Jumaat, 11 Jamadilakhir 1431H : Allah SWT berfirman dalam AlQuran “ Wahai orang yang beriman, ingatlah Allah ( berzikirlah kepada Allah ) dengan ingatan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah (sucikanlah) Dia pada waktu pagi dan petang.” ( Surah Al Ahzab 33 : 41 – 42 ).
Daripada Anas r.a Sabda Nabi SAW : “ Kalau aku duduk bersama kaum yang menyebut nama Allah Taala selepas solat Subuh hingga terbit matahari, lebih aku suka daripada memerdekakan empat orang daripada keturunan Nabi Ismail dan kalau aku duduk bersama kaum yang menyebut nama Allah Taala selepas solat Asar hingga terbenam matahari lebih aku suka daripada memerdekakan empat orang “ ( HR Abu Daud )
Huraian :
- Sesungguhnya kita dituntut untuk mengingati Allah sepanjang hari semasa bekerja, tidur dan melakukan lain-lain aktiviti.
- Sesungguhnya sebaik-baik zikir ( mengingati Allah ) ialah membaca Al Quran.
- Zikir boleh dilaksanakan dalam tiga bentuk iaitu Zikir Qauli, Zikir Qalbi dan Zikir fikli.
- Zikir qauali ialah zikir yang paling khusus iaitu berkaitan sebutan seperti menyebut “Subhanallah (bertasbih ) ‘, Alahamdulillah (Tahmid)”, Allahuakhbar (Bertakbir )”, Lailahaillallah (Bertahlil)” , “Astaghfirullah (Bertaubat)”, berdoa sebelum melakukan sesuatu perbuatan, membaca Al Quran, bercakap tentang kalimah Allah (berdakwah) dan sebagainya.
- Zikir Qalbi ialah zikir hati di mana hati sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan sama ada ketika bekerja, memandu kenderaan, melihat kejadian Allah, lebih-lebih lagi ketika beribadah atau solat.
- Zikir fikli ialah zikir perbuatan seperti bibir berkumit-kamit, jari mengira buah tasbih, kepala mengangguk-ngganguk, anggota tubuh menunjukkan perbuatan yang baik seperti kaki berjalan ke masjid, tangan bersedekah atau menolong orang susah, berpuasa dan sebagainya semata-mata kerana Allah.
- Zikir waktu pagi selepas solat subuh hingga sebelum terbit matahari hingga waktu Zuhur.
Zikir waktu petang selepas solat Asar sehingga terbenam matahari (Maghrib) hingga waktu Isyak. - Sekiranya tidak berkesempatan boleh dillakukan diwaktu hendak tidur.
- Sekiranya tidak dapat mengamalnya, amallah sekadar yang termampu agar kita tidak terlepas memperolehi kelebihannya.
Petikan Zikir Pagi Petang oleh Dr Abdul Basit Hj Abdul Rahman
No comments:
Post a Comment