Khamis, 11 Zulhijjah 1447H | Berbuat Ihsan Kepada Makhluk
عَنْ شَدَّادِ بْنِ أَوْسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Daripada Syadad bin Aus, sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada segala sesuatu, jika kalian membunuh maka bunuhlah secara baik, dan jika kalian menyembelih maka sembelihlah dengan cara yang paling baik, dan hendaklah salah seorang dari kalian menajamkan pisaunya serta tidak menyiksa semasa menyembelihnya." (HR Muslim No: 1955) Status Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Syariat Islam menuntut perbuatan ihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) kepada setiap makhluk di muka bumi ini termasuk haiwan.
2. Seorang Muslim dituntut melakukan semua perkara dengan cara yang terbaik serta penuh adab dan tanggungjawab
3. Islam melarang perbuatan kasar serta kejam walaupun terhadap haiwan apatah lagi terhadap diri juga orang lain.
4. Termasuk ihsan ialah berbuat baik terhadap haiwan ternak dan belas kasih terhadapnya. Tidak boleh membebaninya diluar kemampuan binatang tersebut serta tidak menyiksa ketika menyembelihnya (antaranya dengan memastikan menyembelih menggunakan senjata tajam serta dengan sekali sembelihan). Penyembelihan dilaksanakan penuh rahmah, adab dan ihsan.
5. Marilah kita berbuat ihsan dengan melakukan sesuatu urusan dengan menyempurnakan sebaik mungkin, bukan sekadar melepaskan batok ditangga atau menzaliminya.
6. Hadis ini merupakan panduan agung tentang konsep ihsan dalam Islam. Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya melakukan setiap perkara dengan penuh rahmat, adab dan kesempurnaan, termasuk ketika menyembelih haiwan. Ia menunjukkan bahawa Islam ialah agama yang menegakkan nilai kasih sayang dan menolak kekejaman terhadap semua makhluk. Seorang Muslim sejati ialah mereka yang mempraktikkan ihsan dalam seluruh aspek kehidupannya.
No comments:
Post a Comment