Jumaat, 16 Safar 1432H :- Abu Qatadah Ibnu Rib’i al-Ansari r.a menerangkan bahawasanya satu jenazah telah dibawa berlalu di hadapan Rasulullah SAW maka berkatalah baginda :“Orang yang beristirahat atau orang yang pergi supaya orang lain beristirahat daripadanya. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah orang yang pergi beristirahat dan siapakah orang yang pergi supaya orang lain beristirahat daripadanya? Nabi menjawab : “ Hamba yang mukmin pergi beristirahat daripada kepayahan dunia dan gangguannya kepada rahmat Allah. Dan hamba yang fasiq, beristirahat daripadanya segala hamba Allah, negeri, pohon dan binatang.”(HR al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Sesiapa yang memberi contoh yang baik dalam Islam maka ia akan memperolehi pahala dan pahala orang yang beramal selepas ia meninggal tanpa kurang sedikit pun daripada pahala mereka dan siapa yang memberi contoh yang buruk di dalam Islam maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang beramal dengannya selepas ia meninggal dunia tanpa kurang sedikitpun daripada dosa mereka.”( HR Riwayat Muslim)
Keterangan Hadis :
1. Sesungguhnya orang yang meninggal dunia itu terdiri dari dua golongan iaitu golongan orang yang beriman meninggal dunia menuju ke suatu tempat yang aman yang membahagiakan. Mereka sudah terlepas daripada kepayahan dan ujian dunia menuju kepada rahmat Allah SWT.
2. Golongan kedua ialah orang yang buruk akhlaknya, kematiannya itu merupakan satu kerehatan untuk penghuni dunia daripada terus berhadapan dengan kejahatan dan kemungkaran yang dilakukannya. Kematiannya dituruti dengan kesengsaraan dan balasan azab daripada Allah SWT
3) Kita hendaklah berusaha menunjukkan akhlak yang baik di dunia dan memperbanyakkan amal ibadah serta sedaya upaya mengawal tingkahlaku agar dapat menunjukkan contoh teladan yang baik bagi masyarakat setempat.
4) Sekiranya perbuatan kita yang baik itu menjadi ikutan orang lain maka kita akan diberi ganjaran pahala walaupun kita sudah meninggal dunia dan dapatlah kita beristirahat dengan baik di tempat yang baik yang dijanjikan Allah. Contohnya amalan suka bersedekah, mengajarkan ilmu yang baik, menjaga aurat dan sebagainya.
4) Sebaliknya jika kita menunjukkan sikap dan perangai yang buruk kepada masyarakat, bukan sahaja kita akan mendapat kejian dan cacian malah sesiapa yang menjadikan kita sebagai ikutan mereka dengan bersikap suka menipu, berkelakuan tidak senonoh dan seumpamanya maka kita juga akan mendapat dosa yang sama seperti orang yang melakukannya dan bertambah deritalah kita di akhirat nanti.
5) Oleh itu berusahalah untuk menjadi individu yang baik dan terpuji kerana cerminan akhlak dan peribadi yang mulia akan memberi kesan di dunia dan akhirat.
1 comment:
Salah satu sifat yang perlu dijauhi ialah "cintakan dunia, takutkan mati". Ungkapan ini bukan bermaksud, buang/tinggalkan dunia @ meminta mati.
2. Dalam Islam diajar, cari/usaha lebih utk bekalan akhirat tapi jangan lupa dunia. Mafhum firman Allah:
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.” (Al-Qashash: 77). Justeru, amat tepatlah tema blog ini bagi tujuan peringatan bersama; "perjalanan masih jauh, bekalan masih sedikit".
3.Takut mati bolehlah dianalogikan begini. Jika kita takut exam, kita buat persediaan. Jika kita takut pancit bila naik gunung, kita juga bersedia sebaik mungkin. Justeru, jika kita takut mati, buatlah persediaan yg cukup.
4.Byk persediaan yg boleh dibuat. Antaranya menurut surah Al Qashash; buat baik pada orang lain & jgn buat kerosakan. Mudah je kan, tetapi yg susahnya ialah nak beramal. Selamat beramal!!
W'aklam.
Post a Comment