Wednesday, August 12, 2026

Sabar Ketika Bersama Manusia

Rabu, 28 Safar 1448H  |  Sabar Ketika Bersama Manusia
 
عَنْ يَحْيَى بْنِ وَثَّابٍ عَنْ شَيْخٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ إِذَا كَانَ مُخَالِطًا النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ خَيْرٌ مِنْ الْمُسْلِمِ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ
قَالَ أَبُو عِيسَى قَالَ ابْنُ أَبِي عَدِيٍّ كَانَ شُعْبَةُ يَرَى أَنَّهُ ابْنُ عُمَرَ
 
Daripada Yahya bin Watsab dari seorang syeikh salah seorang sahabat Rasulullah daripada Nabi SAW baginda bersabda: "Seorang muslim yang bergaul (berinteraksi sosial) dengan orang lain dan bersabar terhadap gangguan mereka, adalah lebih baik daripada seorang muslim yang tidak bergaul (tidak berinteraksi sosial) dengan orang lain dan tidak bersabar terhadap gangguan mereka." Ibnu Abi Adi berkata: Syu'bah berpendapat syeikh yang dimaksudkan itu adalah Ibnu Umar. (HR Tirmizi No: 507) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Sahih.
 
Pengajaran:
 
1.    Sifat sabar adalah tuntutan Iman yang perlu ada pada setiap Muslim
 
2.    Kewujudan kita di tengah-tengah masyarakat bukan Islam atau masyarakat yang tidak menghayati Islam adalah suatu yang dipuji oleh Islam. Kehadirannya menjadi sumber peluang bagi memperoleh kebaikan yang banyak bagi sesiapa yang bersifat positif dan mahu meraihnya.
 
3.    Kewujudan kita di tengah-tengah masyarakat adalah suatu keperluan untuk merebut peluang berperanan memperbaiki masyarakat. Peluang untuk menyebarkan dakwah, menjadi pengislah kepada kejahilan dan kejahatan. Melaksanakan tugas amar makruf nahi mungkar memerlukan kesabaran.
 
4.    Berada di tengah-tengah kelompok manusia yang pelbagai ragam, melakukan engagement dengan semua golongan dan kaum, Islam dan bukan Islam, pastilah akan menghadapi pelbagai kerenah, kejahatan dan kesulitan. Bersabar dan berakhlak mulia terhadap mereka adalah amalan terpuji.
 
5.    Muslim yang ingin ganjaran besar di sisi Allah akan menghadapi semua golongan masyarakat, Islam dan bukan Islam atau pelaku maksiat ketika mengauli mereka dengan sifat RAHMAH bukan kebencian, permusuhan dan perkauman.
 
6.    Bersabar menghadapi pelbagai kerenah kelompok semasa engagement dilakukan akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah. Ibn Hajar menjelaskan bahawa bersabar terhadap gangguan merupakan satu bentuk jihad melawan nafsu, kerana jiwa manusia secara semula jadi merasa sakit apabila dihina atau diperlakukan secara buruk.
 
7.    Mereka yang memilih untuk berada di luar dari tengah-tengah manusia atau di luar dari tengah-tengah kejahatan, tidak seharusnya merasa dirinya lebih suci dari mereka yang yang berada di tengah-tengah manusia dan kejahatan. Namun bergaul lebih baik apabila membawa manfaat, manakala menjauhkan diri lebih selamat apabila seseorang bimbang agamanya rosak.
 
8.    Hadis ini bukan perintah supaya seseorang terus berada dalam persekitaran yang merosakkan iman atau membahayakan dirinya. Pergaulan diutamakan apabila membawa manfaat dan seseorang mampu menjaga agamanya. Pengasingan pula boleh dipilih apabila ia lebih selamat daripada fitnah atau kemudaratan.
 
9.    Penting bagi Muslim untuk mempertingkatkan amal-amal peribadinya secara konsisten agar menjadi qudwah kepada orang lain dan menjadi benteng terpengaruh dengan kejahatan juga keburukan mereka.
 

 
Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram

No comments: