Tuesday, November 21, 2023

Suruhan dan Larangan

Selasa, 7 Jamadilawal 1445H: Suruhan dan Larangan

عن أبي ثعلبة الخشني رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: إِنَّ اللهَ تَعَالَى فَرَضَ فَرَائِضَ فَلاَ تُضَيِّعُوهَا وَحَدَّ حُدُوداً فَلاَ تَعْتَدُوهَا وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلاَ تَنْتَهِكُوهَا وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً لَكُمْ غَيْرَ نِسْيَانٍ فَلاَ تَبْحَثُوا عَنْهَا حَدِيثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ الدَّارَقُطْنِي وَغَيْرُهُ

Daripada Abi Tsa’labah al-Khusyani RA dari Nabi SAW, Baginda bersabda:  “Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan beberapa kefardhuan, maka janganlah engkau meninggalkannya. Dia telah menentukan beberapa hudud (hukuman yang telah diturunkan), maka janganlah engkau melampauinya. Dia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah engkau melanggarinya. Dan Dia telah diam daripada beberapa perkara (tidak menyebut hukumnya) sebagai rahmat bagimu, bukan disebabkan Dia lupa, maka janganlah engkau mencari-cari dan mempersoalkannya.” (HR Baihaqi No: 20217 dalam al-Sunan al-Kubra dan Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya (9/17)] Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Setiap mukmin dituntut supaya mematuhi perintah Allah SWT sama ada berbentuk suruhan fardhu seperti solat, puasa, zakat mahupun larangan haram.

2.  Setiap mukmin diingatkan agar memelihara dengan baik segala amalan fardhu yang Allah SWT fardhukan, jangan sampai dipersiakan atau dihilangkan begitu sahaja.

3.  Allah menentukan beberapa batasan dan beberapa perkara haram, maka setiap mukmin dituntut agar benar-benar menjaga sempadan halal haram ini, jangan sampai dia mencabuli perkara haram apatah lagi kalau sampai menghalalkan perkara haram.

4.  Allah SWT mendiamkan beberapa perkara iaitu tidak menyatakan halal haramnya secara jelas, maka janganlah kita menyusahkan diri mencari hukumnya. Allah berbuat demikian bukan kerana lupa, bahkan sebagai rahmat dan belas kasihan Allah kepada hambanya demi memberi kemudahan bagi manusia. Sekiranya dilakukan ia tidak berdosa dan jika ditinggalkan juga tidak berdosa.


No comments: