Jumaat, 10 Rejab 1446H | Berbakti Kepada Ibubapa
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ فَأَضِعْ ذَلِكَ الْبَابَ أَوْ احْفَظْهُ
Daripada Abu Ad Darda dia mendengar Nabi SAW bersabda: "Orang tua (ibubapa) adalah pintu syurga yang paling tengah, oleh kerana itu letakkanlah ia atau jagalah ia baik-baik." (Sunan Ibnu Majah No: 3653) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Ibu dan bapa mempunyai kedudukan yang tinggi dan menjadi salah satu penyebab besar seorang anak memperoleh syurga.
2. Menjadi kewajipan kepada anak-anak untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa kerana keredhaan ibu bapa menjadi antara jalan utama mencapai keredhaan Allah dan ganjaran syurga. Justeru seorang anak wajib menyayangi, menghormati dan taat kepada keduanya selagi tidak bertentangan dengan syarak.
3. Al-Qadhi Baidhawi: Cara terbaik untuk masuk syurga, dan cara mendapatkan darjat yang tinggi di syurga adalah dengan mentaati orang tua dan berusaha mengasihi dan berbakti padanya. Ada juga ulama yang mengatakan, ‘Di syurga ada banyak pintu. Yang paling selesa untuk dimasuki adalah yang paling tengah. Untuk membolehkan masuk ke syurga melalui pintu tengah itu adalah dengan berbakti kepada orang tua.’ (Tuhfatul Ahwadzi, 6/21).
4. Anak-anak yang tidak berbakti dan berbuat baik kepada orang tua, akan terlepas peluang ke syurga.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ
Daripada Abu Hurairah dia berkata; Nabi SAW bersabda: "Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!" lalu baginda ditanya; "Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?" Jawab Nabi SAW: "Barang Siapa yang mendapati kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah satu dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya)." (HR Muslim No: 4628) Status: Sahih
5. Berbaktilah sebaik mungkin kepada kedua ibu bapa sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia dengan mendoakannya, menunaikan hajat mereka serta menjaga hubungan baik dengan keluarga mereka.
6. Anak yang berbakti kepada ibu bapa akan meraih keredhaan Allah SWT, manakala mereka yang mengabaikan tanggungjawab ini akan kehilangan peluang besar untuk mendapat syurga. Oleh itu, umat Islam harus menjaga hubungan baik dengan ibu bapa dengan menghormati, melayani, dan memenuhi keperluan mereka sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka.
No comments:
Post a Comment