Thursday, October 1, 2015

Islam, Iman Dan Ihsan

Khamis, 17 Zulhijjah 1436H: Daripada Umar r.a. katanya: Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w. tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih kainnya, sangat hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga dia duduk berdekatan dengan Rasulullah s.a.w. lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada kedua-dua lutut Rasulullah s.a.w. dan meletakkan kedua-dua telapak tangannya ke atas kedua-dua paha Nabi s.a.w.

Kemudian dia berkata: "Hai Nabi Muhammad! Khabarkanlah kepadaku darihal Islam." 

Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: "Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa bulan Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya." 

Dia berkata: "Benarlah engkau!" 

Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: "Maka khabarkan kepadaku darihal Iman". 

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman kepada takdir baik-Nya dan jahat-Nya."

Dia berkata: "Benarlah engkau!"

Kemudian dia bertanya lagi: "Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan." 

Rasulullah s.a.w. menjawab: "Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau."

(HR. Muslim)

No comments: