Saturday, October 5, 2024

Agama Itu Nasihat

Sabtu, 2 Rabiul Akhir 1446H  |   Agama Itu Nasihat

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْم الدَّارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ   وَسَلَّمَ قَالَ : الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ . قُلْنَا لِمَنْ  قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ

Daripada Abu Ruqayyah Tamim Ad-Daary RA, bahawasanya Nabi SAW  bersabda, “Agama itu nasihat”. Kami pun bertanya, “Untuk siapa (nasihat itu)?”. Baginda menjawab, “Nasihat itu adalah untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, Imam-imam kaum muslimin dan seluruh muslimin (rakyatnya)”. (HR Muslim No: 50) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Agama ini terletak pada  nasihat menasihati kerana dengan nasihat akan menjadikan seseorang menunaikan hak-hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan rakyat.

2.  Ibnu Mubarak pernah ditanya : Amal apakah yang paling utama? Beliau menjawab: Memberi nasihat kerana Allah. 

3.  Nasihat untuk Allah bermaksud beriman kepada Allah dengan mentauhidkan Allah, menunaikan hak-hak Allah sama ada hak yang wajib mahupun yang sunat. Ikhlas dalam beramal, menjauhi maksiat dan berjihad dijalanNya.

4.  Nasihat untuk kitab-Nya bermaksud menunaikan hak Al-Quran: hak untuk dipelajari, dibaca, dijadikan sebagai petunjuk dan hidayah dengan membenarkan beritanya dan melaksanakan perintahnya.

5.  Nasihat untuk Rasul bermaksud dengan cara membenarkan ajarannya, mengimani semua yang dibawa, mencintai dan mencontohi akhlaknya, berselawat serta menghidupkan sunnahnya, mentaati perintah dan larangannya, melawan para musuhnya, membela para pengikutnya, menghormati hak-haknya, memuliakannya, mengikuti seruannya juga menyebarluaskan sunahnya.

6.  Nasihat untuk imam kaum muslimin dengan cara menolong dan mentaati pemimpin dan pemerintah  dalam perkara kebenaran dan keadilan, patuh kepada mereka dalam urusan kebaikan, menegur dan mengingati mereka dikala mereka lalai dari kewajipan dengan penuh hikmah.

7.  Nasihat untuk kaum Muslimin dengan memberikan bimbingan kepada mereka apa yang dapat memberikan kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat, memimpin mereka, memberikan bantuan kepada mereka, menutup aib dan cacat mereka, menghindarkan diri dari hal-hal yang membahayakan dan mengusahakan kebaikan bagi mereka, menyuruh mereka berbuat makruf dan mencegah mereka berbuat kemungkaran. Mengasihi mereka, memuliakan yang tua dan menyayangi yang muda, memberikan nasihat kepada mereka, menjauhi kebencian dan kedengkian, melindungi harta dan kehormatan mereka baik dengan ucapan mahupun perbuatan.

Semoga agama menjadi penasihat dan peringatan kepada kita untuk saling nasihat menasihati, ingat mengingati agar menjadi Muslim yang menunaikan hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan rakyat.


Friday, October 4, 2024

Kebaikan dan Dosa

Jumaat, 1 Rabiul Akhir 1446H  |  Kebaikan dan Dosa

عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سِمْعَانَ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ: سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ فَقَالَ: الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ.

Daripada an-Nawwas bin Sim‘an al-Ansari RA, beliau berkata: "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang erti kebaikan dan dosa." Maka Rasulullah SAW bersabda: “Kebaikan adalah berakhlak yang mulia. Manakala dosa adalah sesuatu yang mengelisahkan hatimu (ketika dosa tersebut dilakukan, hati gementar dan bimbang) serta kamu tidak suka orang lain mengetahuinya." (HR Muslim, No: 2553) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Fitrah manusia sukakan kebaikan juga inginkan kebaikan. Kebaikan itu adalah akhlak yang baik.

2.  Akhlak yang baik terhasil daripada ketaatan kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

3.  Hati yang tenang adalah jiwa yang memiliki nur (cahaya) sehingga dapat membezakan antara perkara yang benar dan salah, perkara yang jujur dan yang bohong, perkara yang terpuji dan tercela, kerana itulah petunjuk yang datang daripada jiwa seseorang yang sentiasa melakukan kebaikan. Sabda Nabi SAW:

الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ

Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu. (HR Ahmad No:18006)

4.  Manusia yang fitrahnya suka melakukan kebaikan akan menyebabkan hati tenang. Manakala perkara dosa pula akan menggementarkan hati. Apabila melakukan dosa, hati akan sentiasa berada dalam keadaan ketakutan, berdebar-debar, resah gelisah, cemas, bimbang dilihat atau diketahui oleh orang lain.

5.  Pelaku dosa sentiasa bimbang dan tidak mahu jika perlakuan buruknya diketahui oleh orang lain.


Thursday, October 3, 2024

Ikuti Pesan Rasulullah SAW Dalam Solat Malam

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Khamis, 29 Rabiul Awal 1446H  |  Ikuti Pesan Rasulullah SAW Dalam Solat Malam

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَنْهَاةٌ لِلْإِثْمِ

Daripada Abu Umamah dari Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: "Hendaknya kalian melakukan solat malam kerana solat malam adalah amalan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian, dan mendekatkan kepada Tuhan kalian, menghapus keburukan, serta mencegah dosa." (Sunan Tirmidzi No: 3472) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Solat malam atau qiamullail adalah amalan orang-orang yang soleh. Allah SWT memuji para hamba-Nya yang soleh yang sentiasa melakukan solat malam dan bertahajud:

كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“Mereka sedikit tidur di waktu malam; dan di akhir-akhir malam mereka memohon keampunan (kepada Allah).” [Adz-Dzaariyaat/51: 17-18]

2.  Solat malam adalah amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, sebagai makanan spiritual membina kekuatan dalaman diri setiap Muslim.

3.  Solat malam boleh menghapuskan keburukan atau kesalahan serta dosa.

4.  Solat malam juga boleh mencegah seseorang dari melakukan dosa dan maksiat.

Peruntukkanlah sedikit waktu pada waktu malam sebelum solat subuh untuk melakukan solat sunat malam agar ia menjadi sebahagian dari kebiasaan kita sepertimana amalan orang yang soleh.

Wednesday, October 2, 2024

Ikuti Pesan Rasulullah SAW Dalam Beramal

Rabu, 28 Rabiul Awal 1446H  |  Ikuti Pesan Rasulullah SAW Dalam Beramal

عَنْ أَبِي عَمْرٍو الشَّيْبَانِيِّ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِابْنِ مَسْعُودٍ أَيُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ سَأَلْتُ عَنْهُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ الصَّلَاةُ عَلَى مَوَاقِيتِهَا قُلْتُ وَمَاذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَبِرُّ الْوَالِدَيْنِ قُلْتُ وَمَاذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَالْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Daripada Abu 'Amru Asy Syaibani bahawa seorang lelaki berkata kepada Ibnu Mas'ud, "Amal apakah yang paling utama?" ia berkata; "Aku pernah bertanya Rasulullah SAW tentang hal itu, maka baginda pun menjawab: "Solat pada waktunya, " aku bertanya lagi, "Wahai Rasulullah, lalu apa lagi?" baginda menjawab: "Berbuat baik kepada kedua orang tua, " aku bertanya lagi, "Wahai Rasulullah, lalu apa lagi?" baginda menjawab: "Jihad di jalan Allah." (HR. Tirmidzi No: 158) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Antara amal yang paling utama bagi seorang Muslim adalah:

1.  Solat di awal waktu

2.  Berbuat baik kepada ibu bapa (sama ada semasa mereka masih hidup mahupun selepas meninggal dunia)

3.  Berjihad di jalan Allah (dalam pelbagai relong mengikut kemampuan, ruang dan kesempatan yang ada)

Marilah kita melakukan amal-amal yang menjadi keutamaan dalam kehidupan 

Tuesday, October 1, 2024

Ikuti Pesan Rasulullah SAW Ketika Makan

Selasa, 27 Rabiul Awal 1446H  |  Ikuti Pesan Rasulullah SAW Ketika Makan

عَنْ عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ يَقُولُ: كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

Daripada Umar bin Abi Salamah katanya: Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Nabi SAW tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Nabi SAW berkata kepadaku: Wahai anak, sebut nama Allah (baca Bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambillah makanan) yang hampir denganmu. (HR Bukhari No: 5061) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar agar beradab dalam setiap perkara termasuklah ketika makan.

2.  Antara adab makan dalam Islam:

a.  Memulakan dengan bacaan Basmallah (Bismillah)

b.  Makan menggunakan tangan kanan

c.  Mulakan makanan yang paling hampir dengan kita

3.  Makanan dan minuman yang tidak menyebut nama Allah akan disertai oleh syaitan. Rasulullah bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَسْتَحِلُّ الطَّعَامَ الَّذِى لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

“Sesungguhnya syaitan menghalalkan makanan yang tidak disebutkan nama Allah padanya. (HR. Abu Daud No. 3766). Status: Hadis Sahih

Ikuti pesan Rasulullah SAW dalam makan dan minum.