Tuesday, November 22, 2022

Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain

Selasa,27hb Rabiul Akhir 1444H:  Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Cintailah orang yang kamu cintai sekadarnya. Boleh jadi orang yang sekarang kamu cintai suatu hari nanti menjadi orang yang kamu benci. Dan bencilah orang yang kamu benci sekadarnya, boleh jadi suatu hari nanti dia menjadi orang yang kamu cintai.” 

(Sunan Tirmidzi No: 1997) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sifat cinta dan kasih adalah fitrah manusia namun biarlah berpada. Contohnya mencintai pasangan juga ahli keluarga yang berlebihan sehingga jika berlaku kematian, atau orang yang disayangi meninggalkannya, impak kesedihan amat mendalam yang boleh membawa kecelakaan padanya.

2. Maka cintailah saudaramu sewajarnya dengan memberikan hak-haknya tanpa berlebihan dan tanpa meremehkan haknya.

3. Hasan Bashri RA berkata, “Hendaknya kalian mencintai jangan berlebihan dan membenci tidak berlebihan. Telah ada orang-orang yang berlebihan dalam mencintai satu kaum akhirnya binasa. Ada pula yang berlebihan dalam membenci satu kaum dan mereka pun binasa.”

4. Jika seseorang berlebihan dalam membenci lawannya, mungkin suatu masa nanti hubungan mereka menjadi baik maka mereka akan malu untuk menjadi sahabat dan kawan kerana merasa malu disebabkan berlebihan dalam membencinya sebelum ini. Kebencian berlebihan juga boleh membinasakan.
Ingatlah firman Allah SWT:

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan itu adalah keburukan bagi kamu. Allah itu lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

5. Awasilah sifat benci yang boleh mendorong kita berlaku zalim kepada orang lain juga menjadi penyebab kita tidak berlaku adil terhadap mereka.
Firman Allah surah al-Maidah ayat 8:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Monday, November 21, 2022

 Larangan Memboikot Sesama Muslim

 Isnin, 26hb Rabiul Akhir 1444H: Larangan Memboikot Sesama Muslim

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian saling membenci, janganlah saling mendengki dan janganlah kalian saling membelakangi dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara, dan tidak halal bagi seorang muslim mendiamkan saudaranya melebihi tiga malam." 

(HR Bukhari No: 5612) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam melarang sifat saling membenci sesama Muslim.

2. Islam juga melarang sifat saling dengki atau iri hati terhadap kelebihan orang lain

3. Saling membelakangi atau saling bermusuh sesama Muslim adalah dilarang sama sekali

4. Muslim dituntut saling bersaudara dan berkasih sayang

5. Sesama Muslim dilarang tidak bertegur sapa melebihi tiga malam.

6. Tinggalkanlah segala umpat keji, fitnah yang mungkin dilakukan sebelum ini. Jalinkanlah kembali ikatan ukhuwah sesama muslim. Menjaga ukhuwah itu wajib seperti kita menjaga solat dan puasa.

7.

Friday, November 18, 2022

Tanggungjawab Kepimpinan Tidak Diberi Kepada Pendusta dan Pengkhianat

Jumaat, 23hb Rabiul Akhir 1444H: Tanggungjawab Kepimpinan Tidak Diberi Kepada Pendusta dan Pengkhianat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Akan datang tahun-tahun penuh dengan kedustaan yang menimpa manusia, pendusta dipercaya, orang yang jujur didustakan, amanah diberikan kepada pengkhianat, sedangkan orang yang jujur dikhianati, dan golongan Ruwaibidhah akan berkata-kata." 

Lalu baginda ditanya, "Siapakah golongan Ruwaibidhah itu?" 

Baginda SAW menjawab: "Orang-orang bodoh lagi fasik yang mengurus urusan perkara umum yang besar." 

(Sunan Ibnu Majah No: 4026) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Baginda Nabi SAW memberi amaran kepada umatnya agar berhati-hati ketika menghadapi hari-hari yang penuh dengan tipu daya dimana pada waktu itu orang yang pandai berbohong, pendusta dan pengkhianat lebih dipercayai untuk diberikan amanah dan tanggungjawab.

2. Orang yang jujur dan benar-benar amanah tidak diberi tanggung jawab malah didustai dan dikhianati.

3. Kebenaran dan amanah diberikan kepada orang-orang yang bodoh dan keji lagi fasik. Mereka ini digelar sebagai al-Ruwaibidah.

4. Nabi SAW menyifatkan al-Ruwaibidah dengan dua sifat iaitu sebagai orang yang keji atau kurang ilmunya dan dalam masa yang sama bercakap berkaitan perkara-perkara umum yang besar sedangkan dia tidak mempunyai ilmu padanya.

5. Imam al-Syatibi menyatakan al-Ruwaibidah ialah orang yang bodoh dan keji bercakap berkaitan perkara umum sedangkan dia bukan ahli dalam perkara tersebut tetapi masih ingin bercakap (al-‘Itisham, 3:100).

6. Hasyiah al-Sindi ‘ala Ibn Majah (2:494) menyatakan al-Ruwaibidah seseorang yang lemah dan tenggelam di dalam hal-hal keduniaan dan sentiasa menginginkannya (merebut jawatan untuk menghimpun harta dan pangkat).

Thursday, November 17, 2022

Allah Benci Orang Yang Kuat Bermusuhan

Khamis, 22hb Rabiul Akhir 1444H; Allah Benci Orang Yang Kuat Bermusuhan

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ أَبْغَضَ الرِّجَالِ إِلَى اللهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang paling kuat bermusuhan."

 (HR Muslim No: 2668) Status : Hadis Sahih

Pengajaran :

1. Orang yang paling Allah benci ialah mereka yang paling kuat bermusuhan.

2. Menurut Muhammad Fuad Abdul Baqi, yang dimaksudkan الألد ialah permusuhan yang keras. Manakala perkataan الخصم pula bermaksud permusuhan atau penentangan yang salah dalam menegakkan kebenaran ataupun menthabitkan kebatilan (Syarh Sahih Muslim).

3. Hal ini menunjukkan perkara yang dibenci Allah itu tidak terhad pada golongan batil sahaja, akan tetapi Allah juga benci pada golongan yang ingin menegakkan kebenaran namun memusuhi orang lain (dia saja yang betul sedangkan orang lain salah).

Firman Allah SWT:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ

Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras. (Al-Baqarah ayat 204)

4. Janganlah kerana kita tidak bersetuju dengan seseorang atau sekelompok, menjadikan kita benci dan memusuhi mereka hingga seolah-olah tiada kebaikan pada mereka malah kita berusaha memburuk-burukkan.

Wednesday, November 16, 2022

Pemimpin Perlu Pembantu Jujur

Rabu, 21hb Rabiul Akhir 1444H; Pemimpin Perlu Pembantu Jujur

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالْأَمِيرِ خَيْرًا جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ

Daripada Aisyah RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Allah menghendaki kebaikan pada diri pemimpin maka Allah akan menjadikan baginya menteri (pembantu) yang jujur, apabila ia lupa maka ia akan mengingatkannya dan apabila ia ingat maka ia akan membantunya. Dan apabila Allah menghendaki selain itu (keburukan) pada diri seorang pemimpin maka Allah jadikan baginya menteri (pembantu) yang buruk, apabila ia lupa maka ia tidak mengingatakannya, dan apabila ia ingat maka ia tidak membantunya."  

(HR Abu Daud No: 2543) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Pemimpin memikul tugas dan tanggungjawab yang berat. Pemimpin memerlukan pembantu yang boleh meringankan tugas kepimpinan.

2. Jika Allah mahukan kebaikan kepada pemimpin, nescaya akan diberikan kepadanya pembantu yang baik dan jujur. Pembantu yang baik, akan berusaha dengan kemahiran yang ada membantu melaksanakan tugas-tugas ketua dengan cemerlang dan sentiasa diredhai Allah.

3. Pembantu dan pekerja yang baik memiliki sifat kuat (berkemampuan) dan amanah seperti firman Allah:

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَئْجَرْتَ الْقَوِىُّ الاَمِينُ

Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah. [al-Qasas:26]

Sebaik-baik pekerja ialah yang memiliki dua sifat iaitu kuat yang merujuk kepada skill serta kemampuan melaksanakan tugas dan amanah yang merujuk kepada orang yang dipercayai dan takut kepada Allah serta tidak menyeleweng.

4. Pembantu yang baik akan memberikan maklumat yang tepat dan benar kepada ketua agar tindakan dapat diambil dengan tepat dan hikmah.

5. Pembantu yang jujur, akan mengingatkan kepada ketua jika lupa atau silap dan akan segera membantu, bukan turut sama mengiakan kesilapan.

6. Pemimpin atau ketua sewajarnya melantik pembantu yang benar-benar layak, amanah dan bertaqwa untuk membantunya memimpin organisasi atau Negara dengan baik.

7. Jika kita sebagai ketua, pastikan pembantu yang dipilih benar-benar layak dan sentiasa bersedia mengingatkan pemimpin bukan hanya pembodek dan pengambil kesempatan.

8. Sebagai rakyat yang berhak mengundi dalam PRU 15 ini, menjadi tanggungjawab anda untuk mengundi pemimpin yang berintegriti, memiliki kemampuan dan amanah yang akan memacu kemakmuran dan kestabilan Negara.

Tuesday, November 15, 2022

Tidak Bersama Pemimpin Zalim

Selasa, 20hb Rabiul Akhir 1444H: Tidak Bersama Pemimpin Zalim

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ قَالَ خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْ دَخَلَ وَنَحْنُ تِسْعَةٌ وَبَيْنَنَا وِسَادَةٌ مِنْ أَدَمٍ فَقَالَ إِنَّهَا سَتَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ يَكْذِبُونَ وَيَظْلِمُونَ فَمَنْ دَخَلَ عَلَيْهِمْ فَصَدَّقَهُمْ بِكِذْبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ وَلَيْسَ بِوَارِدٍ عَلَيَّ الْحَوْضَ وَمَنْ لَمْ يُصَدِّقْهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَيُعِنْهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَهُوَ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ وَهُوَ وَارِدٌ عَلَيَّ الْحَوْضَ

Dari Ka'ab bin Ujrah ia berkata, "Rasulullah SAW pernah keluar atau masuk menemui kami, ketika itu kami berjumlah sembilan orang. Dan di antara kami ada bantal yang diperbuat dari kulit. 

Baginda lalu bersabda: "Sesungguhnya akan ada setelahku para pemimpin yang berbuat pendustaan dan kezaliman. Barangsiapa mendatangi mereka kemudian membenarkan pembohongan mereka, atau membantu mereka dalam kezalimannya, maka ia bukan dari golonganku dan aku bukan dari golongannya. Serta ia tidak akan minum dari telagaku. 

Dan barangsiapa tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu mereka dalam berbuat kezaliman, maka ia adalah dari golonganku dan aku adalah dari golongannya. Dan kelak ia akan minum dari telagaku." 

(HR Ahmad No: 17424) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk mencegah kezaliman dan maksiat yang berlaku di sekeliling mereka dengan hikmah dan bijaksana.

2. Sesiapa yang dilantik sebagai pemimpin jangan sekali-kali melakukan pendustaan, pembohongan dan kezaliman.

3. Mana-mana kebenaran dan hak yang dilakukan oleh pemimpin, menjadi kewajipan untuk bersama mempertahankan. Mana-mana yang berbentuk kezaliman dan maksiat, menjadi tanggungjawab untuk menghalangnya daripada berterusan dengan cara yang hikmah dan dibenarkan oleh syarak.

4. Rasulullah SAW memberi amaran kepada mereka yang bersetuju dan masih menyokong mereka dan pembohongan serta kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin di kalangan mereka, Rasulullah SAW tidak mengaku mereka sebahagian dari umatnya dan tidak layak untuk minum air dari telaga Rasulullah SAW.

5. Muslim yang mencanggahi pembohongan dan kezaliman pemimpin di kalangan mereka dan tidak membantu mereka berterusan dalam kezaliman, tidak memilih mereka maka ia bersama Rasulullah dan Rasulullah SAW akan bersamanya dan layak untuk minum air dari telaga Rasulullah SAW.

6. Semoga kita tergolong dari kalangan orang yang bersama dengan Rasulullah SAW di hari Akhirat dan Rasulullah SAW bersama dengan kita. Semoga Negara kita memiliki pemimpin yang adil, amanah dan berintegriti ke arah Malaysia yang maju dan makmur serta di rahmati.

Monday, November 14, 2022

Pemimpin Yang Allah Tutup Rahmat dan Bantuan

Isnin,19hb Rabiul Akhir 1444H - Pemimpin Yang Allah Tutup Rahmat dan Bantuan

مَنْ وَلَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ شَيْئًا مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَاحْتَجَبَ دُونَ حَاجَتِهِمْ وَخَلَّتِهِمْ وَفَقْرِهِمْ احْتَجَبَ اللَّهُ عَنْهُ دُونَ حَاجَتِهِ وَخَلَّتِهِ وَفَقْرِهِ

"Barangsiapa yang Allah 'azza wajalla serahkan kepadanya sebahagian urusan orang muslim (kepimpinan) namun ia menutup diri dari melayani keperluan mereka dan kefakiran mereka, nescaya Allah menutup diri darinya dan tidak melayani keperluannya, serta kefakirannya (pada hari kiamat)." 

(Sunan Abu Daud No: 2559) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap orang yang diberikan tanggungjawab kepimpinan perlu memiliki sikap amanah menunaikan kewajipan mereka yang berada di bawah kepimpinannya.

2. Antara tanggungjawab kepimpinan ialah sentiasa memenuhi keperluan mereka di samping membantu kesusahan yang dialami.

3. Pemimpin yang tidak mengindahkan keperluan dan kesusahan orang yang berada di bawah kepimpinannya, nescaya Allah juga tidak akan memenuhi keperluan dan kesusahannya pada hari Kiamat kelak.

4. Sebagai pemimpin dimana sahaja peringkat kepimpinan, berusahalah memenuhi keperluan mereka yang berada di bawah kita tanpa mengira bangsa, agama mahupun kumpulan.

5. Pemimpin yang dilantik mesti bersedia menjadi khadam kepada rakyat. Bukan rakyat yang terpaksa menjadi khadam kepada pemimpin.

Thursday, November 10, 2022

Enam Perkara Untuk Jaminan Syurga

Khamis,15hb Rabiul Akhir 1444H:  Enam Perkara Untuk Jaminan Syurga

عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اضْمَنُوا لِي سِتًّا مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَضْمَنْ لَكُمْ الْجَنَّةَ اصْدُقُوا إِذَا حَدَّثْتُمْ وَأَوْفُوا إِذَا وَعَدْتُمْ وَأَدُّوا إِذَا اؤْتُمِنْتُمْ وَاحْفَظُوا فُرُوجَكُمْ وَغُضُّوا أَبْصَارَكُمْ وَكُفُّوا أَيْدِيَكُمْ

Daripada 'Ubadah bin Ash Shamit bahawa Nabi SAW bersabda: "Jaminlah enam perkara untukku dari diri kalian, nescaya aku akan menjamin syurga untuk kalian; jujurlah jika berbicara, tepatilah jika kalian berjanji, tunaikanlah amanah jika kalian diserahi amanah, jagalah kemaluan kalian, tundukkan pandangan kalian dan tahanlah tangan kalian." 

(HR Ahmad No: 21695) Status: Isnad Maqbul

Pengajaran:

Rasulullah SAW memberi jaminan setiap Muslim akan masuk Syurga jika memelihara enam perkara:

1. Jujur jika berbicara.
Ibnu Qayyim: Kejujuran adalah jalan yang lurus dimana orang yang tidak jujur, dia akan celaka dan binasa. Kejujuran (tidak berbohong) akan membezakan antara munafik dan beriman.

2. Menepati janji.
Tidak memenuhi janji adalah diantara sifat munafik.

3. Menunaikan amanah.
Amanah berkaitan dengan hak Allah dan hak manusia yang wajib ditunaikan

4. Memelihara kemaluan (kecuali untuk pasangan yang sah)

5. Menundukkan pandangan.
Ibnu Qayyim: menjaga pandangan adalah modal pokok untuk menjaga kemaluan. Siapa yang tidak menjaga pandangannya, dia telah menempatkan dirinya ke tempat kehancuran.

6. Menahan tangan.
Seorang Muslim tidak menganggu, menyakiti saudara Muslim yang lain, teman, mahupun tetangganya baik dengan lisan maupun tangannya. Mereka merasa aman dengan kehadiran dirinya.

Wednesday, November 9, 2022

Menjaga Amanah dan Janji

 Rabu, 14hb Rabiul Akhir 1444H: Menjaga Amanah dan Janji

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ مَا خَطَبَنَا نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا قَالَ لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

Daripada Anas bin Malik RA berkata; Nabi SAW tidak pernah berkhutbah di hadapan kami kecuali baginda mengatakan: "Tidak sempurna keimanan bagi orang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama seseorang bagi yang tidak memenuhi janji." 

(HR Ahmad No:11935). Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Menjaga amanah adalah sebahagian daripada iman. Tidak sempurna iman seseorang yang tidak menunaikan amanah.

2. Menjadi kewajipan kepada kita menunaikan amanah kepada yang berhak. Firman Allah dalam surah an-Nisa: 58

إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).

3. Orang yang tidak menyempurnakan amanah seperti amanah kepimpinan, adalah orang yang memiliki sifat munafik.

4. Tidak sempurna agama seseorang bagi yang tidak memenuhi janji. Firman Allah (an-Nahl: 91)

وَأَوۡفُواْ بِعَهۡدِ ٱللَّهِ إِذَا عَٰهَدتُّم
Dan sempurnakanlah janji dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji

5. Menjaga amanah dan menunaikan janji adalah ciri orang beriman yang berjaya, sebagaimana firman Allah dalam surat Al-Mukminun ayat 8:

قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ١ …… وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِأَمَٰنَٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَٰعُونَ ٨
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman (iaitu) (1) …..
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya (8)

Tuesday, November 8, 2022

Menghuni Neraka Kerana Dosa Lisan

Selasa, 13hb Rabiul Akhir 1444H: Menghuni Neraka Kerana Dosa Lisan

عن أبي هريرة رضي الله عنه قَالَ: قِيْلَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنَّ فُلاَنَةً تَقُوْمُ اللَّيْلَ وَ تَصُوْمُ النَّهَارَ وَ تَفْعَلُ وَ تَصَدَّقُ وَ تُؤْذِي جِيْرَانَهَا بِلِسَانِهَا فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: لاَ خَيْرَ فِيْهَا هِيَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ قَالُوْا: وَ فُلاَنَةً تُصَلِّى اْلمَكْتُوْبَةَ وَ تَصَدَّقُ بِأَثْوَارٍ وَ لاَ تُؤْذِي أَحَدًا فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: هِيَ مِنْ أَهْلِ اْلجَنَّةِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya si Fulanah rajin solat sunat malam, puasa di siang hari, mengerjakan (berbagai kebaikan) dan bersedekah, Cuma ia suka mengganggu para tetangganya dengan lisannya?”

Bersabda Rasulullah SAW, “Tiada kebaikan padanya, dia termasuk penghuni neraka”

Mereka bertanya lagi, “Sesungguhnya si Fulanah (yang lain) mengerjakan (hanya) solat wajib dan bersedekah dengan sepotong keju, namun tidak pernah mengganggu seorangpun?”

Bersabda Rasulullah SAW, “Dia termasuk penghuni syurga”. 

(HR Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrod: 119). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seseorang akan ditempatkan kedalam syurga atau neraka bukan hanya bergantung banyaknya amal fardhu dan sunat atau tidak.

2. Ada orang yang rajin solat sunat malam, rajin puasa sunat, banyak melakukan kebaikan dan bersedekah, tetapi masuk neraka kerana mengganggu para tetangganya dengan lisannya (habis segala pahala kebaikannya)

3. Ada orang yang hanya mengerjakan yang fardhu seperti solat fardhu dan puasa fardhu, sedekahnya sedikit namun masuk syurga kerana tidak pernah menganggu orang lain.

4. Pada hari ini dosa lisan banyak digantikan dalam bentuk tulisan, gambar juga video yang kadang kala lebih kesat, buruk, penuh dengan adu domba, umpatan, kejian dan fitnah termasuk yang ditularkan di FB, Twitter, Whatsapp, Telegram, Tik Tok lebih-lebih lagi semasa berlangsungnya PRU ini.

5. Ingatlah amaran Allah kepada pengumpat, pemfitnah dan pencela dalam surah al-Humazah

وَيْلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ

"Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela"

- Humazah menurut Mujahid, pengumpat termasuk cemohan dengan lisan dan ucapan.

- Lumazah menurut Abi Hayan dalam Tafsir al-Bahrul Muhith bererti hinaan dengan isyarat mata, tangan dan sebagainya

Syed Qutb: ini gambaran manusia jahiliah adalah jiwa manusia yang lemah dan hina kerana tidak memiliki iman dan kehormatan diri, kerjanya mengumpat dan mencemoh.

Ingatlah bahawa pengumpat akan dihumban ke neraka hutamah.

كَلا لَيُنْبَذَنَّ فِي الْحُطَمَةِ (٤) وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْحُطَمَةُ (٥) نَارُ اللَّهِ الْمُوقَدَةُ (٦) الَّتِي تَطَّلِعُ عَلَى الأفْئِدَةِ (٧) إِنَّهَا عَلَيْهِمْ مُؤْصَدَةٌ (٨) فِي عَمَدٍ مُمَدَّدَةٍ (٩)

Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah. (4) dan tahukah kamu apa Huthamah itu? (5) (iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan (6) yang (membakar) sampai ke hati. (7) Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka (8). (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang (9) (Al-Humazah)

Marilah kita pelihara ibadat fardhu dan bersungguh-sungguh menjaga lisan dan tulisan, sama ada yang kita tulis atau yang kita forward. Sesungguhnya dosa lisan mungkin hanya didengar oleh beberapa orang namun dosa tulisan, gambar, video berkekalan dan tersebar keseluruh dunia di alam tanpa sempadan ini.

Monday, November 7, 2022

Adil Dalam Tanggungjawab

Isnin, 12hb Rabiul Akhir 1444H: Adil Dalam Tanggungjawab

وَفِي حَدِيثِ زُهَيْرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْمُقْسِطِينَ عِنْدَ اللَّهِ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ عَنْ يَمِينِ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ وَكِلْتَا يَدَيْهِ يَمِينٌ الَّذِينَ يَعْدِلُونَ فِي حُكْمِهِمْ وَأَهْلِيهِمْ وَمَا وَلُوا

Dalam hadis Zuhair dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Orang-orang yang berlaku adil berada di sisi Allah di atas mimbar (panggung) yang terbuat dari cahaya, di sebelah kanan tuhan yang bersifat Ar Rahman 'Azza Aajalla, mereka ialah orang-orang yang berlaku adil dalam hukuman mereka, adil dalam keluarga dan adil keatas orang yang dibawah tanggungjawab mereka." 

(HR Muslim No: 3406) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Keadilan adalah suatu tuntutan dalam melaksanakan tanggungjawab.

2. Dalam menjatuhkan hukuman, setiap kita perlu berlaku adil tanpa mengira siapa mereka.

3. Ibnu Hajar menyatakan: Orang yang adil adalah yang mengikut perintah Allah dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa keterlaluan dan cuai.

4. At-Tobari menyatakan: Keadilan adalah wajib keatas setiap orang dan dalam semua perkara, tiada sebarang kelonggaran dalam melaksanakan keadilan sekalipun ke atas keluarga yang dekat atau jauh, begitu juga dimasa senang atau susah.

5. Berlaku adillah keatas orang yang dibawah tanggungjawab kita. Firman Allah surah al-Maidah ayat 8:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

6. Jangan kerana kebencian kita kepada seseorang, segolongan puak, bangsa, parti atau sekelompok yang tidak sefikrah atau sependapat dengan kita, lalu kita tidak berlaku adil.

7. Orang yang adil semasa di dunia akan mendapat tempat sebaiknya di sisi Allah.

Friday, November 4, 2022

Setiap Orang Adalah Pemimpin

 Jumaat, 9hb Rabiul Akhir 1444H . Pemimpin dan Tanggungjawab

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Dari Ibnu Umar RA dari Nabi SAW, bahawa baginda bersabda: "Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggung jawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggung jawab atas rakyatnya, seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggung jawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggung jawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggung jawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggung jawab atas kepemimpinannya."  

(HR Muslim No: 3408) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap orang dari kalangan kita adalah pemimpin yang mempunyai amanah dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Antaranya:

a. Sebagai menteri, wakil rakyat, ketua jabatan dan sebagainya, ia memiliki amanah dan tanggungjawab ke atas rakyat dan orang bawahannya.

b. Sebagai lelaki, ia memiliki amanah dan bertanggungjawab kepada ahli keluarganya seperti sebagai suami, bapa mahupun anak lelaki.

c. Sebagai wanita, ia memiliki amanah dan tanggungjawab ke atas suami dan anak-anaknya

d. Sebagai hamba, ia memiliki amanah dan tanggungjawab ke atas harta tuannya. Sebagai pekerja, kita ada amanah dan tanggungjawab terhadap majikan untuk dlaksanakan selagi tidak bercangah dengan syarak.

2. Setiap pemimpin perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh serta berupaya mewujudkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan kepada pengikut yang berada di bawah kepimpinannya.

3. Kepimpinan bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif). Segala amanah dan tanggungjawab yang diterima akan dipersoal setiap satu di hari kiamat.

4. Hakikat kepemimpinan adalah bertanggungjawab mewujudkan kesejahteraan. Seorang bapa bukan hanya sekadar memberi makan dan minum kepada anak-anaknya tetapi perlu berusaha memenuhi standard keperluan makanan yang baik dan berzat. Bukan hanya keperluan material malah juga keperluan pendidikan dan kerohanian.

5. Seorang pemimpin seperti pak menteri, bukan hanya menjadi “pemerintah” sahaja, namun yang lebih penting berupaya mengangkat rakyatnya dari jurang kemiskinan kepada kesejahteraan. Tidak hanya berjaya melahirkan tokoh-tokoh korporat dari kalangan kawan rapat malah rakyat seluruhnya. Bukan hanya membangunkan kehidupan rakyat yang terdiri daripada ahli parti yang menyokongnya malah seluruh anggota rakyat di bawah pemerintahannya.

Thursday, November 3, 2022

Menolong Saudara Yang Zalim dan Dizalimi

Khamis, 8hb Rabiul Akhir 1444H - Menolong Saudara Yang Zalim dan Dizalimi

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنْ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ

Dari Anas RA mengatakan, Rasulullah SAW bersabda: "Tolonglah saudaramu baik ia berbuat zalim atau dizalimi." 

Ada seorang laki-laki bertanya; "Ya Rasulullah, saya maklum jika ia dizalimi, namun bagaimana saya menolong saudara yang melakukan kezaliman?"

Nabi menjawab; "Engkau mencegahnya atau menahannya dari kezaliman, itulah cara menolongnya." 

(HR Bukhari No: 6438) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang Muslim wajib membantu muslim yang lain.

2. Jika saudara kita dizalimi, menjadi tanggungjawab untuk menolong dengan membela dan mempertahankannya.

3. Jika saudara kita melakukan kezaliman, menjadi tanggung jawab kita untuk membantunya agar tidak berterusan melakukan kezaliman. Contohnya jika saudara kita mencuri, rasuah, menganiaya orang atau binatang, kita wajib menghentikan, menghalangnya agar tidak berterusan membuat kezaliman.

4. Seorang Muslim tidak boleh membabi buta membela saudaranya yang berbuat zalim

5. Bantu orang lain agar tidak dizalimi oleh orang yang zalim dengan cara memberi peringatan kepada mereka tentang kezaliman orang yang zalim. 

 

Wednesday, November 2, 2022

Tujuh Golongan Yang Dinaungi Allah

 Rabu, 7hb Rabiul Akhir 1444H; Tujuh Golongan Yang Dinaungi Di Akhirat

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ إِمَامٌ عَادِلٌ وَشَابٌّ نَشَأَ بِعِبَادَةِ اللَّهِ وَرَجُلٌ كَانَ قَلْبُهُ مُعَلَّقًا بِالْمَسْجِدِ إِذَا خَرَجَ مِنْهُ حَتَّى يَعُودَ إِلَيْهِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ فَاجْتَمَعَا عَلَى ذَلِكَ وَتَفَرَّقَا وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ حَسَبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ

Daripada Abu Sa'id RA, Rasulullah SAW bersabda: "Tujuh (golongan) yang akan dinaungi Allah pada hari di mana tidak ada naungan lain kecuali naunganNya; Pemimpin adil, pemuda yang sentiasa dalam beribadah kepada Allah, orang yang hatinya terikat dengan masjid bila ia keluar meninggalkannya hingga ia kembali lagi, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul kerana itu dan berpisah kerana itu, orang yang mengingat Allah saat menyendiri lalu kedua matanya berlinang air mata, lelaki yang diajak oleh wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan (melakukan kejahatan) lalu ia berkata: Aku takut Allah, seseorang bersedekah lalu menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya." 

Sunan Tirmidzi No: 2313) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

Setiap manusia akan dibangkitkan dan melalui kesusahan dan kepayahan padang mahsyar kecuali orang yang mendapat perlindungan dari Allah di Padang Mahsyar. Tujuh golongan orang yang akan mendapat perlindungan Allah di hari akhirat:

1. Pemimpin yang adil

2. Pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah

3. Orang yang hatinya sentiasa tertambat ke masjid

4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul dan berpisah kerana kecintaan kepada Allah.

5. Orang yang mengingat Allah ketika bersendirian lalu berlinangan air matanya

6. Lelaki yang diajak oleh wanita kaya dan cantik melakukan kejahatan, lalu ia enggan dan berkata berkata: Aku takut Allah

7. Seseorang yang bersedekah lalu menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.

Tuesday, November 1, 2022

Akhlak Muslim

 Selasa, 6hb Rabiul Akhir 1444H; Akhlak Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Dari Abu Hurairah dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian saling mendengki, saling memfitnah, saling membenci, dan saling memusuhi. Janganlah ada seseorang di antara kalian yang berjual beli sesuatu yang masih dalam penawaran muslim lainnya dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara. Muslim yang satu dengan muslim yang lainnya adalah bersaudara tidak boleh menyakiti, merendahkan, ataupun menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya), Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Seseorang telah dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim. Muslim yang satu dengan yang Iainnya haram darahnya. hartanya, dan kehormatannya." 

(HR Muslim No: 4650) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam melarang berakhlak buruk antaranya:

a. saling mendengki
b. saling memfitnah
c. saling membenci
d. saling memusuhi
e. membeli sesuatu yang telah dibeli atau janjikan kepada orang lain

2. Setiap Muslim saling bersaudara. Muslim dilarang berbuat zalim dengan Muslim yang lain antaranya dengan:

a. Menyakiti
b. Merendahkan
c. Menghina

3. Takwa itu di dada (rasa taat dan patuh kepada Allah itu terletak di dalam hati)

4. Seseorang Muslim dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim.

5. Penghinaan boleh berlaku apabila seseorang meremeh dan merendahkan orang lain sama ada dengan perkataan atau perbuatan. Penghinaan ini adalah bentuk sifat sombong dan bangga diri serta menganggap dirinya lebih mulia dari orang lain.

6. Muslim sesama Muslim dilarang:

a. Menumpahkan darah sesama Muslim
b. Menzalimi hartanya
c. Merendahkan kehormatannya

Monday, October 31, 2022

Jadilah Orang Yang Paling Bermanfaat

 Isnin,5hb Rabiul Akhir 1444H; Jadilah Orang Yang Paling Bermanfaat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ فَقَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ قَالَ فَسَكَتُوا فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَقَالَ رَجُلٌ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا قَالَ خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW berdiri di hadapan orang orang yang sedang duduk lalu baginda bersabda: "Mahukah kalian aku beritahu orang yang paling baik di antara kalian dari orang yang paling buruk di antara kalian?" 

Abu Hurairah berkata: "Para sahabat diam, baginda mengatakan demikian sampai tiga kali, kemudian salah seorang berkata: "Wahai Rasulullah, beritahukan kepada kami orang yang paling baik di antara kami dari orang yang paling buruk, baginda bersabda: "Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang diharapkan kebaikannya dan aman dari kejahatannya, dan orang yang paling buruk di antara kalian adalah orang yang tidak diharapkan kebaikannya dan tidak aman dari kejahatannya." 

(HR Tirmizi No: 2189) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Di kalangan kita ada orang yang paling baik dan ada orang yang paling buruk

2. Orang yang paling baik dalam kalangan kita adalah orang yang sentiasa melakukan kebaikan dan tidak melakukan kejahatan serta orang lain mendapat manfaat dari kebaikannya.

3. Orang yang paling buruk pula adalah orang yang tidak melakukan kebaikan dan tidak dapat memberi manafaat kepada orang lain serta melakukan kejahatan dan orang lain mendapat mudarat daripada kejahatannya.

4. Berusahalah menjadi orang yang melakukan kebaikan dan kebaikannya dirasai bermanfaat kepada orang lain. Jika kita pemimpin, jadilah orang yang dirasai manfaatnya oleh orang lain. Jangan sekali-kali menjadi orang atau pemimpin yang buruk malah apa yang dilakukan memudaratkan orang lain juga negara.

Friday, October 28, 2022

Tekun dan Bersungguh-sungguh

 Jumaat,02hb Rabiul Akhir 1444H;  Tekun dan Bersungguh-sungguh

عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إن اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu yang melakukan sesuatu amalan, dilakukan secara tekun.” 

(HR Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929). Status Hadis Sahih

Pengajaran

1. Tekun bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan tugas atau kerja dengan sebaik dan sesempurna mungkin sebagaimana yang dikehendaki tanpa kurang sedikitpun.

2. Sifat tekun ini merupakan salah satu lambang atau tanda keislaman

3. Tekun adalah asas bagi menghasilkan prestasi dan mutu kerja yang berkualiti. Pekerja yang tekun akan sentiasa melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh pada setiap masa.

4. Ganjaran disisi Allah bergantung kepada keikhlasan dan kesungguhan seseorang melakukan sesuatu pekerjaan yang diredhai Allah.

5. Allah SWT mengasihi orang yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan baik dan bersungguh-sungguh.

6. Setiap pekerja dari peringkat bawahan sehinggalah pemimpin tertinggi perlu melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Lebih lagi apabila ia dipilih dan dilantik oleh orang bawahan sebagai ketua atau wakil rakyat. Janganlah hanya menjelang pilihanraya baru nampak muka untuk menyantuni rakyat. Perlu diingat pemimpin adalah khadam kepada rakyat!.

Thursday, October 27, 2022

Tanggungjawab Orang Beriman

 Khamis, 01hb Rabiul Akhir 1444H. Tanggungjawab Orang Beriman

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ حِينَ بَعَثَهُ إِلَى الْيَمَنِ إِنَّكَ سَتَأْتِي قَوْمًا أَهْلَ كِتَابٍ فَإِذَا جِئْتَهُمْ فَادْعُهُمْ إِلَى أَنْ يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Daripada Ibnu Abbas RA berkata; Rasulullah SAW bersabda kepada Mu'adz bin Jabal RA ketika baginda mengutusnya ke Yaman: "Sesungguhnya kamu akan mendatangi kaum Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani), jika kamu sudah mendatangi mereka maka ajaklah mereka itu untuk mengucap syahadah bersaksi bahawa tidak ada Illah yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. 

Jika mereka mengikuti seruan kamu, maka hendaklah kamu beritahu kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan bagi mereka solat lima waktu sehari semalam. Jika mereka mengikuti seruan kamu, maka beritahu kepada mereka bahawa Allah mewajibkan bagi mereka zakat yang diambil dari kalangan orang mampu dari mereka untuk diagihkan kepada orang yang fakir dari kalangan mereka. 

Jika mereka mentaati kamu dalam hal itu maka janganlah kamu mengambil harta-harta terhormat mereka dan takutlah terhadap doa orang yang dizalimi kerana antara dia dan Allah tidak ada hijab (sekatan yang menghalangi)"

(HR Bukhari No: 1401) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menjadi tanggungjawab dalam berdakwah untuk menyeru orang ramai supaya beriman kepada Allah dan Rasul dengan cara mengakui Allah yang menjadikan sekalian alam dan mentadbir sekalian makhluk di samping mentaati seruan dan perintah yang dibawa oleh Rasulullah.

2. Menjadi tanggungjawab orang yang telah beriman untuk melaksanakan perintah solat yang wajib lima kali sehari semalam sebagai tanda ketundukan dan kepatuhan kepada Pencipta.

وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَٰشِعِينَ ٤٥

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk (Al-Baqarah: 45)

3. Menjadi tanggungjawab orang yang telah beriman, yang memiliki harta untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta mereka sebagai zakat kepada golongan fakir miskin yang memerlukan bagi melahirkan kehidupan yang rahmah dan harmoni.

4. Sebagai pemimpin dan pentadbir, diingatkan agar berlaku adil kepada orang bawahan serta rakyat yang akur dan patuh kepada apa yang ditetapkan. Jangan sekali-kali berlaku zalim dengan menyalah gunakan kuasa untuk sebarang kepentingan diri dengan mengambil sesuatu yang bukan hak seperti rasuah, komisen, memerah rakyat bawahan, menyakiti mereka serta menzalimi mereka.

5. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa doa orang yang dizalimi itu amat mudah dimakbulkan Allah kerana tidak ada hijab antara dia dengan Allah.

Wednesday, October 26, 2022

Pemimpin Yang Menipu Rakyat

Rabu, 29hb Rabiul Awal 1444H. Pemimpin Yang Menipu Rakyat

مَعْقِلَ بْنَ يَسَارٍ الْمُزنِيَّ قَالَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Ma'qil bin Yasar al-Muzani RA berkata, Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa diberi amanah oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyat, nescaya Allah mengharamkan Syurga keatasnya".

 (HR Muslim No: 203) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Amanah adalah modal paling besar dalam melaksanakan kewajipan kepimpinan.

2. Kejujuran pemimpin melaksanakan amanah adalah dituntut.

3. Pemimpin atau ketua sewajarnya menunjukkan kejujuran melaksanakan amanah dalam kepimpinan untuk dijadikan contoh dan ikutan kepada rakyat atau pekerja di bawahnya daripada tukang sapu hinggalah pegawai tertingginya.

4. Allah mengharamkan syurga kepada mana-mana pemimpin yang menipu rakyat atau pekerja, menzalimi atau memudaratkan mereka.

5. Ibnu Bathal berkata: “Ini adalah ancaman keras terhadap para pemimpin zalim yang menyia-nyiakan amanah yang diberikan Allah kepada mereka, atau mengkhianati rakyat, atau menzalimi mereka, sehingga dia dituntut kerana menzalimi rakyat pada hari kiamat”.

6. Sebagai pemimpin, ketua, pegawai, sama ada di peringkat tertinggi Negara mahupun dalam sebuah organisasi kecil perlu bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab kepimpinan bukan menipu rakyat atau orang bawahan.

7. Milikilah sifat kepimpinan yang kompeten dan berintegriti ke arah pembentukan negara yang dirahmati Allah.

Thursday, October 20, 2022

Bersedekah Itu Wajib

Khamis, 23hb Rabiul Awal 1444H: Bersedekah Semampu Mungkin

عَنْ سَعِيدُ بْنُ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ صَدَقَةٌ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَجِدْ قَالَ فَيَعْمَلُ بِيَدَيْهِ فَيَنْفَعُ نَفْسَهُ وَيَتَصَدَّقُ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ أَوْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيُعِينُ ذَا الْحَاجَةِ الْمَلْهُوفَ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيَأْمُرُ بِالْخَيْرِ أَوْ قَالَ بِالْمَعْرُوفِ قَالَ فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيُمْسِكُ عَنْ الشَّرِّ فَإِنَّهُ لَهُ صَدَقَة

Daripada Said bin Abi Burdah, dari datuknya berkata, Nabi SAW bersabda: "Wajib bagi setiap muslim untuk bersedekah." 

 Para sahabat bertanya; "Bagaimana jika ia tidak mempunyai apa-apa? ' 

Baginda bersabda: "Hendaklah dia bekerja dengan kedua-dua tangannya, sehingga ia boleh memberi manfaat untuk dirinya dan bersedekah.' 

Mereka bertanya lagi; 'Bagaimana jika ia tidak boleh melakukannya? ' 

Baginda bersabda: "Hendaklah dia menolong orang yang kesusahan atau sangat memerlukan bantuan.' 

Mereka bertanya lagi; 'Bagaimana jika ia tidak mampu melakukannya?

Baginda bersabda: "Suruhlah orang melakukan kebaikan atau; menyuruh melakukan yang makruf"'. 

Mereka bertanya lagi; 'Bagaimana jika ia tidak dapat melakukannya? ' 

Baginda bersabda: "Tahanlah dirimu diri dari kejahatan, kerana itu juga adalah sedekah baginya.' 

(HR Bukhari No: 5563) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW mengajar umatnya agar menjadi insan yang berguna, sentiasa memberi bukan mengharap pemberian.

2. Pemberian tidak semestinya dalam bentuk kebendaan. Sumbangan boleh dalam bentuk tenaga, harta, ilmu, kemahiran, nasihat yang berguna, buah fikiran yang baik, kepakaran yang dimiliki dan sebagainya.

3. Setiap Muslim perlu bekerja, agar ia memperoleh hasil yang dengannya ia mampu mengurus dirinya dan menyumbang untuk orang lain, serta menjauhkannya dari kehinaan meminta-minta.

4. Bersedekah dan menyumbang menjadi bukti kebenaran iman seseorang. Sebagai muslim wajar bersedekah atau menyumbang sesuai dengan potensi dan kemampuan masing-masing, perlu bersegera jangan menunda, bimbang kematian menjemput kita.

5. Jika ia tidak mampu membantu keperluan orang lain dalam bentuk harta, menjadi sedekah juga bagi kita apabila dapat menyuruh kepada kebaikan. Berdakwah melalui pelbagai relong – berceramah, edar pamplet, forward 1 hari 1 hadis. Ini juga sedekah!

6. Jika tidak ada apa-apa yang boleh diberikan untuk kebaikan orang lain, maka tahan diri dari melakukan sebarang kejahatan. Kejahatan amat luas pengetiannya. Ia merangkumi kezaliman dengan mencerobohi nyawa, maruah, harta orang lain sama ada dengan perbuatan, perkataan, memek muka, tulisan, gambar, atau menyimpan dendam serta buruk sangka terhadap sesama manusia. Jadi apabila Nabi SAW bersabda “tahan dirimu dari kejahatan” bererti mendidik diri agar menjauhi kejahatan lahir dan batin.

7. Rasulullah SAW mengajar kepada kita adab dan akhlak mulia. Diajukan kepadanya soalan bertubi-tubi, namun setiap satunya dilayani dan dijawab dengan tenang tanpa mengherdik atau merendah-rendahkan si penanya.

Wednesday, October 19, 2022

Tujuh Yang Diperintah & DiLarang

 Rabu, 22hb Rabiul Awal 1444H - Tanggungjawab Muslim

 عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَمَرَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ وَنَهَانَا عَنْ سَبْعٍ أَمَرَنَا بِاتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَعِيَادَةِ الْمَرِيضِ وَإِجَابَةِ الدَّاعِي وَنَصْرِ الْمَظْلُومِ وَإِبْرَارِ الْقَسَمِ وَرَدِّ السَّلَامِ وَتَشْمِيتِ الْعَاطِسِ وَنَهَانَا عَنْ آنِيَةِ الْفِضَّةِ وَخَاتَمِ الذَّهَبِ وَالْحَرِيرِ وَالدِّيبَاجِ وَالْقَسِّيِّ وَالْإِسْتَبْرَقِ

Dari Al Bara' bin 'Azib RA berkata: "Nabi SAW memerintahkan kami dengan tujuh jenis perintah dan melarang kami dengan tujuh jenis larangan. Baginda memerintahkan kami untuk; mengiringi jenazah, mengunjungi orang yang sakit, memenuhi undangan, menolong orang yang dizalimi (teraniaya), mematuhi sumpah, menjawab salam dan mendoakan orang yang bersin. 

Baginda melarang kami dari menggunakan bekas yang diperbuat dari perak, memakai cincin emas, memakai kain sutera kasar, sutera halus, baju bersulam sutera dan sutera tebal". 

(HR Bukhari No: 1163) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Antara tanggungjawab Muslim kepada saudaranya :

1. Mengiringi jenazah hingga ke kubur di samping menyembahyangkan serta mendoakan.

2. Mengunjungi orang yang sakit bagi melahirkan rasa kasih sayang sesama Muslim

3. Memenuhi undangan sebagai tanda hidup bermasyarakat seperti undangan perkahwinan.

4. Menolong orang yang dizalimi (teraniaya) sebagai tanggungjawab menyuruh yang makruf dan mencegah mungkar

5. Mematuhi sumpah adalah wajib selagi tidak melibatkan perkara maksiat

6. Menjawab salam apabila bertemu sebagai dorongan sifat kasih sayang dan mengikat ukhuwah.

7. Mendoakan orang yang bersin semoga dia memperolehi rahmat

Menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk menjauhi perkara yang dilarang oleh Rasulullah SAW antaranya:

a. Menggunakan bekas atau peralatan dapur yang diperbuat dari emas dan perak

b. Memakai cincin emas bagi lelaki

c. Memakai pelbagai jenis kain sutera bagi kaum lelaki: sutera kasar, sutera halus, baju bersulam sutera dan sutera tebal

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

Tuesday, October 18, 2022

Jangan Meremehkan Kebaikan Kecil

 Selasa, 21hb Rabiul Awal 1444H: Jangan Meremehkan Kebaikan Kecil

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Daripada Abu Dzar, Rasulullah bersabda: "Jangan sekali-kali kalian menganggap remeh suatu kebajikan meskipun hanya berupa keceriaan wajah ketika bertemu dengan kawanmu".

HR Muslim No 4760. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap amal baik walaupun kecil, tetap mendapat ganjaran di sisi Allah

2. Berwajah ceria atau senyum apabila bertemu sahabat adalah antara amal kebaikan yang dituntut

3. Sikap ceria, senyum, gembira dan bertutur dengan kata-kata yang baik ketika berinteraksi dengan orang lain adalah suatu tuntutan akhlak Islam.

4. Penampilan wajah yang ceria ketika bertemu dapat mewujudkan ikatan ukhuwah sesama muslim.

5. Jangan memandang remeh perkara yang mungkin kecil tetapi memberi kesan dan ganjaran yang besar.

Monday, October 17, 2022

Amalan Rasulullah SAW Sebelum Tidur

 Isnin, 20hb Rabiul Awal 1444H; Amalan Rasulullah SAW Sebelum Tidur

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ فَبَدَأَهُمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ

Daripada Aisyah RA bahawa biasanya Nabi SAW ketika berada di tempat tidur di setiap malam, baginda menyatukan kedua telapak tangannya lalu ditiup dan dibacakan ’Qul huwallahu ahad’ (surat Al Ikhlas), ’Qul a’udzu birobbil falaq’ (surat Al Falaq) dan ’Qul a’udzu birobbin naas’ (surat An Naas). 

Kemudian baginda mengusapkan kedua telapak tangan tadi pada anggota tubuh yang mampu dijangkau dimulai dari kepala, wajah, dan tubuh bahagian depan. 

Baginda melakukan yang demikian sebanyak tiga kali.” 

(HR. Bukhari No. 5017). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW mengajar umatnya agar sentiasa memiliki adab termasuk ketika hendak tidur malam.

2. Antara adab sebelum tidur ialah membaca al-Muawwizat iaitu surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas sebanyak tiga kali dan ditiup ditapak tangan serta disapu ke seluruh anggota tubuh badan dimana yang sampai.

3. Ibnu Hajar Al Asqolani menyatakan bahawa; “Yang dimaksudkan dengan ‘Al-Muawwizat’adalah surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas.” (Fathul Bari 9/62)

4. Antara kelebihan membaca al-Muawwizat adalah untuk menjauhkan daripada gangguan jin, syaitan, sihir, was-was dan segala kejahatan
termasuk dijauhi dari kesakitan. Hadis Rasuullah SAW:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اشْتَكَى يَقْرَأُ عَلَى نَفْسِهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ وَيَنْفُثُ فَلَمَّا اشْتَدَّ وَجَعُهُ كُنْتُ أَقْرَأُ عَلَيْهِ وَأَمْسَحُ بِيَدِهِ رَجَاءَ بَرَكَتِهَا

Daripada Aisyah RA, bahwasanya; Apabila Rasulullah SAW menderita sakit, maka baginda membacakan al-Mu'awwidzaat untuk dirinya sendiri, lalu baginda meniupkannya. Dan ketika sakitnya parah, maka akulah yang membacakannya pada baginda, lalu mengusapkan dengan menggunakan tangannya bagi mengharap keberkahannya. (HR Bukhari No: 4629) status:Hadis Sahih

Friday, October 14, 2022

Orang Yang Bakhil

Jumaat;17hb Rabiul Awal 1444H -   Orang Yang Bakhil

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبَخِيلُ الَّذِي مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Daripada Ali bin Abi Talib, Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang kedekut (bakhil) adalah orang yang ketika namaku disebut tetapi dia tidak berselawat ke atasku". 

(HR Tirmizi No: 3469) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Jadilah orang yang pemurah

2. Orang yang bakhil ialah orang yang apabila disebut nama Rasulullah SAW atau ganti nama baginda , dia tidak mengucapkan selawat kepada baginda.

3. Mari kita berselawat antaranya:

اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

Atau ketika mendengar, menulis nama Nabi Muhammad serta ganti nama baginda dengan lafaz:

– صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ

Atau

– عَلَيْهِ الصّلاَةُ وَالسَّلاَمُ

Jangan jadi orang yang bakhil. Semarakkan selawat ke atas Rasulullah SAW setiap masa secara berterusan.

Thursday, October 13, 2022

Berselawat Diampun Dosa dan Diangkat Darjat

 Khamis,16hb Rabiul Awal 1444H:  Berselawat Diampun Dosa dan Diangkat Darjat

عَنْ بُرَيْدِ بْنِ أَبِي مَرْيَمَ قَالَ حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ

Dari Buraid bin Abu Maryam dia berkata; telah menceritakan kepada kami Anas bin Malik dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah akan mengucapkan selawat kepadanya sepuluh kali, dihapuskan darinya sepuluh kesalahan, dan ia diangkat sepuluh darjat untuknya." 

(HR An-Nasa'i No:1280) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Orang yang berselawat ke atas Rasulullah SAW sekali, Allah akan membalas dengan sepuluh kali.

2. Orang yang berselawat sekali akan dihapuskan sepuluh kesalahannya

3. Orang yang berselawat sekali akan diangkat sepuluh darjat untuknya di sisi Allah.

Wednesday, October 12, 2022

Melaksanakan Perintah Rasulullah SAW

 Rabu,15hb Rabiul Awal 1444H:  Melaksanakan Perintah Rasulullah SAW

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ قَالَ أَخْبَرَنِي أَبُو سُفْيَانَ أَنَّ هِرَقْلَ قَالَ لَهُ سَأَلْتُكَ مَاذَا يَأْمُرُكُمْ فَزَعَمْتَ أَنَّهُ أَمَرَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَالصِّدْقِ وَالْعَفَافِ وَالْوَفَاءِ بِالْعَهْدِ وَأَدَاءِ الْأَمَانَةِ قَالَ وَهَذِهِ صِفَةُ نَبِيٍّ

Abdullah bin Abbas RA berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Abu Sufyan bahawa Raja Herkulis berkata kepadanya: "Aku telah bertanya kepadamu apa yang dia (Nabi Muhammad) perintahkan kepada kalian, lalu kamu menjawab bahawa dia memerintahkan kalian untuk solat, bersedekah (zakat), menjauhkan diri dari berbuat buruk, menunaikan janji dan melaksanakan amanah". 

Lalu dia berkata; "Ini adalah diantara sifat-sifat seorang Nabi".

 (HR Bukhari No: 2484) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW memerintahkan agar melaksanakan ketaatan kepada Allah dengan melaksanakan ibadat yang wajib sebagai seorang Muslim.

2. Rasulullah SAW memerintahkan kepada umatnya agar:

a. Melaksanakan solat
b. Menunaikan zakat dan bersedekah
c. Menjauhi perbuatan buruk
d. Menunaikan janji
e. Melaksanakan amanah

3. Sebagai umat yang mencontohi Nabi SAW serta menjadi contoh kepada orang lain, adalah menjadi kewajipan kita untuk melaksanakan tanggungjawab yang bersifat peribadi seperti solat dan menjauhi perbuatan buruk. Muslim juga diperintahkan menunaikan tanggungjawab yang berkaitan dengan masyarakat seperti mengeluarkan zakat dan bersedekah di samping menunaikan janji dan melaksanakan amanah.

Tuesday, October 11, 2022

Kasih Sayang Kepada Seluruh Manusia

 Selasa, 14hb Rabiul Awal 1444H : Rahmat Kepada Semua

 عن أبي موسى الأشعري رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم قال لن تُؤْمِنوا حتى تَراحموا قالوا يا رسولَ اللهِ كُلُّنا رحيمٌ قال إنه ليس برحمةِ أحدِكم صاحِبَه ولكنَّها رحمةُ الناسِ رحمةُ العامَّةِ

Daripada Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah). Para Sahabah berkata: Wahai utusan Allah, kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda: “(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap kawannya, tetapi rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah secara umum” 

(Riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 Hadis Hasan Lighairihi)

Pengajaran:

1. Islam adalah agama rahmah. Rahmah adalah kata terbitan daripada kata akar ra-hi-ma / yar-ha-mu yang bermaksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam al’Arabiy al-Asasiy, 1989)

2. Memiliki sifat rahmah dengan berkasih sayang sesama Muslim adalah tanda keimanan seseorang.

3. Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim malah juga kepada seluruh manusia termasuk juga yang bukan Islam serta makhluk alam yang lain seperti binatang dan tumbuhan.

4. Umat Islam haruslah memahami bagaimana proses ummah dijelmakan dalam peradaban Islam dari sudut kesatuan masyarakat manusia. Al-Quran mengarahkan untuk kita melakukan engagement dengan pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.” (hujurat: 13)

5. Memiliki sifat rahmah kepada manusia secara umum termasuk bukan Islam dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia dengan saling mengenali serta berusaha melakukan usaha dakwah melalui pelbagai pendekatan termasuk menunjukkan contoh terpuji. Menyayangi orang lain agar mereka juga mendapat hidayah dan taufik menjadi hamba Allah yang diredhai.

Zahirkanlah sifat rahmah kita sebagai Muslim kepada orang lain termasuk kawan dan lawan dengan engagement yang berterusan agar kita benar-benar memiliki sifat RAHMAH.

Thursday, October 6, 2022

Gigit Sunnah Rasulullah SAW Dengan Gigi Geraham

Khamis, 9 Rabiul Awal 1444H; Gigit Sunnah Rasulullah SAW Dengan Gigi Geraham

حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ أَبِي الْمُطَاعِ قَالَ سَمِعْتُ الْعِرْبَاضَ بْنَ سَارِيَةَ يَقُولُ قَامَ فِينَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً وَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ وَذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَظْتَنَا مَوْعِظَةَ مُوَدِّعٍ فَاعْهَدْ إِلَيْنَا بِعَهْدٍ فَقَالَ عَلَيْكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا وَسَتَرَوْنَ مِنْ بَعْدِي اخْتِلَافًا شَدِيدًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَالْأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Telah menceritakan kepadaku Yahya bin Abi Al Mutha' ia berkata; aku mendengar 'Irbadl bin Sariyah berkata; "Pada suatu hari Rasulullah SAW berdiri di tengah-tengah kami. Baginda memberi nasihat yang sangat menyentuh, membuat hati menjadi gemetar, dan airmata berlinangan. Lalu dikatakan; "Wahai Rasulullah, engkau telah memberikan nasihat kepada kami satu nasihat perpisahan, maka berilah kami satu wasiat." 

Baginda bersabda: "Hendaklah kalian bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat meskipun kepada seorang hamba Habasyi. Dan sepeninggalku nanti, kalian akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat, maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham, dan jangan sampai kalian mengikuti perkara-perkara (bid’ah) yang dibuat-buat, kerana sesungguhnya semua bid’ah itu adalah sesat." 

(HR Ibnu Majah No: 42) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah SAW meninggalkan wasiat untuk kita laksanakan:

1. Hendaklah kita bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat kepada pemimpin yang benar dan hak, meskipun kepada seorang hamba Habasyi.

2. Sepeninggalan Rasulullah SAW, akan berlaku banyak perselisihan yang dahsyat. Sebagai orang beriman, kita mesti berpegang teguh dan bersungguh-sungguh (menggigit dengan gigi geraham) sunnah Rasulullah SAW dan sunnah para khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Mengigit dengan gigi geraham lebih kuat dan mantap berbanding mengigit dengan gigi kacip yang boleh terlepas.

3. Berpegang teguh dengan sunnah yang dimaksudkan ialah teguh dan berterusan mengikuti dan mencontohi semua jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam segenap lapangan hidup. Juga mengikuti jalan hidup khulafa ar-Rashidin.

Jadilah seperti Saidina Abu Bakar Ash Shiddiq RA yang menyatakan:

لَسْتُ تَارِكًا شَيْئًا كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يَعْمَلُ بِهِ إِلَّا عَمِلْتُ بِهِ إِنِّي أَخْشَى إِنْ تَرَكْتُ شَيْئًا مِنْ أَمْرِهِ أَنْ أَزِيْغَ

“Tidaklah aku biarkan satupun yang Rasulullah SAW amalkan kecuali aku mengamalkannya kerana aku takut jika meninggalkannya sedikit saja, aku akan menyimpang.” (Atsar R. Abu Daud No. 2970)

4. Jangan terlibat dengan perkara bid’ah yang dikeji. Bid’ah yang dikeji mengikut Ibnu Hajar al-Asqalani adalah menambah atau mengurangkan dalam hal agama yang tiada dalil syarak dan ia adalah amalan yang dikeji oleh syarak.

Wednesday, October 5, 2022

Al-Quran dan Sunnah Panduan Hidup Diredhai

Rabu, 8 Rabiul Awal 1444H;  Al-Quran dan Sunnah Panduan Hidup Diredhai

عَنْ مَالِك أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Daripada Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi " (Muwatta’ Malik No: 1661 Dar Ihya Ulum Arabiyyah) 

Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW meninggalkan pusaka yang amat berharga untuk diwarisi oleh orang beriman agar sentiasa berada di dalam petunjuk dan hidayah Allah.

2. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan dua pusaka yang wajib di amalkan dan dijadikan panduan dalam kehidupan ini.

3. Al-Quran adalah kitab hidayah dan panduan untuk kehidupan. Berusahalah mempelajari, membaca, memahami dan melaksanakan tuntutan al-Quran.

عن جابر عن النبي صلى الله عليه وسلم قال اَلقُرْءَانُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ وَمَاحِلٌ مُصَدَّقٌ مَن جَعَلَهُ أَمَامَهُ قَادَهُ إِلَى الْجَنَّةِ وَمَن جَعَلَهُ خَلْفَ ظَهْرِهِ سَاقَطَهُ إِلَى النَّارِ

Daripada Jabir RA dari Nabi SAW bersabda: Al-Quran adalah pemberi syafaat (yang mana) syafaatnya akan diterima dan sebagai penghujah (yang mana) hujahnya disokong. Barangsiapa meletakkan al-Quran di hadapannya maka al-Quran akan memandunya ke syurga dan barangsiapa yang meletakkan al-Quran di belakangnya maka al-Quran akan mencampakkannya ke neraka” (HR Ibn Hibban No: 124) Status: Hadis Sahih

4. Sunnah adalah penjelas bagi al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Al-Sunnah adalah jalan, tingkah laku, amalan, pembawaan atau cara hidup Rasulullah SAW sama ada melalui percakapan, perbuatan mahupun perakuan.

5. Menerusi sunnah, orang beriman dapat memahami asas ibadah yang diterangkan dalam al-Quran serta dalam bidang-bidang lain yang diperlihatkan oleh Rasulullah SAW seperti muamalah, jinayat, akhlak, pentadbiran dan lain-lain.

Tuesday, October 4, 2022

Rasulullah Penyelamat Umat

 Selasa, 7hb Rabiul Awal 1444H .Rasulullah Penyelamat Umat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَتِ الدَّوَابُّ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهِ فَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya perumpamaan diriku dengan umatku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Ketika itu, binatang dan kelekatu berjatuhan ke dalamnya. Maka aku mencegah kalian, namun kalian melemparkan diri ke dalamnya."

(HR Bukhari No: 6483) Status : Hadis Sahih.

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW diutus untuk memberitahu manusia akan ancaman azab api Neraka yang menanti di Akhirat bagi mereka yang berbuat maksiat juga yang tidak beriman.

2. Rasulullah SAW berusaha untuk menyelamatkan manusia dari menjadi ahli Neraka. Baginda SAW menyampaikan Islam sebagai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

3. Imam An-Nawawi berkata: hadis ini membawa maksud bahawa Rasulullah SAW menggambarkan perbuatan orang jahil dan ingkar yang bergelumang dengan maksiat dan syahwat sebenarnya melemparkan diri ke dalam Neraka, seperti kelekatu yang terbang ke dalam api kerana mengikut keinginan dan tidak mampu membezakan bahaya atau tidak, sedangkan Baginda SAW berusaha menghalang mereka dari terjatuh ke dalamnya.

4. Teknik memberikan perumpamaan yang boleh digambarkan oleh akal, adakalanya diperlukan bagi menyampaikan dakwah dan menyedarkan jiwa umat.

5. Jangan jadikan kita seperti kelekatu yang terhumban ke dalam api kerana tidak dapat membezakan antara bahaya dan bahagia. Ikutilah perintah dan larangan Rasulullah SAW yang sayang dan kasih kepada umatnya agar tidak terhumban ke dalam neraka.

6. Jadikan diri kita pewaris tugas Rasulullah sebagai pendakwah untuk menyelamatkan diri kita dan orang lain daripada api neraka.

Monday, October 3, 2022

Orang Yang Enggan Masuk Syurga

 Isnin, 6hb Rabiul Awal 1444H;  Orang Yang Enggan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

Daripada Abu Hurairah RA, bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan, " Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?" Nabi menjawab: "Siapa yang taat kepadaku masuk syurga dan siapa yang mendurhakaiku dialah orang yang enggan." 

(HR Bukhari No: 6737) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap umat Nabi Muhammad SAW akan masuk ke syurga dengan syarat mentaati dan mengikuti apa yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala yang dilarang.

2. Taat dan patuh itu antaranya dengan mentauhidkan Allah serta istiqamah dalam melaksanakan syariat Allah seperti menunaikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan puasa Ramadhan, berbakti kepada kedua orang tua, menjaga dari perkara yang haram seperti perbuatan zina, minum yang memabukkan, serta perkara haram yang lain.

3. Orang yang enggan dan tidak mahu mentaati syariat yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah SAW adalah orang yang enggan untuk masuk syurga. Orang tersebut mencegah dirinya untuk masuk ke dalam syurga dengan melakukan amal keburukan dan meninggalkan syariat yang diwajibkan.

4. Wajib bagi setiap muslim untuk mentaati segala perintah Allah, serta mengikuti Nabi Muhammad SAW dalam setiap syariat yang baginda bawa. Firman Allah:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya” (Al Hasyr: 7)

Friday, September 30, 2022

Berselawat Tuntutan Mukmin

 Jumaat, 03Rabiul Awal 1444H : Berselawat Tuntutan Mukmin

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَة قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا} . قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ عَلِمْنَا السَّلَامَ فَكَيْفَ الصَّلَاةُ عَلَيْكَ "قُولُوا: اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ". وَكَانَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي لَيْلَى يَقُولُ: وَعَلَيْنَا مَعَهُمْ.

Daripada Ka'b ibnu Ujrah berkata, bahawa ketika ayat ini diturunkan :" Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." (Al-Ahzab: 56) 

Lalu kami bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui bagaimana cara mengucapkan salam penghormatan kepadamu. Maka bagaimanakah caranya mengucapkan selawat untukmu?" 

Rasulullah SAW. menjawab: Ucapkanlah, "Ya Allah, limpahkanlah selawat buat Muhammad dan keluarganya, sebagaimana telah Engkau limpahkan selawat buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mahamulia. Dan limpahkanlah berkah buat Muhammad dan keluarganya sebagaimana telah Engkau limpahkan berkah buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguh¬nya Engkau Maha Terpuji lagi Mahamulia.”  

Dan Abdur Rahman ibnu Abu Laila mengatakan, "Dan semoga dilimpahkan pula kepada kami disertakan dengan mereka." 

(HR Bukhari No: 2497) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang dituntut kepada setiap Mukmin.

2. Abul Aliyah telah mengatakan bahawa yang dimaksud dengan selawat dari Allah ialah pujian-Nya kepada Nabi SAW. Selawat dari para malaikat ialah doa mereka untuknya.

3. Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari Allah adalah rahmat-Nya, dan selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun bagi yang bersangkutan.

4. Rasulullah SAW mengajarkan cara berselawat ke atas baginda. Seafdhal-afdhal selawat adalah selawat yang biasa dibaca semasa tasyahud akhir setiap solat (Mustika Hadis 1/259) atau yang dipanggil selawat Ibrahimi:

اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

5. Setiap Mukmin dituntut berselawat setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW. Antaranya dengan lafaz:

– صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ
Atau

– عَلَيْهِ الصّلاَةُ وَالسَّلاَمُ

Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW. Abi Umamah berkata Rasulullah bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَإِنَّ صَلاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً

Banyakkanlah berselawat ke atasku di setiap hari Jumaat kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya ke atasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku. (Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 3/249, no. 5791) Status: Hadis Hasan

Thursday, September 29, 2022

Mohon Jauh Dari Pelbagai Keburukan

Khamis, 2 Rabiulawal 1444H: Mohon Jauh Dari Pelbagai Keburukan

وَعَنْ قُطْبَةَ بْنِ مَالِكٍ رضى الله عنه قَالَ: كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: اَللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ اَلْأَخْلَاقِ, وَالْأَعْمَالِ, وَالْأَهْوَاءِ,
وَالْأَدْوَاءِ

Daripada Qutaibah bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca doa: "Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang keji, amalan yang munkar, nafsu yang buruk dan pelbagai penyakit yang berat."

(Sunan Tirmidzi no 3591) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW mengajar kita agar sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah dalam setiap masa dan keadaan agar dijauhi daripada sesuatu yang buruk.

2. Dalam kehidupan kita, pelbagai akhlak buruk, amal buruk, nafsu buruk serta penyakit berat yang mungkin akan menjadi tabiat dan dimiliki oleh seseorang.

3. Rasulullah SAW mengajar kita agar memohon untuk dijauhi dan jangan didekatkan dengan:

a. Akhlak buruk seperti sifat sombong, hasad, dengki, kedekut, suka berburuk sangka dan sebagainya.

b. Amal buruk yang berkaitan dengan anggota tubuh, seperti perbuatan buruk berkaitan lisan, dan tulisan, suka mencaci, suka mencela, memukul orang, membunuh, berzina, merompak dan pelbagai dosa besar.

c. Hawa nafsu yang buruk akan menjerumuskan seseorang kepada perkara yang membinasakan, menjadikan seseorang berani untuk melakukan dosa. Firman Allah :

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ

“Terangkanlah kepadaku bagaimana tentang seorang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya?” (Al Jatsiyah: 23)

d. Penyakit berat yang memudaratkan dan merbahaya seperti kanser, HIV, jantung, strok dan sebagainya.

4. Namun Rasulullah SAW tidaklah memohon berlindung dengan semua penyakit secara mutlak, kerana ada sebahagian penyakit yang memang bermanfaat. Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلاَّ كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa dengan keletihan, penyakit, kekhawatiran (sesuatu yang akan menimpa di kemudian hari), kesedihan, demikian juga gangguan dari orang lain, kegelisahan hati, hingga duri yang menusuknya, kecuali Allah SWT akan menghapuskan dosa-dosanya.” (HR Bukhari no 5210)

5. Marilah kita amalkan doa agar dijauhi akhlak yang buruk, amalan yang memudaratkan, hawa nafsu yang buruk serta penyakit-penyakit yang berat:

اَللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ الْأَخْلاَقِ
وَالْأَعْمَالِ وَالْأَهْوَاءِ وَالْأَدْوَاء

Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang keji, amalan yang munkar, nafsu yang buruk dan pelbagai penyakit yang berat

Wednesday, September 14, 2022

Hormati Yang Tua Kasihi Yang Muda

 Rabu, 17 Safar 1444H: Hormati Yang Tua Kasihi Yang Muda

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا وَيَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَ عَنْ الْمُنْكَرِ

Daripada Ibnu Abbas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah termasuk golongan kami, mereka yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak pula menghormati orang tua kami, serta tidak menyuruh yang makruf dan melarang yang mungkar." 

(HR Tirmidzi No: 1844) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Orang yang tidak mengasihi anak-anak kecil dan menghormati orang tua – mereka tidak mengikuti sunah Rasulullah SAW dan Adab seorang Muslim.

2. Menghormati orang yang lebih tua daripada kita termasuk sunnah Nabi. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ جِبْرِيلَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَنِي أَنْ أُكَبِّرَ

"Jibril telah menyuruhku untuk mendahulukan orang-orang yang lebih tua" (HR. Ahmad No:1555)

3. Keutamaan menghormati orang yang lebih tua termasuk dalam mengagungkan Allah. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ إِجْلَالِ اللَّهِ إِكْرَامَ ذِي الشَّيْبَةِ الْمُسْلِمِ

"Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah adalah menghormati orang muslim yang sudah tua" (HR Abu Daud No: 4203)

4. Dahulukan orang yang lebih tua dari kita. Malik bin Mighwal rahimahullah berkata:

كُنْتُ أَمْشِيْ مَعَ طَلْحَةَ بْنِ مُصَرِّفٍ فَصِرْنَا إِلَى مَضْيَقٍ فَتَقَدَّمَنِيْ ثُمَّ قَالَ لِيْ : لَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ أَنَّكَ أَكْبَرُ مِنِّيِ بِيَوْمٍ مَا تَقَدَّمْتُكَ

"Dahulu aku berjalan bersama Talhah bin Musharrif, sampailah kami ke sebuah jalan sempit, maka beliaupun mendahuluiku, seraya berkata kepadaku: Seandainya aku mengetahui bahawa engkau lebih tua satu hari daripada aku nescaya aku tidak akan mendahuluimu" (Diriwayatkan oleh Al-Khathiib Al Baghdaady dalam Al Jaami' li Akhlaaqi Ar Raawii wa Aadaabi As Saami', no: 249)

5. Menjadi tanggung jawab Muslim untuk mengajak orang lain kepada kebaikan dan melarang kemungkaran berlaku.

Tuesday, September 13, 2022

Golongan Penghuni Syurga

 Selasa, 16 Safar 1444H: Golongan Penghuni Syurga

عن عياض بن حمار المجاشعي رضي الله عنه عن النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال : وَأَهْلُ الْجَنَّةِ ثَلَاثَةٌ ذُو سُلْطَانٍ مُقْسِطٌ مُتَصَدِّقٌ مُوَفَّقٌ وَرَجُلٌ رَحِيمٌ رَقِيقُ الْقَلْبِ لِكُلِّ ذِي قُرْبَى وَمُسْلِمٍ وَعَفِيفٌ مُتَعَفِّفٌ ذُو عِيَالٍ

Daripada Iyadh bin Himar al-Mujasyai RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: "Penghuni syurga itu terdiri daripada tiga golongan; iaitu penguasa yang berlaku adil, gemar bersedekah dan diberi kurnia taufik (Allah), seorang yang penuh kasih sayang dan lemah lembut kepada setiap kerabat dan sesama muslim, dan seorang yang suci dan miskin namun menjaga dirinya dari meminta-minta” 

(Sahih Muslim No: 5109) Status : Hadis Sahih

Pengajaran

Antara golongan yang akan menjadi penghuni Syurga ialah:

1.Penguasa atau pemimpin yang adil, sentiasa pemurah dengan bersedekah dan diberi kurnia taufik oleh Allah dalam menjalankan tanggungjawab.

2.Orang yang memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut kepada setiap kerabat dan sesama muslim yang lain

3.Orang yang suci hatinya walaupun miskin namun menjaga dirinya dari menjadi peminta sedekah.

Monday, September 12, 2022

Manusia Paling Dibenci Allah

Isnin, 15 Safar 1444H:  Manusia Paling Dibenci Allah

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA, ia mengatakan; Rasulullah SAW bersabda: "Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka membantah (suka bermusuh)".

(HR Bukhari No: 6765) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Keras kepala adalah sifat yang beriringan dengan sifat sombong, bongkak, takbur dan ego. Kesemua sifat-sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT dan merupakan sifat Iblis.

2.Iblis menjadi kufur akibat daripada sifat keras kepala dan sombong dengan merasakan dia lebih baik daripada orang lain.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مسعود عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Daripada Abdullah bin Masud RA, daripada Nabi SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi daripada kesombongan." (Sahih Muslim No: 133) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

3.Orang yang suka membantah adalah mereka yang suka bertengkar dan suka menegakkan pendapatnya sendiri walaupun salah. Ia akan menjadikannya seorang yang angkuh dan sombong. Baginya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah. Dia sukar untuk berbincang dengan cara baik kerana dia menganggap pendapat orang lain rendah dan pendapatnya sahaja yang baik dan perlu diutamakan. Akhirnya mewujudkan ketidak sefahaman dan permusuhan.

Thursday, September 8, 2022

Mukmin Yang Terpelihara

Khamis, 11 Safar 1444H:  Mukmin Yang Terpelihara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: "Barang siapa membebaskan seorang mukmin dari suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat. 

Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. 

Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut menolong saudaranya sesama muslim. 

Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya. 

Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca Al-Quran, melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya. 

Barang siapa yang ketinggalan amalnya (kurang), maka keturunannya tidak akan dapat meninggikannya (menambah amalnya).' 

(Sahih Muslim No: 4867) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Mukmin yang membebaskan mukmin lain dari suatu kesulitan di dunia, nescaya Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat.

2.Mukmin yang memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan semasa di dunia, nescaya Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat.

3.Mukmin yang menutupi aib seorang muslim semasa di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.

4.Allah akan menolong sesiapa yang menolong saudara muslim yang lain.

5.Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya.

6.Orang yang berkumpul di masjid untuk membaca Al-Quran, Allah akan mengurniakan ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.

7.Barang siapa yang kurang amalnya semasa di dunia, maka keturunannya tidak akan dapat menambah amalnya. (Amal kita seperti solat, puasa, zakat, tilawah al-Quran adalah tanggung jawab kita).

Wednesday, September 7, 2022

Makan Daging Saudara SeIslam

Rabu, 10 Safar 1444H: Makan Daging Saudara SeIslam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْن مَسْعُودٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ رَجُلٌ فَوَقَعَ فِيهِ رَجُلٌ مِنْ بَعْدِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "تَخَلَّلْ" قَالَ: وَمَا أَتَخَلَّلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَلْتُ لَحْمًا قَالَ: "إِنَّكَ أَكَلْتَ لَحْمَ أَخِيكَ

Daripada Abdullah ibn Masud RA beliau berkata : Kami berada di sisi Nabi SAW, kemudian berdirilah seorang lelaki, dan seorang lelaki lain menceritakan keaibannya selepas dia pergi, berkata Nabi SAW : “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”

Kemudian dia berkata : "Apa yang perlu aku keluarkan? Aku tidak makan apa-apa daging!"

Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.” 

(HR Thabarani No: 13145) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Dalam kehidupan ini, setiap orang tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Namun kita dilarang menceritakan kekurangan dan aib orang lain.

2.Orang yang menceritakan aib orang lain atau disebut mengumpat, diumpamakan seperti memakan daging saudara Islam yang lain. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)

3.Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan; mengumpat adalah haram secara ijma’ dan tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah (kebaikan) pada mengumpat lebih kuat daripada mafsadahnya (kerosakan) (Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)

4.Walaupun begitu, bukanlah larangan mutlak menceritakan aib dan kelemahan orang lain. Al-Nawawi dan Ibn Qudamah menyebut Enam keadaan mengumpat yang diharuskan oleh syarak:

a.Membuat aduan mengenai kezaliman kepada pihak berkuasa atau hakim agar kezaliman dapat dibanteras dan diadili.
b.Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat
c.Meminta fatwa
d.Memberikan peringatan kepada orang lain terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang terhindar daripada kejahatannya.
e.Seseorang yang terang-terang melakukan kemungkaran.
f.Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran tertentu seperti si buta dan dia redha dengannya

Tuesday, September 6, 2022

Jangan Ambil Yang Bukan Hak

Selasa, 9 Safar 1444H: Jangan Ambil Yang Bukan Hak

عَنْ أَبِي حُمَيْدٍ السَّاعِدِيِّ قَالَ اسْتَعْمَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا مِنْ الْأَسْدِ يُقَالُ لَهُ ابْنُ اللُّتْبِيَّةِ قَالَ عَمْرٌو وَابْنُ أَبِي عُمَرَ عَلَى الصَّدَقَةِ فَلَمَّا قَدِمَ قَالَ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا لِي أُهْدِيَ لِي قَالَ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ وَقَالَ مَا بَالُ عَامِلٍ أَبْعَثُهُ فَيَقُولُ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا أُهْدِيَ لِي أَفَلَا قَعَدَ فِي بَيْتِ أَبِيهِ أَوْ فِي بَيْتِ أُمِّهِ حَتَّى يَنْظُرَ أَيُهْدَى إِلَيْهِ أَمْ لَا وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا يَنَالُ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنْهَا شَيْئًا إِلَّا جَاءَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَحْمِلُهُ عَلَى عُنُقِهِ بَعِيرٌ لَهُ رُغَاءٌ أَوْ بَقَرَةٌ لَهَا خُوَارٌ أَوْ شَاةٌ تَيْعِرُ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى رَأَيْنَا عُفْرَتَيْ إِبْطَيْهِ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ هَلْ بَلَّغْتُ مَرَّتَيْنِ

Daripada Abu Humaid As Sa'idi dia berkata, "Rasulullah SAW mengambil seorang lelaki dari suku Al-Asad bernama Ibnu Luthbiyah sebagai pekerja. Amru dan Ibnu Abu 'Umar berkata (Nabi SAW mengupah lelaki tersebut) untuk mengumpulkan harta zakat. Ketika lelaki tersebut menyerahkan zakat yang dikutip, dia berkata, "Zakat ini kuserahkan kepada kamu (Rasulullah), dan ini pemberian orang kepadaku." 

Abu Humaid berkata, "Rasulullah SAW lalu berkhutbah di atas mimbar, setelah baginda memuji-muji Allah, baginda menyatakan: "Adakah patut seorang petugas yang aku tugaskan untuk mengurus suatu tugas, dia berkata, 'Ini untuk kamu, dan ini hadiah orang kepadaku!.' Mengapa dia tidak duduk saja di rumah ibu bapanya menunggu orang menghantarkan hadiah kepadanya? “Demi (Allah), yang jiwaku berada di tanganNya. Tidaklah seseorang mengambil sesuatu daripadanya (harta), melainkan dia akan datang pada hari Kiamat membawa di lehernya. Jika (yang diambil) seekor unta, maka (unta itu) bersuara. Jika (yang diambil) seekor lembu, maka (lembu itu pun) bersuara. Atau jika (yang diambil) seekor kambing, maka (kambing itu pun) bersuara." 

Kemudian baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kami melihat putih kedua ketiaknya, kemudian baginda bersabda: "Ya Allah, telah aku sampaikan." Baginda mengatakannya dua kali."

 (HR Muslim No: 3413) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap pekerja yang diupah melakukan suatu pekerjaan, menjadi kewajipan kepadanya melaksanakan pekerjaan tersebut dengan sebaik-baiknya.

2. Pekerja yang amanah dan jujur hanya akan mengambil upah yang diberi dan tidak sekali-kali mengkhianatinya.

3. Sesiapa yang mengambil yang lain daripada upah yang dibayar yang bukan haknya akan dipersoal di hari kiamat.

4. Menerima sebarang bentuk hadiah lebih-lebih lagi daripada orang yang berurusan dengan bidang kerjanya adalah dilarang kerana dibimbangi ada tujuan lain.

5. Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa setiap harta kita akan dipersoal dari mana sumbernya dan kemana dibelanjakan:

لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ …… وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ

Tidak berganjak dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya ….. tentang hartanya dari mana diperolehi dan kemana dibelanjakan” (HR Tirmizi No: 2341).

Monday, September 5, 2022

Tali Kasut Penyebab Ke Neraka

Isnin, 8 Safar 1444H: Tali Kasut Penyebab Ke Neraka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى خَيْبَرَ فَفَتَحَ اللَّهُ عَلَيْنَا فَلَمْ نَغْنَمْ ذَهَبًا وَلَا وَرِقًا غَنِمْنَا الْمَتَاعَ وَالطَّعَامَ وَالثِّيَابَ ثُمَّ انْطَلَقْنَا إِلَى الْوَادِي وَمَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَبْدٌ لَهُ وَهَبَهُ لَهُ رَجُلٌ مِنْ جُذَامَ يُدْعَى رِفَاعَةَ بْنَ زَيْدٍ مِنْ بَنِي الضُّبَيْبِ فَلَمَّا نَزَلْنَا الْوَادِي قَامَ عَبْدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَحُلُّ رَحْلَهُ فَرُمِيَ بِسَهْمٍ فَكَانَ فِيهِ حَتْفُهُ فَقُلْنَا هَنِيئًا لَهُ الشَّهَادَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلَّا وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ إِنَّ الشَّمْلَةَ لَتَلْتَهِبُ عَلَيْهِ نَارًا أَخَذَهَا مِنْ الْغَنَائِمِ يَوْمَ خَيْبَرَ لَمْ تُصِبْهَا الْمَقَاسِمُ قَالَ فَفَزِعَ النَّاسُ فَجَاءَ رَجُلٌ بِشِرَاكٍ أَوْ شِرَاكَيْنِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَصَبْتُ يَوْمَ خَيْبَرَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شِرَاكٌ مِنْ نَارٍ أَوْ شِرَاكَانِ مِنْ نَارٍ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, "Pada hari Peperangan Khaibar kami keluar bersama Nabi SAW hingga Allah memberi kemenangan kepada kami, namun kami tidak mendapat harta rampasan perang berupa emas atau perak, melainkan harta benda, makanan dan pakaian. 

Kemudian kami bersama Rasulullah berangkat menuju Wadi Qura (lembah sebelum kota Madinah). Rasulullah SAW ketika itu bersama dengan budak (hamba) yang dihadiahkan oleh seorang lelaki dari Judzam yang dipanggil dengan nama Rifa'ah bin Zaid dari Bani Dhubaib. Ketika kami sampai di wadi, budak (hamba) tersebut berdiri untuk menambat unta Nabi SAW. Namun tiba-tiba dia dipanah, dan menemui ajalnya di sana. 

Para sahabat berkata, "Kami mengucapkan selamat baginya wahai Rasulullah kerana telah syahid."

Tapi Rasulullah SAW bersabda: "Tidak, demi Dzat yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, sungguh ia akan diazab oleh api neraka kerana selimut dari ghanimah perang Khaibar yang diambilnya sebelum dibahagi."

Ketika para sahabat mendengar sabda baginda, tiba-tiba seseorang membawa seutas tali atau sepasang tali (kasut) hasil rampasan perang yang disembunyikan kepada Nabi SAW seraya berkata, "Wahai Rasulullah, aku ambil masa perang Khaibar"

Maka Rasulullah pun bersabda: "Satu tali kasut atau dua tali kasut berasal dari api neraka'." 

(HR Muslim No: 166) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Mati syahid satu anugerah istimewa daripada Allah yang menjanjikan balasan syurga.

2. Ada sahabat yang terbunuh oleh panah musuh dan telah dianggap syahid oleh para sahabat, namun Rasulullah SAW kata ia akan dibakar oleh api neraka kerana mengambil harta awam (ghanimah sebelum diagih sekadar berupa selimut atau pakaian).

3. Jika mengambil selimut atau tali kasut yang bukan hak dengan cara yang salah juga akan dibakar oleh api neraka, bagaimana jika yang diambil puluhan ribu dan juta ringgit?

4. Menurut Imam Al-Qurthubi bahawa kekalahan yang dialami kaum muslimin pada Perang Uhud adalah akibat ghulul (zalim) yang dilakukan pasukan pemanah, mereka tidak menjaga amanah yang diberi untuk tetap berada diposisi. Mereka turun dari bukit untuk mengumpulkan rampasan perang sebelum dibahagi. Akibat kesilapan mereka ini, ia telah memberi kesan kekalahan seluruh pasukan tentera Islam.

5. Mereka yang tidak amanah dalam melaksanakan tugas malah mengambil harta yang bukan haknya boleh memberi kesan kepada kehancuran umat dan Negara.

Friday, September 2, 2022

Jadilah Pemimpin Dirahmati

 Jumaat,6 Safar 1444H; Jadilah Pemimpin Dirahmati

مَنْ وَلَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ شَيْئًا مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَاحْتَجَبَ دُونَ حَاجَتِهِمْ وَخَلَّتِهِمْ وَفَقْرِهِمْ احْتَجَبَ اللَّهُ عَنْهُ دُونَ حَاجَتِهِ وَخَلَّتِهِ وَفَقْرِهِ

"Barangsiapa yang Allah 'azza wajalla serahkan kepadanya sebahagian urusan orang muslim (kepimpinan) namun ia menutup diri dari melayani keperluan mereka dan kefakiran mereka, nescaya Allah menutup diri darinya dan tidak melayani keperluannya, serta kefakirannya (pada hari kiamat)." 

(Sunan Abu Daud No: 2559) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap orang yang diberikan tanggungjawab kepimpinan perlu memiliki sikap amanah dan adil menunaikan kewajipan mereka yang berada di bawah kepimpinannya.

2. Antara tanggungjawab kepimpinan ialah sentiasa memenuhi keperluan mereka yang berada di bawah kepimpinannya di samping membantu kesusahan yang dialami bukan menyusahkan mereka.

3. Pemimpin yang tidak mengindahkan keperluan dan kesusahan orang yang berada di bawah kepimpinannya, nescaya Allah juga tidak akan memenuhi keperluan dan kesusahannya pada hari Kiamat kelak.

4. Sebagai pemimpin dimana sahaja peringkat kepimpinan, berusahalah memenuhi keperluan mereka yang berada di bawah kita tanpa mengira bangsa, agama mahupun kumpulan.

5. Pemimpin yang dilantik mesti bersedia menjadi khadam kepada rakyat. Bukan rakyat yang terpaksa menjadi khadam kepada pemimpin.

Thursday, September 1, 2022

Bertakwa dan Berakhlak Dalam Pergaulan

Khamis, 5 Safar 1444H: Bertakwa dan Berakhlak Dalam Pergaulan

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Daripada Abu Dzar RA ia berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Bertakwalah kamu kepada Allah dimana saja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik." 

(Sunan Tirmizi No: 1910) Status: Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.Setiap Muslim perlu memiliki sifat takwa dimana-mana sahaja berada dan dalam setiap waktu.

2.Takwa ialah sentiasa melaksanakan ketaatan kepada Allah dan menjauhi perkara yang dilarang.

3.Takwa itu ialah sifat berhati-hati dan sentiasa merasakan diri diawasi oleh Allah.

4.Abu Darda berkata: Taqwa yang paling sempurna ialah seorang hamba yang takut kepada Allah hinggakan dalam urusan seberat zarahpun dia masih takut. Setengah perkara yang halal pun ditinggalkan kerana takut ia menjadi haram.

5.Lakukanlah amal kebaikan kerana ia boleh menjadi penyebab kepada penghapusan dosa yang dilakukan seperti beristighfar, berwuduk, solat, sedekah dan sebagainya.

6.Berakhlak baiklah dalam pergaulan sesama manusia sama ada ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sepejabat mahupun anggota masyarakat yang Muslim dan Non Muslim.

7.Jagalah akhlak dalam perhubungan sesama kita dalam organisasi dan masyarakat. Elakkan umpatan, fitnah, hinaan, merendah-rendah orang lain dan sebagainya.