Selasa, 17 Syawal 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Pada hari kiamat kelak Allah Azza wa Jalla berfirman: Hai anak Adam! Aku sakit, mengapa tidak engkau kunjungi Aku?"
Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan ku. Bagaimana mungkin aku mengunjungi Engkau padahal Engkau Tuhan semesta alam?"
Firman Allah Ta'ala, "Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba Ku si Fulan sakit, mengapa kamu tidak mengunjunginya? Apakah kamu tidak tahu seandainya kamu kunjungi dia, kamu akan mendapati Ku di sisinya?"
"Hai, anak Adam! Aku minta makan kepada mu, mengapa kamu tidak memberi Ku makan?"
Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan. Bagaimana mungkin aku memberi Engkau makan, padahal Engkau Tuhan semesta alam?"
Firman Allah Ta'ala, "Apakah kamu tidak tahu, bahawa hamba Ku si Fulan minta makan kepada mu tetapi kamu tidak memberinya makan. Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu memberinya makan nescaya engkau mendapatkannya di sisi Ku?"
"Hai, anak Adam! Aku minta minum kepada mu, mengapa kamu tidak memberi Ku minum?"
Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan, bagaimana mungkin aku memberi Engkau minum, padahal Engkau Tuhan semesta alam?"
Firman Allah Ta'ala, "Hamba Ku si Fulan minta minum kepada mu, tetapi kamu tidak memberinya minum. Ketahuilah, seandainya kamu memberinya minum, nescaya kamu mendapatkannya di sisi Ku."
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2201.
No comments:
Post a Comment