Friday, September 18, 2026

Doa Orang Yang Dizalimi

Jumaat, 6 Rabiulakhir 1448H  |   Doa Orang Yang Dizalimi
 
 عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ مُعَاذًا إِلَى الْيَمَنِ فَقَالَ اتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW mengutus Muaz ke Yaman lalu bersabda: "Takutlah (berhati-hatilah) kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana antara doanya dan Allah tidak ada apa-apa penghalang (hijab)" (HR Bukhari No 2316 Dar Ibn Kathir) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Kezaliman adalah haram dalam apa jua bentuk, sama ada terhadap harta, maruah, tubuh badan atau hak seseorang.
 
2.    Doa orang yang dizalimi sangat mustajab. Nabi SAW menggambarkannya sebagai doa yang tidak mempunyai penghalang dengan Allah.
 
3.    Jangan meremehkan seseorang kerana dia lemah, miskin atau tidak mempunyai kuasa, kerana Allah mendengar pengaduannya.
 
4.    Pemimpin dan pentadbir perlu berhati-hati ketika menguruskan hak dan harta masyarakat. Konteks hadis ini sendiri berkaitan amanah Mu‘az RA di Yaman.
 
5.    Islam menuntut keadilan kepada semua, termasuk terhadap orang yang kita tidak sukai atau berbeza dengan kita. Jangan sesekali kita menyangka, sedikit kezaliman itu wajar ke atas seseorang kerana dia itu fasiq, pelaku maksiat atau dia itu bukan Muslim.
 
6.    Orang yang pernah menzalimi seseorang hendaklah segera bertaubat, memulangkan hak dan memohon maaf sebelum tiba hari perhitungan.
 
7.    Orang yang dizalimi boleh mengadu dan berdoa kepada Allah, tetapi memaafkan apabila membawa maslahat juga merupakan akhlak yang sangat mulia.
 
8.    Tugas dakwah tidak menjamin seseorang itu tidak melakukan kezaliman ke atas orang lain. Contohnya apabila dia mengaibkan nama baik dan maruah seseorang, membuat serangan peribadi yang tidak berasas, menghukum berdasarkan andaian dan spekulasi, membuat penilaian-penilaian yang bersifat bias, tidak objektif  dan lain-lain.
 
9.    Hadis ini mendidik kita supaya bukan sahaja takut melakukan dosa yang berkaitan dengan Allah, tetapi juga perlu berhati-hati terhadap hak sesama manusia. Jangan takut hanya kepada orang yang mempunyai kuasa.
Takutlah menzalimi orang yang tidak mempunyai kuasa.
 

No comments: