Friday, April 22, 2011

Amalan Yang Baik

Jumaat, 18 Jamadilawal 1432H; Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar.

Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.” (HR Ibnu Abi Dunya)

Keterangan Hadis:

i) Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

ii) Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.

iii) Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.

iv) Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu. Bak kata pepatah Melayu “ Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.

v) Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.

1 comment:

zainal said...

Hubungan dengan Allah yang ikhlas oleh setiap individu akan membawa kepada hubungan sesama insan yang baik.

2.Hubungan sesama insan yang baik ini akan mewujudkan sifat sayang menyayangi, tolong menolong, ingat mengingati dan saling tegur menegur.

3.Silaturahim ini juga akan membawa kepada kesejahteraan diri, ketenangan, kebahagiaan & kegembiraan. Ketenteraman jiwa ini tidak boleh dibeli mahupun dipaksa kerana ianya lahir dari kemesraan dan pergaulan seharian yg ikhlas kerana Allah.

4.Hubungan dgn Allah & sesama insan ini boleh dimantapkan dengan menyayangi dan membuat hubungan dgn alam. Alam adalah teman semulajadi yg boleh memberi pengajaran, ketenangan apabila anda bersatu dengannya.Bukankah kita asalnya dari tanah dan kepada tanah juga kita akan dikembalikan.

"Hubungan dgn Allah, hubungan sesama manusia & hubungan dgn Alam"

Waallahuaklam.