Rabu, 20 Muharram 1447H | Memelihara Al-Quran
عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَعَاهَدُوا الْقُرْآنَ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنَ الْإِبِلِ فِي عُقُلِهَا
Daripada Abu Musa al-Ash‘ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Peliharalah al-Quran (dengan sentiasa membacanya dan mengulanginya) secara berterusan. Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya al-Quran itu lebih mudah hilang (daripada dada) berbanding unta yang terlepas dari ikatannya. (HR Muslim No: 791) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Menurut Imam al-Nawawi, seseorang hendaklah memelihara al-Quran dengan sentiasa mengulangi, menghafaz dan membaca al-Quran secara berkala, supaya hafazannya tidak hilang atau lupa sesuai dengan sifat manusia yang mudah lupa.
2. Rasulullah SAW mengumpamakan al-Quran seperti unta yang diikat, dan bila tidak dijaga, ia mudah terlepas dan sukar ditangkap semula.
3. Menjaga hafazan al-Quran adalah dituntut bagi penghafaz (huffaz) supaya tidak melupakan apa yang telah dihafaz dengan sentiasa mengulang bacaan secara berkala.
4. Al-Quran adalah amanah yang perlu dipelihara melalui pembacaan, pemahaman dan diamalkan isi kandungannya bukan sekadar mengingatinya di bibir.
5. Al-Quran adalah cahaya dan panduan hidup. Hanya dengan menjaga dan mendekatinya sentiasa, kita tidak akan sesat dalam gelap kehidupan.
6. Hadis ini merupakan peringatan serius daripada Nabi SAW supaya kita tidak melupakan al-Quran yang telah dipelajari, baik secara hafazan mahupun bacaan. Memelihara al-Quran menekankan disiplin, konsistensi, dan kesungguhan dalam menjaga hubungan dengan al-Quran.
No comments:
Post a Comment