Tuesday, March 25, 2025

Berpuasa dan Solat Tapi Munafik

Selasa, 24 Ramadhan 1446H  |   Berpuasa dan Solat Tapi Munafik

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ عَلَامَاتِ الْمُنَافِقِ ثَلَاثَةٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
حَدَّثَنَا عُقْبَةُ بْنُ مُكْرَمٍ الْعَمِّيُّ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ قَيْسٍ أَبُو زُكَيْرٍ قَالَ سَمِعْتُ الْعَلَاءَ بْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ يُحَدِّثُ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَقَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ وَإِنْ صَامَ وَصَلَّى وَزَعَمَ أَنَّهُ مُسْلِمٌ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Di antara tanda orang munafik ada tiga: apabila dia bercakap, dia berbohong, apabila dia berjanji dia mengingkari, dan apabila dia diberi amanah, dia berkhianat."
Telah menceritakan kepada kami Uqbah bin Mukram al-Ammi telah menceritakan kepada kami Yahya bin Muhammad bin Qais Abu Zuhair dia berkata, saya mendengar al-Ala' bin Abdurrahman menceritakan dengan sanad ini seraya berkata, "Tanda-tanda orang munafik ada tiga, walaupun dia berpuasa dan solat serta menuntut atau mengaku bahawa dia seorang Muslim." (HR Muslim No: 90) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tiga tanda orang munafik yang perlu dijauhi iaitu apabila dia bercakap, dia berbohong, apabila dia berjanji dia mengingkari, dan apabila dia diberi amanah, dia berkhianat.

2.  Sifat munafik akan kekal kepada pelaku munafik walaupun dia mengerjakan solat, berpuasa dan mengaku sebagai Muslim.

3.  Ibadat puasa adalah perisai dan benteng dari sifat munafik.

اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ

“Puasa adalah perisai atau benteng (yang melindungi pelakunya daripada keburukan).” (Riwayat Tirmidzi No: 2749).

4.  "Bercakap" termasuk dalam bentuk penulisan dan ditular sama ada di FB, WhatsApp, Telegram dan lain-lain. Jika faktanya salah, tidak benar maka ia dianggap berbohong dan orang tersebut ada tanda munafik pada dirinya.

5. Menepati janji adalah ciri orang yang amanah dan bertanggungjawab. Mengingkari janji adalah sifat yang tidak disukai oleh Allah dan boleh merosakkan hubungan sesama manusia.

6.  "Amanah" adalah tanggungjawab kita. Pemimpin perlu berlaku adil dalam kepimpinan. Setiap pekerja ada amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, jangan khianat seperti culas atau curi tulang. Tidak amanah jika gaji diambil tapi pekerjaan tidak sempurna. Bertambah tidak amanah bila gaji diambil, rasuah diterima.

7.  Ruginya jika mengaku seorang Muslim, berpuasa dan solat namun menjadi orang munafik kerana memiliki sifat munafik.

Muslim tidak cukup hanya dengan solat, puasa, atau pengakuan lisan. Tanda sebenar seorang Muslim ialah akhlak dan integriti dalam kehidupan seharian. Kejujuran, menepati janji, dan menjaga amanah adalah aspek yang sangat penting dalam menilai kualiti iman seseorang. Jadikan puasa dan solat kita sebagai perisai dari sifat munafik. Berusaha agar tidak berbohong, memungkiri  janji dan khianat.


No comments: