Friday, October 26, 2018

Membuang Sial Perbuatan Syirik

Jumaat, 17 Safar 1440H: Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpaling daripada melakukan sesuatu hajat kerana beranggapan akan bernasib sial maka dia telah melakukan syirik.”

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah penebus anggapan itu?

Baginda menjawab: “Hendaklah seseorang daripada kamu mengucapkan:

اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
(Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau).” 

(Hadith sahih riwayat Ahmad, No. Hadith : 6748)

Matan Hadith:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا كَفَّارَةُ ذَلِكَ قَالَ أَنْ يَقُولَ أَحَدُهُمْ اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
]التخريج: مسند أحمد بن حنبل , مُسْنَدُ المُكْثِرِينَ مِنَ الصَّحَابَةِ , مسْنَدُ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرو بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ عنهما,من ردته الطيرة من حاجة فقد أشرك , رقم الحديث 6748 , وقال أحمد شاكر خلاصة حكم المحدث إسناده صحيح[

Pengajaran Hadith :

1.Bulan Safar adalah bulan kedua dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram. Antara maksud Safar adalah bulan yang diharamkan untuk berperang sebagaimana yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Safar juga bermaksud ulat yang berada di dalam perut manusia ketika lapar (menyebabkan muka orang yang mengalaminya kelihatan kuning), yang berkemungkinan boleh membawa maut. Terdapat ulama yang berpandangan bahawa ianya lebih teruk serta berjangkit berbanding penyakit kulit.

2.Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa perkara buruk akan berlaku apabila datang bulan Safar. Bahkan mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Tanggapan tersebut termasuk tatayyur yang dilarang dalam Islam. Antara larangan yang lain adalah menganggap sial bagi hari tertentu seperti hari Rabu, menganggap bulan Syawal sebagai bulan sial secara khusus dalam urusan pernikahan, larangan untuk bermusafir pada bulan Safar dan lain-lain. Maka pandangan-pandangan ini adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam. Kedatangan Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut kerana ianya adalah amalan syirik.

3.Justeru, setiap Muslim hendaklah memantapkan keimanan dengan percaya kepada Qada’ dan Qadar yang telah ditetapkan Allah SWT serta menghilangkan tanggapan yang silap tersebut dengan bertawakal kepada Allah SWT. Selain daripada itu, dianjurkan agar sentiasa membaca doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith ini.

No comments: