Ahad, 11 Ramadhan 1447H | Melewatkan Sahur Menyegerakan Berbuka
عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِبِلَالٍ أَنْتَ يَا بِلَالُ تُؤَذِّنُ إِذَا كَانَ الصُّبْحُ سَاطِعًا فِي السَّمَاءِ فَلَيْسَ ذَلِكَ بِالصُّبْحِ إِنَّمَا الصُّبْحُ هَكَذَا مُعْتَرِضًا ثُمَّ دَعَا بِسَحُورِهِ فَتَسَحَّرَ وَكَانَ يَقُولُ لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا أَخَّرُوا السَّحُورَ وَعَجَّلُوا الْفِطْرَ
Daripada Abu Dzar RA bahawa Nabi SAW bersabda pada Bilal: "Wahai Bilal, kalau subuh telah beranjak ke langit maka itu bukanlah subuh, subuh itu nampak seperti ini – cahaya yang melintang (diufuk), "lalu baginda menyuruh untuk sahur dan baginda pun sahur seraya bersabda: "Umatku akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka." (Musnad Ahmad No: 20996) Status: Isnad Hasan
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW adalah contoh dalam kita melakukan ibadat termasuk amalan berbuka dan bersahur ketika berpuasa.
2. Melewatkan bersahur (sehingga hampir dengan waktu subuh) merupakan amalan Rasulullah SAW dan para sahabat yang kita digalakkan mengikutinya kerana ada kebaikan dari segi kesihatan juga keberkatan dalam ibadat puasa.
3. Waktu sahur dilewatkan seperti yang diceritakan oleh Anas bin Malik RA dari Zaid bin Tsabit:
تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً
"Kami makan sahur bersama Nabi Muhammad SAW lalu kami solat (subuh) berjamaah", Anas berkata kepada Zaid: "berapa jarak waktu antara azan (subuh) dan sahur?" Zaid menjawab: "sekitar bacaan al-Quran 50 ayat" (HR Bukhari No: 550) Status: Hadis Sahih
Berdasarkan hadis ini, jarak waktu selesai sahur Nabi SAW dengan waktu subuh sangat dekat, hanya sekitar jangkaan waktu bacaan 50 ayat al-Quran yang dibaca dengan kadar sederhana, tidak cepat dan tidak lambat (sekitar 10 hingga 15 minit sebelum subuh) yang juga disebut waktu imsak (atas dasar berhati-hati).
Amr B. Maimun al-Audi menyatakan, “Para sahabat Muhammad SAW adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling terakhir (lewat) dalam bersahur.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 4/199)
4. Menyegerakan berbuka sebaik sahaja masuk waktu Maghrib adalah sunnah yang sangat dituntut. Menyegerakan berbuka menunjukkan: kepatuhan kepada perintah Allah, menjauhi sikap melampau (ghuluw) dalam ibadah serta membezakan amalan umat Islam dengan Ahli Kitab.
5. Melewatkan bersahur dan bersegera berbuka apabila masuk waktu bukan sekadar sunnah zahir, bahkan menjadi tanda kesejahteraan umat kerana ia melambangkan ketaatan, kesederhanaan dan kesungguhan dalam mengikuti sunnah Rasulullah SAW dalam ibadah puasa..
No comments:
Post a Comment