Monday, February 2, 2026

Malam Nisfu Syaaban

Isnin, 14 Syaaban 1447H  | Malam Nisfu Syaaban

عَنْ مُعَاذِ بن جَبَلٍ عَن ِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: يَطَّلِعُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Daripada Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Allah Azawajalla memerhati makhlukNya pada malam pertengahan bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), lalu Dia mengampuni semua makhluk-Nya kecuali orang yang melakukan syirik dan orang yang bermusuhan (HR Tobrani No: 16639) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bulan Syaaban memiliki kelebihan tersendiri dimana merupakan bulan yang Rasulullah SAW paling banyak berpuasa sunat di dalamnya.

2.  Malam Nisfu Syaaban (pertengahan bulan Syaaban) juga terdapat kelebihan dan keutamaan bagi mereka yang beribadat dengan diberikan keampunan kecuali kepada mereka yang melakukan syirik dan bermusuhan sesama Muslim.

3.  Orang yang melakukan syirik selagi tidak bertaubat akan terhalang daripada mendapat pengampunan Allah. Orang yang bermusuh atau berdendam adalah mereka yang menyimpan kebencian dan permusuhan sesama Muslim dimana hatinya rosak oleh sifat hasad dan dendam.

4.  Digalakkan kita memperbanyakkan ibadat dan memohon keampunan kerana  Nabi SAW bersabda:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً فَخَرَجْتُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ فَقَالَ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كَلْبٍ

Daripada 'Aisyah RA dia berkata, Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah SAW, lalu saya keluar, ternyata saya dapati baginda sedang berada di Baqi', baginda bersabda: " Apakah kamu takut akan dizalimi oleh Allah dan Rasul-Nya?" saya berkata, wahai Rasulullah, saya mengira tuan mendatangi sebahagian isteri-isterimu, baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah ta'ala turun ke langit dunia pada malam pertengahan bulan Syaaban, lalu mengampuni manusia lebih banyak dari sejumlah bulu kambing." (HR Tirmizi No:670) Status: Hadis Daif

5.  Ibnu Rajab mengatakan, berkaitan dengan malam nisfu Syaaban, para tabi’in penduduk Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Mak-hul, Luqman bin Amir, dan beberapa tabi’in lainnya memuliakannya dan bersungguh-sungguh dalam beribadah di malam itu” (Lathaiful Ma’arif, hlm. 247).

6.  Ulama bersetuju tidak ada jenis ibadat yang dikhususkan pada malam tersebut seperti tidak ada solat Nisfu Syaaban 100 rakaat, tiada doa-doa khusus atau bacaan-bacaan khusus. Namun boleh sahaja untuk kita melaksanakan solat sunat malam juga mempelbagaikan doa dan zikir.

Hadis ini mengajarkan kita mengenai keistimewaan malam pertengahan Sya'ban sebagai malam pengampunan. Allah SWT memberi kesempatan untuk hamba-Nya yang bertaubat untuk mendapatkan ampunan-Nya, kecuali bagi mereka yang melakukan syirik atau memutuskan hubungan dengan sesama. Oleh itu, kita harus senantiasa menjaga keimanan, memperbaiki hubungan dengan sesama, dan memanfaatkan waktu-waktu istimewa untuk memohon ampunan Allah. Malam Nisfu Sya'ban adalah peluang yang berharga untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mendapatkan rahmat serta pengampunan-Nya.


Sunday, February 1, 2026

Larangan Memburukan Orang Lain

Ahad, 13 Syaaban 1447H  | Larangan Memburukan Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila ada seseorang yang berkata; 'Celakalah (binasalah) manusia', maka sebenarnya ia sendiri yang lebih celaka dari mereka." (HR Muslim No: 4755) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Seorang Muslim tidak boleh berfikiran buruk dan menghukum kecelakaan ke atas orang lain kerana hukum berkenaan mungkin akan berpaling kepada dirinya sendiri.

2.  Seseorang yang menganggap orang lain lebih buruk atau lebih sesat daripada dirinya cenderung jatuh dalam perangkap kesombongan dan rasa takabbur. Islam mengajar kita untuk bersikap rendah hati dan tidak menghakimi orang lain, kerana hanya Allah SWT yang mengetahui hati dan nasib setiap hamba-Nya. Jangan sekali-kali kita memburukkan orang lain kerana kita mungkin lebih buruk dari mereka.

3.  Dibolehkan kita menegur kemungkaran dengan ilmu dan adab. Dilarang mencela dengan nada menghina dan menghukum. Kita adalah pendakwah bukan penghukum.

4.  Sikap sombong yang terkandung dalam ungkapan "celakalah atau binasalah sipolan" adalah suatu bentuk kebanggaan diri yang tidak seharusnya ada dalam hati seorang Muslim. Kebanggaan yang berlebihan terhadap amal ibadah atau status kita boleh menjerumuskan kita kepada kebinasaan, kerana ia menjauhkan kita dari sifat tawadhu' (rendah hati) dan mendorong kita untuk meremehkan orang lain.

5.  Nasib diri kita adalah mengikut apa yang difikirkan oleh akal kita. Jika akal kita berfikiran negatif, maka natijahnya adalah negatif.  Seorang Muslim perlu memelihara baik sangka terhadap Allah.

6.  Kecelakaan yang berlaku ke atas diri kita bukanlah semestinya disebabkan oleh perbuatan atau kejahatan orang lain. Bahkan ia mungkin berlaku kerana sikap diri sendiri.

7.  Mengakui akan kelemahan dan kejahilan diri sebenarnya lebih penting dari menghukum kejahatan orang lain atau menyalahkan mereka. Islam mengajarkan kita untuk saling memahami dan bersikap kasih sayang terhadap sesama. Kita tidak tahu keadaan hati seseorang dan bagaimana Allah SWT melihat mereka. Oleh itu, seharusnya kita berusaha untuk membantu dan memberi nasihat dengan cara yang baik, bukan merendahkan atau mencela.

8.  Kita harus mengakui akan kelemahan diri dahulu dan tidak menjadikan orang lain sebagai pelarian (escapist) dengan menuding jari kepada orang lain.

Marilah kita berusaha menjauhkan diri dari sifat mudah untuk menghukum orang lain dan memburuk-burukkan mereka.


Saturday, January 31, 2026

Puasa Hari Putih (13, 14 & 15) Haribulan Hijrah

Sabtu, 12 Syaaban 1447H  |  Puasa Hari Putih (13, 14 & 15) Haribulan Hijrah

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Daripada Abu Dzarr RA dia berkata; "Rasulullah  SAW  memerintahkan kami agar berpuasa tiga hari dalam setiap bulan iaitu hari-hari putih: hari ketiga belas, empat belas dan lima belas." (HR Nasai No: 2380) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Mengikut Imam Nawawi, ‘Ayyam al-Bidh’ (hari-hari putih) dinamakan demikian kerana bulan pada tarikh 13, 14 dan 15 haribulan Hijrah berada dalam keadaan penuh bercahaya.

2.  Puasa pada hari putih adalah sunat yang sangat dituntut dan menjadi amalan Rasulullah SAW.

3.  Berpuasa tiga hari setiap bulan menyamai puasa sepanjang tahun (kerana kebaikan itu digandakan dengan sepuluh kali ganda). Daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.” (HR Abu Daud No: 2449)

4.  Disepanjang bulan Syaaban ini kita digalakkan berpuasa sunat. Ada puasa sunat yang khusus antaranya puasa hari  Isnin dan Khamis juga puasa pada hari-hari putih (13, 14 dan 15) yang akan jatuh pada hari Ahad 01hb Feb, Isnin 02hb Feb dan Selasa 03hb Feb ini.

Marilah kita merebut peluang melaksanakan ibadah puasa sunat di bulan Syaaban ini. Kita berpuasa sunat Hari-hari Putih pada Ahad, Isnin dan Selasa ini.


Friday, January 30, 2026

Balaslah Kebaikan Dengan Kebaikan

Jumaat, 11 Syaaban 1447H  |  Balaslah Kebaikan Dengan Kebaikan

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَتَى إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَلْيُكَافِئْ بِهِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَلْيَذْكُرْهُ فَمَنْ ذَكَرَهُ فَقَدْ شَكَرَهُ وَمَنْ تَشَبَّعَ بِمَا لَمْ يَنَلْ فَهُوَ كَلَابِسِ ثَوْبَيْ زُورٍ

Daripada Aisyah RA bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang menerima suatu kebaikan (pemberian) maka balaslah dengan kebaikan yang serupa, dan barangsiapa tidak mampu membalasnya maka sebutlah (kebaikan orang tersebut). Barangsiapa yang menyebutnya (mengucapkannya) sungguh ia telah bersyukur dan barangsiapa yang membangga-banggakan diri dengan (menggunakan) sesuatu yang ia tidak berikan maka ia seperti orang yang memakai pakaian keburukan." (HR Ahmad No: 23452) Status : Sahih dalam al-Adab al-Mufrad (215)

Pengajaran:

1.  Antara akhlak seorang Muslim apabila menerima kebaikan seperti pemberian atau hadiah, sewajarnya dibalas kebaikan dengan yang setimpal.

2.  Jika kita tidak mampu memberi balasan yang setimpal, berilah ucapan terima kasih kepada penyumbang sebagai satu dari cara kita bersyukur.

3.  Membalas jasa adalah akhlak mulia, walaupun sekadar dengan doa dan ucapan terima kasih.

4.  Syukur bukan hanya kepada Allah, tetapi juga kepada sesama manusia.

5.  Ucapan  “terima kasih” yang terbaik diungkapkan ialah kalimah “Jazakallahu khairan” (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan). Kalimat ini lebih bernilai kerana mengandungi doa di dalamnya.

عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

Daripada Usamah bin Zaid r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa yang diberikan satu perbuatan kebaikan kepadanya lalu dia membalasnya dengan mengatakan “jazaakallahu khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh hal itu telah mencukupi dalam menyatakan rasa syukurnya.” (HR. Tirmidzi No:1958) Status Hadis: Hassan

6.  Sikap berpura-pura dan menipu imej diri adalah tercela dalam Islam.

7.  Moga Allah memperbaiki akhlak kita. Jazakallahu khairan pada yang membaca dan berkongsi.

#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah

Thursday, January 29, 2026

Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

Khamis, 10 Syaaban 1447H  |  Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Tidak dicabut sifat belas kasihan (rahmat Allah) kecuali dari orang yang celaka (berbuat keji)." (HR  Tirmizi No: 1846) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki.

2.  Sifat kasih sayang merangkumi kasih sayang terhadap manusia, belas kasihan kepada kanak-kanak, orang lemah dan masyarakat sekeliling di samping sifat empati yang lahir daripada iman.

3.  Allah akan mencabut sifat kasih sayang (rahmat-Nya) daripada orang yang melakukan perbuatan keji dan maksiat.

4.  Perbuatan keji (seperti menghina, memfitnah, mengumpat dan mencela malah segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sekeliling) akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang  memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim. Tanpa disedari Allah telah menghilangkan rasa kasih sayang dalam dirinya.

5.  Menurut Ibn al-Athir, orang yang celaka merujuk kepada orang yang hatinya keras, tidak tersentuh dengan penderitaan orang lain serta hilang rasa belas kasihan akibat dosa yang berterusan.

6.  Salman al-Farisi berkata: “Sesungguhnya apabila Allah inginkan kebinasaan kepada seorang hambaNya, maka Dia mencabut darinya sifat malu, apabila sifat tersebut tercabut maka akan dicabut darinya sifat amanah sehingga dia menjadi pengkhianat. Apabila sifat amanah dicabut darinya maka akan dicabut darinya sifat rahmah (sifat belas kasih)  sehingga dia memiliki sikap keras dan berhati kasar. Apabila dia sudah dalam keadaan demikian, maka akan dicabut sebahagian iman dari tengkuknya dan bila sudah demikian maka dia tidak akan ditemui kecuali dalam keadaan telah menjadi syaitan yang dilaknat dan suka melaknat”.

Jauhi perkara keji. Pupuklah sifat kasih sayang dalam diri kita terhadap orang lain secara berterusan agar ia menjadi akhlak terpuji.


Wednesday, January 28, 2026

Jangan Menangguh Untuk Bersedekah.

Rabu, 9 Syaaban 1447H  | Jangan Menangguh Untuk Bersedekah.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ: أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيْحٌ شَحِيْحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلْ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلُقُومَ قُلْتَ: لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنِِ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata: "Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya; “Wahai Rasulullah, sedekah manakah yang paling besar pahalanya?”. Baginda menjawab: “Engkau bersedekah ketika engkau masih sihat dan ketika engkau berasa kedekut (kikir) dan  takut menjadi miskin serta berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Oleh itu, janganlah kamu menunda-nunda untuk bersedekah sehingga nyawa telah sampai di kerongkongmu, maka, kamu baru berkata, "Ini untuk si fulan dan itu untuk si fulan, padahal harta itu sebenarnya telah menjadi milik si fulan (waris)." (HR Bukhari no: 2748) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sedekah yang paling besar pahalanya ialah sedekah yang dilakukan:

a.  Ketika seseorang masih sihat
b.  Ketika berasa sayang kepada harta dan bimbang harta akan berkurang jika bersedekah
c.  Ketika masih berhasrat mengumpul harta untuk menjadi kaya.

Hal ini kerana sedekah tersebut dilakukan dengan pengorbanan nafsu dan kecintaan dunia, bukan kerana terpaksa.

2.  Bersedekah jangan ditunda kerana bimbang kematian menjemput kita. Menangguhkan sedekah boleh mengurangkan keikhlasan dan tidak menunjukkan pengorbanan sebenar.

3.  Segera bersedekah, jangan tunggu nyawa sampai dihalkum. Bila kita mati, harta yang ditinggalkan akan menjadi harta waris untuk difaraidkan, bukan milik kita. Bila ia menjadi hak orang lain, ia tidak mendatangkan manfaat kepada si mati.

4.  Harta adalah amanah bukan milik mutlak kita.

5.  Sedekah adalah latihan melawan sifat tamak dan cinta dunia.


Tuesday, January 27, 2026

Tanda Kebahagiaan dan Kecelakaan

Selasa, 8 Syaaban 1447H  |   Tanda Kebahagiaan dan Kecelakaan

عَنْ إِسْمَاعِيلَ  بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ  عَنْ أَبِيهِ  عَنْ جَدِّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ  وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ  وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَب الْهَنِيءُ  وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ  وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ  وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ  وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

Daripada Ismail Muhammad Bin Sa’ad Bin Abi Waqqas daripada ayahnya daripada datuknya. Datuknya (Sa’ad Bin Abi Waqqas) berkata: Rasulullah SAW bersabda: Empat perkara yang membawa kebahagiaan. Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Manakala Empat perkara yang membawa kesengsaraan adalah jiran yang buruk, isteri yang buruk, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang menyusahkan.” (HR Ibnu Hibban No: 4032) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Empat perkara yang membawa kebahagiaan di dunia

a.  Isteri yang solehah iaitu isteri yang baik. Sentiasa membantu suami dalam ketaatan kepada Allah. Menjadi penenang jiwa suami, ketika dipandang suami ia menggembirakan. Sentiasa menjaga maruah diri, harta dan suami.

b.  Tempat tinggal yang luas iaitu yang banyak manfaat bagi penghuninya (tidak semestinya rumah besar). Rumah yang didalamnya hati akan menjadi lapang dan tidak sempit (Takhrij al-Musnad no 15372).

c.  Jiran yang baik iaitu jiran yang sentiasa bermanfaat dan tidak menyakiti orang lain.

d.  Kenderaan yang selesa iaitu kenderaan yang memudahkan urusan, tidak mendatangkan bahaya serta tidak membebankan sama ada dengan hutang mahupun kerosakan.

2.  Empat punca kesengsaraan hidup di dunia:

a.  Jiran yang buruk iaitu yang buruk akhlaknya serta kehidupannya akan mempengaruhi kita dan anak-anak.

b.  Isteri yang buruk iaitu isteri yang berakhlak dan perangai yang buruk

c.  Tempat tinggal yang sempit iaitu rumah yang tidak menjadikan kita bahagia dan merasa lapang berada di dalamnya

d.  Kenderaan yang menyusahkan dan membebankan.

Setiap Muslim disyariatkan berdoa antaranya doa memohon kelapangan dan keberkatan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sering berdoa:

ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺇِﻧِّﻲ ﺃَﻋُﻮﺫُ ﺑِﻚَ ﻣِﻦْ ﺟَﺎﺭِ ﺍﻟﺴُّﻮﺀ ﻭَﻣِﻦْ ﺯَﻭْﺝٍ ﺗُﺸَﻴِّﺒُﻨِﻲ ﻗَﺒْﻞَ ﺍﻟْﻤَﺸِﻴﺐِ ﻭَﻣِﻦْ ﻭَﻟَﺪٍ ﻳَﻜُﻮﻥُ ﻋَﻠَﻲَّ ﺭِﺑًﺎ  ﻭَﻣِﻦْ ﻣَﺎﻝٍ ﻳَﻜُﻮﻥُ ﻋَﻠَﻲَّ ﻋَﺬَﺍﺑًﺎ  ﻭَﻣِﻦْ ﺧَﻠِﻴﻞٍ ﻣَﺎﻛِﺮٍ  ﻋَﻴْﻨَﻪُ ﺗَﺮَﺍﻧِﻲ ﻭَﻗَﻠْﺒُﻪُ ﺗَﺮْﻋَﺎﻧِﻲ ﺇِﻥْ ﺭَﺃَﻯ ﺣَﺴَﻨَﺔً ﺩَﻓَﻨَﻬَﺎ ﻭَﺇِﺫَﺍ ﺭَﺃَﻯ ﺳَﻴِّﺌَﺔً ﺃَﺫَﺍﻋَﻬَﺎ
 
Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari tetangga yang buruk,  dari isteri yang membuatku beruban sebelum masa beruban, dari anak yang menjadi tuan bagiku, dari harta yang menjadi siksaan atasku, dan dari kawan yang berbuat makar, matanya memandangiku sedang hatinya mengawasiku. Jika ia melihat kebaikan, maka ia tanam (sembunyikan), dan jika melihat keburukan, maka ia menyebarkannya.  (HR. Hannad dalam Az-Zuhd (no. 1038) Status: Hadis sahih dalam Ash-Shohihah no. 3138).