Monday, January 6, 2025

Penuntut Ilmu Sentiasa Dirahmati

Isnin, 6 Rejab 1446H  | Penuntut Ilmu Sentiasa Dirahmati

عَنْ صَفْوَانَ بْنَ عَسَّالٍ الْمُرَادِيَّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ خَارِجٍ خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ إِلَّا وَضَعَتْ لَهُ الْمَلَائِكَةُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا بِمَا يَصْنَعُ

Daripada Shafwan bin Assal Al Muradi, ia berkata,  Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:"Tidaklah seseorang yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu kecuali para malaikat akan mengembangkan sayap-sayapnya untuk orang tersebut kerana redha dengan apa yang ia kerjakan." (Sunan Ibnu Majah No: 222)  Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Menuntut ilmu adalah suatu ibadah dan menjadi tuntutan ke atas setiap Muslim

2.  Setiap Muslim yang keluar dari rumah untuk menuntut ilmu akan sentiasa dinaungi para Malaikat.

3.  Menuntut ilmu tidak hanya terhad kepada golongan pelajar di peringkat sekolah mahupun Institut Pengajian Tinggi, malah setiap masa, tempat dan usia seperti di masjid, surau, termasuklah secara online dan lain-lain.

4.  Allah mengangkat darjat orang yang berilmu lebih tinggi dari yang lain:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]

5. Malaikat sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka yang ikhlas menuntut ilmu. Doa dan keberkatan ini menjadi asbab kejayaan di dunia dan akhirat.

6. Rasulullah mengajar kita berdoa agar mendapat ilmu bermanfaat

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ إِذَا صَلَّى الصُّبْحَ حِينَ يُسَلِّمُ :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Daripada Ummu Salamah berkata, "Selepas salam dalam solat subuh Nabi SAW mengucapkan: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima (Ibn Majah No 915) Status: Hadis Sahih

Marilah kita memulakan azam tahun baru 2025 ini untuk sentiasa menambah ilmu. Dengan ilmu, seorang Muslim dapat memahami agama dengan lebih baik, mengamalkan ajaran Islam, dan menyebarkan kebaikan kepada orang lain. Semoga dengan ilmu yang bermanfaat membawa kita menjadi orang yang bertaqwa, menjadikan kita warganegara yang “celik” “bijak” dan “cerdik” bukan hanya untuk dunia malah juga untuk akhirat kelak.


No comments: