyat, atau menzalimi mereka, sehingga dia dituntut kerana menzalimi rakyat pada hari kiamat”.

6.  Sebagai pemimpin, ketua, pegawai, sama ada di peringkat tertinggi Negara mahupun dalam sebuah organisasi kecil perlu bersungguh-sungguh dalam urus tadbir melaksanakan tanggungjawab kepimpinan bukan menipu rakyat atau orang bawahan.

7.  Milikilah sifat kepimpinan yang kompeten dan berintegriti dalam urus tadbir ke arah kecemerlangan organisasi dan negara.

8.  Hadis ini merupakan salah satu dalil dalam Islam tentang etika kepimpinan dan amanah dalam urus tadbir. Ia menegaskan bahawa pengkhianatan terhadap rakyat bukan sekadar kesalahan moral, tetapi dosa besar yang membawa ancaman berat di akhirat.


Saturday, May 2, 2026

Pemimpin Dan Pembantu Jujur

Sabtu, 14 Zulkaedah 1447H  |  Pemimpin Dan Pembantu Jujur

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالْأَمِيرِ خَيْرًا جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ

Daripada Aisyah RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Allah menghendaki kebaikan pada diri pemimpin maka Allah akan menjadikan baginya pembantu yang jujur, apabila pemimpin itu terlupa maka pembantu akan mengingatkannya dan jika pemimpin itu ingat maka ia akan membantunya. Dan apabila Allah menghendaki selain itu (keburukan) pada diri seorang pemimpin maka Allah jadikan baginya pembantu yang buruk, apabila pemimpin itu lupa maka pembantu tidak mengingatakannya, dan apabila ia ingat maka pembantu tidak menolongnya." (HR Abu Daud No: 2543) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pemimpin memikul tugas dan tanggungjawab yang berat. Pemimpin memerlukan pembantu yang boleh meringankan tugas kepimpinan.

2.  Jika Allah mahukan kebaikan kepada pemimpin, nescaya akan diberikan kepadanya pembantu yang baik dan jujur. Pembantu yang baik, akan berusaha dengan kemahiran yang ada membantu melaksanakan tugas-tugas ketua dengan cemerlang dan sentiasa diredhai Allah.

3.  Urus tadbir yang cemerlang memerlukan pembantu dan pekerja yang baik serta memiliki sifat kuat (berkemampuan) dan amanah seperti firman Allah:

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَئْجَرْتَ الْقَوِىُّ الاَمِينُ

Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah. [al-Qasas:26]

Sebaik-baik pekerja  ialah yang memiliki dua sifat iaitu kuat yang merujuk kepada skill serta kemampuan melaksanakan tugas dan amanah yang merujuk kepada orang yang dipercayai dan takut kepada Allah serta tidak menyeleweng.

4.  Pembantu yang baik akan memberikan maklumat yang tepat dan benar kepada ketua agar tindakan dapat diambil dengan tepat dan hikmah.

5.  Pembantu yang jujur, akan mengingatkan kepada ketua jika lupa atau silap dan akan segera membantu, bukan turut sama mengiakan kesilapan.

6.  Pemimpin atau ketua sewajarnya melantik pembantu yang benar-benar layak, amanah dan bertaqwa untuk membantunya memimpin organisasi atau Negara dengan baik.

7.  Jika kita sebagai ketua, pastikan pembantu yang dipilih benar-benar layak dan sentiasa bersedia mengingatkan pemimpin bukan hanya pembodek dan pengambil kesempatan.

8.  Jika kita pembantu, jadilah kita orang yang mempunyai integriti dan berusaha membantu pemimpin menjayakan visi dan misi organisasi atau negara. Juga memastikan agar berada di atas landasan yang betul dan diredhai Allah bukan membiarkan organisasi atau negara berada dalam kemusnahan dan kemurkaan Allah.