Wednesday, June 30, 2010

Tujuh Amalan Sunnah

Rabu, 18 Rejab 1431H ; Antara tujuh amalan sunnah Rasulullah yang dituntut diamalkan setiap hari ialah :

1. Solat Tahajjud
Solat Tahajjud ialah solat apabila terjaga daripada tidur malam. Sebaik-baiknya 1/3 malam yang terakhir iaitu dalam lingkungan jam 3 atau 4 pagi. Jumlah rakaat sekurang-kurangnya 2 rakaat.
Di antara fadhilatnya :
  • Mendapat pengawasan Allah dan menampakkan kesan ketaatan di wajahnya.
  • Dikasihi oleh para ahli ibadah dan org mukmin.
  • Percakapannya menjadi hikmah dan bijaksana.
  • Dimudahkan hisab ke atasnya.
  • Mendapat catatan amal dari tangan kanan.
    Firman Allah SWT yang bermaksud :“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji. (Al-Isra : 79)
  • Membaca Al-Qur'an Sebelum Terbit Matahari

2.Membaca Al-Quran
Membaca Al-Quran merupakan salah satu sunnah Rasulullah terutamanya membaca Al-Quran pada waktu sebelum terbitnya matahari. Besar pahala bagi orang yang mebaca Al-Quran dan mentadabbur isinya. Jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan jangan dijadikan Al-Quran sebagai bacaan bacaan sahaja. Jadikan Al-Quran sebagai bacaan, panduan dan membudayakan Al-Quran dalam setiap perkara dalam kehidupan kita. Firman Allah yang bermaksud :“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan Yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita Yang mengembirakan orang-orang Yang beriman Yang mengerjakan amal-amal soleh, Bahawa mereka beroleh pahala Yang besar.” (Al-Isra : 9)

3.Solat 5 waktu Berjamaanh di Masjid

Solat yang lebih baik adalah solat berjamaah di masjid, kerana pahala orang yang solat berjamaah di masjid sangat besar dan pahalanya dikira pada setiap langkahnya ke masjid dan ia juga akan memperolehi pahala berjamaah sebanyak 27 pahala. Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :"Sungguh, alangkah ingin aku menyuruh (para sahabat) melakukan solat, dan aku suruh seseorang untuk mengimaminya, kemudian aku pergi bersama beberapa orang yang membawa beberapa ikat kayu api menuju (rumah) orang-orang yang tidak ikut solat berjemaah, untuk membakar rumah mereka dengan api. "

4.Jaga Solat Dhuha
Solat Sunat Dhuha adalah solat yang yang sangat dianjurkan oleh Rasulullah kepada umatnya, kerana solat sunat Dhuha ini banyak kelebihannya. Di antara kelebihannya ialah pintu rezeki dibuka dan dimurahkan rezeki. Waktu solat sunat Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir. Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

5.Jaga Sedekah
Sedekah ialah seseorang itu mengorbankan sedikit hartanya untuk diberikan kepada orang yang memerlukan dengan hati dan perasaan yang ikhlas kerana Allah. Bagi orang yang rajin bersedekah, Allah akan gandakan setiap sedekahnya dengan rezeki yang melimpah. Firman Allah yang bermaksud :“Dan jangan sekali-kali orang-orang Yang bakhil Dengan harta benda Yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka Bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. bahkan ia adalah buruk bagi mereka. mereka akan dikalongkan (diseksa) Dengan apa Yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. dan bagi Allah jualah hak milik Segala warisan (isi) langit dan bumi. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan Segala Yang kamu kerjakan. (mukjizat) Yang nyata dan Dengan (korban) Yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang Yang benar (dalam apa Yang kamu dakwakan itu)?" (Al-Imran : 180)

6.Jaga Wudhuk
Terus Meneruswudhu adalah salah satu cara untuk menyucikan diri dari hadas kecil. Orang yang menjaga wuduknya akan disayangi oleh Allah. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib :"Orang yang selalu berwudhuk senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

7.Istighfar
Setiap Masa Istighfar ialah memohon keampunan dari Allah atas segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan dan berjanji kepada Allah tidak akan mengulangi kesalahan tersebut. Firman Allah yang bermaksud :“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang Engkau (Wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” (Al-Anfal : 33)

Petikan Dari http://www.ustaznoramin.com/2010/06/7-sunnah-nabi-yang-patut-dilakukan.html

Tuesday, June 29, 2010

Hadis : Jihad Kaum Wanita

Selasa, 17 Rejab 1431H : Panggilan Jihad selalunya dikhususkan kepada kaum lelaki saja kerana ia bersesuaian dengan kejadian dan sifat kaum lelaki itu sendiri. Walau bagaimanapun kaum wanita juga boleh memperolehi pahala jihad tanpa perlu bersusah payah untuk bertempur di medan perang seperti kaum lelaki berdasarkan hadis berikut :

Daripada Aishah r.a. katanya, aku berkata, “Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad?” Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.” (HR al-Bukhari)


Huraian:

  1. Rasulullah SAW dengan penuh bijaksana telah mengembirakan hati kaum wanita yang tidak dapat menyertai Jihad Fisabilillah untuk mati syahid dengan pilihan yang lebih baik iaitu ibadat haji dan mendapatkan haji yang mabrur.

  2. Haji juga disebut oleh Rasulullah SAW sebagai ibadah yang darjatnya sama dengan jihad fi sabilillah, kerana apabila seseorang itu mati sewaktu menunaikan ibadah haji, matinya itu tergolong seperti mati syahid.

  3. Rasulullah SAW bersabda: " Jihad orang yang tua, lemah dan wanita ialah menunaikan haji" (an-Nasa'i). Oleh itu setiap muslim harus menunaikan ibadah haji dengan sebaik-baiknya sebagaimana ibadah-ibadah lainnya iaitu ia mestilah disertai dengan hati yang ikhlas kerana Allah dan dalam rangka memperoleh keredhaan-Nya.

  4. Apabila keikhlasan sudah tertanam di dalam jiwa, meskipun pelaksanaannya kelihatan begitu berat dan memerlukan pengorbanan harta, tenaga, waktu, perasaan bahkan nyawa, seseorang muslim akan dengan sendirinya terasa ringan untuk melakukannya.

  5. Sebaliknya, tanpa keikhlasan, bukan sahaja ibadah yang berat seperti tawaf yang memerlukan manusia bersesak-sesak, wuquf di dalam cuaca panas terik, melontar yang bakal dihujani pelbagai risiko dan sebagainya, malah ibadah yang ringan pun akan terasa berat untuk dilaksanakannya jika hati tidak disertai keikhlasan. Itulah sebabnya mengapa haji termasuk dalam konteks jihad dalam beribadah.

Sumber JAKIM

Monday, June 28, 2010

Hadis : Sifat-sifat Orang Munafik

Isnin, 16 Rejab 1431H : Sesungguhnya orang yang paling bahaya dikalangan orang Islam ialah orang Munafik. Mereka kelihatan sama dikalangan orang Islam malahan daripada amalannya zahirnya lebih daripada orang beriman yang tulen tetapi pada hakikatnya mereka adalah lebih bahaya daripada orang kafir sendiri. Walau bagaimanapun Rasulullah SAW memberikan gambaran kepada kita untuk mengenali ciri-ciri orang munafik melalui hadis berikut :

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila berte ngkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ).( HR Ahmad )


Pengajaran Hadith:

i) Amanah bermaksud tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya.

ii) Amanah meliputi berbagai-bagai aspek seperti amanah tehadap Allah dan Rasul-Nya, amanah terhadap diri sendiri dan amanah terhadap masyarakat dan perkhidmatan.

iii) Monopoli kuasa dan tanggungjawab yang luas di tangan seseorang akan menyebabkan kuasa itu tidak berkesan dan tanggungjawab tidak dapat dijalankan. Oleh itu sesuatu tugas itu hendaklah diamanahkan kepada mereka yang layak dan mampu melaksanakannya di mana ia memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketakwaan.

iv) Tidak amanah adalah satu tanda munafik. Akibatnya seseorang itu tidak lagi dipercayai oleh masyarakat disebabkan sifat khianat yang telah dilakukannya terhadap sesuatu tanggungjawab yang diberikan kepadanya.
Sumber JAKIM

Friday, June 25, 2010

Hadis : Bacalah "Zahrawain".

Jumaat, 13 Rejab 1431H : Kita disuruh berusaha membaca Al Quran setiap hari dan setiap masa jika mampu. Surah-surah dalam Al Quran mempunyai kelebihan yang tersendiri. Antaranya petikan daripada Hadith : Dari Abu Umamah al-Bahili r.a, katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

Bacalah al-Quran kerana dia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah al-Baqarah dan Aali-Imran , kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti seperti dua kumpulan awan menaungi pembacanya atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam matlamat hendak membela pembacanya. Bacalah al-Baqarah kerana dengan membacanya beroleh berkat dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan dan pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan oleh tukang-tukang sihir). ” (HR Muslim)

Huraian;
  • Al Quran merupakan petunjuk bagi umat manusia, di dalamnya tersimpan berjuta fadhilat atau hikmat yang tidak diketahui oleh manusia.

  • Di samping itu al Quran juga berfungsi sebagai penawar atau pendinding bagi jasmani dan rohani manusia yang mengerti dan mengamalkannya menurut ketentuan sunnah.

  • Yang penting adalah keyakinan diri kita terhadap kebesaran Allah dan keagungan kalimah-kalimah Allah yang dijadikan sebagai pendinding daripada kejahatan kuasa-kuasa ghaib yang dihantar oleh pengamal ilmu-ilmu kebatinan yang sesat (ilmu hitam).

  • Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Dia-lah sebaik-baik pelindung yang tiada siapa dapat menandingi-Nya.

Sumber JAKIM

Thursday, June 24, 2010

Hadis : Dakwah Yang Berhikmah

Khamis, 12 Rejab 1431H : Rasulullah SAW telah mengajar umat Islam akhlak dalam berdakwah walaupun dalam keadaan yang marah melalui Sabdaannya melalui hadis berikut :

“Daripada Abu Hurairah r.a. katanya:” Seorang Arab Badwi telah membuang air kecil di dalam masjid, lalu orang ramai pun bangun hendak bertindak ke atasnya. Maka rasulullah s.a.w bersabda (yang maksudnya): “Biarkan dia (hingga selesai ia membuang air kecil) dan siramkan sebaldi atau segayung air ke atas kencingnya itu. Sesungguhnya kamu diperintah untuk memberi kemudahan, bukan untuk mendatangkan kesusahan.” ( Riwayat al-Bukhari )

Huraian :

1. Teguran Rasulullah s.a.w di dalam hadith tersebut adalah sebagai panduan kepada umat Islam agar bertindak dengan penuh hikmah dan menegur secara baik. Bahkan ia termasuk di dalam strategi dakwah yang amat penting.

2. Masjid merupakan tempat suci yang amat perlu dijaga kebersihannya. Oleh itu setiap ahli jemaah mestilah mematuhi peraturan masjid yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan masjid agar memberi kemudahan kepada semua pihak.

3. “Memudah dan tidak menyukarkan” adalah antara prinsip asas Islam yang harus diutamakan dalam melakukan segala perkara selagi mana ia tidak melanggar batas-batas syarak.

Sumber JAKIM

Wednesday, June 23, 2010

Hadis : Kunci Kemurahan Rezeki

Rabu, 11 Rejab 1431H : Sesungguhnya setiap daripada manusia yang dilahirkan telah ditentukan rezekinya. Mereka yang diberi rezeki dan dibelanjakan ke jalan yang dituntut dan diredahi oleh agama akan mendapat pahala dari Allah SWT. Rezeki yang baik dan halal merupakan salah satu kunci kemurahan rezeki:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.” ( Riwayat Bukhari & Muslim )

Pengajaran Hadis:

i) Allah yang mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah S.W.T yang maksudnya "Bandingan (perbelanjaan/derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (al-Baqarah:26)

ii) Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang yang memerlukannya kerana kesenangan (kekayaan) yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya merupakan satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini.

iii) Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan oleh Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.

iv) Oleh itu demi mencari keredhaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat-ingat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan. Sebenarnya di sebalik amalan bersedekah akan dapat mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan sesungguhnya amalan yang baik akan dibalas baik oleh Allah S.W.T.
Sumber JAKIM

Tuesday, June 22, 2010

Hadis : Pentingkan Diri Sendiri

Selasa, 10 Rejab 2010 : Antara sifat buruk yang ada dikalangan manusia ialan mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan orang lain. Sifat atau sikap ini sangat dikutuk dan akan memerima amaran yang keras dari Allah dan RasulNya. Hadith dari Abu Hurairah r.a. katanya:

“Bersabda Rasulullah SAW: “ Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan pada hari kiamat kelak, bahkan akan mendapat seksa yang pedih, iaitu seorang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, sedangkan ia tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan, seorang yang menjajakan barang dagangannya sesudah lewat waktu Asar sambil bersumpah dusta bahawa pokoknya sekian-sekian dan dipercayai oleh si pembeli dan seorang lagi yang membai’at pemimpin hanya untuk maksud manfaat keduniaan; apabila kelak maksudnya tercapai, ia patuh dan jika tidak, ia mungkir (berpaling tadah).” ( HR. Muslim)

Huraian :
  1. Jujur dan telus adalah sifat yang datang dari dalam jiwa insan yang beriman.

  2. Orang-orang yang selalu mementingkan dirinya tidak akan memikirkan kepentingan orang lain sebaliknya akan sanggup berbuat apa sahaja asalkan hajatnya tercapai.

  3. Kehidupan kita bukanlah bersandarkan kehendak hawa nafsu tetapi ia perlu kepada semangat kekitaan dan kasih sayang yang mengenepikan segala unsur peribadi yang menjadikan seseorang itu lupa diri dan lupa saudara.

  4. Seharusnya apa sahaja yang dilakukan hendaklah bermula dari niat yang betul dan ikhlas. Kedua-dua sifat tersebut menentukan sejauhmanakah kita bepegang pada prinsip walaupun di akhirnya kita terpaksa berkorban.
Hadis Hariian JAKIM

Monday, June 21, 2010

Hadis : Kepimpinan

Isnin, 9 Rejab 1431H : Setiap daripada kita adalah pemimpin dan merupakan amanah daripada Allah. Seorang pemimpin akan memimpin orang dibawahnya atau dibawah tanggungjawabnya. Jika kita tiada orang yang hendak dipimpin maka yang dipemimpin ialah dirinya sendiri. Islam amat menekankan kepimpinan. Antaranya hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :”Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.” ( Riwayat Muslim )

Huraian:
i) Sekurang-kurangnya setiap manusia itu menjadi pemimpin kepada dirinya sendiri. Oleh itu ia bertanggungjawab menjaga dirinya dan orang yang diamanahkan kepadanya seperti anak, isteri, keluarga, para pekerja dan sebagainya agar hidup mereka berjalan dengan baik dan sempurna.

ii) Setiap amanah mestilah diterima secara hak dan penuh kefahaman tentang tugas-tugas dan kewajipan yang terkandung di dalamnya. Seterusnya dipikul dengan ikhlas dan jujur serta berusaha sedaya upaya agar tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan.

iii) Sebaliknya sesuatu amanah itu jika dijadikan batu loncatan untuk kepentingan diri, bermegah dan berseronok maka kepimpinan itulah yang bakal menjadi punca penyesalan dan kehinaan di akhirat. Bahkan ketika di dunia lagi ia akan merasai kehinaannya terutama apabila kepimpinannya itu terlucut daripadanya.

iv) Oleh itu bagi orang yang benar-benar menyedari tentang hakikat sesuatu tanggungjawab kepimpinan, tidak mungkin akan meminta atau terlalu ghairah merebut sesuatu jawatan kerana setiap amanah itu perlu dipikul dengan berhati-hati kerana setiap kepimpinan adalah amanah dan setiap amanah adalah tanggungjawab yang akan disoal di hari akhirat kelak.

Friday, June 11, 2010

Hidupkan Hati Dengan Zikir

Jumaat, 11 Jamadilakhir 1431H : Allah SWT berfirman dalam AlQuran “ Wahai orang yang beriman, ingatlah Allah ( berzikirlah kepada Allah ) dengan ingatan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah (sucikanlah) Dia pada waktu pagi dan petang.” ( Surah Al Ahzab 33 : 41 – 42 ).

Daripada Anas r.a Sabda Nabi SAW : “ Kalau aku duduk bersama kaum yang menyebut nama Allah Taala selepas solat Subuh hingga terbit matahari, lebih aku suka daripada memerdekakan empat orang daripada keturunan Nabi Ismail dan kalau aku duduk bersama kaum yang menyebut nama Allah Taala selepas solat Asar hingga terbenam matahari lebih aku suka daripada memerdekakan empat orang “ ( HR Abu Daud )

Huraian :

  • Sesungguhnya kita dituntut untuk mengingati Allah sepanjang hari semasa bekerja, tidur dan melakukan lain-lain aktiviti.
  • Sesungguhnya sebaik-baik zikir ( mengingati Allah ) ialah membaca Al Quran.
  • Zikir boleh dilaksanakan dalam tiga bentuk iaitu Zikir Qauli, Zikir Qalbi dan Zikir fikli.
  • Zikir qauali ialah zikir yang paling khusus iaitu berkaitan sebutan seperti menyebut “Subhanallah (bertasbih ) ‘, Alahamdulillah (Tahmid)”, Allahuakhbar (Bertakbir )”, Lailahaillallah (Bertahlil)” , “Astaghfirullah (Bertaubat)”, berdoa sebelum melakukan sesuatu perbuatan, membaca Al Quran, bercakap tentang kalimah Allah (berdakwah) dan sebagainya.
  • Zikir Qalbi ialah zikir hati di mana hati sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan sama ada ketika bekerja, memandu kenderaan, melihat kejadian Allah, lebih-lebih lagi ketika beribadah atau solat.
  • Zikir fikli ialah zikir perbuatan seperti bibir berkumit-kamit, jari mengira buah tasbih, kepala mengangguk-ngganguk, anggota tubuh menunjukkan perbuatan yang baik seperti kaki berjalan ke masjid, tangan bersedekah atau menolong orang susah, berpuasa dan sebagainya semata-mata kerana Allah.
  • Zikir waktu pagi selepas solat subuh hingga sebelum terbit matahari hingga waktu Zuhur.
    Zikir waktu petang selepas solat Asar sehingga terbenam matahari (Maghrib) hingga waktu Isyak.
  • Sekiranya tidak berkesempatan boleh dillakukan diwaktu hendak tidur.
  • Sekiranya tidak dapat mengamalnya, amallah sekadar yang termampu agar kita tidak terlepas memperolehi kelebihannya.

Petikan Zikir Pagi Petang oleh Dr Abdul Basit Hj Abdul Rahman

Thursday, June 10, 2010

Hadis: Amal Selalu Membaca Al Quran

Khamis, 27 Jamadilakhir 1431H : Membaca Al-quran amat dituntut oleh agama. Ia sumber rahmat Allah, sumber pahala, sumber ketenangan hati, sumber panduan kehidupan dunia dan akhirat, sumber kekuatan hati dan banyak lagi hikmah-hikmah yang tersembunyi. Oleh itu keraplah membaca Al Quran setiap hari dengan penuh Istiqamah walaupun sebaris ayat. Hadith Rasulullah banyak membicarakan tentang Al Quran antaranya :

Dari Abu Musa r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Selalu-selalulah membaca al-Quran kerana demi Allah ia lebih cepat lepas daripada unta di tambatannya.” (Muslim)

Huraian:
  • Membaca al-Quran merupakan ibadah yang paling utama sesudah amal-amal fardhu yang telah diwajibkan oleh Allah.

  • Sesiapa yang meninggalkannya kerana keangkuhannya, nescaya Allah akan membinasakannya.

  • Sesiapa yang mencari petunjuk pada selain-Nya, maka Allah akan menyesatkannya.

  • Jangan melupakan al-Quran yang dibaca (diingat atau dihafal) kerana nabi s.a.w pernah bersabda: "Seburuk-buruk orang di antara kamu ialah yang mengatakan,"Aku lupa ayat ini dan itu," tetapi sebenarnya dia melupakannya. Hafallah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran itu lebih cepat perginya dari dada kaum lelaki daripada unta (yang terikat)." (Syaikhan dan at-Tirmidzi).

  • Rasulullah s.a.w juga telah bersabda: “Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya. Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"Maka berkata al-Qur'an : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu: "Adakah kamu al-Quran?" Lalu al-Quran mengakui dan menuntun orang yang pernah membacanya mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangannya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya. Pada kedua ayah dan ibunya yang muslim pula diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab: "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

Wednesday, June 9, 2010

Hadis :Saat Sampai Ajal

Rabu, 26 Jamadilakhir 1431H ; Keadaan seseorang ketika sampai ajal adalah berbeza mengikut ketentuan Allah berdasarkan amalan masing.masing. Banyak hadis yang mengambarkan saat sampainya ajal antaranya dari Aisyah r.a katanya: "Aku melihat Nabi s.a.w semasa Baginda hampir wafat dan disisinya sebuah bijana berisi air, dan Baginda memasukkan tangannya ke dalam bijana itu lalu menyapu mukanya, sesudah itu Baginda berdoa: "Ya Tuhanku! Berilah aku pertolongan terhadap penderitaan-penderitaan maut atau Sakratul maut (yang sedang aku hadapi)". ( Aisyah r.a )

Huraian :
  1. “Sakratul Maut” adalah suatu penderitaan yang dialami oleh roh dengan keadaan yang tertentu pada masa roh hendak meninggalkan jasad seseorang.
  2. Ia (sakratul maut) akan tetap ditempuh oleh setiap manusia dengan berbagai-bagai cara sama ada yang berat dan sukar atau yang mudah dan senang.
  3. Menurut huraian para ulama’ , Allah menjadikan nabi-nabi dan wali-wali-Nya menderita sukar menghadapi “Sakratul maut” hanyalah untuk menambahkan ketinggian darjat mereka sedangkan bagi orang-orang Islam yang lain mengalami kesukaran sakratul maut adalah sebagai “kaffarah” (penghapus dosa) daripada kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan.
  4. Berdasarkan hadith ini suatu kesimpulan dapat dibuat bahawa anggapan tentang beratnya ‘Sakratul maut’ itu menandakan kemurkaan Tuhan dan ringannya pula menandakan keredaan Tuhan adalah tidak benar. Malah ia sebenarnya bergantung pada kedudukan seseorang itu di sisi Allah S.W.T, bukan berdasarkan penilaian mata kasar dan mata hati manusia semata-mata.

Petikan Hadis Harian JAKIM

Tuesday, June 8, 2010

Hadis : Lelaki Haram Memakai Gelang Tangan

Selasa, 25 Jamadilakhir 1431H : Larangan memakai gelang tangan wlpun untuk tujuan kesihatan, telah ditegaskan oleh Rasullulah s.a.w.: Hadis Imran bin Hussein r.a., bahawasanya Rasullulah s.a.w. telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang yang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki berkenaan. "Apakah bendanya ini"?Lelaki itu berkata,"Ia adalah gelang perubatan". Rasullullah SAW bersabda,"Sesungguhnya benda itu tidak memberi apa-apa (faedah walau pun untuk tujuan perubatan), buangkan benda itu daripada. diri anda, jika sekiranya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) untuk selama-lamanya."
( Hadis Sahih yg ke-19,885 Riwayat Imam Ahmad. )

Kejahilan dan kedangkalan untuk tidak mendalami ilmu agama menyebabkan seseorang itu terikut-ikut dengan tindakan, penerampilan cara hidup orang kafir. Musuh Islam merancang termasuk dalam bidang perubatan agar orang Islam terjebak untuk menerima cara yang diperkenalkan yang bertentangan dengan akidah Islam.

Penciptaan alat bagi mengurangkan tekanan darah dalam bentuk gelang tangan, bagi orang Islam yang tipis imannya akan menerimanya sebagai satu kaedah perubatan terkini. Hakikatnya banyak cara lain yang boleh di gunakan, tetapi kerana memakai gelang itu adalah dilarang untuk dipakai oleh lelaki Muslim, maka itulah cara terbaik diperkenalkan oleh musuh agar Muslim dilaknat oleh Allah s.w.t., apabila dilaknat mereka tidak akan menjadi umat yang kuat untuk menghadapi kemaraan musuh mereka.

Sesungguhnya mereka semua telah tertipu dengan perancangan musuh yang mahu menghancurkan pegangan akidah umat Islam. Di Malaysia trend ini bermula di mana gelang hitam diberikan sebagai hadiah orang yang baru balik dari Mekah. Sekarang ini dibenarkan oleh Tabung Haji kepada jemaah haji apabila berada di Tanah Suci supaya faktor mudah di kenali atau sebarang kes hilang , kemalangan dan sebagainya.

Jenis-jenis gelang yang di haramkan bagi lelaki:-
1) Gelang Kayu koka
2) Gelang Kristal
3) Gelang Tasbih
4) Gelang Getah plastik
5) Gelang Besi magnet
6) Gelang Besi Tabung Haji (apabila berada di Malaysia)

Jenis2 gelang yang diharuskan:-
1) Gelang pesakit semasa berada di hospital (di tanda nama pesakit dan wad)
2) Gelang pesalah/penjenayah (dipakai oleh penjenayah yg telah ditangkap polis)
3) Gelang kaki bagi pesakit gila/jiwa.

Sekiranya ada yang hendak pakai sangat, maka dia hendaklah berusaha menjadi salah satu daripada 3 golongan ini.

Petikan dari Ustaz Zainuddin Hashim

Monday, June 7, 2010

Hadis : Pantang Menyerah Sebelum Ajal

Isnin, 24 Jamadilakhir 1431H - Dari Anas bin Malik r.a, nabi s.a.w bersabda:Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian kerana suatu malapetaka yang menimpanya. Jika ia tidak dapat berbuat sesuatu (sudah puas berubat atau berikhtiar) maka hendaklah ia berdoa:”Wahai Tuhanku, hidupkanlah aku seandainya kehidupan itu lebih baik bagiku, tetapi matikanlah aku seandainya kematian itu lebih baik bagiku.” (Bukhari)

Huraian
  • Agama Islam menyuruh umatnya agar berusaha dan berikhtiar dalam apa jua perkara dan kesulitan yang dialami di samping berdoa memohon petunjuk dan pertolongan daripada Allah SWT.
  • Setelah berusaha dan berdoa, kita perlu menyerahkan diri kepada Allah iaitu bertawakal kepadaNya kerana hanya Allah sahaja yang mengetahui hikmah disebaliknya.
  • Kehidupan di dunia ini merupakan tempat ujian daripada Allah yang diberikan kepada setiap manusia demi menguji sejauhmanakah keteguhan iman seseorang itu dan setakat manakah pergantungannya terhadap Allah.
  • Orang-orang yang beriman akan sentiasa bersabar dan tabah dalam dugaan.
  • Orang yang kurang imannya di mana hal yang demikian boleh memungkinkan seseorang itu menyalahkan takdir Allah hingga diri tersesat jauh dari jalan-Nya.
  • Sebagai seorang muslim yang beriman kita sentiasa perlu beringat bahawa setiap kesakitan yang dialami itu adalah suatu tanda kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya di mana jika seseorang itu berjaya mengatasinya iaitu ia tidak mengeluh dan sentiasa bersabar sambil berusaha dan berikhtiar, Allah akan memberinya ganjaran pahala yang amat besar.
  • Orang yang bersabar menghadapi ujian Allah akan dipertingkatkan darjatnya dan diampunkan dosanya.
  • Bukankan setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka kita selaku hamba-Nya mesti yakin akan kebesaran kuasa Allah dan janji Allah serta tidak berputus asa. Hidup adalah suatu perjuangan. Bak kata pahlawan Melayu’Pantang menyerah sebelum ajal!’.

Friday, June 4, 2010

Hadis : Cara Malaikat Mengambil Nyawa Manusia

Jumaat, 21 Jamadilakhir 1431H : Cara malaikat mengambil nyawa manusia bergantung kepada amalan agama yang dianutinya dan juga amalannya ketika hidup. Banyak hadis-hadis Nabi SAW berhubung dengan saat malaikat mengambil nyawa manusia anataranya :

Rasulullah s.a.w bersabda: "…..Dan apabila seseorang mukmin sampai masa matinya ia digembirakan oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya: Bahawa ia akan beroleh rahmat Allah dan keredhaan-Nya serta Syurga-Nya, maka pada ketika itu tidaklah ada sesuatu yang dicintai oleh orang itu lebih daripada menerima apa yang dihadapinya, lalu ia suka dan ingin mengadap Allah, dan Allah juga redha menerimanya dengan sebaik-baik sambutan;

Dan apabila seseorang yang kafir atau yang berdosa didatangi oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya, ia diberitahu bahawa ia akan beroleh azab seksa Allah dan kemurkaan-Nya, maka ketika itu tidaklah ada sesuatu yang dibencinya lebih daripada yang dihadapinya; dengan sebab itu maka ia merasa gerunan tidak suka mengadap Allah, dan Allah juga tidak redha ia mendekati rahmat-Nya apalagi mengadap-Nya." ( Dari Sebilangan Sahabat r.a )

Huraian:
  • Seorang mukmin yang beriman dan beramal soleh semasa hidupnya maka semasa saat kematiannya ia akan digembirakan oleh Malaikat dengan berkhabaran yang mengembirakan iaitu ia beroleh rahmat Allah dan Allah redha kepadanya.
  • Allah menjanjikan Syurga sedang menantinya.
  • Orang mukmin yang menerima perkhabaran ini maka kecintaannya kepada kematian tidak dapat dibendung lagi untuk menikmati rahmat dan Syurga Allah.
  • Allah redha akan dia dan dia redha kepada ketentuan Allah.
  • Sebaliknya seorang yang kafir dan yang berdosa disaat kematiannya akan dikhabarkan oleh Malaikat Allah murka terhadapnya.
  • Kemurkaan Allah menyebabkan ia akan diazab dan diseksa oleh Allah.
  • Maka kematian yang sedang dihadapinya menjadikan ia tak sanggup menghadapinya dan merasa benci dengan kematiannya.
  • Allah tidak redha akan dia dan dia berasa amat gerun dan tidak mahu mengadap Allah.
  • Allah juga tidak redha ia mendekati rahmatnya apatah lagi mengadapNya.
Sumber : JAKIM

Thursday, June 3, 2010

Hadis : Menjauhi 7 Dosa Besar

Khamis, 20 Jamadilakhir 1431H : Hadis Rasulullah SAW berkaitan dengan perintah menjauhi tujuh dosa besar iaitu : Baginda bersabda yang bermaksud:”Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan. Baginda ditanya:”Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda berkata:" Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.” ( Riwayat Muslim )

Huraian :

1. Terdapat tujuh dosa besar yang dilaknat oleh Allah SWT terhadap sesiapa yang melakukannya iaitu:

i. Syirik kepada Allah- iaitu mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain seperti mempercayai perkara-perkara khurafat, memuja hantu syaitan dan sebagainya.
ii. Sihir
iii. Membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar sepertiuntuk mempertahankan diri atau menegakkan hukum Allah (menjalankan hukuman keadilan)
iv. Memakan harta anak yatim
v. Memakan riba
vi. Lari dari medan pertempuran
vii. Menuduh perempuan yang suci melakukan zina.

2. Jauhkan diri dari mempersekutukan Allah samaada dengan perbuatan atau perkataan. Allah mengampunkan semua dosa kecuali dosa syirik. Oleh itu kembalilah kepada Allah dengan memperbanyakan mengucap kalimah tauhid atau percakapan iman dan selalu melakukan taubat supaya kita terselamat dari dosa syirik samaada syirik besar atau kecil.

3. Setiap mukmin hendaklah berusaha agar bebas dan selamat daripada melanggar hak saudaranya apalagi hak anak-anak yatim yang diamanahkan untuk dijaga dengan baik. Seseorang yang telah menghkianati amanah tersebut hendaklah ia mengembalikannya atau meminta untuk dihalalkan.

4. Orang yang telah melakukan dosa hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha dan meminta ampun kepada Allah kerana pintu taubat sentiasa terbuka sampai terbitnya matahari dari barat.

Petikan daripada Hadis Harian JAKIM

Wednesday, June 2, 2010

Hadis : Dunia Hanya Sementara

Rabu, 19 Jamadilakhir 1431H : Dari Ibnu Ibnu Umar r.a katanya: rasulullah S.A.W memegang bahuku lalu ia bersabda:” Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)”.

Dan adalah Ibnu Umar r.a berkata:”Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau. "(al-Bukhari)


Huraian :-
  1. Dunia adalah tempat untuk manusia beramal dalam sekian waktu yang ditentukan dan bukanlah tempat untuk bermukim, bersenang lenang sepanjang hayat kerana kedudukan seseorang itu di dunia ini adalah seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman tempat asalnya iaitulah alam akhirat yang kekal abadi.

  2. Untuk itu, tiap-tiap amal ada waktunya di mana apabila luputnya waktu sesuatu amal belum tentu waktu itu akan berulang kembali. Oleh itu orang yang mengerti nilai waktu akan menyedari bahawa waktu itu sebenarnya adalah umurnya yang jika habisnya suatu detik waktu maka berkuranglah jangka hayatnya dan berkurang pula tempoh amalnya. Selepas itu kekecewaan dan penyesalan tidak berguna lagi.

  3. Oleh itu seseorang yang inginkan kebahagian yang kekal abadi hendaklah memelihara waktunya daripada terbuang dengan percuma atau sebelum tiba waktu yang menghalang seperti sibuk, sakit dan sebagainya.

Tuesday, June 1, 2010

Hadis : Sempurnakan Sujudmu

Selasa, 18 Jamadilakhir 1431H : Dari Anas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Sempurnakanlah sujud mu! Jangan membentangkan dua siku seperti anjing (tidur).”

Huraian:
Sujud ialah meletakkan kepala di bumi. Ketika sujud, fikiran berada lebih rendah dari hati.

Ulama’ mengatakan bahawa sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah SWT.

Sebenarnya ketika seseorang manusia itu mengerjakan solat, berpuluh-puluh iblis akan datang menggoda. Sesetengahnya datang pada setiap anggota badan supaya datang perasaan malas, was- was, terlupa bilangan rakaat, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat, hilang khusyuk dengan mata sentiasa menjeling ke kiri ke kanan, telinga sentiasa mendengar orang bercakap serta bunyi-bunyian yang lain.

Malah ada juga iblis yang duduk di belakang badan orang yang solat itu supaya ia tidak dapat sujud lama kerana penat atau sebagainya. Ketika sujud kita digalakkan bertafakur beberapa ketika.

Dari segi kesihatan bersujud boleh mengelak dari penyakit pening atau migrain. Ini terbukti oleh para saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari kita perlu bersujud. Ahli-ahli sains telah menemui bahawa terdapat beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah.

Dengan bersujud maka darah akan mengalir ke ruang berkenaan. Dalam solat, cara sujud mestilah mengikut kaedah yang paling sempurna iaitu turun ke bawah dengan tangan, meletakkan ia ke bawah sebelum lutut. Kita dilarang meniru cara unta duduk iaitu cara duduk dengan lutut dahulu.

Hendaklah jadikan tapak tangan sama aras dengan kedua bahu. Tidak meletakkan (melebarkan) lengan di tanah seperti anjing.
Meletakkan hidung dan dahi di atas bumi. Begitu juga dengan lutut. serta perut jari kaki.
Menegakkan kaki dengan tumit berdiri tegak selari.

Semua anggota yang disebutkan tadi dipanggil sebagai anggota sujud yang menentukan sempurna atau tidaknya sujud seseorang yang sedang solat iaitu sebagaimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW.
Petikan dr Himpunan Hadis Harian JAKIM