Saturday, January 4, 2025

Buat Yang Terbaik Minta Yang Terbaik

Sabtu, 4 Rejab 1446H  |  Buat Yang Terbaik Minta Yang Terbaik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم: إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ وَأَعْلَى الْجَنَّة وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّة

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di Syurga itu ada seratus tingkatan yang telah Allah sediakan bagi mereka yang berjihad di jalan Allah. Jarak antara satu tingkatan dengan tingkatan lainnya itu bagaikan jarak antara langit dan bumi. Apabila kalian berdoa memohon kepada Allah maka mintalah kepada-Nya Syurga Firdaus, kerana Syurga Firdaus adalah Syurga yang paling tengah dan paling atas (tinggi). Di atasnya terdapat ‘Arsy Allah Dzat Yang Maha Pengasih. Dari Syurga Firdaus itulah seluruh mata air sungai-sungai Syurga mengalir” (HR Bukhari No: 2581) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1.  Setiap kita sentiasa mengharapkan untuk menjadi orang yang paling baik dan cemerlang dalam hidup di dunia dan akhirat.

2.  Mendapat ganjaran Syurga di hari akhirat amat diharapkan oleh setiap orang. Rasulullah SAW menyuruh berdoa agar mendapat Syurga yang paling baik iaitu Syurga Firdaus.

Dalam hadis dari Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda tentang Syurga Firdaus;

الْفِرْدَوْسُ رَبْوَةُ الْجَنَّةِ وَأَوْسَطُهَا وَأَفْضَلُهَا

Maksudnya: Firdaus adalah syurga yang paling tinggi, yang paling bagus, dan yang paling afdhal. (HR Tirmizi No 3174) Status hadis Sahih.

3.  Menjadi cemerlang dan terbaik menuntut kita berusaha dan bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memperolehinya.  Saidina Ali pernah berkata: “Biarlah cita-cita engkau setinggi langit, kalau pun engkau tidak mencapai semuanya, sebahagiannya adalah lebih dari setinggi-tinggi cita-cita yang dari mulanya lagi telah rendah”. 

4.  Kecemerlangan tidak dianugerahkan kepada orang yang melakukan usaha sambil lewa tetapi yang berlumba dan bersungguh-sungguh melakukan kebaikan.

5.  Dalam kita berdoa, mintalah yang paling baik dan diredhai Allah antaranya meminta agar dimasukkan ke dalam Syurga Firdaus.


Friday, January 3, 2025

Jadilah Pembuka Pintu Kebaikan

Jumaat, 3 Rejab 1446H   |   Jadilah Pembuka Pintu Kebaikan

عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلْخَيْرِ مَغَالِيقَ لِلشَّرِّ وَإِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلشَّرِّ مَغَالِيقَ لِلْخَيْرِ فَطُوبَى لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الْخَيْرِ عَلَى يَدَيْهِ وَوَيْلٌ لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الشَّرِّ عَلَى يَدَيْهِ

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya di antara manusia ada orang yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan. Dan sesungguhnya di antara manusia ada yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan. Beruntunglah orang yang Allah jadikan dirinya sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya. Dan celakalah orang yang menjadi pembuka pintu keburukan melalui tangannya.” (HR. Ibnu Majah no. 237) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah menciptakan manusia yang pelbagai. Ada diantara manusia yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan.

2.  Namun terdapat di antara manusia yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan.

3.  Beruntunglah kepada orang yang Allah jadikan sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya.

4.  Orang yang ingin dirinya menjadi pembuka pintu kebaikan serta menjadi penutup pintu keburukan, maka hendaklah melakukan hal-hal berikut:

a.  Mengikhlaskan segala perbuatan dan perkataan hanya untuk beribadah kepada Allah dan jadikan ia sebagai sumber kebaikan dan kemuliaan kita.

b.  Berdoa kepada Allah agar diberi taufik menjadi seseorang pembuka pintu kebaikan, kerana doa adalah kunci segala kebaikan.

c.  Bersungguh dalam menuntut ilmu kerana ilmu mendorong seseorang kepada kebaikan dan kemuliaan.

d.  Sentiasa beribadah kepada Allah, khususnya solat, kerana solat dapat mencegah dari perbuatan keji dan munkar.

e.  Bersikap dengan akhlak yang mulia dan lemah lembut, serta jauh dari akhlak yang buruk dan tidak beradab.

f.  Bersahabat dengan orang-orang yang soleh dan sering bersama mereka. Menasihati orang lain, baik yang dikenali atau tidak, agar kebaikan bersama kita dan jauh dari maksiat.

g.  Sentiasa ingat hari pembalasan agar kita sentiasa berbuat amal kebaikan sebagai bekalan

h.  Sentiasa berusaha memberi manfaat kepada yang lain.

Sempena tahun baru 2025, marilah kita berusaha menjadi pembuka pintu kebaikan dan sentiasa menutup pintu keburukan.


Thursday, January 2, 2025

Zikir Menjauhi Perkara Yang Tidak Diingini

Khamis, 2 Rejab 1446H  |  Zikir Menjauhi Perkara Yang Tidak Diingini

عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ قَالَ فِي دُبُرِ صَلاَةِ الفَجْرِ وَهُوَ ثَانٍ رِجْلَيْهِ قَبْلَ أَنْ يَتَكَلَّمَ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ عَشْرَ مَرَّاتٍ كُتِبَتْ لَهُ عَشْرُ حَسَنَاتٍ وَمُحِيَ عَنْهُ عَشْرُ سَيِّئَاتٍ وَرُفِعَ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ وَكَانَ يَوْمَهُ ذَلِكَ كُلَّهُ فِي حِرْزٍ مِنْ كُلِّ مَكْرُوهٍ وَحُرِسَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَلَمْ يَنْبَغِ لِذَنْبٍ أَنْ يُدْرِكَهُ فِي ذَلِكَ اليَوْمِ إِلاَّ الشِّرْكَ بِاللَّهِ.

Daripada Abu Dzar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: "Barang siapa yang membaca selepas solat Subuh dalam keadaan menyilangkan kedua kakinya (dalam kedudukan tasyahud), sebelum berkata-kata dia membaca: Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah tidak ada sekutu bagi-Nya, semua kerajaan milik-Nya dan bagi-Nya seluruh pujian, Dia yang menghidupkan, serta mematikan, dan Dia Maha Mampu melakukan segala sesuatu, sebanyak 10 kali, maka tercatat untuknya sepuluh kebaikan dan terhapus darinya sepuluh kesalahan serta diangkat untuknya sepuluh darjat, dan pada hari itu dia berada dalam perlindungan dari segala yang tidak diingini, serta terjaga dari Syaitan, begitu juga tidak layak ada dosa atasnya pada hari itu kecuali syirik kepada Allah." (HR Tirmidzi No: 3474) Status: Hassan Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim digalakkan berzikir dan berdoa selepas solat.

2.  Antara zikir yang dianjurkan untuk dibaca selepas solat Subuh dalam keadaan menyilangkan kedua kakinya (dalam kedudukan tasyahud), sebelum berkata-kata yang lain adalah;

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Barang siapa membaca sebanyak 10 kali, maka:

a)  Dicatat untuknya sepuluh kebaikan
b)  Terhapus daripadanya sepuluh kesalahan
c)  Diangkat untuknya sepuluh darjat
d)  Pada hari tersebut dia berada dalam perlindungan dari segala yang tidak diingini
e)  Terjaga dari Syaitan pada hari tersebut
f)  Tidak layak ada dosa atasnya pada hari itu (terampun) kecuali dosa syirik kepada Allah

3.  Orang yang membaca zikir ini selepas solat subuh sebanyak 10 kali dalam keadaan masih duduk seperti tahiyat akhir dan belum bercakap yang lain, maka akan terpelihara daripada sesuatu yang tidak diingini termasuklah pelbagai penyakit juga dilindungi dari mara bahaya yang lain.

Marilah kita mulakan awal tahun baharu Masihi 2025 ini untuk mengamalkan wirid ini selepas solat fardhu subuh juga maghrib. Moga kita sentiasa mendapat kebaikan dan terpelihara dari sebarang keburukan dan dosa.


Wednesday, January 1, 2025

Rejab Bulan Haram

Rabu, 1 Rejab 1446H  | Rejab Bulan Haram

عن أبي بكرة نفيع بن الحارث رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏   الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Daripada Abi Bakrah Nafi’ bin al Harith RA, dari Nabi SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.” (HR Bukhari No: 4054) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) bermaksud bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana Allah SWT mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.

2.  Mengikut Syeikh Mustafa al-Bugho, perkataan Mudhor pada Rejab ini dinisbahkan kepada satu kabilah yang dinamakan Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut berbanding bulan-bulan lain.

3.  Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 130/4)

4.  Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata’if al-ma’arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut majoriti ulama’ ia berlaku pada 27 Rejab.

5.  Bulan Rejab antara empat bulan Haram dimana kita digalak  menggandakan setiap amalan yang kita lakukan dalam bulan-bulan tersebut.

6.  Kita telah memasuki bulan Rejab, Abu Bakr Al-Balkhi berkata:

شَهْرُ رَجَبٍ شَهْرُ الزَّرْعِ  وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سَقْيِ الزَّرْعِ وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حِصَادِ الزَّرْعِ

Maksudnya: Bulan Rejab waktu menanam, bulan Syaaban waktu menyiram tanaman dan bulan Ramadhan waktu menuai hasil.

Untuk itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita seperti solat sunat, puasa sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi sebagai persiapan bertemu Ramadan nanti.