Tuesday, April 15, 2025

Jangan Saling Bermusuh

Selasa,  16 Syawal 1446H   |  Jangan Saling Bermusuh

عَنْ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّام

Daripada Anas bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Janganlah kamu saling membenci, jangan saling iri hati, jangan saling berpaling (bermusuhan), dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari" (Sahih Bukhari No: 5718) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Umat Islam dilarang saling membenci sesama mereka. Kebencian boleh merosakkan hubungan persaudaraan dan menghalang tercapainya keharmonian dalam Masyarakat.

2.  Sifat iri hati dan cemburu kepada kelebihan yang ada pada orang lain perlu dijauhi. Elakkan saling berdengki sesama Muslim kerana ia merosakkan hubungan sesama Muslim. Berlapang dadalah dengan kelebihan yang ada pada orang lain serta saling mendoakan kebaikan.

3.  Larangan berpaling atau bermusuhan, tidak bertegur sesama Muslim kerana setiap Muslim adalah bersaudara.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka bermusuh" (Sahih Bukhari No: 6765) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

4.  Sebagai Muslim, kita boleh berbeza pandangan namun perlu saling memaafkan. Berusahalah mencari titik persamaan bukan membesarkan titik perbezaan.

5.  Umat Islam haruslah hidup sebagai saudara, dengan saling bantu-membantu, menjaga hubungan yang baik, dan menghormati antara satu sama lain. Persaudaraan adalah nilai yang sangat penting, dan ia menjadi asas kepada keharmonian sosial.

6.  Elakkan diri kita daripada tidak bertegur atau menjauhi saudara Muslim melebihi tiga hari. Berusaha untuk memperbaiki hubungan yang terjejas jika berlaku, sama ada dengan memohon maaf atau dengan berbincang secara terbuka untuk menyelesaikan perselisihan yang timbul.

Jauhi sikap bermusuh, benci dan dengki. Binalah ukhuwah melalui sifat saling berkasih sayang dan bantu membantu.


No comments: