Rabu, 27 Syawal 1431H : Dalam mengerjakan Ibadat Haji, kita mestilah terlebih dahulu mengetahui ilmu berkenaan haji. Antaranya ialah syarat-syarat wajib haji dan umrah iaitu:
1. Islam- tidak wajib atas orang kafir dan murtad.
2. Baligh- tidak wajib atas kanak-kanak tetapi sah hajinya dan tidak gugur wajibnya bila baligh.
3. Berakal - tidak wajib atas orang gila dan jika dilakukan juga, tidak sah hajinya.
4. Merdeka- Hamba abdi tidak diwajibkan, tetapi sah hajinya dan diberi pahala.
5. Berkuasa / Kemampuan.
Berhubung dengan berkuasa atau berkemampuan, ini ialah berdasarkan kepada Firman Allah S.W.T yang bermaksud: " Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan di antara mereka" (Surah Ali Imran ayat 97)
Dalam masalah berkuasa atau berkemampuan untuk mengerjakan haji dan umrah ini adalah berkuasa kepada dua bahagian:-
1) Berkuasa atau berkemampuan dengan sendiri; dan
i) Berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain untuk melakukan pekerjaan haji dari mula hingga akhir.
ii) Mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang dibawah tanggungannya,
iii) Ada kenderaan pergi dan balik,
iv) Aman dalam perjalanan, yakni tidak ada marabahaya yang mengancam keselamatan diri dan harta. Ini termasuklah juga tidak ada penyakit yang membahayakan tubuh badan,
v) Sihat tubuh badan,
vi) Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah.
Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:- "Dari Anas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w ditanya " Apakah yang dimaksudkan dengan "sabil"? Rasulullah s.a.w. menjawab: " Bekalan dan perjalanan". (Riwayat- Daruqutni)
2) Berkuasa dengan bantuan orang lain.
i) Orang yang mempunyai cukup syarat wajib haji, tetapi tidak dapat mengerjakan hajinya sendiri kerana keuzuran dan sakit yang tidak ada harapan akan sembuh, atau telah terlalu tua umurnya serta telah putus asa tidak dapat pergi sendiri menunaikan hajinya,
ii) Orang yang telah meninggal dunia yang berupaya semasa hidupnya, tetapi tidak mengerjakan haji, maka terhutanglah fardu haji atasnya sehingga warisnya atau orang yang menerima wasiatnya menunaikan hutang hajinya itu dengan upah atau secara sukarela.
Dalam masalah mengerjakan haji untuk orang lain atau upah haji ini, Rasulullah s.a.w yang bermaksud: " Dari Laqit bin Amir r.a bahawa dia telah datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: " Bahawa bapa saya seorang yang telah tua, tidak berdaya menunaikan haji dan umrah, dan tidak berkuasa mengikuti rombongan atau berjalan untuk mengerjakan haji atau umrah" Rasulullah s.a.w. bersabda : " Tunaikanlah haji untuk bapamu dan umrahnya sekali". (Riwayat - Abu Daud dan Tarmizi).
1 comment:
Islam itu mudah dan tidak memberatkan. Setiap syariat yg ditetapkan adalah sesuai dgn fitrah manusia & alam. Tanggungjawab manusia ialah menunaikan semata-mata kerana Allah. W'aklam
Post a Comment