Rabu, 23 Syaaban 1447H | Berwaspada Dalam Mengharungi Kehidupan
عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ خَطَبَنَا عُمَرُ بِالْجَابِيَةِ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي قُمْتُ فِيكُمْ كَمَقَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِينَا فَقَالَ أُوصِيكُمْ بِأَصْحَابِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَفْشُو الْكَذِبُ حَتَّى يَحْلِفَ الرَّجُلُ وَلَا يُسْتَحْلَفُ وَيَشْهَدَ الشَّاهِدُ وَلَا يُسْتَشْهَدُ أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ مَنْ سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فَذَلِكُمْ الْمُؤْمِنُ
Daripada Ibnu 'Umar RA dia berkata; Suatu ketika Umar menyampaikan pidato kepada kami di al-Jabiyah (sebuah kampong). Katanya: "Wahai sekalian manusia, aku berdiri di hadapan kalian sebagaimana Rasulullah SAW pernah berdiri dihadapan kami, dan baginda telah bersabda: 'Aku berwasiat kepada kalian supaya berpegang dengan para sahabatku kemudian generasi selepas mereka kemudian generasi yang datang setelah mereka. Kemudian setelah itu akan berleluasalah pembohongan, sehingga seseorang bersumpah tanpa diminta untuk bersumpah, kemudian seseorang memberi kesaksian padahal ia tidak diminta untuk menjadi saksi. Ingatlah, tidaklah seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita melainkan syaitan menjadi yang ketiga antara mereka. Hendaklah kamu bersama Jamaah dan jauhi perpecahan, kerana syaitan bersama dengan orang yang sendirian, sedangkan dua orang, ia jauh lebih baik (berjemaah). Barangsiapa yang menginginkan kemewahan syurga, maka hendaklah ia berjamaah. Barangsiapa merasa gembira dengan amal kebajikannya yang ia lakukan, dan berasa tidak senang dengan keburukan atau kejahatannya, maka dialah orang yang benar-benar beriman.' (HR Tirmidzi No: 2091) Status: Hadis Hasan Sahih
Pengajaran:
1. Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa para sahabat, tabi‘in dan tabi‘ tabi‘in ialah generasi terbaik umat ini. Mereka menjadi rujukan utama dalam memahami al-Quran dan Sunnah. Setiap Muslim sewajarnya menjadikan mereka contoh dan panduan.
2. Rasulullah SAW berpesan akan datang suatu zaman dimana berleluasa keruntuhan akhlak dimana akan ada orang yang suka bersumpah walaupun tanpa diminta hanya semata-mata untuk membenar dan membuktikan kebenaran sesuatu perkara supaya orang memberi kepercayaan kepadanya walaupun ia merupakan sumpah palsu.
3. Rasulullah SAW juga berpesan akan datang suatu zaman dimana berleluasa orang yang suka memberi kesaksian padahal ia tidak diminta untuk menjadi saksi. Ia sebagai saksi palsu hanya kerana kepentingan peribadi.
4. Rasulullah SAW melarang perbuatan khalwat atau berdua-duaan yang berlaku antara seorang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang boleh mendatangkan syak wasangka serta maksiat malah Syaitan akan mengambil peluang menggoda walaupun kedua-duanya berniat baik.
5. Rasulullah SAW mengarahkan kita agar sentiasa hidup berjamaah, saling berukhuwah, tolong menolong dan bantu membantu, saling nasihat menasihati kearah mewujudkan kehidupan yang sejahtera dan diredhai Allah.
6. Kita dilarang hidup dengan mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan orang lain.
7. Barangsiapa merasa gembira dengan kebajikan yang ia lakukan, dan berasa tidak senang dengan keburukan atau kejahatannya, maka dia adalah seorang mukmin
No comments:
Post a Comment