Selasa, 14 Rejab 1446H | Memberi Kemudahan Kepada Orang Berhutang
عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الْوَلِيدِ بْنِ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ …رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا أَوْ وَضَعَ عَنْهُ أَظَلَّهُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ
Daripada Ubadah bin Walid bin Ubadah bin Samit… Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang memberi tempoh penangguhan kepada orang yang sedang dalam kesulitan (untuk membayar hutang) atau memaafkan hutangnya (menggugurkan hutangnya), Allah akan menaunginya di bawah naunganNya." (HR Muslim No: 5328) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan seperti memberi pinjaman adalah amalan yang mulia.
2. Orang yang memberi kemudahan kepada orang yang berhutang dengan memberi tempoh tambahan pembayaran hutang kepada mereka yang masih kesulitan untuk menjelaskannya, menunjukkan sifat sabar, pemurah dan penyayang terhadap orang lain, akan mendapat naungan di sisi Allah pada hari Kiamat nanti.
3. Orang yang menghalalkan atau menggugurkan hutang orang lain padanya dengan apa juga sebab seperti kesulitan yang dialaminya, menunjukkan ketinggian akhlak dan keutamaan dalam membantu orang lain, nescaya Allah akan menaunginya dalam naunganNya.
4. Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang memudahkan bantuan kepada orang yang berhutang. Firman Allah:
وَإِن كَانَ ذُو عُسۡرَةٖ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيۡسَرَةٖۚ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٢٨٠
Maksudnya: Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan dan sebaliknya bahawa kamu menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui (pahala yang besar yang kamu akan perolehi kelak). Al-Baqarah: 280.
5. Hadis ini mengajar kepentingan belas ihsan dan sikap pemurah terhadap mereka yang mengalami kesulitan. Dengan memberi tempoh atau menggugurkan hutang, seseorang bukan sahaja membantu orang lain tetapi juga mendapat perlindungan dan rahmat Allah SWT di akhirat kelak. Ia menjadi peringatan kepada umat Islam untuk sentiasa menjaga hubungan sesama manusia dan mencontohi sifat-sifat mulia yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Namun bagi orang yang berhutang menjadi kewajipan menjelaskan hutang dengan segera jika berkemampuan.
No comments:
Post a Comment