Selasa, 17 Rejab 1431H : Panggilan Jihad selalunya dikhususkan kepada kaum lelaki saja kerana ia bersesuaian dengan kejadian dan sifat kaum lelaki itu sendiri. Walau bagaimanapun kaum wanita juga boleh memperolehi pahala jihad tanpa perlu bersusah payah untuk bertempur di medan perang seperti kaum lelaki berdasarkan hadis berikut :
Daripada Aishah r.a. katanya, aku berkata, “Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad?” Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.” (HR al-Bukhari)
Huraian:
- Rasulullah SAW dengan penuh bijaksana telah mengembirakan hati kaum wanita yang tidak dapat menyertai Jihad Fisabilillah untuk mati syahid dengan pilihan yang lebih baik iaitu ibadat haji dan mendapatkan haji yang mabrur.
- Haji juga disebut oleh Rasulullah SAW sebagai ibadah yang darjatnya sama dengan jihad fi sabilillah, kerana apabila seseorang itu mati sewaktu menunaikan ibadah haji, matinya itu tergolong seperti mati syahid.
- Rasulullah SAW bersabda: " Jihad orang yang tua, lemah dan wanita ialah menunaikan haji" (an-Nasa'i). Oleh itu setiap muslim harus menunaikan ibadah haji dengan sebaik-baiknya sebagaimana ibadah-ibadah lainnya iaitu ia mestilah disertai dengan hati yang ikhlas kerana Allah dan dalam rangka memperoleh keredhaan-Nya.
- Apabila keikhlasan sudah tertanam di dalam jiwa, meskipun pelaksanaannya kelihatan begitu berat dan memerlukan pengorbanan harta, tenaga, waktu, perasaan bahkan nyawa, seseorang muslim akan dengan sendirinya terasa ringan untuk melakukannya.
- Sebaliknya, tanpa keikhlasan, bukan sahaja ibadah yang berat seperti tawaf yang memerlukan manusia bersesak-sesak, wuquf di dalam cuaca panas terik, melontar yang bakal dihujani pelbagai risiko dan sebagainya, malah ibadah yang ringan pun akan terasa berat untuk dilaksanakannya jika hati tidak disertai keikhlasan. Itulah sebabnya mengapa haji termasuk dalam konteks jihad dalam beribadah.
Sumber JAKIM
No comments:
Post a Comment