Thursday, November 5, 2026

Tahmid dan Tasbih Memenuhi Bumi dan Langit

Khamis, 25 Jamadil Awal 1448H  |  Tahmid dan Tasbih Memenuhi Bumi dan Langit
 
عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْأَشْعَرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَآَنِ أَوْ تَمْلَأُ مَا بَيْنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالصَّلَاةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَايِعٌ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا
 
Daripada Abu Malik al-Asy'ari RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bersuci itu separuh daripada iman. Ucapan Alhamdulillah memenuhi timbangan. Ucapan Subhanallah dan Alhamdulillah keduanya memenuhi, atau salah satunya memenuhi ruang apa yang ada antara langit dan bumi. Solat adalah Cahaya. Sedekah adalah bukti. Sabar adalah sinaran. Al-Quran adalah hujah untukmu (atas amal kebaikanmu) atau hujah terhadapmu (amal keburukanmu). Setiap manusia keluar pada waktu pagi, lalu dia menjual dirinya; sama ada dia membebaskan dirinya atau membinasakannya. (HR Muslim No: 328) Status: Hadis  Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Islam menggabungkan kebersihan zahir dan penyucian rohani. Taharah menjadi asas kepada ibadah seorang Muslim.
 
2.    Sebagai Muslim, perlu memastikan kebersihan hati dari sifat curang, dengki dan segala penyakit hati serta bersih tubuh badan kerana  kebersihan  separuh daripada iman.
 
3.    Kalimah Alhamdulillah dan Subhanallah jika disebut dan beramal dengannya akan mendapat ganjaran pahala sepenuh bumi dan langit.
 
4.    Solat akan menjadi cahaya yang akan menjadi penerang hidup serta cahaya yang akan melepaskannya daripada siksaan neraka.
 
5.    Sedekah sama ada yang wajib (zakat) mahupun yang sunat akan menjadi bukti kejujuran iman.  Kesanggupan melepaskan harta kerana Allah menunjukkan bahawa akhirat lebih dicintai daripada dunia.
 
6.    Kesabaran adalah sinar yang menjadi penyuluh jalan atau menjadi pemudah mengharungi perjalanan hidup.
 
7.    Al-Quran adalah hujah atau bukti kuat menolong dan memberi syafaat kepada pembaca dan pengamalnya pada hari kiamat. Jangan sampai al-Quran yang kita baca menjadi hujah terhadap kita kerana kita mengetahui ajarannya tetapi tidak mengamalkannya.
 
8.    Setiap hari merupakan modal baharu daripada Allah. Umur, masa, tenaga dan kemampuan yang kita gunakan hari ini menentukan sama ada kita sedang membebaskan atau membinasakan diri.
 
9.    Setiap Muslim perlu berusaha memperbaiki dirinya dan menjadi manusia paling taat.
 

No comments: