Friday, March 7, 2025

Bersahur Membezakan Puasa Muslim

Jumaat, 6 Ramadan 1446H  |   Bersahur Membezakan Puasa Muslim

عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Daripada Amru Ibnu Al-Ash RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:  "Perbezaan antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur." (HR Muslim No: 1836) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ibadah puasa yang diwajibkan ke atas umat Islam sama juga dengan ibadat puasa yang telah pun diwajibkan kepada ahli kitab (yahudi dan nasrani). Tetapi terdapat beberapa perbezaan di antaranya ialah :

a.  Umat Islam diwajibkan berpuasa setahun sekali iaitu pada bulan  Ramadhan.
b.  Disunatkan bagi orang Islam yang hendak berpuasa makan sahur sebelum masuk waktu subuh.

2.  Ibadat puasa Muslim perlu berbeza dengan ibadat puasa ahli kitab iaitu dengan bersahur.

3.  Sahur adalah makan atau minum yang dilakukan sebelum fajar (subuh) bagi mereka yang berpuasa walaupun dengan seteguk air atau sebiji kurma kerana ia memberikan keberkatan dan kekuatan sepanjang hari puasa.

4.  Umat Islam yang berpuasa dengan niat ikhlas kerana Allah akan mendapat ganjaran pahala yang melimpah-limpah di akhirat dan beroleh berbagai-bagai pertolongan di dunia lagi.

5.  Antara fadhilat atau kelebihan bersahur bagi yang berpuasa:

a. Memberi tenaga sepanjang hari berpuasa
b. Mendapat keberkatan dan kelebihan
c. Membezakan puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab.

6.  Dalam berpuasa, kita diajar untuk mengikuti sunnah Rasulullah SAW dalam segala aspek, termasuk dalam amalan sahur. Dengan menjaga amalan ini, kita bukan hanya mengikuti petunjuk Rasulullah, tetapi juga meraih pahala yang besar dari Allah.


No comments: