Sunday, April 20, 2025

Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin

Ahad, 21 Syawal 1446H   | Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin

عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Daripada An Nu'man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih sayang, belas kasihan dan saling mencintai antara mereka bagaikan satu tubuh badan. Apabila satu anggota tubuh badan yang sakit, maka seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga malam (tidak boleh tidur) dan panas (demam) ' (HR Muslim No: 4685) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang mukmin sesama mukmin adalah bersaudara.

2.  Perumpamaan berkasih sayang sesama Mukmin seperti satu tubuh badan. Jika ada anggota badan yang sakit, anggota lain juga turut menanggung kesakitan. Begitulah sepatutnya ukhuwah dan hubungan sesama Muslim.

3.  Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan.

4.  Hak-hak yang lahir daripada persaudaraan diwajibkan kerana iman. Wajib memberikan komitmen terhadap hak mukmin yang lain seperti menolong dan membantu mereka, sama seperti wajibnya menunaikan solat, puasa, zakat dan haji

5.  Wajib memelihara hak sesama mukmin dengan tidak menyakiti, menzalimi, mengumpat, memfitnah dan membiarkannya dalam kesusahan.

6.  Kejayaan Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijrah membina Negara Madinah yang makmur dan harmoni apabila baginda berjaya mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajiran untuk sama-sama bertolong bantu membangunkan Negara Islam Madinah.

Ayuh kita tunaikan hak persaudaraan yang wajib dengan sentiasa berkasih sayang sesama mukmin dan bertolong bantu membina Ummah Sejahtera Yang Berkualiti. Jika memelihara solat, puasa, zakat dan haji itu wajib, menunaikan hak persaudaraan ini juga wajib.


No comments: